Wednesday, May 2, 2012

Bercakap Dengan Jin - Buku 7

115. Pulang Dari Kubur

Semua yang terjadi di depan mata mengudang kecemasan dan ketakutan. Saya tidak berani bergerak dan berkata-kata.

Aneh sungguh, Haji Taslim Singasari tidak gentar dan cemas atas kehadiran kucing hitam dan harimau kumbang. Baginya, seolah-olah perkara itu tidak wujud di depan matanya.

Haji Taslim Singasari mengambil beberapa naskah Yasin dari atas rak di luar bilik. Masa Haji Taslim berada di luar bilik, saya seakan-akan terpandangkan Suhaimi Keraba mengangkat kepalanya perlahan-lahan.

Dan kini, saya dapat memastikan yang lapik kepalanya bukanlah bantal. Tetapi, batang pisang yang dibentuk seperti sebiji bantal.

"Eh, kepala..."

Belum pun sempat saya menamatkan kata, telapak tangan datuk terus menekup mulut saya. Kerana dicengkam begitu kuat, kedua belah rahang saya terasa sakit.

"Jangan tegur, baca saja Surah An-Nas seberapa banyak yang boleh," Pak Imam membisikkan ke telinga saya. Bila saya anggukkan kepala barulah datuk berhenti mencekup mulut saya.

Saya patuh dengan nasihat Pak Imam. Sambil membaca Surah An-Nas, mata saya terus tertumpu ke bahagian kepala Suhaimi Keraba yang bertukar bentuk menjadi macam kepala monyet.

Proses pertukaran itu berlaku secara sedikit demi sedikit yang dimulai dari dagu, telinga dan akhir sekali di bahagian kening.

"Huuaaahhhh."

Terdengar suara dari Suhaimi Keraba, macam mawas (kingkong) jantan. Menderam panjang. Dalam sekelip mata, kepala monyet bertukar menjadi kepala harimau belang. Terus mengaum, menggegarkan rumah. Datuk dan Pak Imam bagaikan tidak peduli dengan apa yang terjadi di depan mereka.

"Mari kita baca bersama, setakat mana yang dapat," Haji Taslim Singasari berdiri di kiri saya. Dia hulurkan Surah Yasin pada saya, pada datuk dan Pak Imam. Haji Taslim Singasari terus duduk di sebelah saya. Pada saat itu juga saya terdengar jeritan binatang liar dalam bilik kecil. Saya yakin, suaru jeritan itu hanya saya seorang saja yang mendengarnya.

"Pak Imam kita jadi ketua, kita mengikutnya," Haji Taslim Singasari memberikan pendapat. Datuk anggukkan kepala. Saya tidak memberikan sebarang komen. Bersedia mengikut langkah dan rentak yang bakal mereka lakukan.

"Boleh kita mulakan sekarang," Pak Imam menyatakan kesediannya beberapa saat kemudian, kamar kecil itu mula dikuasai oleh suara orang membaca Surah Yasin. Dalam masa saya hendak membaca Surah Yasin, saya tidak dapat melihat perkembangan atas perubahan selanjutnya terhadap diri Suhaimi Keraba. Saya tidak tahu apakah kepalanya masih dalam bentuk kepala harimau.

Pembacaan Surah Yasin sering terganggu oleh beberapa ekor ular sebesar batang kelapa. Warnanya hitam, bergerak depan kami, lidahnya yang bercabang bagaikan mahu menyentuh tubuh Suhaimi Keraba.

Kerana datuk, Pak Imam dan Haji Taslim Singasari buat tidak kisah, saya jadi berani dan terus bersikap macam mereka. Selain dari ular besar, binatang berbisa yang lain juga turut menjelma seperti kala jengking, lipan, lebah dan tebuan.

Pembacaan Yasin yang pertama selesai. Waktu mahu melakukan pembacaan yang kedua, Suhaimi Keraba terus menjerit, menendang ke kiri dan ke kanan. Semuanya itu tidak menghalang pembacaan kami. Bila pembacaan Surah Yasin untuk kali yang ketujuh berakhir. Semua binatang buas yang berkeliaran hilang. Suhaimi Keraba tercungap-cungap.

Buah halkumnya nampak bergerak lemah dan dadanya yang hitam kelihatan berombak-ombak.

"Ajarlah dia mengucap, Taslim," Pak Imam menganjurkan pada Haji TAslim Singasari. Dan orang tua yang berbadan tegap itu segera merapati Suhaimi Keraba.

Dia mendekatkan bibirnya ke cuping telinga Suhaimi Keraba yang hitam. Datuk gelengkan kepala, bila Suhaimi Keraba berusaha dengan sedaya upaya memalingkan mukanya yang hitam (tidak tentu bentuknya) itu ke arah lain. Dia seolah-olah tidak mahu mendengar dengan apa yang dibisikkan oleh Haji Taslim Singasari kepadanya.

"Cubalah," kata datuk menguatkan semangat Haji Taslim Singasari yang mula kecewa.

"Ya cubalah, kita usaha," tokok Pak Imam pula dan Haji Taslim Singasari anggukkan kepala.

"Haaaaa..."

Bagaikan ada kekuatan luar biasa hadir dalam diri Suhaimi Keraba. Dia terus duduk dan tangna kanannya menolak tubuh Haji Taslim Singasari, orang tua berbadan tegap itu jatuh tertenggung. Seluruh muka Suhaimi Keraba terarah ke wajah datuk.

Secara mendadak, Suhaimi Keraba rebahkan badannya dengan kasar. Dia luruskan tangan dua kali sambil menghela nafas tersekat-sekat, urat dileher nampak tegang.

"Huaaaahhh..." sepasang kaki Suhaimi Keraba bergerak-gerak. Semua biji mata tertumpu ke arahnya. Dadanya sudah tidak berombak, nafasnya terhenti. Suhaimi Keraba terkulai atas bantal bantang pisang. Dia sudah tidak bernyawa lagi.

"Semuanya dah habis," Haji Taslim Singasari bangun sambil menutup mayat Suhaimi Keraba dengan kain hitam.


HAMPIR


Haji Taslim Singasari menghampiri kami. Dan kami serahkan naskah Yasin kepadanya untuk disimpan. Saya pandang wajah datuk, ada sesuatu yang saya agak aneh dan ganjil.

Belum pernah saya mendengar salakan anjing mendayu-dayu seolah-olah menangis di waktu tengah hari rembang.

Suara gagak rancak berbunyi. Kokok ayam janyan bertalu-talu dan ketuk ayam betina bagaikan gendang perang. Saya jadi seram dan berdebar.

Sumpah saya tidak tahu, apakah Pak Imam dan datuk mengalami perkara ganjil seperti apa yang saya alami? Pada mata kasarnya, saya lihat Haji Taslim Singasari seperti orang keresahan.

"Ganjil!"

Terkeluar ungkapan dari bibir Pak Imam.

"Apa yang ganjil tu?" pintas datuk.

"Cuba dengar baik-baik, kawan," mata Pak Imam merauti seluruh wajah Haji Taslim Singasari. Akhirnya sepasang biji mata Pak Imam tumpah ke paras saya dan datuk.

"Saya dah dapat dengar dengan jelas. Bunyi reriang rimba bukan main galaknya," sahut datuk.

"Saya juga mendengarnya, binatang-binatang tu menegur syaitan yang keluar dari rumah ni menuju ke arah hutan di Gunung Jerai, di Kedah," Haji Taslim Singasari bersuara.

Saya menelan air liur, rasa takut masih menguasai tangkai dan jantung hati saya. Datuk memberanikan diri lalu membuka kain penutup mayat Suhaimi Keraba. Datuk tatap wajahnya yang hitam sambil membaca sesuatu.

Kerana Pak Imam dan Haji Taslim Singasari bergerak ke ruang tengah, saya segera mengekori jejak mereka. Tinggallah datuk seorang diri di bilik kecil.

Kami (saya, Pak Imam dan Haji Taslim Singasari) duduk bersimpuh di anjung. Lolongan anjing, jeritan gagak, kokok dan ketuk ayam beransur kurang. Ada ketenangan tergambar di wajah Haji Taslim Singasari. Saya merasa selesa disentuh angin dari bibir sawah. Datuk masih berada dalam bilik, entah apa yang dibuatnya, saya tidak tahu.

"Apa yang Pak Imam tengok tu..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan kata-katanya. Dia tunduk merenung lantai sambil memperkemaskan silanya.

"Perkara semacam itu, sudah jadi perkara biasa pada saya, masa dia mula-mula terbaring dulu, macam-macam binatang ganggu saya," sambung Haji Taslim Singasari. Cukup tenang dia mengungkap pengalaman yang dilaluinya.

Dari jendela yang terdedah, saya melihat ke arah langit. Di mana-mana kelihatan awan putih bersih bergerak lemah mengikut hembusan angin. Cuaca amat baik sekali. Tidak ada tanda-tanda mahu hujan atau ribut petir akan berlaku.

"Awak kesiankan dia, Haji?" tanya Pak Imam.

"Ya." Haji Taslim anggukkan kepala.

"Itulah sebabnya, awak kena bahananya," Pak Imam telan air liur.

"Dia sahabat saya, kami berkawan bukan setahun dua, saya simpati dan kesiankan dirinya, saya nak bawa dia ke jalan yang benar. Tapi, sudah terlambat," Haji Taslim Singasari mempamirkan kedukaan dan kehampaan di wajahnya. Dia menarik nafas dalam-dalam yang diakhiri dengan sebuah keluhan.

Kata Haji Taslim Singasari, dia bertemu dengan Suhaimi Keraba di Pulau Kampoi. Kemudian mereka pergi ke Pulau Niar yang terletak di hujung Pulau Sumatera. Mereka menuntut ilmu dunia. Kerana merasakan ilmu yang diperolehi masih kurang, mereka terus mengembara ke pelosok Pulau Jawa. Berguru dan mencari ilmu dunia. Masa di Pulau Jawa mereka sering berulang alik ke Bali.

Dengan takdir Allah, mereka bertemu dengan seorang tua yang mereka panggil sebagai 'Kiai Sabdo' ditempat yang bernama Singasari. (Haji Taslim yang tertarik dengan nama tempat tersebut mengabadikan pada hujung namanya) Kiai Sabdo menasihati mereka supaya jangan meneruskan kegiatan yang tidak bermanfaat itu. Nasihat Kiai Sabdo segera dipatuhi oleh Haji Taslim (yang ketika itu belum bergelar Haji). Tetapi, Suhaimi Keraba tidak memperendahkan nasihat tersebut.

Haji Taslim Singasari terus menuntut ilmu akhirat dari Kiai Sabdo dan Suhaimi Keraba dengan kegiatan ilmu kebatinannya. Dia memperolehi sebuah kitab dari seorang gurunya yang namanya tidak pernah diceritakan pada Haji Taslim Singasari.


USIR


Kerana kitab itu jugalah Kiai Sabdo mengusir Suhaimi Keraba keluar dari rumahnya. Suhaimi Keraba terus pergi ke Wilayah Balidono, Putworejo, Jawa Timur bersemadi di sebuah gunung.

Dan Suhaimi Keraba telah memelihara persahabatannya dengan Haji Taslimi Singasari. Tanpa pengetahuan Kiai Sabdo. Dia mengujungi tempat pertapaan Suhaimi Keraba.

Atas nasihat Kiai Sabdo, Haji Taslim Singasari meninggalkan Tanah Jawa pulang ke Semenanjung Tanah Melayu. Buat beberapa lama dia menetap di kampung halamannya di Tanah Kebun, Parit Buntar. Kemudian dia pergi ke Perlis dan akhirnya bermastautin di Pattani, Selatan Siam mendalami ilmu akhirat.

Setelah mendapat berita yang Suhaimi Keraba berada di Balik Pulau, Haji Taslim Singasari pun berhijrah ke tempat tersebut lalu membeli sekeping tanah sawah.

Persahabatan yang terputus disambung kembali. Suhaimi Keraba sering mengujunginya.

"Cita-cita saya mahu memberi kesedaran. Biar dia balik ke pangkal jalan. Tapi, dia cukup liat. Kadang-kadang saya diduganya dengan pelbagai cara. Ilmu hitamnya cukup tinggi," cetus Haji Taslim Singasari.

"Sudahlah, dia sudah memilih cara tu, Haji. Apalah yang boleh kita buat," Pak Imam meraba pangkal lehernya.

"Sebagai sahabat, saya tetap berdoa setiap kali solat, minta Allah ampunkan dosanya dan rohnya ditempatkan di tempat yang baik-baik," demikian erti setiakawan buat Haji Taslim Singasari.

"Seram saya."

Kami segera menoleh ke arah datuk yang keluar dari bilik secara mengejut. Mukanya dibasahi peluh bersama bayangan kecemasan.

"Kenapa?" soal Haji Taslim Singasari.

"Mayatnya bangun mahu menerkam ke arah saya, binatang-binatang bisa berkeliaran atas mayatnya," jelas datuk lalu duduk di sisi pak Imam.

"Dengan nama Allah dapat saya atasi dengan sebaik-baiknya," sambung datuk lagi. Dia mengesat peluh di dahi dengan belakang tangan.

"Tunjangnya cukup hebat," celah Pak Imam. Saya lihat Haji Taslim anggukkan kepala. Kesedihan atas kematian sahabat rapat yang tidak sejalan itu meninggalkan kesan hiba yang amat sangat terhadap dirinya.


Pak Imam, datuk dan Haji Taslim Singasari mengadakan perbincangan kecil dan singkat. Hasilnya, Pak Imam diserahkan tugas pergi ke masjid memberitahu orang ramai tentang kematian Suhaimi Keraba. Urusan mandi mayat dan kafan terletak atas bahu datuk dan Haji Taslim Singasari. Saya cuma jadi pembantu mereka saja.

Sebaik saja selesai sembahyang Zohor, sembahyang jenazah dilakukan di masjid kampung tersebut. Mungkin kerana nama Suhaimi Keraba dianggap nama yang tidak membawa keuntungan pada penduduk setempat, menyebabkan orang yang datang menziarah dan menyembahyangkan jenazahnya tidak seberapa.

Apa yang membanggakan saya ialah sikap Haji Taslim Singasari, selepas pengkebumian sahabat karibnya, Suhaimi Keraba. Dia seperti menyembunyikan keburukan dan kejahatan sahabatnya dari orang ramai.

Dia mengelakkan diri, bila ada orang kampung bertanyakan kegiatan buruk Suhaimi Keraba semasa hayatnya. Tetapi, dia tidak pula keberatan untuk menceritakan tentang kebaikan sahabatnya walaupun kebaikan yang ada amat kecil jika dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukan.

"Kenapa ditanyakan tentang kejahatan orang yang sudah tiada, bukankah perbuatan itu dilarang oleh agama kita," tutur Haji Taslim Singasari pada seorang anak muda yang menahannya, sebaik saja keluar dari tanah perkuburan.

"Sebabnya mudah saja, dia selalu mengganggu orang kampung dengan ilmu jahatnya," jawab pemuda itu.

"Hai orang muda. Dia sudah tak ada dan tak ada gunanya awak marah atau menaruh dendam, memaki hamunnya. Perbuatan macam tu, tambahkan dosa kita, sedangkan dia sudah pun mengadap Allah," Haji Taslim Singasari menetap wajah pemuda yang berambut panjang. Ternyata pemuda yang masih menaruh dendam itu, tidak dapat menerima nasihat Haji Taslim Singasari.

"Awak jadi pelindungnya, awak jadi taukenya," satu tuduhan yang pedih dilemparkan oleh pemuda kepada Haji Taslim Singasari.

"Apa salahnya awak melupakan perbuatan kawan saya itu, sedekahkan Fatihah dan Qulwallah pada rohnya dan minta ampunkan dosanya. Awak dapat pahala dan secara tak
langsung awak dapat melatihkan diri awak untuk menjadi seorang Islam yang baik dan berniat ikhlas," Haji Taslim Singasari terus mengajak saya dan datuk beredar dari situ.


PANAS


Rupanya, pemuda yang panas baran itu tidak puas hati dengan sikap Haji Taslim Singasari. Dia menghalang kami meneruskan perjalanan dengan merentangkan sebatang kayu di depan kami.

"Hei! Ketua ilmu sesat, ketua ajaran salah, jangan cuba pertahankan orang kamu," pemuda panas baran terus menuding jari telunjuknya ke muka Haji Taslim Singasari.

Datuk nampaknya kurang senang dengan sikap pemuda yang biadap itu. Tetapi dia tidak mahu bertindak. Maklumlah tempat orang, tidak ada gunanya jadi ayam sabung.

"Bangsat, datang ke hujung kampung orang nak jadi kepala iblis," sambung pemuda itu lagi. Haji Taslim Singasari tunduk senyum sambil memberi isyarat pada datuk dan saya supaya meneruskan perjalanan tanpa melangkah kayu penghalang di depan.

"Heiii...," sergah pemuda itu ke arah saya dan datuk. Dan dalam masa yang sama, Pak Imam keluar dari kawasan tanah perkuburan lalu meluuru ke arah pemuda panas baran.

"Kamu balik, jangan nak sedap-sedap saja tuduh orang amal ilmu sesat, ilmu salah. Selidiki dulu sebelum bercakap," Pak Imam paut bahu kanan pemuda panas baran dengan tangan kirinya.

"Kenapa Pak Imam masuk campur, Pak Imam dah ikut dia?"

"Itu soal aku, kamu mesti tahu, aku imam, aku tahu apa yang aku buat. Jadilah pemuda Islam yang berhemah tinggi, menyiasat dan mengkaji sebelum buat tuduhan. Pergi balik, dengar cakap aku," herdik Pak Imam, tanpa berkata sepatah apa pun, pemuda panas baran terus meninggalkan kami.

Kami pulang ke rumah Haji Taslim Singasari. Di rumah itu juga Pak Imam membuka rahsia diri dia yang sudah lama mengenali Haji Taslim Singasari. Bila waktu terluang mereka saling bertukar-tukar fikiran dan pendapat. Tetapi Pak Imam mengakui yang dia tidak tahu hubungan Haji Taslim Singasari dengan Suhaimi Keraba begitu akrab.

Haji Taslim Singasari mengakui yang dia merahsiakan hubungannya itu daripada pengetahuan Pak Imam. Sebabnya, dia mahu berusaha dahulu untuk membawa Suhaimi Keraba ke jalan yang benar. Bila gagal, barulah dia memerlukan pertolongan dari Pak Imam dan orang lain.

"Sayangnya, cita-cita saya tak sampai. Dia pergi dulu tinggalkan saya. Kalau ikut umur, dia lebih muda dari saya. Pada hukum adatnya, saya yang mati dulu. Tetapi kuasa Allah siapalah tahu," antara jelas dengan tidak, Haji Taslim Singasari menuturkan kata. Kehibaan masih terpancar di wajahnya.

"Allah sayangkan dia," meletup suara dari datuk. Apa alasan datuk, orang jahat disayangi oleh Allah? timbul pertanyaan dalam rongga dada saya.

"Bila dia dipanggil Allah, ertinya segala kegiatan jahatnya terhenti di situ saja. Itu tanda Allah sayangkan dia. Kalau umurnya panjang penuh dengan kejahatan, tentulah hidupnya tidak bermakna," sambung datuk lagi. Saya dapat menerima alasan itu.

Saya lihat jam tua yang tersangkut di dinding sudah pukul empat lebih. Sinar matahari kian redup tetapi, angin dari sawah menghantarkan kesegaran ke tubuh kami.

"Saya juga bercadang mahu mengajak si mati kembali ke pangkal jalan, saya pernah bertentang mata dengannya, pernah berdebat. Kita perlu sabar dan tabah untuk menyedarkannya. Ah! semuanya sudah berlalu," secara mengejut Pak Imam bersuara. Datuk anggukkan kepala, begitu juga dengan Haji Taslim Singasari.

Kerana jemu melihat lantai, dinding rumah serta jam tua, saya alihkan pandangan ke luar. Dedaun kelapa di pinggir kampung melintuk liuk disentuh bayu petang. Beburung liar terbang rendah lalu hinggap di reranting pokok yang memagari bibir Kampung Tenang. Awan juga berarak lembut ke arah pekan Balik Pulau.

"Si mati jadi marah dan meradang dengan kedatangan seseorang ke kawasan Balik Pulau. Menurut si mati orang itu menghalang kegiatannya dengan kasar, tidak mahu berunding," Haji Taslim Singasari bersuara. Pak Imam renung ke arah datuk. Saya segera membuat ramalan. Orang yang dimaksudkan oleh si mati itu tidak lain dan tidak bukan adalah datuk saya.

"Apa kata si mati terhadap orang itu?" saya bertanya, datuk segera mencubit paha saya. Aduh! sakitnya bukan kepalang. Tetapi saya tetap bersikap tenang, seolah-olah tidak ada apa yang terjadi.


BATUK


Melihat sikap saya yang bersahaja itu, datuk tidak puas hati. Dia berpura-pura batuk, sebagai tanda ingatan agar saya jangan megemukakan sebarang pertanyaan lagi.

"Orang yang datang ni, bukan calang-calang orang. Ada ilmu dunia dan akhirat. Sebelum dia tunduk pada orang yang datang itu, dia mahu mengujinya terlebih dahulu. Tapi...," Haji Taslim Singasari terbatuk. Setelah selesai batuk, dia tidak mahu meneruskan kata-kata.

Sikapnya itu, membuat kami bertiga resah. Saya terus menganggap Haji Taslim Singasari mahu menyembunyikan sesuatu dari kami. Dalam erti kata lain, masih meragui kejujuran kami.

"Kenapa tak teruskan cerita," desak Pak Imam.

"Dia kesalkan awak," biji mata Haji Taslim Singasari menampar wajah Pak Imam yang nampak terkejut.

"Kesalkan saya? Kenapa?"

"Sebabnya, awak menolong orang yang datang tu. Dia menghormati awak," lanjut Haji Taslim Singasari.

Datuk nampak resah. Dia sedar dirinya turut dikaitkan dalam masalah ini. Sesungguhnya kedatangan datuk ke Balik Pulau bukan untuk mencari musuh. Dia sekadar mahu menunaikan permintaan Mat Prai. Hidup bagi datuk ialah mencari sahabat sebanyak yang boleh. Musuh jangan dicari, walaupun seorang.

"Agaknya, sayalah orang yang dimaksudkan oleh si mati," datuk tegakkan leher. Pak Imam renung ke arah saya dan Haji Taslim Singasari pula renung Pak Imam. Keadaan bertambah gawat, semoga tidak ada tercetus sebarang pergaduhan di sini. Doa saya dalam hati.

"Memang awaklah," sahut Pak Imam.

"Awak dendam dengannya lagi," Haji Taslim Singasari renuung muka datuk. Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala.

"Saya tahu niat awak macam saya juga, nak membetulkan kesilapannya, bukan begitu?" tokok Haji Taslim Singasari lagi. Macam tadi datuk anggukkan kepala.

Tiba-tiba kami diganggu oleh suara batuk dan bunyi orang berjalan di bilik si mati. Kami berpandangan sama sendiri. Bunyi telapak kaki orang yang melangkah itu semakin lama semakin dekat. Tanpa disangka-sangka pintu bilik yang bercantum itu ditolak dengan kasar. Semua biji mata tertumpu ke arah pintu bilik.

"Ahhh..."

Serentak kami bersuara dengan rasa terkejut yang amat sangat. Punggung saya terasa tidak bertemu lantai. Empat wajah manusia dipeluk kecemasan melihat Suhaimi Keraba yang sudah dikuburkan berdiri di ambang pintu bilik.

Bentuk tubuhnya kelihatan cukup elok dan sempurna. Mukanya tidak pula hitam, tetapi sepasang anak matanya tidak bercahaya, tersembul macam batu cincin. Walaupun demikian, pandangannya tetap menyorot ke arah datuk.

"Huuuuhhhh."

Lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba telah bersuara. Tangan kanannya menghentak sebelah pintu bilik hingga tercabut. Kami bertambah cemas. Lembaga itu terus melangkah ke arah datuk.

"Kembarnya," pekik Haji Taslim Singasari.

"Kami menyebutnya Tunjing, benda ni mesti dimusnahkan. Benda ni jadi jahat dan mula mengganas bila tuannya dah tak ada," sahut Pak Imam sambil bangun dan melangkah ke arah tangga.

"Semuanya ni syaitan, iblis," datuk terus meluru ke arah Pak Imam yang berada di kepala tangga. Dua kaki saya bagaikan ditarik oleh kuasa ghaib bergerak menuju ke arah datuk. Ketika itu juga terdengar raungan gajah, ngauman harimau dan jerit monyet. Semuanya datang dari arah bilik si mati.

Lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba terus melangkah dalam keadaan yang keras. Seluruh daging tubuhnya nampak berulas. Urat-urat hijau bagaikan mahu menolak kulit tubuhnya. Apa yang manghalangnya habis dirempuh atau ditendang. Haji Taslim Singasari tidak bergerak dari tempat asal. Dia bangun dan berdiri di situ. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada saat itu juga, saya lihat lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba bertukar rupa. Tubuhnya berbulu hitam dan bahagian kepalanya bertukar menjadi kepala beruang.

"Suhaimi."

Pekik Haji Taslim Singasari. Lembaga itu berhenti melangkah dan bertukar kembali menyerupai diri Suhaimi Keraba yang sebenar.

Pak Imam dan datuk terus berbisik sesuatu. Apakah perkara yang mereka bisikkan saya sendiri pun tidak tahu.

"Jaga dan hati-hati, Haji," Pak Imam bersuara.

"Dengan izin Allah saya boleh mengatasinya," sahut Haji Taslim Singasari sambil membetulkan kedudukan kaki kanannya. Lembaga itu terus merewangkan tangannya ke kiri dan ke kanan.

"Aduh!"

Serentak dengan itu Haji Taslim Singasari tersungkur ditolak oleh lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba. Lembaga itu menerkam ke arah datuk. Haji Taslim Singasari berjaya bangun dan menerkam ke arah datuk.

"Suhaimi Keraba."

Mendengar namanya disebut lembaga itu terhenti dari menyerang datuk. Dia memusingkan kepalanya perlahan-lahan ke arah orang yang memanggilnya.

"Kita harus ke tanah, saya tahu pantang larangnya," perintah Haji Taslim Singasari.

Kami segera terjun ke halaman rumah. Dan lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba terus ghaib entah ke mana. Haji Taslim Singasari memerintahkan kami bertiga mendekatinya. Perintahnya segera kami patuhi.

"Biar saya hadapi cara ilmu dunia, kalau saya gagal saya minta tolong pada awak berdua," kata Haji Taslim Singasari pada datuk dan Pak Imam. Nampaknya datuk akur dengan permintaan Haji Taslim Singasari.

Bila saja Haji Taslim Singasari memusingkan badannya ke kiri, lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba muncul didepannya dengan kedua belah tangannya menghala ke batang leher Haji Taslim Singasari.

"Kau marah aku," tutur Haji Taslim Singasari ke arah lembaga tersebut. Dengan serta merta lembaga itu anggukkan kepala dan haji Taslim Singasari tumbang atas tanah. Lembaga itu bersedia untuk memijaknya. Haji Taslim Singasari mengepal tanah. Tetapi, tidak berjaya. Tanah ditelapak tangannya bertaburan.

"Bantu saya," rayu Haji Taslim Singasari.

Pak Imam menerpa ke arah lembaga itu. Mereka berdepan. Saya lihat Pak Imam membaca sesuatu, pasti dia membaca ayat-ayat pilihan dari Al-Quran untuk menentang iblis.

Ternyata lembaga itu tidak mudah ditundukkan tetapi, Pak Imam terus berjuang dengan sedaya upaya. Akhirnya lembaga itu menjerit sekuat hati bersama dentuman petir yang amat kuat. 

116. Budak Ganjil Tanpa Pakaian

Dentuman petir membuat telinga saya seperti pekak. Tanah yang dipijak seperti bergegar.Saya pun rebah ke dada bumi. Antara sedar dan tidak, terasa tubuh diangkat serta diusung oleh datuk dan Haji Taslim Singasari ke perdu macang (bacang). Saya disandarkan di situ, datuk segera memulihkan semangat saya yang hilang.

Bila terasa diri semakin pulih, saya celikkan mata. Apa yang saya lihat sungguh mengejutkan. Lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba terbakar hangus dipanah petir. Hancur menjadi debu lalu diterbangkan oleh angin ke mana-mana.

Penduduk kampung berdekatan menjadi gempar. Mereka merasa sungguh takjub kerana dalam cuaca petang yang terang, boleh terjadi ledakan petir yang sungguh hebat.

“Kita sudah melihat kekuasaan Allah, sesungguhnya Allah berhak melakukan sesuatu yang tidak terjangkau oleh akal fikiran kita,” Pak imam yang tadi membisu mula bersuara. Matanya menatap wajah datuk dan Haji Taslim Singasari.

“Itu pilihan sahabat saya, Pak Imam.” Nada suara Haji Taslim Singasari mengundang kehampaan.

“Itu takdir dirinya,” celah datuk.

“Apa boleh buat Haji, saya harap perkara yang terjadi di depan mata kita ni, jangan dihebohkan dengan sesiapa. Nanti boleh timbul macam-macam cerita pula,” Pak Imam menatap permukaan bumi sambil menarik nafas panjang.

Pak Imam angkat kepala lalu memandang ke arah kami dengan senyuman penuh keyakinan. Dia percaya yang kami akan mematuhi permintaannya. Pak Imam melangkah ke kaki tangga untuk naik ke rumah. Perbuatannya itu segera dituruti oleh saya, Haji Taslim Singasari dan datuk.

Bila berada dalam rumah, bilik si mati segera kami serbu. Saya jadi bingung. Semua barang miliknya menjadi abu, bersepah-sepah seluruh bilik. Malah ada yang melekat pada dinding akibat ditolak angin.

“Jangan disentuh,” Haji Taslim Singasari mengingatkan kami. Kami terus membuka tingkap. Dua keping papan dinding yang menghala ke arah sawah dikopaknya dengan jari telunjuk.

“Kenapa rosakkan dinding rumah?” Tanya datuk.

“Biar angin masuk dan terbangkan debu-debu yang ada dalam rumah ni. Debu-debu ini tak boleh disentuh, kalau kena tubuh kita, kulit boleh terbakar dan daging badan jadi busuk,” jelas Haji Taslim Singasari.

Saya segera meninggalkan bilik si mati. Beberapa minit kemudian Pak Imam, Haji Taslim Singasari dan datuk turut keluar dari bilik si mati. Kerana waktu Asar hampir tiba, kami terus ke masjid untuk menunaikan solat. Atas persetujuan para jemaah yang ada, maka Haji Taslim Singasari pun disuruh menjadi imam.

Selesai sembahyang dan berdoa, para jemaah mula bercerita tentang bunyi petir yang mereka dengar. Ada bermacam-macam andaiannya dan ramalan yang mereka buat. Kebanyakkannya, dihubungkaitkan dengan kematian Suhaimi Keraba.

Ada yang mendakwa, sebelum petir meledak mereka melihat Suhaimi Keraba menari-nari di jalan raya. Ada pula yang melihat Suhaimi Keraba minum kopi dan makan laksa di warung Simpang Empat.

Cerita-cerita yang sampai ke telinga membuat saya tersenyum panjang. Betapa mudahnya, orang mengadakan cerita yang bukan-bukan, mereka pandai menggunakan kesempatan dari kematian Suhaimi Keraba yang semasa hidupnya tidak melakukan kebaikan.

Beberapa orang jemaah yang berani terus mendekati Haji Taslim Singasari dan Pak Imam. Mereka terus mengajukan pelbagai pertanyaan tanpa mempedulikan kehadiran kami. Mungkin kerana kami orang luar.

“Minta maaf, kami tak tahu pula bunyi petir itu ada hubungan dengan si mati,” itu jawapan Pak Imam pada pertanyaan mereka. Ternyata jawapan itu tidak memuaskan hal orang yang bertanya.

“Mustahil awak tak tahu?” Tanya lelaki berkulit hitam manis dengan misai lebatnya menutupi bibir atas. Pertanyaan ditujukan khas untuk Haji Taslim Singasari mencari jawapannya di samping berusaha menjauhkan diri dari lelaki berkulit hitam yang usianya sekitar lima puluhan.

“Petir berbunyi waktu cuaca terang benderang, perkara biasa,” sahut Pak Imam. Ternyata lelaki berkulit hitam tidak puas hati kerana jawapan itu bukannya datang dari Haji Taslim Singasari.

Matahari petang yang memancar membuat dahi saya dan datuk berpeluh. Pak Imam merenung ke arah kolah masjid.

“Bagi saya, itu bukan perkara biasa,” lelaki berkulit hitam manis bersuara. Dia menatap wajah Pak Imam dan Haji Taslim Singasari.

“Kenapa awak kata macam tu?” Datuk ajukan pertanyaan pada lelaki berkulit hitam manis. Dia tidak berminat mahu bercakap dengan datuk. Mungkin kerana datuk orang luar. Datuk dan Pak Imam berpandangan. Akhirnya mereka tersenyum .

“Bagi saya,” ulang lelaki berkulit hitam, “perkara itu ada kaitannya dengan sahabat Pak Haji yang mati. Dia tu manusia jahat, isi neraka,” begitu senang lelaki berkulit hitam manis bercakap.

“Mulut awak celupar. Tak baik menuduh begitu. Saya tak suka cara awak, kita tak boleh menentukan seseorang itu isi neraka atau syurga kerana ia adalah kuasa Allah,” nada suara Haji Taslim Singasari mula meninggi. Mukanya nampak merah.

“Maafkan saya, Pak Haji.”

“Awak tahu, Allah boleh melakukan sesuatu apa yang diingini-Nya, apa lagi petir waktu hari bercuaca panas,” Haji Taslim Singasari berhenti bercakap. Dia menarik nafas dengan perlahan-lahan. Matanya menoleh ke arah saya dan datuk.

“Kenapa dalam setiap kejadian kita tidak mahu memikirkan tentang kebesaran Allah? Kenapa mesti dikaitkan dengan manusia yang kita cap atau kita kira sebagai manusia jahat. Ini ertinya kita bercakap dan berfikir menurut perasaan bukannya menggunakan otak,” lanjut Haji Taslim. Dia tentang biji mata lelaki berkulit hitam manis. Bahu lelaki itu ditepuk dengan mesra.

“Ini kesilapan saya, suka mendengar cakap-cakap orang,” terpamer kekesalan di wajah si hitam manis.

“Lain kali, jangan cepat sangat percaya dengan cakap-cakap orang, selidik dulu sebelum membuat tuduhan, barulah hidup selamat,” Pak Imam mengurui si hitam manis.

“Maafkan saya.”

“Sudahlah, lain kali berhati-hati. Kami tak ada apa-apa dengan awak,” tutur Pak Imam mengakhiri kata dengan senyum. Si hitam manis tergesa-gesa meninggalkan kami.

Sebenarnya kami bertiga (Pak Imam, datuk dan saya) tidak perlu pergi ke rumah Haji Taslim Singasari. Pak Imam boleh pulang terus ke rumahnya. Sementara saya dan datuk boleh balik ke rumah Mat Prai. Oleh kerana basikal kami masih berada di rumah Haji Taslim Singasari perkara tersebut tidak dapat dilakukan. Terpaksa pergi ke rumahnya dulu.

Bila sampai di rumah, Haji Taslim Singasari menahan kami agar minum petang. Dia sendiri yang membuat air kopi dan menggoreng pisang nangka. Minum petang sambil berborak memang menyeronokkan, ketika sedang berborak tanpa disengajakan Haji Taslim Singasari telah menceritakan serba sedikit kebolehan yang ada pada dirinya. Rupanya, perkara yang tidak disengajakan itu telah berbekas dalam diri datuk. Timbul minat dalam hatinya untuk mengetahui beberapa perkara tertentu dari Haji Taslim Singasari.

Bagaimanakah datuk mahu menyatakan hasrat hatinya itu? Dan amat mengejutkan saya, bila datuk mahu menerima pelawaan dari Haji Taslim Singasari agar bermalam di rumahnya untuk sama-sama membaca Yasin.

“Macam mana dengan basikal yang saya pinjam, saya tak boleh bawa dua basikal sekali,” Pak Imam meyatakan keresahannya sambil meletakkan cawan di tangan ke dada piring.

“Ya juga!” Datuk terkejut dan menyedari yang perbuatannya itu menyusahkan orang lain.

“Itu mudah saja, suruh cucu awak bawa basikal saya, awak naik basikal yang dipinjam. Bila datang ke sini semula, awak naiklah basikal saya bersama cucu awak,” Haji Taslim Singasari menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Bijak juga awak cari jalan selesai,” Pak Imam terus menatap wajah Haji Taslim Singasari .

“Kalau tak ada apa-apa hal, lepas sembahyang Isyak saya datang ke sini. Saya juga nak baca Yasin,” sambung Pak Imam bersama senyum.

“Kalau awak datang saya gembira, kalau tak datang saya tak marah,” tingkah Haji Taslim Singasari lalu disambut dengan ketawa. Haji Taslim Singasari mengumpulkan cawan dan piring kosong lalu dibawa ke ruang dapur.

Kami turun dari rumah. Haji Taslim Singasari keluarkan basikal tua dari bawah rumah. Diserahkan pada saya. Basikal tua itu masih berhabuk tetapi, brek dan tayar masih elok.

“Saya jarang menggunakannya,” tutur Haji Taslim Singasari sambil menepuk tempat duduk basikal dua tiga kali.

“Jangan bawa laju-laju,” datuk mengingatkan saya.

“Kalau bawa laju nanti tercabut tayar,” Pak Imam berjenaka. Saya tersenyum panjang.

Kami keluar dari kawasan rumah Haji Taslim Singasari. Pak Imam berada di depan, datuk di tengah dan saya berada di tempat terakhir, semuanya membongkok kayuh basikal.
Matahari petang yang kian condong mencipta bebayang diri kami memanjang di dada jalan. Angin yang bertiup memberikan keseronokan dan kesegaran pada diri saya. Sambil kayuh basikal saya bersuil-siul kecil membawakan lagu Terkenang Semasa Dulu.

Lagu tersebut cukup popular ketika itu. Kecil besar tua muda kenal dengan suara penyanyi R. Azmi yang setiap hari berkumandang di radio Malaysia (ketika itu disebut Radio Malaya). Akhirnya kami sampai di rumah Pak Imam. Tidak dapat saya gambarkan kegembiraan yang melonjak dalam dada, bila Pak Imam menyuruh saya menghantar basikal yang dipinjam ke rumah adiknya.

Inilah peluang terbaik bagi saya untuk melihat wajah Masitah, si putih kuning penggoda jiwa. Doa saya, semoga emak dan ayah Masitah tak ada di rumah. Kali ini, saya mahu bercakap panjang dengannya. Mahu Tanya kegemarannya. Lagu apa yang diminatinya, pandaikah dia membaca Quran dan berkasidah? Bolehkah dia masak gulai tempoyak, yang jadi kegemaran saya dengan nenek. Kalau boleh dialah bakal isteri saya. Engkau cantik, engkau menawan Masitah.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikum salam,” terdengar suara halus nyaring. Engkaukah itu Masitah? Saya tersengih sendirian dengan sepasang biji mata tertumpu ke arah pintu yang terdedah.

“Siapa tu?” Orang di dalam bersuara lunak.

“Saya Tamar, nak pulangkan basikal yang saya pin..," saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Jantung saya berdebar.

Oh! Tuhan apakah saya bermimpi? Dua tiga kali saya mengucap panjang. Benarkah yang berdiri di muka pintu itu Masitah? Bisik batin saya. Sudah jelas yang berkemban di muka pintu adalah Masitah.

Mata jantan saya tertumpu ke arah bahagian dada yang tidak bertutup. Kulitnya putih melepak dan lembut. Basikal yang dipegang terlepas dari tangan. Jatuh terdampar atas bumi. Masitah yang berdiri di muka pintu menghilangkan diri. Basikal yang rebah saya tegakkan lalu disandarkan pada tiang seri di bawah rumah.

“Basikal bawah rumah, saya nak balik,” kata saya sambil keluar dari bawah rumah. Hati kecil saya tetap kesal kerana Masitah cukup cepat menghilangkan diri. Waktu saya mahu melintas di depan tangga, saya lihat Masitah berdiri di situ. Dia tidak berkemban lagi. Pakaiannya cukup kemas dengan baju kurung berkain batik. Dia tidak memakai kain kelubung. Rambutnya disikat rapi.

“Nama awak, Masitah!” Saya memberanikan diri sambil berjenaka. Tiada jawapan yang saya terima dari Masitah kecuali sebuah jelingan tajam penuh makna dan mendebarkan.

“Basikal yang dipinjam tadi, ada di bawah rumah,” saya menambah. Masitah tiada juga bersuara, tetapi ada senyum di kelopak bibirnya. Saya tidak mahu senyumnya. Saya mahu mendengar suaranya.

“Sampaikan salam saya pada emak dan ayah awak,” kata saya tanpa melihat ke arahnya. Saya terus melangkah dengan wajah yang serius.


MENGENA

Ternyata, tektik yang saya lakukan itu mengena. Saya kira, kalau saya jual murah, Masitah jual mahal. Bila saya jual mahal, Masitah jadi serba salah lalu menegur saya. Ini sebuah pengalaman yang amat berharga.

“Macam merajuk aje nampaknya, pagi tadi bukan main berani,” Masitah mengusik dan menyindir. Bagaikan ada kuasa tertentu, langkah saya terhenti dan wajah saya bagaikan diarahkan kuasa ghaib memandang ke arah wajah Masitah. Kami tersenyum.

“Pergi ke mana bawa basikal ayah saya?”

“Ke Kampung Terang.”

“Ada apa di sana?”

Saya rasa agak sukar mahu menjawab pertanyaan dari Masitah. Kalau saya katakan yang benar, mungkin dia tidak percaya dan menuduh saya berbohong.

“Saya tak boleh cakap, kalau nak tahu tanyalah ayah saudara awak,” kata saya.

“Kenapa tak boleh cakap?”

“Itu rahsia.”

“Alahaiii menyampah,” Masitah juihkan bibir bawah ke depan bersama kerdipan dan jelingan. Tidak memadai dengan itu, dia tunjukkan penumbuk ke arah saya. Sungguh melucukan tetapi amat menghiburkan diri saya.

“Tamarrr.”

Suara datuk meninggi dan memanjang dalam nada marah. Kegembiraan yang melonjak dalam dada terus hilang. Saya terus berlari dengan sekuat hati menuju ke rumah Pak Imam.
Sebelum sampai ke rumah Pak Imam dua kali saya terjatuh tersepakkan akar. Rasa sakit sudah tak terasa lagi, akibat dikuasai rasa takut pada datuk.

“Heiii, kamu ni.” Datuk beliakkan mata, saya tidak angkat muka. Cuma renung permukaan bumi saja. Rasa gementar terus bersarang di dada. Saya berdoa agar kemarahan datuk berakhir di situ saja.

“Apa yang kamu buat di situ? Hantar basikal sampai berjam-jam. Apa yang kamu cari di rumah orang, ha?” Sambung datuk. Suaranya makin meninggi.

“Sudahlah tu,” Pak Imam memujuk.

“Kalau tak ditegur inilah jadinya,” ada perubahan pada tekanan suara datuk. Nadanya merendah. Dada saya terasa lapang bia dia berbalas senyum dengan Pak Imam.

“Saya pergi dulu,” datuk hulur tangan pada Pak Imam. Mereka bersalaman.

“Dengar cakap datuk kamu, jadilah cucu yang baik,” kata Pak Imam bila saya bersalaman dengannya.

“Terima kasih,” saya tatap wajah Pak Imam yang tersenyum. Segera saya sorong basikal tua ke arah jalan besar. Datuk mengekori dari belakang. Bila sampai dekat pokok kelapa condong datuk berpatah balik menemui Pak Imam.

“Awak datang malam ni ke rumah Haji?”

“Insya-Allah lepas isyak saya sampai,” itu janji Pak Imam pada datuk. Dan datuk meneruskan perjalanan tanpa mahu menoleh ke belakang lagi.

Sampai di tepi jalan raya, datuk ambil basikal dari saya. Tanpa berkata apa-apa dia terus kayuh basikal. Saya terpinga-pinga kerana datuk terus meluru ke depan tanpa menyuruh saya naik basikal.

“Tuk,” jerit saya.

Datuk tidak peduli dia terus kayuh basikal. Saya jadi cemas dia semakin jauh dari saya.

“Tuk,” jerit saya.

Datuk tidak juga menoleh ke belakang. Terus membongkok kayuh basikal. Ini tidak boleh jadi, datuk dah buat perangai gila-gilanya. Saya buka langkah dan terus memburunya. Bila langkah saya bersaing dengan basikal yang datuk kayuh, tanpa membuang masa saya terus melompat ke atas pelantar basikal. Saya tercunggap-cunggap, tetapi datuk buat endah tak endah dengan kehadiran saya tu.

“Tuk,”

“Hum, ada kamu. Aku ingatkan tadi kamu tak tahu berusaha, nak hidup,” kata-kata itu amat menyakitkan hati saya.

“Agaknya datuk terlupa nak ajak saya naik basikal.”

“Aku tak terlupa, aku sengaja tinggalkan kamu. Nak tengok kamu tu cerdik ke bodoh?”

“Hum,” saya mengeluh dalam hati. Sikap datuk itu amat mengecewakan. Saya ambil keputusan tidak mahu bercakap dengannya.

Basikal yang dikayuh oleh datuk agak laju, habis rambut saya mengerbang. Angin terasa begitu kuat memukul kulit pipi dan mata mula berair. Tenaga datuk bagaikan tenaga orang muda.

“Duduk diam-diam,” datuk mengingatkan saya, bila datuk mendapati saya bergerak ke kiri dan ke kanan atas pelantar basikal. Saya berbuat demikian kerana saya terasa cukup lenguh.

“Baik tuk,” kata saya.

Dari jalan raya datuk belok basikal ke kanan, masuk ke lorong kecil menuju ke rumah Haji Taslim Singasari. Cuaca tidak secerah tadi, matahari sudah mengisut ke kaki langit. Sebentar lagi cuaca samar akan menguasai seluruh kampung yang menandakan malam mula mengusir siang.

Cukup cekap datuk mengendalikan basikal yang dikayuhnya. Dia bijak mengelakkan tayar basikal dari melanggar tunggul dan akar kayu yang berselirat di dada lorong.

Bila tayar basikal terlanggar lopak kecil atau akar kayu secara tidak sengaja, tubuh datuk bergerak ke kiri dan ke kanan untuk mengimbangi badan dan basikal dari masuk parit. Secara tidak langsung, saya juga turut bergerak. Akibat terlalu kerap bergerak, badan saya berpeluh.

“Cepat datang.”

Sambut Haji Taslim Singasari di kaki tangga Saya terus melompat turun dari pelantar basikal. Kerana saya melompat tanpa memberitahunya, datuk tidak dapat mengawal basikal dengan baik hingga dia terbabas ke arah perdu pisang. Basikal dan datuk jatuh di situ. Haji Taslim Singasari segera menerkam ke arah datuk.

“Kamu tak mahu fikir tentang orang lain, bila mahu berbuat sesuatu. Tengok apa dah jadi,” biji mata datuk tertumpu ke wajah saya. Kali ini saya tidak merasa takut, kerana nada suara datuk tidak meninggi.

“Lain kali jangan buat macam tu lagi,” sambung datuk bersama senyum.

Entah mengapa datuk tidak naik darah kali ini. Mungkin dia segan dengan Haji Taslim Singasari. Datuk tolak basikal ke bawah rumah. Disandarkan pada tiang kayu bulat. Kemudian Haji Taslim Singasari terus memeriksa tangan kanan datuk. Pada hematnya, tangan kanan itu mesti bengkak atau luka. Semasa datuk jatuh tadi tangan kanan itu terkandas atas kayu bulat.

“Tak ada apa-apa, saya sempat mengelak. Dari jauh memang nampak yang tangan saya ni kena kayu bulat,” jelas datuk.

“Cekap juga awak.”

“Semuanya dengan izin Allah,” balas datuk.

“Mari naik,” pelawa Haji Taslim Singasari.


BEKU

Sementara menanti masuk waktu maghrib, saya duduk di anak tangga bongsu melihat ke kawasan hujung sawah. Damai melihat pepucuk pisang yang meliuk-liuk diterpa angin, begitu juga dedaun pinang dan kelapa.

Datuk dan Haji Taslim Singasari terus berborak panjang di anjung. Mereka bertukar pendapat, berbincang tentang hal-hal agama.

“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku,” tutur Haji Taslim Singasari.

“Maksud awak?” Sanggah datuk.

“Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu. Sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mahu mencarinya.” Jelas Haji Taslim Singasari.

“Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat,” tingkah datuk.

“Ya,” Haji Taslim Singasari anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat datuk.

Hari beransur gelap. Pepohon di hujung sawah sudah tidak jelas lagi. Beburung tidak lagi terbang untuk pulang ke sarang. Cahaya merah dan biru di kaki langit sudah pun menghilang . Beduk di sudut masjid pun dipalu orang lalu disusuli dengan suara azan mendayu hiba. Menyeru penduduk kampung supaya menunaikan kewajipan.

Kami pun menunaikan solat Maghrib, imamnya Haji Taslim Singasari . Kami membaca surah Yasin hingga masuk waktu Isyak. Bila solat Isyak mahu dimulakan, saya terasa lain macam saja. Macam ada sesuatu yang tidak dapat dilihat bergerak bebas dalam rumah. Bulu tengkuk saya sentiasa saja berdiri.

“Itu perasaan kamu saja, Tamar,” kata datuk bila rasa gelisah itu saya sampaikan padanya.

“Bukan perasaan, perkara tu memang ada,” Haji Taslim Singasari renung muka datuk, “pedulikan, kita sembahyang dulu,” sambung Haji Taslim lagi sambil mengarahkan saya dan datuk mengambil tempat masing-masing. Dia pun memulakan tugasnya sebagai imam.

Bila saya memberi salam yang kedua, bahu saya sepeprti dipegang oleh seseorang. Dalam keadaan yang tergamam itu, saya terasa seperti ada orang yang menjabat tangan saya. Digenggam erat sambil digoncang beberapa kali.

“Manusia ke syaitan?” Bentak batin saya.

Serentak dengan itu, genggaman yang mencangkumi telapak tangan saya terlepas. Ada hembusan nafas yang keras menyentuh kulit pipi. Bahu saya disinggung dengan kuat hingga saya terdorong ke kanan, berlaga dengan badan datuk.

“Kau mengantuk, Tamar?”

Saya segera gelengkan kepala sambil tumpukan seluruh perhatian ke arah pembacaan doa yang dilakukan oleh Haji Taslim Singasari. Sesekali saya lihat datuk berada dalam keadaan yang resah. Dia mengisut ke arah saya seperti ada orang yang menghimpitnya. Pembacaan doa pun berakhir. Saya terus bersalam dengan Haji Taslim Singasari.

“Kamu kurang senang kerana diganggu,” Haji Taslim Singasari tenung muka saya. Belum pun sempat saya menjawab, dia ubah pandangan pada datuk. Mereka bersalaman.

“Assalamualaikum.”

Biji mata kami tertumpu ke arah pintu yang tertutup rapat. Lama kami menunggu pintu yang tidak berkunci itu ditolak orang dari luar. Apa yang kami harap tidak juga terjadi.

“Pedulikan.” Kata Haji Taslim Singasari dengan tenang. “Mari kita baca surah Al-Kahfi,” sambungnya lagi.

Saya dan datuk anggukkan kepala. Haji Taslim Singasari terus bangun, ambil Quran atas rak lalu diserahkan pada saya dan datuk.

“Assalamualaikum,”

Kami bertiga terhenti untuk memulakan pembacaan. Semua biji mata tertumpu ke arah pintu. Seorang budak lelaki dalam usia lapan tahun, tanpa pakaian kecuali kain cawat yang menutupi kemaluannya. Rambutnya dicukur bersih, bahagian belakang kepalanya terdapat setompok rambut dalam bentuk jambul. Panjang rambut tersebut hingga bertemu dengan bahagian punggungnya.

Sekilas pandang memang wajahnya menyerupai kanak-kanak. Bila ditenung lama-lama ternyata wajah itu cukup dewasa dalam usia empat puluhan. Urat-urat di dahi dan di pipi kelihatan menonjol bagaikan akar rotan di permukaan bumi. Bentuk telinganya macam telinga arnab dan mengeluarkan asap nipis.

Saya gerun melihat bentuk matanya yang dalam, tidak ada kelopak, tidak ada bulu mata dan kening. Ada cahaya memancar lembut macam mata kucing waktu malam bila terkena sinaran lampu picit. Apa yang pelik dan menakjubkan dari mana dia datang? Mustahil dia masuk ikut pintu, kerana daun pintu tidak bergerak, masih tertutup rapat.

“Pedulikan,” Suara Haji Taslim Singasari meninggi.

Budak kecil di depan pintu terus ketawa dan mengilai panjang. Cukup seram dan menakutkan, bulu roma saya tegak berdiri. Dia jelirkan lidahnya yang panjang lalu menjilat-jilat tubuhnya macam kucing menjilat bulunya.

“Mari kita baca,” sambung Haji Tasim Singasari.

Kami terus mematuhi cakapnya. Dalam beberapa saat rumah di pinggir kampung itu terus bergema dengan pembacaan dari surah Al-Kahfi. Makin lantang suara kami membaca, makin kuat hilai ketawa sungguh ganjil. Dia menari-nari dan melompat di depan kami. Sesekali dia menukarkan taktik dari ketawa kepada menjerit dan akhir menangis tersedu-sedu macam budak kecil lapar susu. 

117. Ilmu Telapak Pasir Merah

Saya kira setelah selesai membaca surah Al-Kahfi, tetamu ganjil yang tidak diundang itu akan pergi. Ternyata perkiraan saya tidak tepat. Tetamu ganjil masih berada di depan pintu, cuma dia tidak ketawa mengilai atau menangis.

Kali ini dia duduk dengan membongkokkan badannya. Menyembunyikan wajahnya di celah kangkang agar tidak dapat kami lihat. Bunyi nafasnya cukup kuat.

"Biarkan dia di situ," bisik Haji Taslim Singasari pada saya dan datuk, "Masa arwah hidup, dia selalu datang tidak tentu masa," penjelasan Haji Taslim Singasari yang membuat saya dan datuk terkejut besar.

"Begitu," kata datuk.

"Biar saya uruskan semuanya," itu jaminan Haji Taslim Singasari.

Saya makin lemas dengan keadaan yang saya hadapi. Menyesal rasanya, saya ikut datuk. Kalau saya tahu begini jadinya, lebih baik saya tidur di rumah Mat Prai.

"Kita makan," Haji Taslim Singasari letakkan hidangan malam di depan saya dan datuk. Hebat juga masakkannya, ikan keli masak rempah, ada ikan gelama kering yang digoreng bersama cabai kering dan bawang besar. Ada sambal kelapa dengan ulam pegaga.

Melihat hidangan itu, saya jadi kagum. Masa bila Haji Taslim Singasari menyediakan semuanya ini? Sungguh cekap dia bekerja. Fikir saya dalam hati.

"Ya," angguk Haji Taslim Singasari sambil menaruh nasi ke dalam pinggan saya dan datuk, "Masa menanti awak datang, saya siapkan semuanya ini. Masak sendiri dah jadi perkara biasa bagi saya," Haji Taslim Singasari menyelesaikan persoalan yang berlegar-legar dalam tempurung kepala saya.

Ketika kami menjamu selera, tetamu ganjil tidak mengganggu. Tidak bergerak dari tempat duduknya. Bunyi hembusan nafasnya beransur lemah. Meskipun dia tidak mengacau tetapi, rasa cemas tetap berada di hati saya.

"Sin..."

Secepat kilat saya menoleh ke arah tetamu ganjil. Saya yakin, suara yang menyeramkan itu datangnya dari tetamu ganjil. Bunyinya macam bunyi belalang pelesit. Kerana datuk dan Haji Taslim Singasari ada disisi saya, rasa takut terus hilang.

Selesai makan, kami terus berehat di ruang tengah rumah. Saya sandarkan badan ke dinding. Ternyata datuk tidak senang, kalau masa yang terluang dibiarkan berlalu begitu saja. Setiap saat yang hadir harus diisi dengan mengingati Allah.

"Macam mana kalau kita membaca Quran, datuk meluahkan usul. Rupanya, usul itu disambut oleh Haji Taslim Singasari dengan aman.

"Memang elok tu, saya juga berfikir macam tu. Tapi, mesti sekejap lagi kita mulakan, biar nasi dalam perut hancur," Haji Taslim Singasari renung ke arah jam tua yang tersangkut di dinding.

"Baru pukul sebelas," tambah Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya. Senyum datuk berlari di kelopak bibir.

Suasana jam sebelas malam di pinggir kampung memang terasa amat sepi. Desiran angin yang menolak cucor atap rumah jelas kedengaran. Suara pungguk merayu bulan terus mendayu-dayu begitu juga dengan bunyi cengkerik dan katak.

Mungkin kerana saya makan terlalu kenyang menyebabkan saya terasa amat mengantuk sekali. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk. Pada saat itu, saya sudah terlupa dengan makhluk ganjil.

"Makan tak jemput orang pun."

Saya segera jegilkan mata. Saya pasti, itu suara dari tetamu ganjil. Saya segera merenung ke wajah datuk. Dari kedutan keningnya, saya dapat membayangkan yang datuk berada dalam keresahan.

"Usah bimbang," Haji Taslim Singasari bersuara. Matanya tertampar ke wajah saya dan datuk.

"Dia tu kembar si mati, inilah kali kedua dia datang. Kali pertama waktu arwah sakit. Dia datang merawatnya. Ini semuanya iblis," sambung Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya.

"Hal begini, tak boleh dibiarkan," cetus datuk seraya menjeling tajam ke arah tetamu ganjil. Gegendang telinga saya terdengar bunyi suara orang mengeluh dengan sayu sekali.

"Sahabat apa namanya, kalau tak boleh menolong sahabat sendiri," datang lagi kata-kata dari tetamu ganjil. Saya jadi resah tidak menentu.

Tiba-tiba pelita yang menyala terpadam seperti dihembus sesuatu. Bagaikan kilat saya terus meluru ke arah datuk. Terus duduk di hujung lututnya. Haji Taslim Singasari terus meraba-raba mencari mancis api.

"Rumah ni bergegar, macam di goncang orang," kata datuk sambil memegang pergelangan tangan kanan saya erat-erat. Dia berbuat demikian agar saya tidak terpisah dengannya. Apa yang datuk kata memang benar. Saya sendiri mengalaminya, terasa punggung saya seperti bergerak sendiri atas papan lantai.

"Jangan disentuh barang yang jatuh, walaupun ada di hujung tangan kamu," Haji Taslim Singasari mengingatkan. Dia menyalakan mancis lalu membakar sumbu pelita.

"Alhamdulillah," datuk bersuara setelah cahaya pelita menerangi ruang. Haji Taslim Singasari membuka baju Melayu potongan teluk belanga lalu disangkut ke dinding.

Baju singlet yang masih lekat di tubuhnya kelihatan berwarna agak kekuningan. Beberapa bahagian ada yang koyak sebesar telapak tangan orang dewasa. Tanpa berkata apa-apa Haji Taslim Singasari terus menuju ke dapur.


KEMBALI


Dia kembali mendekati saya dan datuk, muka dan kedua belah tangannya terdapat kesan air. Dia membiarkan air di hujung jarinya menitik atas lantai.

"Ambil air sembahyang?" datuk bertanya.

Haji Taslim Singasari anggukkan kepala. Dengan hati-hati dia mengangkat barang-barang yang berserakkan di lantai lalu diletakkan ke tempatnya.

"Jangan, biar saya uruskan sendiri," tegah Haji Taslim Singasari. Saya tidak jadi membantunya mengangkat kitab tua bertulis jawi ke atas rak.

Datuk masih lagi bersandar di dinding. Matanya merenung sayu ke arah Haji Taslim Singasari. Semua gerak-geri Haji Taslim Singasari ada dalam bola mata datuk. Datuk bagaikan mentafsir segala gerak langkah Haji Taslim Singasari yang mempunyai makna dan maksud tertentu. Semua barang-barang yang bertaburan dikembalikan ke tempat asalnya. Haji Taslim Singasari kembali duduk disisi datuk.

Tiba-tiba daun tingkap yang dikunci terbuka dengan sendiri. Angin malam menerbus masuk, mengusap wajah dan tubuh kami bertiga. Saya melihat ke arah tingkap yang terdedah. Cuaca di luar amat gelap.

"Kamu pergi rapatkan tingkap."

Perintah datuk segera saya patuhi dengan rasa hati yang amat berat sekali. Ketakutan menguasai diri saya.

Bila saya hadapkan muka keluar, apa yang dilihat ialah kegelapan malam yang memanjang. Saya terasa seram dan bulu roma saya terus berdiri.

Bila daun tingkap saya tarik untuk rapatkan, secara tidak sengaja mata saya terpandang kain putih melayang-layang di udara diterbangkan oleh angin ke atas ke bawah. Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya terus terpaku di situ.

Kain putih yang dimainkan angin bergerak ke arah saya. Hati kecil berdetik mengatakan kain putih yang saya nampak itu adalah kain kafan Suhaimi Keraba, saya tercium bau kapur barus, sintuk dan bau-bauan lain yang sering digunakan untuk memandikan mayat.

"Tamar, kenapa lama sangat kamu di situ?"

Suara Haji Taslim Singasari cukup lantang. Saya mempersetankan teguran itu. Haji Taslim Singasari berbuat demikian kerana melihat saya berdiri di situ agak lama. Daun tingkap tidak juga dirapatkan, masih terdedah.

"Tamar, apa yang kamu tengok dalam gelap tu?" suara datuk menyusul. Saya terus membisu dengan sepasang mata tertumpu ke arah kain putih yang melayang-layang di udara.

Angin kian bertiup, dedahan yang berlaga sama sendiri mengeluarkan bunyi yang berbagai-bagai. Sesekali terdengar macam bunyi orang mengeluh, orang menangis dan bernyanyi yang tidak berapa jelas senikatanya.

Gegendang telinga terus disumbat dengan suara lolongan anjing yang sayup-sayup dari arah kaki bukit. Suara burung hantu terus tingkah meningkah dengan suara burung jampuk.

Makin gamat suara lolongan anjing dan suara burung hantu, kian rancak kain putih melayang-layang di udara macam orang menari. Kalau pada awalnya saya dapat mengagak panjang kain putih itu kira-kira enam kaki tapi kali ini panjangnya kian bertambah hampir mencecah awan.

"Tamar."

Bahu kanan saya di tepuk dengan kuat. Saya menoleh ke kiri. Saya lihat datuk berdiri di sisi saya dengan wajah yang cemas. Saya toleh ke kanan, saya lihat Haji Taslim Singasari berdiri si situ. Saya cuba mahu menutur sesuatu tetapi, suara saya tidak keluar.

"Budak ni kena pukau iblis," tutur Haji Taslim Singasari.

Dia menentang wajah saya sambil mulutnya berkumat-kumit. Saya tidak tahu apa yang dibacanya. Seluruh kulit muka saya terasa panas seperti terkena api.

Haji Taslim Singasari meletakkan telapak tangan kanannya atas dahi saya. Dari dahi, telapak tangan itu bergerak perlahan-lahan menyapu wajah saya hingga ke hujung dagu. Haji Taslim Singasari mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

"Aiicccuuuummmmmmmmmmmmmmmmmmmm..."

Saya bersin hingga terasa hingus keluar dari hidung. Seluruh badan terasa seram sejuk. Saya rebah di lantai.

Ketika itulah saya terpandangkan tetamu ganjil seolah-olah berdiri di depan saya. Kali ini wajahnya amat menakutkan. Dia menjelirkan lidah hingga ke perut. Telinganya yang sebesar telinga gajah jatuh atas bahunya. Kelopak matanya merah seperti bara dan dari lubang telinganya keluar asap yang nipis. Dia bagaikan ketawa melihat saya terkapar di lantai. Haji Taslim Singasari terus merawat saya.

Bila Haji Taslim Singasari berada di bahagian kepala saya, tetamu ganjil itu segera berubah ke hujung kaki. Kehadiran tetamu ganjil itu memang tidak dapat dilihat oleh Haji Taslim Singasari. Dia bergerak bagaikan bayang-bayang. Saya menelan air liur dan cuba menuturkan beberapa patah perkataan. Ternyata saya sudah boleh bersuara.

"Di hujung kaki saya," tutur saya meninggi.

"Apa dia Tamar?" soal Haji Taslim Singasari kehairanan. Dia renung ke kiri dan ke kanan. Dia gelengkan kepala sambil berkata: "Tak ada apa-apa pun yang aku nampak."

Mendengar ungkapan dari Haji Taslim Singasari itu, tetamu ganjil menyeringaikan giginya tanda suka.

"Saya nampak apa yang cucu saya katakan," datuk bersuara dengan sepasang matanya tertumpu ke arah hujung kaki saya. Gerak-geri si tetamu ganjil dalam biji mata datuk.

"Saya," sahut tetamu ganjil lalu mempamerkan tubuhnya ke alam nyata. Datuk dan Haji Taslim Singasari berpandangan.

"Kita mesti bertindak," kata datuk.

"Caranya?" soal Haji Taslim Singasari.

"Begini, kau ambil surah Yasin dan baca di situ," datuk segera menuding jari telunjuknya ke arah sudut ruang.

"Kalau itu, memang ada rancangan dalam kepala saya," sahut Haji Taslim Singasari mematuhi cakap datuk.

Datuk terus berdepan dengan tetamu ganjil itu. Kedua-dua kelopak bibir datuk bergerak. Pasti datuk membaca ayat-ayat suci penghalau iblis. Datuk seperti menghadapi kesulitan kerana bibir tetamu ganjil itu ikut bergerak mengikut gerakan bibir datuk, dia dapat menyebutnya dengan fasih, malah membetulkan pembacaan datuk yang tersilap.


SUARA


Datuk buat tidak kisah dengan telatah tetamu ganjil itu. Dia teru membaca ayat-ayat suci penghalau iblis dengan tenang. Haji Taslim Singasari yang mendengar suara tetamu ganjil mengajuk cakap datuk, terus membaca surah Yasin dengan lantang.

"Sampai di sini saja kita berkawan Haji, kamu memang selama-lamanya bermusuh dengan sahabat kami," tiba-tiba saja tetamu ganjil meloncat ke arah Haji Taslim Singasari. Dia jadi marah kerana Haji Taslim Singasari tidak menjawab kata-katanya. Dia menjerit dengan sekuatnya.

Dan bersama gema jeritan yang memekakkan anak telinga itu, seluruh tubuh tetamu ganjil bercahaya macam manik-manik kaca disinari matahari. Pada mulanya membesar, kemudian mengecil dan hilang macam debu-debu dibawa angin. Tidak ada apa yang dapat kami lihat.

Suasana terasa amat sepi tetapi, bau kemenyan dan kapur barus bagaikan memenuhi ruang rumah. Saya rasa seluruh badan berpeluh dan bertenaga. Saya segera bangun duduk.

"Saya fikir semuanya dah selesai," kata datuk.

"Saya harap pun begitulah, tapi iblis ni pandai menipu kita," sahut Haji Taslim Singasari agak ragu-ragu. Dia renung kiri kanan. Dia bangun dan dan memeriksa seluruh ruang. Akhirnya daun tingkap yang terdedah dirapatkannya. Lolongan anjing masih sayup-sayup terdengar. Haji Taslimi Singasari dan datuk tidak memberi sebarang komen tentang lolongan anjing itu.

"Bagaimana? awak yakin dia tak dapat datang lagi?" tanya datuk sambil menatap wajah Haji Taslim Singasari. Saya lihat Haji Taslim Singasari seperti tergamam. Dia segera mengedutkan dahi dan keningnya.

"Saya rasa semuanya dah selesai."

"Awak yakin, dia tak datang lagi?" datuk minta kepastian.

Haji Taslim Singasari anggukkan kepala.

"Jadi sekarang, apa yang patut kita buat, Haji."

Pertanyaan datuk tidak mendapat jawapan. Haji Taslim Singasari menelan air liur.

"Apa yang patut kita buat, Haji?" ulang datuk lagi. Haji Taslim Singasari senyum sinis. Dia terus meluru ke ruang dapur.

Buat beberapa saat, saya dan datuk saling berpandangan. Malam yang kian tua membuat suasana terasa hening. Kedinginan terasa menggigit seluruh tubuh. Sesekali terdengar kokok ayam dari hujung kampung. Datuk ambil senaskah Quran dari atas rak. Badannya disandarkan ke dinding. Dengan wajah yang tenang, datuk membuka Quran dan bersedia untuk memulakan pembacaan.

"Nanti dulu, ini yang patut kita buat," biji mata saya dan datuk tertumbuk ke arah Haji Taslim Singasari yang berdiri di ambang pintu. Dia menatang talam bulat yang berisikan teko dan cawan kosong, "Tadi awak tanya saya apa yang patut kita buat. Jawapannya inilah dia," sambung Haji Taslim Singasari lalu duduk. Talam yang berisikan teko dan cawan diletakkannya atas lantai.

"Apa benda ni," tanya datuk sambil menutup Quran. Datuk bangun dan terus meletakkan Quran atas rak.

"Kita minum dulu, lepas tu baru kita buat yang lain," Haji Taslim Singasari pun menuangkan air kopi ke dalam cawan.

Saya terus memerhatikan asap nipis yang bangkit di permukaan cawan. Haji Taslim Sinagsari menjeling ke arah saya tetapi, tangannya terus meletakkan cawan yang berisi kopi di depan saya dan datuk.

"Minum, biar panas badan, bila kena kopi O keras macam ni, barulah seronok. Sampai ke siang kita boleh berjaga," tutur Haji Taslim Singasari. Dia ketawa kecil, mempamerkan giginya yang kelihatan putih dan tersusun rapi. Tidak ada satupun giginya yang patah atau rosak.

Nanti, bila ada masa lapang, saya nak himpit orang tua ni. Saya nak minta petua dan amalan yang dipakainya untuk gigi tahan lama, bisik batin saya.

Wajahnya saya tatap dan Haji Taslim Singasari bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada saya. Dia senyum sambil anggukkan kepala lalu meneguk air kopi O panas. Dia bangun dan terus menuju ke ruang dapur untuk kali kedua.

Saya dan datuk merasa agak ganjil dengan sikap yang ditunjukkan oleh Haji Taslim Singasari. Jangan-jangan dia lebih hebat dari Suhaimi Keraba dalam bersubahat dengan iblis, timbul semacam perasaan dalam diri saya.

Datuk terus memeluk tubuh erat-erat. Kamudian dia meluruskan tangan dan jari-jemarinya. Kedua belah cuping telinganya diraba tiga kali berturut-turut. Datuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk tarik nafas dalam-dalam. Dilepaskannya perlahan-lahan. Tangan yang diluruskan segera dijatuhkannya. Jari-jemarinya digenggam kemas-kemas. Wajah datuk nampak aman sekali.

"Tak ada apa-apa Tamar, dia jujur," tutur datuk.

"Saya tahu, tetamu saya ni meragui kejujuran saya," kata Haji Taslim Singasari, kami segera menoleh ke kanan. Memang saya dan datuk tidak sedar bila Haji Taslim Sinigasari berada di situ. Datuk merasa malu kerana rahsianya dapat dikesan oleh orang lain. Haji Taslim Singasari terus duduk di sisi saya.

"Bukankah beringat-ingat dan berhati-hati tu, memang disuruh oleh agama kita," itu dalih datuk.

"Ya, perkara semacam tu memang harus ada pada setiap manusia, kita tidak disuruh menyerah pada takdir. Bukankah agama kita mengajar kita supaya berfikir," begitu bersahaja Haji Taslim Singasari bersuara. Dia terus meneguk air kopi O panas.

"Kalau kita ikhlas dan jujur sesama manusia, apa yang menjadi kesangsian pada orang lain mudah dikesan, buktinya, awak dapat mengesan kejujuran saya. Antara kita berdua saling ingat mengingati," datuk melanjutkan kata-kata.


MELAWAN


Haji Taslim Singasari bangun lagi terus menuju ke ruang dapur untuk kali ketiga. Beberapa detik berikutnya, Haji Taslim Singasari datang kembali menatang pinggan. Dia duduk meletakkan pinggan atas lantai.

"Saya ke dapur tadi memasakkan ini," jelasnya.

"Kalau tak silap saya, ini pulut kuning," mata datuk merenung ke arah pulut kuning yang ada dalam pinggan.

"Ya, memang betul cakap awak tu."

"Bila Haji memasaknya?"

"Tadi, biasanya bila saya berjaya melawan hantu syaitan, saya mesti makan pulut kuning. Memang sejak kematian sahabat saya, saya yakin kembarnya mesti datang, jadi saya bersedia terlebih dahulu.

"Ini ajaran guru awakkah Haji?" datuk menyoal lagi. Haji Taslim Singasari tidak menjawab. Dia terus mengepalkan pulut kuning dan diberikan kepada kami.

"Ini bukan ajaran atau amalan, ini petua guru saya. Tidak ada kena mengena dengan agama, sudah penat berlawan kita mesti berehat dan makan barang yang boleh beri kita tenaga, itu saja maksudnya," dengan wajah yang tenang Haji Taslim Singasari menjelaskan. Dia menghirup kopi O panas dan mengunyah pulut kuning.

"Makan, lepas ni kita membaca Quran atau melakukan sembahyang tahjud, kalau kamu tidak mahu kamu boleh tidur," Haji Taslim Singasari renung wajah saya. Datuk ketawa.

"Budak ni, kalau disuruh tidur memang jadi, dia ni kaki tidur," kata datuk. Hati saya jadi panas dengan usikkan datuk itu. Kalaulah datuk itu kawan sepermainan, sudah tentu saya maki. Menjatuhkan nama baik saya di depan orang.

"Tak apa, kalau kamu nak tidur, tidurlah, tapi orang yang pandai selalu memilih berjaga dari tidur. Berjaga banyak mendatangkan manfaat, kalau digunakan untuk menambah ilmu," Haji Taslim Singasari terus menepuk belakang saya dengan mesra sekali.

"Kalau waktu berjaga digunakan berborak kosong, membaca buku yang tidak berfaedah, berangan-angan, tentulah merugikan diri sendiri," sambung Haji Taslim Singasari, bagaikan berfalsafah di depan saya.

"Cakap awak tu, Haji memang betul," sampuk datuk dengan senyum yang memanjang.

Entah macam mana di malam yang dingin itu, datuk berjaya memujuk Haji Taslim Singasari supaya menceritakan pengalaman petualangnya di Tanah jawa mengisi ilmu akhirat dan dunia di dalam dadanya.

"Saya tak banyak mengambil ilmu dunia. Awak tahu, ilmu dunia kadang-kadang bercanggah dengan agama Islam. Tetapi..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan kata-katanya. Dia renung kiri, renung kanan. Macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.

"Tetapi saya ada juga belajar untuk tahu saja," sambung Haji Taslim Singasari yang secara tidak langsung membuka rahsia ddirinya.

"Saya pernah ikut arwah ke tempat perguruan di hutan. Saya melihat arwah sahabat saya bersemadi di bawah batu besar. Makan sebiji beras sehari dan minum dua hari sekali. Air minuman dari embun di hujung daun," Haji Taslim Singasari memperkemaskan silanya.

"Itu untuk ilmu apa, Haji?" soal datuk.

"Untuk melihat muka orang halus, bertutur dan berkampung sama-sama mereka," jelas Haji Taslim Singasari. Haji Taslim Singasari juga menyatakan arwah (Suhaimi Keraba) diiktiraf murid yang terbaik oleh gurunya. Arwah dikurniakan kain ikat kepala warna merah.

Arwah Suhaimi Keraba (ASK) juga menuntut ilmu 'Telapak Pasir Merah'. Khasiat dari ilmu ini, bila ASK menghentam atau menumbuk seseorang pasti orang yang kena hentam itu akan muntah darah segar.

Ketika mangsanya mengeletek kesakitan ASK menghilangkan diri dan berada di tempat lain. ASK juga menuntut ilmu 'Cakra Dewa', khasiatnya boleh membunuh orang dari jauh, juga boleh digunakan sebagai ilmu guna-guna.

Selain dari ilmu-ilmu yang disebutkan itu, ASK juga menuntut ilmu 'Cakar Dewa'. Orang yang mengamalkan ilmu ini, bila dia mengerakkan jemarinya ke wajah seseorang, maka rosaklah wajah orang yang tersebut ketika itu juga.

"Ini ilmu dunia yang tidak pernah saya amalkan. Tetapi saya tahu kehebatannya. Saya juga merasa pelik macam mana arwah boleh kalah dengan awak?" sepasang biji mata Haji Taslim Singasari meraut wajah datuk yang sudah mula berkedut itu.

"Entahlah, setiap kali saya berdepan dengannya, saya mohon pada Allah supaya usaha-usaha saya diberkati. Tujuan saya ialah mahu mengajak sahabat awak ke jalan yang benar." Datuk memberikan pengakuan.


JAKARTA


Dalam bulan Februari 1980, saya berkunjung ke Jakarta kerana urusan peribadi. Sebaik saja sampai di sana, semua akhbar dan majalah memuatkan berita tentang seorang penjenayah yang handal bernama Kunsi Kandut. Kunsi Kandut dihukum mati kerana kesalahan merompak, membunuh dan sebagainya.

Kunsi Kandut terkenal sakti dan berilmu, sehingga ramai yang mengatakan tubuhnya tidak boleh ditembusi peluru. Kematiannya disangsikan. Maka dalam penjara dia diberikan beberapa keistimewaan, disediakan peti tv dan sebagainya. Tetapi Kunsi Kandut berjaya menghilangkan diri dari tembok batu. Setiap kali dia bolos, pihak berkuasa berjaya memberkasnya.

Hasil dari penyelidikan sendiri, ternyata ilmu yang dimanfaatkan oleh Kunsi Kandut, sama dengan ilmu yang diamalkan oleh ASK. Saya terfikir, mungkinkah dua insan ini seperguruan, sayangnya mereka sudah tiada lagi. Kalau salah seorang daripada mereka masih ada mungkin saya boleh bertanya.

"Saya tahu, arwah pernah menyatakan pada saya yang dia mahu mengajar ilmunya pada orang-orang yang berminat, caranya dia mahu mendirikan gelanggang silat dulu," Haji Taslim Singasari terus bangun. Berjalan dari sudut ke sudut di ruang tengah.

"Ada anak muridnya?" tanya datuk.

Haji Taslim Singasari telan air liur. Dia tidak dapat memberikan jawapan dengan segera. Haji Taslim Singasari duduk kembali.

"Ada." Jawab Haji Taslim Singasari selamba.

"Dimana, Haji?"

"Saya tidak tahu dengan tepat, boleh jadi ada di Perak, Kedah, Selangor. Maklumlah dia tu boleh pergi ke mana-mana dengan sekelip mata.

"Hum..." datuk mengeluh kehampaan.

Buat beberapa saat, suasana dalam rumah dicengkam kesepian. Tiga kepala cuba berusaha memecahkan persoalan yang ditinggalkan oleh Suhaimi Keraba.

Saya segera terfikir, banyak kejadian ganjil di dunia yang dapat diterima oleh akal. Ada pula yang tidak logik! Ah semuanya ini menjadi misteri yang membingungkan orang. Apa yang jelas kematian Suhaimi Keraba mendatangkan masalah pada datuk dan Haji Taslim Singasari.
~Kredit kepada ahli komunitisbdj FAQIR untuk siri ini.*****

"Kalaulah benar, dia ada anak muridnya, kita harus berusaha mencegahnya supaya ajaran ini tidak merebak ke mana-mana," datuk memberikan cadangan.

"Ya, kita mesti menyedarkan mereka yang perbuatan itu memang bertentangan dengan agama," sahut Haji Taslim Singasari.

"Kita berjanji," kata datuk.

"Ya, saya berjanji," sahut Haji Taslim Singasari ambil berjabat tangan dengan datuk. Mereka bergoncang tangan, memperkuatkan tekad.

"Awak mesti ikut saya ke kampung laman saya minggu depan, saya memerlukan bantuan awak, sebelum ke tempat saya kita ke tempat lain dulu," tiba-tiba Haji Taslim Singasari bersuara sambil menarik telapak tangannya yang bercantum dengan telapak tangan datuk. 

118. Kena Serbuk Tulang

Saya tergamam, bila melihat datuk agak terkejut. Datuk terus mengerutkan dahinya, saya kira datuk seperti keberatan untuk memenuhi permintaan Haji Taslim nSingsari.
“Bila haji nak pergi?”
“Tiga empat hari lagi.”
Datuk menyentuh uujung kening kirinya dengan jari telunkuk kanan. Haji Taslim Singasari menggaru-garu pangkal telinganya yang tidak gatal. Ekor matanya masih tertumpu kea rah saya.

“Begini haji.”
Haji Taslim SIngasari segera memalingkan wajahnya ke arah datuk. Mereka bertukar senyuman untuk seketika.
“Apa dia?” Soal Haji Taslim Singasari .
“Kalau begitu, biar saya balik ke kampung dulu. Dah lama sangat saya tinggalkan orang rumah”
“Dah tua-tua begini rindu lagi ke?” Usik Haji Taslim SIngasari seiring dengan ketawa sinis.
“Bukan apa-apa, adat bersuami bertanggungjawab pada makan minum isteri, kesihatannya juga perlu diperhatikan. Hidup jangan mementingkan diri sendiri, tak mahu memikirkan kebajikan isteri, itu bukan suamai yang baik,” tutur datuk. Saya lihat Haji Tasli Singasari menganggukkan kepala.
“Cakap awak tu betul, kita harus menjadi suami yang baik mengikut hukum hakam Islam,” Haji Taslim SIngasari memberikan semangat.
“Hajat tu memang begitu” celah datuk.
“saya tak menghalang, terpulanglah kepada awak. Saya sedia menanti awak” itulah kata-kata yang datuk nantikan dari Haji Taslim SIngasari.
“Awak ikhlas ke Haji?”
“Saya ikhlas”
“Ke mana kita nak pergi sebenarnya Haji, boleh tak awak beritahu tujuan sebenarnya Haji nak mengajak saya ke situ, bila orang kampung bertanya, senang saya nak menjawabnya,” tutur datuk dengan tenang.
Lagi sekali saya lihat Haji Taslim Singasari tersenyum sinis.
“Awak ni selalu menggunakan nama orang rumah, katakan saja awak yang nak tahu,” dalam senyum Haji Taslim Singasari menyindir datuk.
“Dua-dua boleh pakai” sahut datuk.
“Begini,” Haji Taslim mengemaskan silanya, “ saya ajak ke kampung saya supaya awak boleh berkenalan dengan orang tempat saya”
“Itu saja,” wajah datuk Nampak kesal. Haji Taslim dapat membaca apa yang tersirat dalam hati datuk dan dia terus bersuara lagi.
“Kita pergi sebuah kampung yang aneh, saya nak ajak awak tangkap hantu hidup-hidup”
“Awak ni cakap betul atau nak bergurau dengan saya” datuk minta kepastian. Saya juga terkejut mendengar cakap Haji Taslim itu.
“Saya tak bergurau, saya tak berbohong,” Haji Taslim memperlihatkan kesungguhannya. Saya dan datuk saling berpandangan.
“Hantu apa yang nak ditangkap?” datuk tatap wajah Haji Taslim. Begitu juga dengan saya.
“Nak tangkap hantu susu”
Saya jegilkan mata bila mendengar Haji Taslim. Entah mengapa secara mendadak saja bulu roma saya terus berdiri.
“Hei, macam cerita budak-budak je” kali ini giliran datuk tersenyum sinis kearah Haji Taslim. Ternyata Haji Taslim kurang senang dengan kata-kata yang diluahkan datuk.
“Benar kawan, sudah dua tiga orang dah menyampaikan cerita tu pada saya. Khabarnya cerita tu dah tersebar luas seluruh pulau ini. Saya sendiri belum dapat menentukansejauh mana benarnya cerita tersebut,” Haji Taslim merenung muka datuk. Say lihat datuk masih lagi tersenyum sinis, mungkin datuk berfikir, mana ada hantu susu dalam dunia yang serba moden ini.
Beberapa saat yang panjang, tiada ungkapan kata yang lahir dari kelopak bibir kami. Suasana terasa amat sepi sekali. Bunyi deru angn di luar tidak seganas tadi.
Suara lolongan anjing kadang-kadang tenggelam. Begitu juga dengan suara burung hantu. Tubuh, saya peluk erat-erat dan dagu saya menggeletar menahan kedinginan malam yang kian tua.
“agaknya perkara yang sebutkan ini ada kaitan dengan sahabat awak yang mati tu?” datuk ajukan pertanyaan kepada Haji Taslim.
Saya lihat Haji Taslim menegakkan badannya. Dia terus menggelengkan kepala. Tidak mahu menjawab pertanyaan datuk.
“Kalua bukan dirinya, boleh jadi anak muridnya” datuk terus memancing jawapan dari Haji Taslim. Dia menarik nafas dalam-dalam. Melihat dari gerak geri air mukanya, Haji Taslim seperti bersetuju dengan apa yang datuk tuturkan. Jerat datuk mengena, fikir saya dalam hati.
“Setahu saya, semasa dia menuntut dulu, tak pernah dia bercerita yang dia menuntut ilmu yang semacam itu.” Tanpa saya duga Haji Taslim mahu membuka mulut. Dia bangun lalu melangkah ke jendela. Daun jendela dibukanya luas-luas. Saya menjadi cemas, takut perkara buruk berulang lagi. Haji Taslim menatap kegelapan malam seketika.
Daun jendela dirapatkan kembali. Dengan tenang Haji Taslim melangkah kearah saya dan duduk bersila di atas lantai.
“Agaknya dia memang menuntut, tapi tak beritahu awak. Kalau diberitahu awak, nanti awak melarang dia,” kata datuk.
“Boleh jadi cakap awak betul.” Balas Haji Taslim dengan tenang, “Boleh jadi ada orang lain yang mengamalkan ilmu itu” tambahnya.
Kata-kata yang diluahkan oleh Haji Taslimmmebuat keraguan bersarang dalam dada saya. Dia masih melindungi dan mempertahankan arwah sahabatnya.
Saya menelan air liur dan membuat rumusan yang Haji Taslim perlu diawasi dengan cermat. Mana tahu, dalam diam-diam dia akan menjadi pemusnah pada diri saya dan datuk.
“Orang yang sudah tiada, usah dikaitkan dengan kejahatan di kulit dunia,” tutur Haji Taslim lagi, memperkuatkan keraguan dalam hati saya.
“Saya tidak berniat buruk terhadap arwah, saya cuma meluahkan pendapat dan pandangan aje,” datuk bertindak membersihkan dirinya dengan span. Semoga tidak ada tanggapan buruk haji Taslim terhadap dirinya.
“say faham, awak bercakap sekadar ingat-mengingati,” Haji Taslim terus menepuk bahu kanan datuk.
“Cakap awak tu memang ada manfaatya. Kena fikir bersama, barangkali ada kebenarannya.” Haji Taslim menggeliat dan akhirnya memicit ibu jari kaki kanannya.
“Pada hemat saya, setiap perkara buruk mesti ditentang, terutaman yang mnyesatkan iman,” cetus datuk dengan cara mendadak saja.
“Betul, memang betul,” Haji Taslim menjengilkan matanya ke ara h datuk.
“Tapi kerja macam tu tak mudah, banyak cabaranya, Haji,” tingkah datuk sambil meraba hujung dagunya. Say terdengar sesuatu di tingkap. Mata pun saya arahkan ke situ.
Tak ada apa-apa, Cuma angin saja, kamu cepat sangat takut”, Haji Taslim menujukan kata-kata kepada saya, rupa-rupanya dia dapat membaca apa yang tersirat dalam dada saya.
“Apa yang awak katakan tadi, cuba ulang sekali lagi,” Haji Taslim mengarahkan jari telunjuknya ke arah datuk.
“Banyak cabarannya, bukan kerja mudah”, ulang datuk lagi.
“Ya, sebab itulah kita memrlukan kawan yang berilmu. Dua ilmu dari dua kawan, kita satukan untuk menentang kejahatan, saya memang memerlukan awak dalam hal ni,” wajah Haji Taslim Nampak riang sekali.
“Saya tak sehebat mana, Haji. Kalau Allah mengizinkan, jadilah ia. Kalau tidak, hampa melayang,” datuk tetap macam selalu, suka merendah diri.
“Sudah lah tu, hidup kalau terlalu merendah diri, ti dak juga baik. Sekarang saya dah terangkan tujuan sebenar. Senanglah awak bercakap dengan orang rumah.”
“Nampaknya begitulah Haji,” sanggah datuk. Mereka berbalas ketawa, dan ketawa mereka berhenti secara mengejut.
Biji mata mereka tertumpu kea rah tingkap yang terbuka sendiri.

BESAR
Ada lengan sebesar batang kelapa terjulur di tingkap. Jumlah jari cuma empat sahaja. Ibu jarinya bengkok macam ibu kunyit. Semua jejari itu berbulu dan dilekati tanah warna kekuningan.
Di lengan itu penuh dengan bulu berwarna hitam, tidak ubah seperti lengan mawas (king kong), terdengar bunyi orang menarik dan melepaskan nafas dalam keadaan yang amat penat. Rumah yang kami duduki terasa bergegar. Seluruh tubuh saya menggeletar.
“Syaitan apa tu Haji?”
“Sudah lama dia tak datang, kenapa malam ni dia datang” Haji Taslim seperti merungut. Datuk merenung kea rah anak mata saya, dari renungannya, bagai ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada saya.
“Makhluk peliharaan awak, Haji?”
“Rasanya iman saya belum tergugat lagi.”
“Jadi, dia datang ni untuk siapa?” tingkah datuk
Haji Taslim mempamerkan kemarahan di wajah. Hatinya kurang senang dengan pertanyaan yang bertalu-talu.
“Saya tak mahu menjawab pertanyaan awak, cari sendiri jawapannya” nada suara Haji Taslim mula meninggi. Dia genggam penumbuk. Matanya tertumpu kea rah lengan yang sedang bergerak ke sana ke mari atas bendul tingkap. Jejarinya sekejpa terbuka sekejap tertutup.
“Peliharaan arwah, Haji?”
Haji Taslim mengangukkan kepala.
“Masa arwah ada, kerap dia datang”
Haji Taslim mengangukkan kepala.
“Minta makanan,” soal datuk lagi.
Tiada jawapan dari Haji Taslim kecuali anggukan kepala.
Mungkin bosan dengan Haji Taslim yang main angguk-angguk kepala saja, datuk terus berhenti bertanya. Matanya ditumpukan kepada lengan di bendul tingkap. Saya ikut apa yang datuk lakukan. Dari hujung jari jemari itu, darah keluar lalu menitik ke atas lantai.
Anehnya apabila saya merenung ke tempat darah itu menitik, tidak ada kesan darah. Entah ke mana darah itu menghilang. Mustahil meresap ke dalam papan lantai. Kelopak mata Haji taslim tidak berkelip merenung kea rah tangan berbulu yang bergerak bebas di atas bendul tingkap. Bunyi hembusan nafas bertambah kuat dan hebat.
Saya menjadi resah. Tetapi rasa takut agak berkurangan keranan datuk ada di sisi saya. Lolongan anjing yang tadi jarang kedengaran, kini sudah bertalu-talu, begitu juga dengan suara burung hantu yang bersorak, deruan angin mula kedengaran.
“masa arwah hidup dulu, dia beri makan darah binatang?” soal datuk pada Haji Taslim. Jawapan yang diperolehi ialah anggukan.
“Darah ayam”
Haji Taslim mengangguk.
“Darah manusia,”
Angguk juga yang diperolehi.
“Pernah beri darahnya sendiri yang dikeluarkan dari salah satu urat di bawah ketiak,” sambung datuk. Macam tadi juga, tidak sepatah kata keluar dari mulut Haji Taslim. Dia terus main angguk kepala, macam belatuk patuk batang buruk.
Rumah bergegar lagi seperti digoncang sesuatu. Suara orang ketawa dan mengilai mulai kedengaran. Haji Taslim ubah tumpuan kearah datuk.
“Ambilkan bilah buluh yang saya selitkan di dinding belakang awak,” itu arahan yang dikeluarkan pada datuk. Tanpa membuang masa datuk bangun dan mencabut salah satu bilah buluh yang terselit di dinding. Datuk segera serahkan pada Haji Taslim.
“Rasanya, waktu subuh dah dekat,” nada suara Haji Taslim kini bagai mengandungi harapan yang besar.
“Saya rasa pun begitu, dah dekat benar waktunya,” balas datuk penuh keyakinan. Haji Taslim terus melurut bilah buluh kering dua tiga kali. Kedua bilah buluh itu memang sudah ditajamkan. Saya lihat Haji Taslim mengukur seluruh bilah dengan kuku jari kirinya.
“Nak buat apa?” mendadak datuk menyoal. Tiada jawapan dari Haji Taslim. Sesekali, saya bagaikan terlihat kemunculan wajah yang mengerikan di tingkap.
Wajah itu mengeluarkan cahaya kekuningan, kulitnya berkedut dengan rambut berwarna kemerah-merahan menutup wajahnya. Dari celah-celah rambut itu terdapat sepasang mata yang memancar cahaya hijau. Bulat sebesar telur burung puyuh. Sorotan cahayanya cukup jauh, macam sorotan cahaya lampu picit.

BERSILA
Haji Taslim kali ini mnegubah kedudukannya. Kali ini dia duduk bersila. Bilah buluh diletakkan di antara kedua tempurung lututnya. Sepasang tangannya terus memeluk tubuh. Kelopak bibirnya mula bergerak.
“Kita mulakan sekarang,” perlahan-lahan Haji Taslim memusingkan lehernya ke kanan, iaitu kearah datuk. Mata mereka bertembung.
“Maksud Haji?”
“Menghancurkan apa jua peninggalan arwah. Menjahanamkan semua sahabat-sahabatnya,” nada suara yang mengutuskan kemarahan dari dalam sanubari Haji Taslim.
“Mahu bantuan dari saya, Haji,”
“Niat memang begitu, tapi ikhlaskah awak menolong saya. Jangan disalahkan saya kalau ada hal-hal yang buruk datang kemudian.” Haji Taslim Taslim besuara tanpan melihat wajah datuk. Matanya terus tertumpu pada lengan di atas bendul
Saya mula terdengar bermacam-macam bunyi. Ada suara beruang, kucing dan tempikan gajah. Dan saya yakin suara-suara aneh itu hanya datang kepada saya. Kalau Haji Taslim mendengarnya, pasti dia meberi komen. Begitu juga datuk.
“Bersedia”
Cukup lantang suara Haji Taslim. Pergerakkan tubuhnya sungguh pantas. Tahu-tahu dia sudah berdiri dengan bilah buluh ditangan. Bersedia untuk melunturkan buluh yang tajam kerah lengan berbulu yang tersidai di atas bendul tingkap.
“apa mesti saya buat, Haji?”
“Melafazkan kalimah Allah Huakbar, bila bilah buluh itu melekat pada daging syaitan itu. Tetapi kalau terdengar suara azan Subuh masa buluh ini menikam lengan ganjil tu, tak payah ucap Allah Huakbar.”

“Baiklah, Haji”
Haji Taslim menarik dan menahan nafas. Bila nafasnya dilepaskan bilah buluh pun dilunturkan kea rah lengan berbulu. Lunturan tepat pada sasarannya. Bilah buluh lekat di situ, jejari empat saya lihat relai dari tangan. Semua melayang dan meluru kea rah Haji Taslim. Saya terdengar suara orang mengerang kesakitan yang amat sangat. Rumah kembali bergegar.
Datuk saya lihat seperti orang kena pukau. Dia tidak dapat berkata sepatah pun. Matanya, tidak bergeral melihat jari-jari bagaikan terbang menerkam Haji Taslim bersama cahaya kemilau macam cahaya kelip-kelip.
Haji Taslim terpaksa menggerakkan bilah buluh ke kiri dan ke kanan. Hanya itu sahaja yang dapat dilakukan mengelakkan diri dari diserang oleh jejari yang empat.
Dalam suasana yang kacau bilau itu, terdengar suara azan berkumandang di udara. Rumah yang bergegar terus berhenti. Datuk yang terpukau terus tersedak. Suara binatang yang memekakkan telinga saya terus hilang.
Empat jejari yang mahu menujah muka Haji Taslim terus lesap entah ke mana. Keadaaan kembali normal.
“Masih ada bahaya yang lebih besar lagi,” ucap Haji Taslim. Dia terus mendekati. Gema azan sudah pun berakhir. Haji Taslim menarik tangan datuk ke arah jendela.
“Tanah, darah dan kain putih,” kata saya denganr asa terkejut yang amat sangat bila melihat kesan tanah kubur, darah dan kain putih yang terlekat pada bendul jendela. Saya merenung wajah Haji Taslim. Saya mohon penjelasan daripadanya.
“Kain putih yang melekat pada bendul tu, kain kafan,” jelas Haji Taslim> darah saya tersirap
“Tanah tu, agaknya tanah dari kubur,” celah datuk
“Memang tanah kubur,” jawab Haji Taslim.
“Darah tu, darah apa, Pak Haji,” tanya saya.
“Itu saya tak tahu. Boleh jadi darah ayam atau darah binatang lain,” Haji Taslim tesus menggosok pangkal hidungnya beberapa kali.
“Sudahlah, bila hari cerah, kita periksa,” tiba-tiba sahaja datuk memberikan pendapat, ternyata pendapatnya diterima oleh Haji Taslim. Kami segera ke perigi dan mandi. Setelah itu kami menunaikan sembahyang Subuh dan imamnya ialah Haji Taslim. Selesai sembahyang Subuh, kami terus berwirid panjang hingga matahari muncul di kaki langit.

SARAPAN

Dan pagi itu, setelah menemani datuk bermandi embun, saya terus pulang ke rumah Haji Taslim.
“Datuk kamu kemana, Tamar?”
Itu yang Haji Taslim ajukan, bila melihat wajah saya terjenggul di pintu.
“Di belakang,” jawab saya.
“Sarapan dah siap,” sambung Haji Taslim lagi. Saya anggukkan kepala. Lalu ke ruang dapur mencuci tangan. Kemudian saya duduk bersila menghadapi hidangan pagi.
Hati kecil saya mengkagumi kecekapan Haji Taslim. Walaupun sudah tua. Tetapi masih mampu menyediakan sarapan dengan segera.
Dia buat air kopi panas, pisang goreng malah ada tiga pinggan nasi lemak. Semuanya dibuat sendiri tanpa bantuan saya dan datuk.
“Berat sangat untuk makan pagi,” tegur datuk yang muncul secara mendadak. Haji Taslim tersenyum.
“Awak nak berjalan jauh, perut mesti diisi dengan kejap, baru seronok berjalan,” sahut Haji Taslim.
“Memang sudah menjadi kebiasaaan, berjalan atau tidak, makan pagi sekadar mengalas perut.”
“Kalau begitu, banyak sangat saya masak ni,” Haji Taslim tuang kopi di dalam cawan.
“Kira-kira begitulah, Haji.”
“Tak apa, boleh buat bekal awak berdua,” Haji Taslim sudah menemui jalan bagi mengatasi masalah tersebut. Datuk terus anggukkan kepala.
Ternyata sarapan pagi itu amat menyelerakan, satu pinggan nasi lemak habis masuk perut saya. Bila saya mahu menyentuh pisang goreng, telapak tangan datuk segera jatuh ke atas pergelangan tangan saya. Cepat-cepat saya toleh ke wajah datuk.
“Kamu sudah cukup kenyang, jangan ikutkan nafsu. Makan sekadar untuk kenyang, jangan berlebih-lebihan.”
“Biarlah si Tamar tu merasa goreng pisang saya,” Haji Taslim minta laluan. Hati saya riang kerana ada manusia yang mahu mempertahankan saya.
“Tak apa, dia boleh rasa goreng pisang yang awak bekalkan tu, dalam perjalanan nanti,” ternyata datuk tetap mahu mempertahankan konsep makan sekadar untu kenyang yang sudah menjadi darah daging dalam dirinya. Dan konsep itu mahu diserapkan kedalam diri saya pula.
“Mahu mengajar supaya cucu awak patuh kepada awak?”
“Ya, kalau tak dibentuk dari sekarang, bila lagi?” jawab datuk dan terus menghirup air kopi terkahir. Dia basuh tangan dan minta bantuan Haji Taslim membungkus nasi lemak dengan daun pisang yang dibalut dengan upih.
Alasan datuk, kenapa dia meminta Haji Taslim berbuat demikian ialah, supaya nasi lemak ituterus panas dan bau wanginya tidak mudah hilang. Rupanya, dalam hal ini, pendapat datuk dan Haji Taslim tidak bercanggah.
Selain dari perkara yang disebutkan tadi, ada khasiat lain yang tersembunyi. Menurut Haji Taslim nasi yang dibalut dengan daun pisang atau upih, bila dimakan dapat mengurangkan lemak dalam perut serta mengeluarkan angin dan dapat menghilangkan lenguh-lenguh badan. Sejauh mana kebenaran kata-kata Haji Taslim tidak dapat saya pasti. Dan Datuk pula tidak menafikan.
“Selamat jalan.”
Suara Haji Taslim parau. Dia terus berpeluk-pelukan dengan datuk di kaki tangga. Saya yang nakal terus menuju kea rah jendela tempat lengan aneh tersadai malam tadi.
Saya periksa tanah dikawasan tingkap. Apa yang saya temui ialah kesan darah dan tulang temulang. Saya segera berlari ke kaki tangga mendapatkan Haji Taslim dan datuk. Kedua-duanya saya ajak datang ke kawasan bawah tingkap. Saya tunjukkan apa yang saya temui di situ.
“Memang begitu, setiap kali benda ganjil ni datang, dia mesti membawa tulang. Tulang-tulang mesti hancur jadi macam kapur bila terkena matahari,” Haji Taslim terus mencangkung. Matanya menatap tulang-tulang berserakan.
“Kalau tak silap saya, tulang-tulang ni, tulang binatang besar,” datuk memberikan pendapat.
“Memang benar apa yang awak cakap tu,” pintas Haji Taslim, “dulu saya pernah terjumpa tulang kaki manusia,” tambah Haji Taslim. Mata saya dan datuk terbeliak mendengar penjelasan Haji Taslim. Saya jadi seram.
“Serbuk tulang ni, kalau terkena kaki atau mana-mana bahagian tubuh, boleh bawa penyakit,” Haji Taslim buka rahsia, “kulit boleh jadi gatal, bila digaru lama-lama akan keluar air dan seluruh badan luka-luka,” lanjut Haji Taslim.
“Macam mana awak tahu Haji?” tanya datuk.
“Arwah yang beritahu, dia pernah mengenakan serbuk tulang itu pada kucing, bulu kucing terbakar dan kulitnya mengelupas. Tak sampai dua jam kucing tu mati. Ini sebenarnya racun, digunakan oleh mahaguru ilmu hitam untuk menewskan musuhnya.” Haji Taslim berhenti bercakap. Dia terus bangun dan menatap wajah datuk.
“Arwah mahu menggunakan serbuk tulang ni untuk menjahanamkan awak, tetapi, belum sempat saya menahannya, dia sendiri keberatan menggunakannya. Itulah kehebatan awak,” Haji Taslim menepuk bahu kanan datuk dua tiga kali.
Kemudian dia mengajak datuk menuju ke kaki tangga. Kerana bimbang saya akan menyentuh tulang-tulang yang ada di situ, saya disuruh datuk berjalan dahulu. Cakap datuk segera saya patuhi.
“Macam mana awak nak menghilangkan tulang yang jadi serbuk bila kena matahari,” datuk erus merisik rahsia dari Haji Taslim.
“Arwah ada memberi saya cara dan petuanya,”
“Macam mana?”
“Kenapa, awak nak tahu ke? Saya ingat awak tak usahlah tau.”
“Begini Haji, tahu tu lebih baik daripada tak tahu,” tutur datuk dengan tenang.
Haji Taslim berhenti melangkah dan mendongakan muka ke langit melihat matahari pagi yang mula melepasi pucuk pokok kelapa dara.
“Bila sinar matahari ini sampai ke tanah di bawah tingkap. Semua tulang-tulang yang kita tengok tadi hancur jadi serbuk,” Haji Taslim kedutkan dahi dan dia berhenti menatap matahari yang kian keras melemparkan cahayanya di setiap sudut kampung. Langkah yang terhenti diteruskan sehingga sampai ke kaki tangga.
“Petua tadi macam mana?” datuk mendesak.
“Petua apa?” Haji Taslim terkejut, sepasang matanya merenung kea rah tepi sawah sambilkan kedutkan kening dan dahi. Dia seperti mengingati sesuatu.
“Oh! Ya,” Haji Taslim seperti bertempik, “saya terlupa,s aya terlupa, saya terlupa,” ucapnya berkali-kali seperti menyesali dirinya.
Datuk turut tesenyum. Memang datuk tidak menduga secepat itu, Haji Taslim terlupakan perkara yang diperkatakan. Barangkali Pak Haji yang satu ini terlalu menumpukan selurh daya fikirnya pada perkara tulang di abwah rumahnya, barangkali, dia mencari jalan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi, bila dia berada di rumah itu seorang diri. Fikir saya di dalam hati.
“Petua dia, begini,” Haji Taslim merapati datuk. Ditariknya tangan datuk agar duduk di bangku yang berada tidak jauh di kaki tangga.
Sinar matahari mula menyentuh tulang bumbung rumah. Suara beburung pagi berkicau garang.
“Petuanya, mudah je, curahkan minyak kelapa masak kea atas serbuk tulang,” kata Haji taslim.
“Itu saja, saya fikir ada perkara lain,” ujar datuk sambil senyum. Dan kali ini Haji Taslim arahkan sepasang matanya kea rah muka datuk. Tiba-tiba dia anggukan kepala seraya berkata.
“Memang betul, bukan itu saja,”
Datuk menarik nafas panjang. Dari wajahnya tergambar kepuasan dan keinginan amat sangat untuk mengetahui rahsia selanjutnya. Datuk tumpukan perhatian pada kelopak bibir Haji Taslim.
“Minyak kelapa tu, mestiah dari kelapa gading yang kita buat sendiri. Minyak kelapa itu diisikan dalam botol sesudah dibacakan yasin selama tujuh malam Jumaat,” Haji Taslim terus membuka rahsia. Datuk anggukkan kepala. 

119. Bayang Hitam Datang Lagi

Haji Taslim Singasari terus bangun. Tetapi, datuk masih bertahan di bangku. Keberatan untuk bangun dan bermenung panjang, macam ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Dua tiga kali datuk dongakkan kepala ke langit sambil mengedutkan dahinya.

"Pelik, macam tak masuk di akal Haji," itu yang terpancut dari kelopak bibir datuk. Haji Taslim Singasari jegilkan biji mata ke arah datuk.

"Apa dia yang pelik tu?"

"Mengapa si arwah tu, mahu menceritakan kelemahan dirinya pada awak. Saya kira arwah tu tersilap."

"Hmm..." Haji Taslim Singasari mengeluh kecil. Dia melangkah ke arah tangga dan duduk di anak tangga kedua.

Sinar matahari menjamah wajahnya, sebahagian dari sinar matahari itu menghala ke tanah di bawah tingkap yang terdapat serakan tulang. Datuk terus mengawasi gerak-geri Haji Taslim Singasari. Demikian juga dengan saya.

Haji Taslim Singasari bangun. Dia melangkah ke arah datuk dan lalu berdiri di depan datuk sambil memeluk tubuh.

"Bukan apa-apa," Haji Taslim Singasari memulakan bicara dengan wajah yang serius, "kalau dia tak beritahu, akhirnya saya tahu juga," tambahnya lagi.

"Siapa yang beritahu awak?" potong datuk.

"Guru saya boleh beritahu."

"Patutlah arwah buka rahsia, kerana dia tahu ada orang lebih handal darinya."

"Bukan pasal tu," sanggah Haji Taslim Singasari sambil merenung tanah di kaki. Sinar matahari kian terik.

"Kalau bukan pasal tu, pasal apa." desak datuk dengan nada suara yang agak keras. Saya segera mendekati mereka. Duduk di sebelah datuk. Saya ingin mengikuti cerita selanjutnya dengan terperinci.

"Arwah mahu menunjukkan yang dirinya jujur dalam bersahabat. Dia beritahu dulu, sebelum orang lain beritahu," jelas Haji Taslim Singasari. Datuk mengigit bibir.

"Apa pendapat Haji tentang sikapnya tu?" soal datuk lagi. Saya terus memasang telinga dalam sinar matahari yang kian keras itu.

"Dia memang jahat, tetapi kejujurannya dalam persahabatan tak ada orang yang boleh menandinginya. Setianya pada sahabat sampai mati, terpamer rasa bangga di wajah Haji Taslim Singasari. Kedua belah tangannya yang memeluk tubuh segera dijatuhkan.

"Saya tetap mohon pada Allah setiap kali lepas sembahyang, minta dosa arwah diampunkan dan rohnya tidak diseksa," ungkap Haji Taslim Singasari lagi. Wajahnya nampak sedih sekali.

Tanpa tangguh-tangguh lagi, datuk terus berdiri. Tubuh Haji Taslim Singasari terus dipeluknya dengan erat sekali. Perbuatan datuk itu amat mengejutkan Haji Taslim Singasari.

"Saya bersama Haji, sebagai orang Islam kita harus mendoakan kesejahteraan orang yang seagama dengan kita, tidak kira yang hidup atau yang mati," ucap datuk dalam nada suara yan tersekat-sekat. Mereka terus berdakapan dalam jangka waktu yang agak panjang. Bila mereka berhenti bercakap barulah hati saya terasa lapang.

"Aduhhh!!!"

Seketul batu sebesar penumbuk mengenai rusuk sebelah kiri saya. Tidak tahu dari arah mana batu itu dibalingkan kepada saya. Apa yang pasti, sakitnya bukan kepalang. Haji Taslim Singasari dan datuk segera menghampiri saya. Baju saya segera dibukakan.

"Lebam sebesar penumbuk," kata datuk.

"Mana batunya?" tanya Haji Taslim Singasari. Saya segera menuju ke arah batu di tanah.

Haji Taslim Singasari segera menyentuh batu itu, tetapi segera dilepaskannya ke bumi. Wajahnya nampak berkerut menahan kesakitan.

"Kenapa Haji?" tanya datuk.

"Batunya panas, macam bara api," jawab Haji Taslim Singasari. Dia terus membongkok mengambil dan menggenggam tanah. Setelah membaca sesuatu, genggaman tanah itu segera dilemparkan ke arah batu. Saya lihat batu itu berasap dan terus mengecil sebesar telur ayam jantan.

Datuk terus mengambil sehelai daun paku rawan. Datuk ramas hingga hancur dan mengeluarkan air. Datuk membaca beberapa ayat dari Al-Quran, kemudian air atau lendir dari daun itu disapukan ke bahagian tubuh saya yang lebam. Terasa sejuk macam ketul ais yang ditekankan di situ.

Bila datuk lekapkan telapak tangannya, bahagian kulit yang lebam itu terasa amat panas sekali. Saya tidak menahan air mata dari mengalir di pipi.

"Hei, tak malu orang jantan menangis," sindir datuk dan dia berhenti menekapkan telapak tangannya ke bahagian tubuh yang lebam itu.

"Apa rasanya sekarang," tanya datuk lagi.

"Tak ada apa-apa," sahut saya lalu merenung ke arah tubuh yang kena batu itu. Daging yang lebam membiru sudah tiada lagi. Sudah pulih seperti sediakala.

Baju segera saya sarungkan ke tubuh. Tetapi, Haji Taslim Singasari masih menbelek-belek batu hitam sebesar telur ayam jantan itu dari beberapa sudut. Haji Taslim Singasari masih tidak berani menyentuhnya.

"Apa yang ditengok, buang saja Haji."

"Ini bukan sebarang batu."

"Habis, batu dari langit?" datuk berjenaka bersama ketawa tetapi Haji Taslim Singasari tidak memperlihatkan reaksi gelihati dengan telatah datuk. Dia kelihatan serius sekali. Matanya tidak berkedip melihat batu kecil yang dipanah matahari.

"Cuba renung batu tu lama-lama," kata Haji Taslim Singasari dalam nada suara yang keras. Mata saya dan datuk segera tertumpu ke arah batu kecil. Bila direnung agak lama ternyata batu itu bukan berwarna hitam, tetapi berwarna kemerah-merahan macam bara api dan mengeluarkan percikan cahaya yang berwarna kebiru-biruan.

"Batu apa ni, Haji?"

"Inilah batu petir yang sudah dijadikan batu tuju-tuju untuk menjahanamkan manusia, batu ini sudah dipuja," jelas Haji Taslim Singasari.

"Apa yang mesti kita buat Haji."

"Terpaksa dihancurkan menjadi pasir," suara Haji Taslim Singasari merendah. Dia menarik nafas panjang dua tiga kali.


BUMBUNG


Haji Taslim Singasari dongakkan kepala melihat matahari dan awan gemawan di langit. Beberapa ekor burung gagak yang entah dari mana datangnya berlegar-legar di bumbung rumah Haji Taslim Singasari sambil berbunyi dengan nyaringnya. Haji Taslim Singasari ubah pandangan, merenung dikakinya sejenak. Saya dan datuk berpandangan.

"Ahemmmmm..."

Haji Taslim Singasari berdehem lalu merenung tajam ke arah saya dan datuk. Dia angkat tangan kanannya separas bahu, memberi isyarat supaya kami beredar dari sisi batu hitam yang aneh itu. Kami diarahkan supaya duduk di atas batang buruk di hujung halaman rumahnya.

Apa yang diarahkan oleh Haji Taslim Singasari segera saya patuhi tanpa ada rasa takut atau curiga. Sebabnya bukan apa-apa, semuanya berlaku di waktu siang dan cuaca pula terang benderang. Kalau waktu malam, memang wajarlah saya merasa takut atau curiga. Waktu siang syaitan dan hantu tidak wujud. Semuanya sedang tidur nyenyak. Demikianlah pada anggapan saya.

Saya dan datuk terkejut, bila melihat Haji Taslim Singasari berlari dengan kencangnya kearah saya dan datuk. Bagaikan kilat kami bangun.

"Ikut saya," tutur Haji Taslim Singasari.

"Ke mana?" soal datuk.

"Ikut apa yang saya buat."

"Baiklah Haji."

Haji Taslim Singasari segera berlari sambil membongkokkan tubuh. Saya dan datuk juga ikut berlari seperti itu menuju ke arah batu hitam kecil. Kami kelilingi batu hitam dalam keadaan membongkok.

"Cukup, berhenti di situ," suara Haji Taslim Singasari nyaring sekali. Saya dan datuk akur dengan perintahnya itu. Berdiri dalam keadaan membongkok memang menyeksakan. Sinar matahari yang kian menyengat membuat dahi dan badan saya berpeluh. Tetapi saya lihat datuk masih dalam keadaan yang tenang dan stabil.

"Tegakkan badan, lepas itu melangkah tujuh tapak ke belakang dan berdiri di situ," datang lagi arahan dari Haji Taslim Singasari. Apa yang diperintahnya segera dipatuhi. Saya dan datuk menanti perintah selanjutnya dari Haji Taslim Singasari.

Lima minit masa berlalu, tidak ada sebarang arahan dikeluarkan. Haji Taslim mendekati datuk membisikkan sesuatu ke telinga datuk. Kemudian dia mendekati saya pula.

"Sekarang kami sudah berdiri membelakangi batu hitam, tumpukan perhatian zahir batin pada Allah yang Maha Besar. Kita semua minta tolong pada-Nya," itu yang dibisikkan oleh Haji Taslim Singasari pada saya. Dan saya yakin, kata-kata yang sama juga diungkapkannya pada datuk.

Haji Taslim Singasari kembali berdiri di tempat asalnya. Kerana saya membelakanginya, saya tidak tahu apa yang dilakukannya. Saya terdengar bunyi telapak tangan menampar pipi seseorang. Saya segera menoleh ke arah Haji Taslim Singasari, dia sedang berdepan dengan sesuatu yang aneh. Sukar untuk saya mentakrifkan benda tersebut, samada manusia atau binatang. Rupa dan bentuknya sukar sekali untuk ditentukan.

Apa yang pasti, bentuknya hitam dan besar. Tingginya melebihi paras kelapa dara. Besar tubuhnya lebih kurang tiga empat pemeluk pangkal balak. Kakinya, sebesar batang kelapa. Semuanya muncul dalam bentuk yang samar-samar menghala ke arah Haji Taslim Singasari.

Apa yang menakjubkan saya, Haji Taslim Singasari bersilat sendirian di tengah panas. Menepis kiri, menepis kanan. Sesekali Haji Taslim Singasari melompat tinggi dan kalanya berguling di bumi.

Setelah melihat gerak-geri Haji Taslim Singasari yang serba pantas dan cekap itu, ternyata dia mencampur-adukkan Silat Bangau Putih dengan Silat Harimau Betina Mati Anak. Setiap buah silat yang dilepaskan oleh Haji Taslim Singasari terkena sasaran yang dituruti dengan suara orang mengeluh dan mengaduh.

Saya mengigit bibir, saya cuma mendengar suara orang tetapi batang tubuhnya tidak kelihatan langsung. Dan bebayang hitam terus wujud di depan Haji Taslim Singasari dalam keadaan yang tidak jelas. Dalam keadaan saya terpegun kehairanan itu, Haji Taslim Singasari terus mengulingkan tubuhnya di tanah menuju ke arah saya. Sebaik saja sampai di kaki saya, dia terus bangun.

"Jangan renung saya, tumpukan perhatian ke depan. Jangan tengok saya. Mohon perlindungan dari Allah," itu yang dituturkan oleh Haji Taslim Singasari. Saya segera memalingkan wajah ke depan. Pada saat itu juga muncul di depan saya seorang lelaki tua yang sudah bongkok. Rambutnya yang putih terdampar atas dua sayap bahu. Janggut putihnya yang panjang menyentuh bumi.

Bila saya menggerakkan kedua belah bibir untuk mengucapkan salam, orang tua di depan saya terus menghayunkan tongkatnya ke arah kaki saya. Cepat-cepat saya melompat lalu melepaskan satu tumbukan ke bahunya. Tetapi tidak kena sasaran kerana orang tua itu mengelak dengan cepatnya lalu hilang dari pandangan saya.

"Bantu saya."

Saya dan datuk memalingkan muka ke arah suara tersebut. Haji Taslim Singasari sedang bekerja keras menghalang orang tua bongkok dari mencapai batu hitam.

"Bantu saya."

Ulang Haji Taslim Singasari. Bebayang hitam yang menakutkan itu sudah tidak kelihatan lagi. Saya segera meluru ke arah Haji Taslim Singasari, tiba-tiba datuk menerpa ke arah saya lalu menghalang perjalanan saya dengan menjatuhkan saya ke bumi.

Tuhan saja yang mengetahui sakitnya jatuh ke tanah. Saya cuba bangun tetapi tidak terdaya. Datuk menekan bahu kanan saya dengan jari kelingkingnya.

"Kenapa tuk?"

"Kamu tak layak campur tangan dalam urusan ini, kamu mesti belajar lagi."

"Pak Haji tu mesti ditolong tuk."

"Biar aku yang menguruskannya," kata datuk lalu memisahkan hujung jari dari kulit bahu kanan saya. Barulah tubuh saya bertenaga dan boleh digerakkan. Masa hujung jarinya menjamah bahu, seluruh badan terasa kebas dan seakan-akan lumpuh. Tidak berfungsi langsung.


HUJUNG


Mana ada logiknya sentuhan hujung jari kelingking boleh memberhentikan pegerakkan tubuh. Jadi, sudah pasti sentuhan yang dilakukan oleh datuk bukan sentuhan sebarangan. Bukan sekadar sentuh tetapi tenaga lain yang mengiringi sentuhan itu.

"Kamu duduk diam-diam di sini, Tamar," datuk mengingatkan saya dalam panas terik. Seluruh badan saya sudah dibasahi peluh. Saya tidak ada pilihan lain, melainkan anggukkan kepala tanda patuh pada perintahnya.

Dengan tenang datuk melangkah menuju ke arah Haji Taslim Singasari lalu berdiri dalam jarak dua tiga kaki dari arah belakang Haji Taslim Singasari.

"Apa boleh saya tolong Haji?"

"Awak bacalah surah yang boleh menjahanamkan syaitan."

"Saya cuba setakat yang saya boleh," jawab datuk lalu memeluk tubuh dengan sepasang mata merenung tajam ke arah orang tua bongkok bersama janggut yang menyentuh bumi. Orang tua itu menujah-nujahkan tongkatnya ke arah Haji Taslim Singasari dengan sekali-sekala merebahkan badannya untuk mancapai batu hitam kecil tersebut.

Setiap kali orang tua bongkok itu berusaha mengambil batu hitam, Haji Taslim Singasari pasti melangkah setapak ke depan dengan mulut yang berkumat-kumit. Entah apa yang dibacanya saya sendiri tidak tahu. Rupanya, setiap kali Haji Taslim Singasari melangkah, datuk juga melangkah dalam arah yang berlawanan.

Dan akhirnya orang tua bongkok yang tidak berubah tempat berada di tengah-tengah antara datuk dan Haji Taslim Singasari. Bila menyedari dirinya berada dalam keadaan terdesak, orang tua itu terus menghilangkan diri.

Datuk dan Haji Taslim Singasari saling berpandangan. Apa yang jelas, di wajah Haji Taslim Singasari tergambar kepuasan yang amat sangat. Datuk renung ke arah batu hitam yang kecil itu sejenak. Dia menggigit bibir.

"Pernah awak jumpa dengan orang tua itu sebelum ini, Haji," sambil meyapu peluh didahi, datuk ajukan pertanyaan.

"Pernah. Ada dua kali, masa arwah hidup. Orang tua tu datang jumpa arwah waktu Maghrib. Saya beri salam, dia tak jawab, bila terdengar suara azan Maghrib orang tua tu hilangkan diri," itu penjelasan Haji Taslim Singasari. Datuk anggukkan kepala.

Haji Taslim Singasari mengedutkan dahi luasnya sambil menggosok hujung jari beberapa kali. Saya segera berlari ke bawah pohon mempelam telur. Saya tidak sanggup berjemur lama-lama di tengah panas yang terik.

"Dia datang ke rumah awak buat apa, Haji?" terdengar suara datuk agak keras.

"Jumpa tuannya."

"Maksud Haji, si mati tu."

"Yalah, siapa lagi."

"Pernah dia berlawan dengan awak, Haji."

"Tak pernah, cuma hari ni dia buat perangai. Saya tahu benda tu nak cari perlindungan dan mahu menjadikan saya tuan barunya," cukup tenang Haji Taslim Singasari menuturkan kata-kata tersebut. Kemudian dia menyuruh datuk duduk mencangkung menghadapi batu kecil. Haji Taslim Singasari mengamati saya.

"Kamu juga duduk mencangkung mengadap batu tu," kata Haji Taslim Singasari sebaik sahaja saya mendekatinya. Cakapnya itu segera dipatuhi. Dan Haji Taslim Singasari sendiri turut duduk mencangkung menghadap batu hitam kecil.

"Batu ni, kalau tak dimusnahkan, banyak orang yang binasa. Terutama awak," Haji Taslim Singasari menghalakan jari telunjuknya ke arah datuk. Serta merta saya lihat wajah datuk berubah.

"Kenapa pula, Haji?"

"Arwah pernah mahu menggunakan batu ini untuk ditujukan pada awak, kalau kena kulit awak seluruh badan jadi hitam."

"Kenapa dia nak buat perkara tu pada saya," datuk minta kepastian. Haji Taslim Singasari tidak memberikan penjelasan yang konkrit.

"Saya sendiri pun tak tahu, kenapa perkara itu tak jadi dibuatnya pada awak. Ada juga dia beritahu saya, yang dia mahu menyuruh orang suruhannya yang taat pada perintah ketua, walaupun ketuanya sudah mati," Haji Taslim Singasari memberikan penjelasan untuk kali kedua. Satu keterangan yang dapat meyakinkan hati saya dan datuk.

Perlahan-lahan Haji Taslim Singasari mengangkat tangan kanannya. Dengan jari-jemari yang terkembang, telapak tangannya terus jatuh atas bahu datuk. Dan jari-jemari itu mencengkam erat kulit bahu datuk.

"Sekarang," Haji Taslim Singasari segera memisahkan telapak tangannya dengan bahu datuk, "sekarang kita mulakan tugas, batu hitam ini mesti dihancurkan," sambung Haji Taslim singasari lagi dengan wajah yang serius.

"Bagaimana caranya?" mendadak datuk menyoal.

"Sabar dulu sahabat, apa yang kita lihat tadi, semuanya bayang-bayang. Kita bertiga saja yang nampak. Orang lain tak nampak."

"Kenapa orang lain tak nampak?" secara spontan saya mengajukan pertanyaan. Buat beberapa detik Haji Taslim Singasari buat tidak kisah dengan apa yang saya tuturkan. Dia terus menepuk dada bumi sebanyak tujuh kali berturut-turut.

"Ha! Begini," cukup lantang suara Haji Taslim Singasari. Matanya merenung bumi, "sebabnya cukup mudah, aku ni sahabat karib arwah, kamu dan datuk kamu, musuh ketatnya. Dia datang kerana mahu menjadikan aku tuan barunya. Dia juga mahu membinasakan kamu dan datuk kamu," lanjut Haji Taslim Singasari. Dia juga menyuruh saya dan datuk mengepal tanah. Semua yang disuruhnya kami patuhi.

"Bangun."

Saya dan datuk segera bangun.

"Ikut saya, bila saya campakkan tanah ke batu hitam, awak berdua ikut sama. Kena campak sampai tujuh kali berturut-turut. Ingat, kita mesti ambil tanah serentak dan membalingnya serentak, sebelum dibaling ke batu baca Qul' aa'uzubirobbinnas..." selesai saja haji Taslim Singasari memberi penerangan datuk kenyitkan mata ke arah saya.


TAKUT


Kenyitan mata itu bermaksud supaya saya jangan merasa takut atau gentar. Hadapi saja apa yang datang, kecuali bila sudah terdesak barulah meminta pertolongan darinya.

"Bersedia."

Haji Taslim Singasari menjeling tajam ke arah datuk dan saya.

"Lontarkan."

Haji Taslim Singasari terus memulakan, lalu diikuti oleh saya dan datuk. Baru enam kali dilontarkan tanah ke batu hitam yang kecil itu, terdengar satu letupan yang tidak berapa kuat tetapi mengganggu kerja-kerja yang kami lakukan.

"Teruskan."

Datang ingatan dari Haji Taslim Singasari. Lontaran tanah berjalan terus. Genap tujuh kali dilontar terdengar lagi letupan yang tidak menyenangkan. Batu hitam kecil bertukar warna menjadi kekuning-kuningan. Dikelilingi api yang entah dari mana datangnya. Saya juga melihat asap nipis berada di permukaan batu itu.

Tanpa memberitahu apa-apa pada kami, Haji Taslim Singasari terus membongkok mengambil segenggam tanah (untuk kali yang kelapan). Saya dan datuk berpandangan kerana menyedari yang Haji Taslim Singasari sudah melanggar syarat.

"Kamu berdua ragu dengan aku," Haji Taslim Singasari renung muka datuk dan saya. Cepat-cepat saya dan datuk gelengkan kepala. Mata Haji Taslim Singasari terpaku ke wajah kami sejenak, seolah-olah membaca apa yang tersirat dalam kalbu saya dan datuk. Haji Taslim Singasari segera berdiri dan anggukkan kepalanya perlahan-lahan.

"Yang kelapan ini, biar aku uruskan. Dalam keadaan sekarang tidak semuanya boleh aku beritahu, bila dah selesai baru aku cakap," keterangan itu memang melegakan hati saya dan datuk. Haji Taslim Singasari terus mengkepal-kepalkan tanah dalam telapak tangannya. Dia terus membuka silat, kira-kira dua tiga minit lamanya. Haji Taslim Singasari berhenti dari bersilat. Berdiri lurus sambil memeluk tubuhnya erat-erat.

"Jangan tegur apa yang aku buat."

Datang lagi ingatan dari Haji Taslim Singasari. Dia buka ketayap putih di kepala dan mengeluarkan blangkon (songkok orang Jawa yang dibuat dari kain batik yang bahagian belakangnya terdapat benjolan) dari saku baju butang lima. Blangkon diletakkan atas kepala dan baju yang dipakai terus dibuka, dihamparkan atas tanah. Haji Taslim Singasari terus bersila di situ.

Dalam panahan matahari yang keras itu, saya lihat badan Haji Taslim Singasari berpeluh. Perutnya yang agak buncit kelihatan seperti terlekap pada pahanya.

"Bantu saya, kalau saya rebah."

Kata Haji Taslim Singasari itu terus terpahat dalam sanubari saya. Datuk saya lihat terus anggukkan kepala. Tetapi, kerdipan matanya dapat dilihat oleh Haji Taslim Singasari.

"Caranya mudah untuk menolong saya. Bila saya rebah, ambil apa juga ranting yang berdaun, pukulkan ke tubuh saya tujuh kali berturut-turut bersama dengan selawat," Haji Taslim Singasari bersuara lagi. Macam tadi juga, datuk tetap anggukkan kepala.

"Dengan izin Allah, kamu terus labur."

Tanpa membuang masa, Haji Taslim Singasari terus melontarkan tanah yang dalam genggamannya ke batu hitam yang berasap. Sebaik saja tanah dari lontaran ke lapan itu terkena batu hitam, warna kekuningan di batu bertukar menjadi putih. Api yang mengelilinginya terus hilang dan asap nipis juga turut hilang.

"Ah..."

Saya terkejut. Dalam keadaan cuaca yang panas terik itu, saya terlihat samar-samar sesusuk tubuh lelaki yang tingginya lebih dari tujuh kaki, berbadan besar.

Berdiri membelakangi saya tetapi menghadapi Haji Taslim Singasari. Batu hitam yang penuh misteri itu berada betul-betul di hujung kaki kanan lelaki berbadan besar itu.

"Allah juga yang Berkuasa, syaitan, jin dan manusia adalah ciptaannya. Tertakluk pada-Nya. Pada Allah juga aku memohon perlindungan," sambil bercakap Haji Taslim Singasari bangun perlahan-lahan. Dalam keadaan separuh berdiri, dia terus menepuk tangannya. Kemudian dia duduk bersila kembali.

"Prappp..."

Tujuh kali Haji Taslim Singasari menepuk tangannya. Selesai bertepuk tangan terdengar bunyi letupan yang beruntun. Batu hitam di hujung kaki kanan lelaki berbadan besar mula bergerak, berpusing sambil mengeluarkan cahaya api. Dan letupan yang beruntun itu datangnya dari batu kecil itu, bunyinya macam mercun. Perkara itu terjadi lebih kurang lima minit.

Kawasan tempat kami berdiri dipenuhi dengan asap tebal berwarna hitam. Bau kemenyan terus menusuk lubang hidung, saya terbatuk dua tiga kali. Asap tebal yang hitam itu berubah warna menjadi kelabu dan kian menipis. Dan akhirnya terus hilang. Bayang lelaki berbadan besar tidak kelihatan lagi. Begitu juga dengan batu hitam, tempatnya sudah digantikan dengan timbunan debu-debu halus yang menyerupai tepung gandum.

"Hal ini sudah selesai," tutur Haji Taslim Singasari pada datuk. Dua tiga kali bahu datuk ditepuknya. Debu di tempat batu hitam itu segera ditutup oleh Haji Taslim Singasari, dia menyarungkan baju butang lima ke tubuh. Menyimpan blangkon ke dalam saku dan mengenakan ketayap putih ke kepalanya.

"Kalau begitu biarlah kami beransur dulu," beritahu datuk pada Haji Taslim Singasari. Waktu datuk mahu memulakan langkah ada bayangan hitam legam seakan-akan melintasi depan datuk. Langkah datuk terhenti.

"Haji nampak apa yang saya nampak."

"Nampak, laknat tu mahu menghancurkan saya, bila dia gagal menjadikan saya tuannya."

"Perlukan bantuan saya Haji...?"

"Tak..." Haji Taslim Singasari tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia diganggu oleh kemunculan seekor monyet besar berwarna hitam. Tidak ada siapa yang tahu dari arah mana monyet itu muncul.

120. Diganggu Monyet Besar

Monyet itu merenung ke arah Haji Taslim Singasari, menunjukkan rasa benci dan marah sambil memperlihatkan gigi tajamnya yang putih. Monyet besar itu menderam dan bersedia mahu menerkam ke arah Haji Taslim Singasari.

"Hei beruk."

Mendadak saja datuk bertempik dengan lantang sekali. Saya terperanjat, begitu juga dengan Haji Taslim Singasari. Mungkin marah kerana diganggu, beruk besar itu segera mengalihkan perhatian ke arah datuk. Bersedia untuk menerkam dan merebahkan datuk.

"Kamu rapat kamu jahanam beruk."

"Gggrr..." beruk besar bersuara sambil kedua belah tangannya menepuk dadanya yang berbulu hitam lebat, buat beberapa kali.

"Haa..."

Datuk menyergah sambil menghalakan buku lima ke arahnya. Dan datuk mengacah untuk menerkam ke arahnya. Ternyata beruk itu tidak mudah digertak atau ditakut-takutkan.

Haji Taslim Singasari mengangkat tangan kirinya separas puting tetek sebelah kiri. Menjatuhkan perlahan-lahan dalam tiga tahap. Datuk memahami isyarat itu. Apa yang datuk lakukan seterusnya ialah, melangkah setapak ke depan sambil bersuara:

"Kamu rapat kamu jahanam."

"Rapat sahabat, rapat," Haji Taslim Singasari memberikan semangat.

"Serang dia datuk, serang," saya pula mencelah. Gabungan suara saya dengan Haji Taslim Singasari menjadikan suasana sekitar gamat sekali.

Dengan serta merta beruk besar itu membelakangi datuk. Kemudian dengan tidak semena-mena beruk besar itu lari ke arah sebelah kanan, masuk ke hutan kecil di situ. Semua pepohon di situ jadi perhatian saya. Dedahan dari pepohon tersebut nampak bergoyang. Beberapa helai daun muda berguguran, akibat digayuti oleh beruk besar. Anehnya! Beruk besar itu tidak kelihatan langsung. Entah ke mana ghaibnya.

Beburung yang tadi bernyanyi sambil berehat di reranting pokok segera berterbangan ke arah lain. Dedaun muda makin banyak yang berguguran. Bunyi dahan yang berlaga sama sendiri akibat di pijak oleh sesuatu jelas kedengaran. Suara beruk jantan juga dapat saya dengar tetapi, beruknya tidak kelihatan langsung.

"Pedulikan semuanya itu."

Itu yang dituturkan oleh datuk pada saya. Dengan rasa kesal saya alihkan pandangan ke arah datuk dan Haji Taslim Singasari.

"Ya, pedulikan semuanya itu," Haji Taslim Singasari menyokong pendapat datuk. Kami beredar ke arah kaki tangga. Kulit muka saya mula terasa pedih akibat dipanggang oleh sinar matahari yang kian terik. Datuk segera hulurkan tangan pada Haji Taslim Singasari.

"Terima kasih atas kerjasama awak," suara Haji Taslim Singasari agak tersangkut-sangkut. Datuk tunduk merenung tanah. Mungkin menahan kesedihan.

"Apa, haji boleh menghadapi semua masalah seorang diri."

"Saya cuba. Percayalah Allah lebih berkuasa atas segala-galanya. Cukuplah pertolongan yang awak beri," Haji Taslim Singasari memeluk tubuh datuk. Mereka berpeluk-pelukan sebentar. Kemudian tanpa disangka-sangka, Haji Taslim Singasari terus memeluk tubuh saya. Kepala saya digosoknya berkali-kali.

"Belajar dari datuk kamu," itu pesanannya untuk saya. Dan apa yang mampu saya lakukan ialah menganggukkan kepala beberapa kali. Datuk tersenyum dan Haji Taslim Singasari ketawa kecil. Penuh bangga dan simpati.

"Kalau begitu, biarlah kami berangkat dulu."

"Ya, silakan sahabat. Selamat jalan Tamar. Dengar cakap datuk kamu. Bila datuk kamu datang lagi ke sini, kamu mesti ke mari," saya kira tekanan nada suara begitu bersahaja sekali, orang tua yang banyak pengalaman itu menyembunyikan rasa hiba. Dan beberapa minit kemudian, saya dan datuk terus meninggalkan halaman rumah Haji Taslim Singasari.

Terima kasih Haji Taslim Singasari, terlalu banyak pengalaman yang saya rangkum ketika berlabuh di rumahmu. Semuanya ini akan saya jadikan teladan dan pedoman untuk masa akan datang. Sesungguhnya, engkau telah memberikan sesuatu yang tidak saya terfikirkan, sejak menjejakkan kaki di bumi Balik Pulau ini, bisik batin saya bersama langkah yang teratur.

Sesekali, saya toleh ke arah rumah Haji Taslim Singasari yang kian jauh saya tinggalkan.

"Cepat melangkah tu, buat apa toleh-toleh ke belakang, kamu bukan tak tahu, hari tengah panas terik," datuk seperti merungut. Saya tidak memberikan sebarang komen, selain dari mempercepatkan langkah.

Datuk membuat kejutan lagi, saya kira perjalanan terus kepada matlamatnya. Apa yang saya duga ternyata tidak tepat sama sekali. Datuk masih dengan perangai lamanya. Singgah di mana saja yang diingininya, terutama di rumah kenalan yang dianggapnya sebagai sahabat.

Begitulah datuk, dalam perjalanan menuju ke bandar dia singgah sebentar di rumah Pak Imam. Kedatangan datuk dan saya disambut dengan penuh hormat. Kami dihidangkan dengan air kopi dan kuih buah melaka.

"Makan tengah hari di sini," pelawa Pak Imam.

"Tak payahlah. kami nak cepat sampai ke Tanjung," datuk memberikan alasan, Pak Imam renung ke arah jam yang tergantung di dinding rumahnya.

"Baru pukul sebelas," kata Pak Imam, "Makan tengah hari, lepas Zuhur bertolaklah, orang rumah saya nak masak gulai ikan puyu, sambal buah macang, cicah dengan pucuk sanglang," begitu bersemangat Pak Imam bersuara.

"Lain kali saja, Pak Imam," datuk terus menolak.

"Ini permintaan saya, lain kali tu belum tentu dapat. Entah ada umur kita entah tidak," rayu Pak Imam.

"Kalau itu hajat Pak Imam, saya terimalah."

Senyuman yang panjang pun terukir di kelopak bibir Pak Imam. Diwajahnya terbayang kepuasan yang amat sangat. Tetamunya tidak menghampakan harapannya.


HARAPAN


Saat datuk menceritakan pengalaman aneh yang dialaminya ketika berada di rumah Haji Taslim Singasari, saya minta kebenaran darinya untuk berjalan di tanah dengan alasan untuk menghilangkan jemu.

Permintaan saya diperkenankan oleh datuk. Kepalang gembiranya hati saya dan kesempatan itu saya gunakan dengan sebaik-baiknya. Secara curi-curi saya meninjau ke arah rumah Masitah, anak saudara Pak Imam.

Lagi sekali hati saya dibungai kegembiraan, ada tanda-tanda yang menunjukkan hajat saya akan terkabul. Memang menjadi harapan saya, sebelum meninggalkan bumi Balik Pulau, saya mahu menatap wajah dan senyuman Masitah.

Didorong oleh keinginan mahu menatap wajah Masitah, saya pun mula terhendap-hendap dan menyusup di bawah pokok manggis yang berdaun lebat.

Saya sandarkan badan di situ sambil menarik nafas kelegaan. Secara tidak disangka-sangka saya terpandangkan Masitah yang sedang menjemur kain di ampaian. Sinaran matahari yang memancar keras, membuatkan kulit muka Masitah jadi kemerah-merahan.

Saya mula langkah ke arah pokok langsat pula. Jarak saya dengan Masitah tidaklah begitu jauh. Tetapi, saya masih enggan memperlihatkan diri, masih bersembunyi di balik pokok langsat.

"Syyyyhhhhh..."

Saya segera membunyikan isyarat, cepat-cepat Masitah angkat kepala, renung kiri, renung kanan dengan pandangan yang liar. Dia berhenti menjemur kain dan wajahnya nampak cemas sedikit. Masitah renung ke arah pokok langsat dan saya segera menunjukkan diri.

Masitah buat tidak peduli dengan saya. Dia terus jemur kain. Saya melangkah lagi, jarak saya dengan Masitah bertambah dekat dan saya pun jual senyum padanya. Hati saya bertambah sakit. Masitah buat tak kisah.

"Saya nak balik."

"Baliklah, kenapa bagi tahu saya. Datang dulu tak bagi tahu saya pun," hati saya bertambah sakit mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Masitah.

"Sombong sangat ni," kata saya lagi.

Masitah menjeling tajam ke arah saya bersama sebuah senyum yang sukar ditafsirkan maknanya. Apakah itu senyuman suka atau benci?

Badan saya berpeluh, bukan kerana panas, tetapi kerana rasa takut. Takut kalau gadis Balik Pulau yang kaya dengan adat ketimuran itu memecahkan rahsia. Memberitahu kaum keluarganya tentang perangai saya yang buruk. Kalaulah hal ini terjadi, lambat laun perkara itu akan sampai juga ke pengetahuan datuk dan saya terpaksa menanggung malu yang bukan kepalang.

Dalam keadaan yang resah gelisah itu, saya dapat satu akal. Saya keluarkan pensil dan selembar kertas dari dalam saku seluar saya. Tujuan saya bawa kertas itu untuk mencatatkan alamat Masitah. Bila melihat pada sikap Masitah yang lain itu, ternyata apa yang saya inginkan, tidak akan terlaksana. Saya harus bertindak segera sebelum kehampaan menjelma.

"Heiii..."

Saya segera mengangkat tangan ke arah Masitah yang merenung tajam ke arah saya. Masitah yang sedang mengembangkan kain jemuran terakhir segera menggelengkan kepala. Tidak bersedia mahu mematuhi permintaan saya. Masitah segera sidai kain terakhir. Kemudian dia melangkah ke arah rumahnya. Hati saya berdebar tidak tentu arah.

"Hiss nantilah dulu."

Sengaja saya tinggikan suara. Masitah tak jadi melangkah. Segera menoleh ke arah saya sambil mengangkatkan kepalanya dua tiga kali. Dia seolah-olah mengajukan pertanyaan: Ada apa?

Reaksi yang saya berikan ialah dengan menunjukkan kertas dan pensil ke arahnya. Masitah senyum. Dengan tergesa-gesa saya menuliskan nama dan alamat pada kertas. Saya selitkan kertas itu pada ranting keduduk bercabang tiga.

"Jangan lupa ambil tau," kata saya.

Tidak ada jawapan dari Masitah. Tetapi apa yang jelas dia mengangguk. Ertinya, dia bersedia mematuhi arahan dari saya.


TUGAS


Saya kira tugas besar dan berat telah saya laksanakan. Cepat-cepat saya tinggalkan pokok langsat, melangkah tenang menuju ke rumah Pak Imam. Entah macam mana, saya tersepak seketul kayu. Saya tidak dapat mengimbangi tubuh. Saya terjatuh, bunyi tubuh menghempap bumi dan reranting kering dapat didengar oleh Pak Imam dan datuk. Mereka segera menuju ke muka pintu dan merenung ke arah saya yang tergesa-gesa bangun.

"Apa yang kamu cari dalam semak samun tu, Tamar," datuk yang berdiri di ambang pintu mengemukan pertanyaan. Dia bersedia mahu melangkah turun.

"Tak payah turun, dia tak apa-apa," Pak Imam menahan.

Datuk duduk kembali.

"Apa yang kamu cari di situ?" datang lagi pertanyaan dari datuk. Ternyata datuk tidak puas hati. Pertanyaannya saya tidak jawab.

"Tadi saya nampak biawak di situ, saya terus kejar," jawapan untuk melepaskan batuk ditangga, saya berikan pada datuk. Pak Imam terasa sangsi dengan jawapan yang saya berikan. Ini dapat saya baca melalui memek mukanya.

"Disini jarang ada biawak, entahlah pula hari ni ada biawak," suara isteri Pak Imam lantang dari arah dapur. Kata-kata itu saya rasakan seperti menyindir saya. Dengan muka yang tebal saya berdiri di kaki tangga.

"Sudahlah Tamar, naik saja ke rumah," Pak Imam cuba menghilangkan rasa serba salah dalam diri saya. Dengan tenang saya naik ke rumah. Duduk di sudut, menghala ke dapur. Apa yang saya buat, semuanya tidak kena, saya rasa Pak Imam bagaikan tahu dengan apa yang telah saya lakukan.

Begitu cepat masa berlalu.Tepat jam dua belas lebih, hidangan makan tengah hari pun tersedia. Semuanya amat menyelerakan. Lepas makan dihidangkan pula pengat pisang.

"Sempat awak buat semuanya ini," kata Pak Imam bila melihat isterinya mengatur piring pengat pisang di depannya.

"Bukan saya yang buat," kata isteri Pak Imam.

"Kalau bukan awak, siapa yang buat?"

"Masitah, dia ada di dapur tolong membasuh."

"Hum..." kata Pak Imam dan terus menikmati pengat pisang abu, "Sedap, makanlah Tamar, apa malu-malu. Si Masitah buat pengat memang handal," sambung Pak Imam sambil merenung ke arah saya. Lagi sekali, saya tersipu dengan sikap Pak Imam itu. Saya rasakan dia menyindir saya lagi.

"Ah, banyak sangat ni," kata saya dalam usaha menghilangkan rasa serba salah.

"Rasa dulu, lepas tu mesti kamu makan sampai habis," tanpa diduga datuk bersuara. Datuk terus menikmati pengat pisang.

Datuk dan Pak Imam sudah pun menikmati pengat pisang dari hasil kerja Masitah. Saya masih belum memulakannya.

"Silakan," tutur Pak Imam.

"Cepat Tamar, kita nak balik jauh," datuk pula seperti mendesak. Dan saya pun memulakannya. Memang sedap. Dalam saya asyik menikmati pengat pisang, saya terdengar suara Masitah. Cepat-cepat saya panggungkan kepala lalu merenung ke dapur.

Masitah, bentak batin saya setelah melihat kelibatnya di ruang dapur. Bila saya mahu merenung untuk kedua kalinya, datuk mula berdehem.

"Kau nak balik Masitah," terdengar suara isteri Pak Imam.

"Ya," pasti itu suara masitah.

"Malam ni datang lepas Isyak, Pak Imam nak ajar kita tentang rukun sembahyang," terdengar lagi suara isteri Pak Imam.

"Saya datang, emak juga datang," sahut Masitah.

Hati saya bagaikan digaru-garu mahu segera bangun dan berdiri di muka tingkap mahu melihat Masitah yang ayu melangkah pulang kerumahnya. Sebagai anak muda yang ada maruah dan harga diri, sudah tentu perkara semacam itu tidak dapat saya lakukan.

"Kita sembahyang di masjid," Pak Imam memberikan cadangan, setelah berehat lebih dari setengah jam (selepas makan tengah hari). Masa berehat yang setengah jam itu dipenuhi dengan perbincangan dan perdebatan berhubung dengan perkara agama dari datuk dan Pak Imam. Secara tidak langsung pengetahuan saya turut bertambah. Setidak-tidaknya saya mengerti beberapa patah perkataan Arab.

"Saya setuju," datuk memberikan kata putus. Memang sudah direncanakan setelah menunaikan fardhu Zuhur, saya dan datuk akan meneruskan perjalanan ke Tanjung. Segala beg dan barang datuk terpaksa dibawa bersama. Masa saya menyarungkan sepatu, saya terus mencuri pandangan ke arah rumah Masitah. Perkara itu saya lakukan dengan hati-hati dan teliti sekali. Jangan sampai dapat dikesan oleh Pak Imam atau datuk.

Saya masih beruntung, mata saya masih dapat menangkap bentuk tubuh Masitah berdiri di balik perdu durian yang berada di sempadan antara tanah milik ayahnya dengan tanah milik Pak Imam. Masitah memakai baju kurung merah dengan kain warna coklat. Dia merenung ke arah saya.


TUNDUK


Dengan keadaan tertunduk kerana mengikat tali kasut, saya terus menjeling ke arah Masitah dengan ekor mata. Entah mengapa gadis yang berkulit putih itu benar-benar mempengaruhi hati saya.

Meskipun loghat Pulau Pinang yang diucapkannya sering membuat saya tersenyum panjang. Mungkin kerana tidak mahu menunggu saya yang mengambil masa agak lama mengikat tali kasut, datuk dan Pak Imam beredar menuju ke kepala jalan.

Ini peluang yang cukup baik. Saya segera tegakkan tubuh dan merenung dengan tepatnya ke arah Masitah. Paling menggembirakan hati, Masitah tidak lagi berdiri di balik pokok durian. Dia berdiri di tengah lapang. Saya lambaikan tangan kearahnya. Lambaian saya dibalasnya.

"Balik dulu," kata saya.

Masitah tidak menjawab. Dia cuma senyum sambil mengerak-gerakkan tangan yang membawa makna yang dia akan menulis surat kepada saya berpandukan pada alamat yang saya berikan padanya.

"Bagus."

Tutur saya sambil menegakkan ibu jari.

"Aheeemmm."

Saya segera angkat kepala. Renung ke arah tingkap sebelah kanan. Isteri Pak Imam berdiri di situ. Tanpa berkata apa-apa, saya terus berlari ke arah datuk dan Pak Imam yang berdiri di kepala jalan.

Sampai di kepala jalan, saya toleh ke arah pokok durian. Masitah sudah ghaib. Agaknya, dia melarikan diri kerana tidak mahu perbuatannya dikesan oleh isteri Pak Imam. Sepanjang perjalanan menuju ke masjid, hati saya menyanyi riang.

Setelah menunaikan sembahyang Zuhur, Pak Imam menghantar saya dan datuk ke perhentian bas Balik Pulau. Datuk meninggalkan pesan pada Pak Imam supaya mempengaruhi Mat Prai, agar dia sering pergi ke masjid, selalu membuat sedekah dan amal jariah. Nampaknya, pesanan itu disambut oleh Pak Imam dengan baik sekali.

"Dengan izin Allah, saya cuba tunaikan. Itupun kalau dia datang ke sini."

"Saya faham, saya mahu bila dia balik bercuti atau datang ke sini di musim durian, dia mesti buat amal ibadah, jangan mengejar duit saja. Kalau Pak Imam tak menegurnya, siapa lagi yang nak diharapkan," kata datuk.

Bas pun bergerak meninggalkan perhentian. Dalam perjalanan yang membosankan itu, saya terus berangan-angan, menikmati zaman kegemilangan bersama Masitah.

Saya bayangkan yang kami berlari di gigi pantai. Membiarkan buih-buih ombak menyentuh kaki. Kemudian, kami terjun ke laut lalu berenang melawan ombak. Angan-angan yang tidak bertepi itu terus membungsung tinggi dalam kepala saya.

Akhirnya saya terlena. Tidak tahu apa yang terjadi, samada di dalam perut bas atau di luar. Saya terjaga bila bahu saya digoncang oleh datuk berkali-kali. Bila saya buka mata, perut bas sudah kosong. Pemandu dan penjual tiket sudah berada di sebuah warung.

"Bangun, kamu tidur macam orang mati."

Saya diam. Tidak memberikan sebarang komentar atas kata-kata yang datuk luahkan. Dalam keadaan yang lesu saya terus bangun sambil menggosok-gosok kelopak mata.

"Kalau dah makan tak sedarkan dunia, inilah akibatnya kena angin bas terus tertidur, macam anjing mampus," datuk terus merungut.

Macam tadi juga, saya tidak berani bersuara. Terus melangkah menuju ke pintu bas. Bila berada di luar baru terasa panas. Saya dan datuk terus menuju ke pengkalan. Dari situ kami menaiki feri menuju ke tanah besar.

Datuk membatalkan hasratnya untuk mengunjungi rumah Mat Prai kerana kesuntukan masa. Kerana kesuntukan masa juga, datuk naik teksi menuju ke Taiping. Dari Taiping menuju ke kampung baru naik bas. Menjelang Maghrib kami sampai di rumah.

Nenek menyambut kepulangan kami dengan wajah yang riang. Dia menyambut buah tangan dari datuk yang dibeli di bandar Taiping. Datuk juga sembahyang Asar di Taiping. Saya ingat sebelum menaiki bas, datuk pergi membeli belah di kedai yang menjual buah-buahan. Datuk juga membeli beberapa helai kain pelikat dan dua helai kain batik untuk nenek. Hadiah-hadiah itu membuat nenek gembira.


MALAM


Seperti selalu, setiap kali pulang dari perjalanan yang jauh, pasti saya menceritakan pada nenek hal-hal yang dialami. Dan malam itu, secara kebetulan saya tidak ikut datuk berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid. Datuk memang ada mengajak saya kerana ada guru agama mengajar Tauhid tetapi saya menolak dengan alasan penat. Alasan itu dapat diterima oleh datuk.

Selepas menunaikan fardhu Isyak, saya terus mendekati nenek yang duduk bersila di tengah ruang. Cukup tenang nenek mengunyah sirih. Bibir kecutnya nampak merah. Saya pun bercerita padanya tentang apa yang dialami ketika berada di Pulau Pinang. Bila sampai bahagian cerita yang menakutkan, wajah nenek nampak cemas. Bila ada kisah lucu nenek ketawa.

"Tapi Tamar."

Nenek behenti mengunyah sirih. Tepak sirih yang berada di hujung lutut segera ditolaknya ke tepi. Matanya merenung tajam ke arah saya. Debaran cemas bersama perasaan ingin tahu mula menyelubungi hati saya.

"Kenapa nek?"

Nenek tersenyum. Masih keberatan untuk menceritakan sesuatu pada saya. Dia terus mengunyah sirih dengan seenak-enaknya.

"Kenapa nek?"

"Masa kamu sama datuk tak ada di rumah ni, nenek tak pernah merasa aman. Belum pernah nenek berdepan dengan masalah yang sepelik ni, pada hal dulu datuk kamu keluar sampai berbulan-bulan, tak ada yang mengacau. Tapi kali ini, lain macam pula," nenek memulakan ceritanya. Bila saya mendekatinya, nenek tidak meneruskan cerritanya. Ini membuat saya resah.

"Apa yang nek nak ceritakan ni," saya mula mendesak. Nenek lunjurkan kedua belah kakinya.

"Setiap malam, macam ada orang datang, orang berjalan dan bercakap diluar rumah. Kadang-kadang terdengar bunyi orang makan," lanjut nenek. Tiba-tiba saja bulu tengkok saya tegak berdiri.

"Selalunya, pukul berapa nek dengar?"

"Pukul dua belas malam ke atas," terang nenek bersahaja, "Bila nenek buka pintu dan keluar, keliling rumah bawa suluh tak ada apa yang nenek nampak," sambung nenek lagi. Di wajahnya tidak terbayang keresahan.

Saya terdiam sejenak. Apakah perkara yang dialami oleh nenek itu ada hubungannya dengan kejadian di rumah Haji Taslim Singasari? Apakah syaitan-syaitan peliharaan Suhaimi Keraba boleh sampai ke sini? Tahu pula yang nenek ni isteri datuk. Mungkin ada makhluk-makhluk lain yang sengaja mahu mengacau nenek? Semuanya itu timbul dalam tempurung kepala saya.

"Nenek tak minta tolong, tak beritahu hal ini pada orang lain," saya mengajukan pertanyaan. Mata saya liar merenung ke kiri dan ke kanan. Rasa takut terus bersarang di sudut hati.

"Buat apa beritahu orang."

"Apa pasal nek cakap macam tu."

"Kadang-kadang perkara macam ni, susah orang nak percaya."

"Tak percaya tak apa, asalkan diberitahu, setidak-tidaknya ada juga perhatian orang pada rumah ni."

"Buat apa menyusahkan orang kerana kita."

"Hum..." saya melepaskan sebuah keluhan. Bosan dengan perangai nenek yang tidak jauh bezanya dengan perangai datuk.

"Sekarang benda-benda tu tak datang lagi nek?" saya minta kepastian. Sesungguhnya, saya memang tidak mahu perkara-perkara ganjil seperti itu datang mengacau nenek yang sudah tua.

"Entah, hilang begitu saja," balas nenek.

"Nenek tentang?"

Nenek gelengkan kepala dan terus mengunyah sirih. Saya lihat nenek seperti mahu menghabiskan cerita itu hingga ke tahap itu saja. Dia seperti mahu melupakan saja, sudah pasti saya kurang senang dengan tindak-tanduk nenek itu.

"Apa yang nenek buat, cakaplah," saya cuba merayu.

"Eh, kamu ni, aku tak buat apa-apa. Dia mengamuk diluar, aku baca Yaasin di rumah, aku sembahyang Tahajjud. Aku buat seperti apa yang selalu aku buat. Biarlah dia nak bertendang, berterajang atau bersilat di luar rumah."

"Haa..." mulut saya terlopong.

"Apa lagi Tamar."

"Tak ada apa-apa nek," sahut saya. Entah mengapa perkara sebodoh itu saya tanyakan pada nenek. Kenapa saya terlupakan yang nenek itu isteri datuk. Sebanyak sedikit sudah tentu datuk mencurahkan ilmu pada isterinya. Setidak-tidaknya untuk perlindungan dirinya. Saya segera menarik nafas dalam-dalam. Tidak lama kemudian datuk pulang dari masjid. 

121. Tetamu Cacat

Datuk buka baju teluk belanga lalu disangkutkan pada paku dinding. Seperti selalu, datuk terus duduk bersandar sambil mendirikan lutut sebelah kanan. Beberapa saat kemudian nenek pun meletakkan secawan kopi pahit di depannya. Datuk tidak segera meminumnya. Dia hanya melihat asap nipis di permukaan cawan.

"Ramai orang di masjid?"

"Tak seberapa," datuk terus menghirup kopi pahit, "Begitulah selalunya, tak ramai orang yang mahu belajar di masjid, orang lebih suka tengok Fun Fair," sambung datuk dengan nada kesal.

Cara kebetulan pula di pekan kecil sudah sminggu diadakan Fun Fair. Macam-macam pertunjukkan diadakan yang dapat memikat hati orang-orang di tempat saya.

"Memang begitu adat hidup. Dunia dilebihkan, akhirat buat endah tak endah. Maklumlah, dunia nampak, alam akhirat tak nampak," ujar nenek lalu memicit buah betisnya.

Datuk tidak memberikan sebarang komentar terhadap kata-kata yang nenek tuturkan. Dengan tenang datuk mengangkat cawan lalu menghirup kopi pahit. Saya sudah pun merebahkan badan di lantai, sejak datuk meneguk kopi pahit pertama. Sengaja saya rapatkan kedua belah kelopak mata. Biar nenek dan datuk menyangkakan yang saya sedang tidur.

"Rasa-rasanya, aku nak ke Jambi. Rindu nak tengok kaum keluarga, saudara mara di sana. Aku rindukan tanah jambi," hasrat yang datuk luahkan itu membuatkan saya membuka kedua belah kelopak mata dengan luas.

"Kita faham niat awak, kita tak menghalangnya, hubungan kaum keluarga, kata orang macam air sungai, dicincang tak putus, Tapi, ada...," nenek tidak meneruskan kata.

"Ada apa?" datuk pun menegakkan badannya. Biji matanya tepat merenung wajah nenek. Seolah-olah memaksa nenek supaya menyambung segera kata-kata yang terputus itu.

"Awak tu, tak sekuat dulu lagi. Awak bukannya muda, cuma itu saja yang saya nak ingatkan," nenek pun angkat muka lalu bola matanya terpaku ke wajah datuk.

"Awak takut saya mati?"

"Tak pula, kerana saya tahu, mati tu adalah hak Allah."

"Habis apa yang awak bimbang dan takutkan."

"Awak nak ke Jambi tu nak naik apa, kapal terbang atau kapal laut?" soal nenek lagi. Tidak ada jawapan dari datuk. Dia hanya tunduk merenung lantai sambil menghela nafas perlahan-lahan.

Ternyata seperti ada sesuatu yang bermain dalam kepala datuk, ekoran dari pertanyaan yang nenek kemukakan.

"Nak ikut apa?" ulang nenek lagi.

Tidak ada jawapan dari datuk dan baki air kopi pahit dalam cawan segera dihirupnya. Kemudian datuk lunjurkan kaki kanannya. Datuk seperti keberatan untuk menjawab pertanyaan dari nenek, macam ada sesuatu yang ingin datuk sembunyikan dari perempuan yang tertonggok didepannya.

Saya yang sedang baring terus pasang telinga. Saya juga ingin mendengar jawapan dari datuk. Bunyi cengkerik berdendang di luar cukup rancak. Angin yang bertiup terus menjatuhkan reranting yang kering ke bumi. Suara kucing jantan cukup nyaring memanggil kucing betina.

"Aku nak ke Jambi dengan kapal laut," secara mengejut datuk bersuara. Kaki yang dilunjur dirapatkannya kembali. Silanya diperkemaskan.

"Sungguh-sungguh awak nak ke jambi."

"Tentu," datuk anggukkan kepala.

"Bila agaknya awak nak pergi?"

"Bila semua urusan selesai baru sedap berjalan."

"Pergi seorang saja?"

"Berdua."

Nenek terus membeliakkan biji matanya.

"Awak nak bawa saya?"

Tanya nenek, cepat-cepat datuk gelengkan kepala.

Nenek ambil sirih, pinang, kapur dan gambir. Semuanya disatukan lalu disumbat dalam gobek. Dengan tenang nenek menggobek sirih.

Saya kira sambil menggobek sirih, nenek memerah otak memikirkan siapakah kawan karib datuk yang bakal menemaninya ke tanah Jambi.

"Siapa kawan awak tu," nenek berhenti menggobek sirih.

"Siapa lagi...," datuk terus diam. Dia menggeliat untuk menghilangkan rasa lenguh di pangkal belikatnya.

"Agaknya awak nak bawa cucu kita, si Tamar," nenek terus menyerkap jarang.

"Memang begitulah hajat di hati, mahu aku perkenalkan si Tamar dengan kaum keluarga di seberang. Aku tak mahu dia kehilangan akar umbi keturunannya. Biar dia kenal siapa dirinya dan dari mana asal-usulnya," datuk bersuara penuh semangat.

Bila datuk mengakui yang dia memang berhasrat mahu membawa saya ke tanah seberang. Saya semacam tidak sedar terus bangun dan duduk bersila merenung muka datuk dan nenek. Saya masih mengharapkan kata-kata selanjutnya yang bakal keluar dari kedua kelopak bibir datuk dan nenek.

"Wah! tengok si Tamar ni, sebut pasal nak berjalan dari tidur terus bangun," nenek menghalakan matanya ke arah saya.

"Maknanya dia pura-pura tidur, bukan apa tu, dia nak mengelakkan dari disuruh membaca Quran. Perbuatan macam tu tak ada untungnya Tamar, apa faedahnya menipu diri sendiri," sampuk datuk tanpa merenung ke arah saya.

Tebal rasa kulit muka bila kena sindir macam tu. Apa mahu dikata, salah sendiri terpaksa ditanggung malu.

"Pergi tidur dalam bilik," herdik datuk.

"Baik tuk," saya segera akur dengan cakap datuk.


REBAH


Nenek hanya melihat telatah saya yang tergesa-gesa masuk ke bilik tidur. Saya tidak merebahkan diri di atas katil. Saya lekapkan telinga kanan ke dinding untuk mengikuti perbualan selanjutnya antara datuk dan nenek.

"Budak tu cukup nakal, makin besar makin menjadi nakal," itulah komen nenek terhadap saya.

"Budak lelaki memang begitu, suka membantah cakap. Kalau kena cara cakap dan minta mahu mendengar kata. Suruh apa saja, sanggup dibuatnya. Tamar tu boleh dibentuk lagi untuk menjadi manusia," datuk membela saya.

Saya senyum sendirian, megah kerana ada orang yang bersedia mempertahankan diri saya. Bukan kepalang gembiranya rasa di hati, bila datuk memuji saya di depan nenek.

Dan saya mula faham, begitu tinggi sekali harapan datuk pada saya. Keseronokan yang melonjak-lonjak terus terbantut, bila teringatkan ungkapan dari datuk berbunyi: Tamar tu boleh dibentuk lagi untuk jadi manusia.

Wah! ini sudah keterlaluan. Apakah batang tubuh saya yang wujud ini, bukannya manusia? apakah saya ini binatang yang bertubuhkan manusia? datuk sudah melampau, secara mendadak saya jadi marah. Kalau ikutkan hati, mahu rasanya papan dinding saya tumbuk, biar tercabut.

Dalam mengawal perasaan itu, saya cuba membaca surah Al-Fatihah tiga kali. Ketenangan datang dalam diri saya dan saya mula memikirkan ada maksud tertentu dari ungkapan yang datuk luahkan itu.

Telinga terus saya lekapkan ke dinding. Saya mengalami kekecewaan yang amat sangat. Datuk dan nenek tidak lagi memperkatakan tentang hal yang ada hubungannya dengan niat datuk mahu pulang ke Jambi. Mereka membawa persoalan lain, mereka memperkatakan tentang tanah sawah, kebun getah, amal ibadah dan hal-hal yang bersangkut-paut dengan kematian. Saya cukup hampa dengan tindakan datuk dan nenek itu.

Saya pun rebahkan sekujur tubuh atas katil, saya mula memikirkan tentang perjalanan ke Jambi dengan kapal laut membelah Selat Melaka.

Kalaulah benar, datuk bersedia membawa saya ke tanah Jambi, saya akan memujuk datuk agar membawa saya ke Palembang untuk melihat puncak Bukit Seguntang tempat Wan Empuk dan Wan Malini berhuma padi. Saya juga teringin sekali mahu melihat Sungai Mati yang membelah Palembang. Semoga cita-cita dan impian terlaksana.

"Bolehkah dipercayai cakap datuk tu?"

Timbul pertanyaan dalam hati saya di malam yang dingin. Saya terdengar bunyi jam gantung berdenting sepuluh kali. Perbualan datuk dengan nenek tidak serancak tadi. Saya menguap, sekejap saya melentang, sekejap saya meniarap dan sekejap mengiring. Entah mengapa saya resah tak menentu.

"Agaknya, saya terpengaruh dengan cerita datuk mahu membawa saya ke Jambi, inilah sebabnya saya resah tak menentu dan tak mahu tidur," begitulah saya membuat ramalan dalam hati. Saya terus bangun duduk atas katil sambil memeluk sepasang lutut. Macam-macam yang saya fikirkan tentang kampung halaman datuk di Jambi.

Suburkah bumi Jambi dengan tumbuhan. Sombongkah anak buah datuk. Kasarkah gerak-geri mereka dan celuparkah mulut anak buah datuk di sana. Dapatkah saya menerima mereka sebagai kaum keluarga yang masih mempunyai pertalian darah dengan datuk, sedangkan saya tidak pernah mengenali mereka secara dekat, tidak mesra.

Mungkin cara mereka berfikir dengan saya tidak sealiran. Jangan-jangan bahasa yang diucapkan tidak saya fahami. Dapatkah saya menerima mereka saya yang telah dipisahkan oleh Selat Melaka. Semuanya bergolak dalam dada saya.

"Disana ada sungai, ada jambatan, nanti kau dah besar tuk bawa ke sana," teringatkan dialog yang terjadi antara saya dengan datuk ketika saya mula bersekolah dulu.

"Sungai itu apa namanya tuk?"

"Sungai Batanghari."

"Jambatannya nama apa tuk?"

"Aur Duri, dibuat dari besi, nantilah kamu besar datuk bawa kamu ke sana."

"Lembu di sana, serupa dengan lembu di sini tuk."

"Tentulah sama," datuk terus ketawa panjang. Barangkali dia merasa amat lucu dengan pertanyaan saya itu.

Saya tersenyum mengingati ketololan diri sendiri. Saya menguap panjang. Dan mata saya terasa amat berat sekali. Saya hilang keinginan untuk mengikuti perbualan antara datuk dengan nenek, saya terus menarik gebar untuk menghilangkan rasa dingin yang menguasai sekujur tubuh. Dan sesungguhnya, setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.


RUANG


Bila saya bangun untuk menunaikan solat Subuh, saya dapati ada seorang lelaki duduk di ruang tengah.

Lelaki itu memakai songkok hitam, berbaju cekak musang dengan kain selendang membalut sebahagian dari dadanya. Memakai pelekat berpetak empat, macam petak papan catur.

Waktu saya lalu disisinya, lelaki itu tidak angkat muka. Tunduk merenung lantai macam orang bertafakur. Datuk berdiri dikirinya dengan pakaian yang lengkap untuk berjemaah Subuh di masjid.

Kerana dia tidak menghiraukan saya, saya pun tidak menegurnya. Saya teruskan perjalanan ke bilik air. Setelah mandi dan ambil air sembahyang, lagi sekali saya lalu diruang tengah. Saya dapati lelaki dan datuk sudah tiada lagi di situ. Pada hemat saya, pasti kedua-duanya menuju ke masjid.

Setelah menunaikan solat Subuh, saya terus mendapatkan nenek yang sedang menjerang air di dapur.

"Ada orang baru datang ke rumah kita nek? siapa orang tu?" saya kemukakan soalan pada nenek. Sakit juga hati bila nenek buat tidak kisah dengan pertanyaan yang saya ajukan padanya. Saya ulangi pertanyaan itu beberapa kali, barulah nenek bersuara.

"Entah, aku tak kenal siapa dia, Tamar."

"Masa bila dia datang nek?"

"Kalau tak silap dekat pukul sebelas malam tadi. Pada mulanya datuk kamu terdengar bunyi orang berjalan di luar, tidak lama kemudian, pintu rumah kita diketuk berkali-kali," nenek memperjelaskan cerita sebenar dengan harapan keraguan yang berada dalam hati saya akan berakhir.

"Kemudian tuk suruh dia masuk. Bukan begitu nek?" tingkah saya, nenek pun segera anggukkan kepala.

"Itu silap besar, membenarkan orang yang kita tak kenal bermalam di rumah kita," saya luahkan protes.

"Tuk kamu bukannya bodoh, dia fikir buruk baiknya dulu sebelum menerima orang tu bermalam di sini. Kau tahu Tamar, orang tu cacat."

"Cacat," saya terkejut besar lalu membeliakkan biji mata.

"Ya," angguk nenek.

"Tadi saya nampak elok sempurna."

"Kamu tengok sekali lalu, macam mana kamu boleh kata begitu," dari nada suaranya itu, ternyata nenek kesal dengan sikap saya.

Buat beberapa saat saya tidak bersuara. Biarkan perasaan nenek kembali tenang. Kalau banyak soal nanti dia naik darah. Kalau nenek sudah naik darah nanti puntung kayu api naik ke muka saya. Nenek buka tingkap bahagian dapur. Cuaca di luar nampak samar-samar. Kokok ayam masih kedengaran sekali-sekala. Di kaki langit ada kilau cahaya yang mula bangkit.

"Apa cacatnya nek?"

Nenek menarik nafas lambat-lambat. Diwajahnya terpancar rasa simpati yang amat dalam terhadap tetamu yang kurang saya restui itu.

"Dia jalan merangkak, ampun maaf cakap, berjalan macam biawak."

"Pelik, kenapa macam tu. Apa kata tuk tentang cara dia berjalan tu nek," saya berminat sekali untuk mengetahui keganjilan yang terjadi pada diri lelaki tersebut.

"Tak ada apa-apa katanya, cuma dia kesian saja."

"Hairan juga saya, macam mana dia terus datang ke rumah kita nek?"

"Itu kau kena tanya tuk kamu, dia melayan orang tu bercakap berjam-jam malam tadi. Lepas aku menghidangkan air kopi dan kuih, aku terus masuk bilik, aku mengantuk," tutur nenek dengan tenang.

Nenek terus taruh kopi dan gula ke dalam teko lalu disusuli dengan air panas. Nenek kacau air panas dengan sudu hingga kopi dan gula bersatu. Bau air kopi yang menyegarkan itu terus menusuk lubang hidung, saya kian terangsang untuk minum kopi.

"Kamu minum dulu."

Nenek tuang kopi panas ke dalam cawan. Tanpa membuang masa lagi saya terus menghirupnya.

"Kalau nak makan goreng pisang tunggu sekejap lagi," ujar nenek lagi sambil mengangkat goreng pisang dari kuali dan diletakkan atas para dengan tujuan untuk menyejukkannya.

"Tak apa nek, dapat air kopi ni pun dah cukup baik," kata saya.

"Baiknya kamu pagi ni Tamar," nenek menyindir.

"Saya cakap ikhlas nek, nenek buat goreng pisang ni untuk orang cacat tu?"

"Ya," angguk nenek.

Tanpa diminta, sambil bercerita bagaimana tetamu cacat itu datang. Pada mulanya, datuk keberatan mahu mengizinkan tetamu cacat itu bermalam di rumah. Tetapi, setelah dirayu dan diterangkan tujuan sebenarnya, barulah datuk membenarkan tetamu cacat itu masuk ke rumah.

"Apa alasannya nenek?" saya memotong cakap nenek.

"Katanya, sudah berbulan-bulan dia mencari rumah datuk kamu, dia mendapat tahu dari orang tertentu yang datuk kamu berkebolehan, kerana itu dia mencarinya."

"Waktu malam datang ke rumah," cemuh saya.

"Begitulah, kalau dah berhajat."

"Orang mana nek?"

"Entah, nenek tak tahu."

"Hum..." keluh saya.

Saya terus minum baki kopi panas yang masih ada dalam cawan. Saya kira, selesai saya minum nanti nenek akan menyambung kembali cerita tentang tetamu cacat tersebut.


SALAH


Perkiraan saya tidak salah lagi. Sebaik saja saya meletakkan cawan atas meja. Nenek duduk bersila di depan saya.

"Khabarnya orang jauh," nenek memulakan cerita.

Ternyata cerita yang mahu bermula itu, mati setakat itu saja. Disekat oleh kepulangan datuk dan tetamu cacat.

"Bukakan pintu Tamar, mereka dah balik dari masjid," suruh nenek.

Tanpa tangguh-tangguh lagi saya menerpa ke pintu dengan harapan mahu melihat tentang kecacatan yang dialami oleh tetamu baru itu. Pintu saya buka, saya lihat datuk tercegat di halaman, sedangkan tetamunya merayap memanjat tangga.

Tetamu itu menggunakan kekuatan sepasang tangannya untuk mengheret tubuhnya naik tangga rumah. Apa yang saya lihat membuat saya tergamam dan terkejut.

"Kenapa tercegat di situ!" pekik datuk.

Saya terkejut dan terus menuju ke ruang dapur mendapatkan nenek yang sudah mengaturkan piring untuk goreng pisang dan cawan atas talam.

"Apa yang bising tu, Tamar?" nenek renung muka saya.

"Tuk marah saya berdiri di depan pintu."

"Tak manis melihat orang cacat macam tu, sepatutnya lepas kamu buka pintu, kamu berubah ke tempat lain."

"Kesian dia, nek."

"Sekarang kamu dah tahu kenapa tuk kamu membenarkan dia bermalam di rumah kita," tutur nenek dengan renungan yang sayu ke arah dinding dapur. Mungkin ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepala nenek.

Bila nenek sudah yakin yang datuk dan tetamu cacat sudah sampai dan duduk di ruang tengah. Nenek pun mengarahkan saya supaya membawa makanan pagi ke ruang tengah. Cakapnya segera saya patuhi. Setelah hidangan itu diletakkan, saya segera angkat kaki untuk ke dapur kembali.

"Tamar."

Langkah saya terhenti. Wajah datuk saya renung.

"Kamu duduk di sini, minum sama kami," sambung datuk lagi.

"Tapi cawannya ada dua saja tuk," saya mencari helah.

"Nanti aku suruh nenek kamu bawa lagi dua cawan," datuk segera bangun menuju ke ruang dapur. Dan datang kembali ke ruang tengah bersama dengan nenek memmbawa dua cawan kosong.

Saya gagal menjauhkan diri dari datuk. Saya tidak ada pilihan lain lagi. Samada suka atau tidak saya terpaksa akur dengan cakapnya. Saya duduk dekatnya, tetamu cacat tunduk merenung lantai, dia kelihatan seperti takut mahu melihat batang hidung saya. Bila saja nenek selesai menuangkan air kopi ke dalam cawan, dia segera beredar ke dapur.

Saya sandarkan badan ke dinding sambil mengarahkan sepasang anak mata ke tingkap yang terdedah. Saya lihat suasana di luar cukup cerah. Matahari yang kian meninggi terus memancarkan cahaya, kicau burung bersahut-sahutan.

"Silakan minum, Khoja Lisut."

"Ya, terima kasih."

Tetamu cacat segera angkat cawan lalu menghirup kopi. Saya mengalami kejutan yang kedua. Bibir tetamu cacat kelihatan terbelah dua dan lidahnya berwarna putih. Dia tidak menghirup kopi tapi menjilat. Mungkin kerana menyedari yang perbuatannya jadi tumpuan saya, tetamu cacat segera berhenti minum kopi. Dia angkat muka lalu renung ke arah saya.

"Jangan terkejut nak, memang begini cara pak cik minum," katanya tersekat-sekat.

"Kerana ini jugalah pakcik dibuang keluarga, ditinggalkan oleh anak bini pak cik," sambungnya dalam nada suara yang penuh kehampaan.

"Khoja Lisut, tak usahlah bercerita apa-apa pada cucu saya tu, minum dan makan dulu," datuk bertindak kerana dia menyedari kalau dibiarkan Khoja Lisut meneruskan percakapan, mungkin Khoja Lisut akan menangis.

Bagi datuk memang pantang tujuh keturunan, kalau orang bertandang menangis pagi di rumahnya. Perbuatan itu seolah-olah menyuruh rezeki lari jauh dari tuan rumah disamping menggambarkan yang tuan rumah tidak bersyukur pada Tuhan yang menjadikan waktu pagi yang indah.

Selain dari itu, perbuatan tetamu menangis pagi dirumah orang yang didatangi seolah-olah mendoakan tuan rumah dan keluarganya supaya hidup dalam bahaya dan pendek umur.

Entah dari mana pantang larang dan petua itu dikutip oleh datuk. Kata nenek, petua dan pantang larang itu telah diwarisi oleh datuk dari nenek moyangnya. Entah berapa keturunan. Apakah pantang larang, petua dan petunjuk sedemikian mesti dilanjutkan di abad-abad yang akan datang? ingin saya bertanya demikian pada datuk. Tetapi, tidak pernah saya ajukan, saya takut dimarahinya.

Sarapan pun berakhir, cawan dan piring kosong saya bawa ke dapur. Saya segera memberitahu datuk yang saya mahu menemani nenek ke kebun pisang.

"Tak payah, nenek kamu boleh uruskan," sanggah datuk.

"Saya nak tolong dia petik mentimun, cabai dan sayur."

"Tak payah, nenek kamu boleh buat."

"Saya nak tengok jerat di tepi hutan."

"Biar aku beri tahu nenek kamu untuk menengoknya."

"Eh, saya nak tengok bubu di sungai."

"Semuanya sudah aku cakapkan pada nenek kamu, dia boleh selesaikan kerja tu, kita cuma tunggu waktu makan saja," datuk begitu serius. Apalagi mahu saya katakan. Semua helah dan dalih ditolak mentah-mentah oleh datuk.

"Tamar, hari ini kamu kena tolong datuk dari pagi hingga petang, boleh jadi sampai ke malam," cukup tenang datuk bertutur. Matanya terpaku ke wajah saya.

"Pertolongan apa tu tuk."

"Bukan masanya, sekarang bukan masanya kamu nak bertanyakan hal itu, tunggu saja perintah aku," saya dapat merasakan ada riak kemarahan dalam hati datuk berdasarkan pada tekanan suaranya.


RANCAK


Bila melihat datuk dalam keadaan demikian, saya segera mengambil sikap membisu, tunggu serta lihat. Apa juga perintahnya pasti saya turuti.

Saya perhatikan, sejak tadi datuk tidak begitu rancak berbual dengan tetamu cacat. Datuk lebih banyak termenung sambil melihat ke dada langit, macam ada sesuatu yang difikirkannya. Sesekali wajah datuk berkerut dan cemas.

"Kita ke kebun pisang, duduk berborak di pondok," datuk luahkan arahan.

"Pak cik Khoja macam mana, tuk?"

"Ha, ikut sama."

Saya menarik nafas panjang. Terbayang di kepala bagaimana susahnya si tetamu cacat merangkak ke sana. Apa datuk mahu menyeksanya? tidakkah datuk tahu jarak antara kebun pisang dengan rumah hampir satu batu. Ini kerja gila.

"Kita pimpin dia," datuk memecahkan kebuntuan dalam kepala saya. Tapi, cara itu juga tidak praktikal. Memimpin orang cacat sejauh itu memang menyulitkan.

"Siap," datuk renung saya.

"Baik," kepala segera saya angguk.

Datuk masuk ke kamarnya dan keluar dengan memakai seluar hitam. Kain pelekat besar dijadikannya samping. Bila sudah berpakaian demikian, ertinya ada tugas tertentu yang bakal dilaksanakan oleh datuk. Saya lihat datuk memasukkan kain lilit kepalanya ke dalam saku baju. Dan dia mengenakan kopiah putih di kepala.

"Ayuh, tunggu apa lagi, Tamar."

Saya segera turun, begitu juga dengan tetamu cacat terpaksa menyusur tangga dengan hati-hati. Bila kami sampai ke bawah baru datuk turun. Saya bersedia mahu memimpin tetamu cacat.

"Tak payah," datuk menolak saya ke tepi sebelah kanan.

Datuk terus membongkok lalu mengangkat tetamu cacat, diletakkan atas kedua belah bahunya.

"Aku bawa dia," katanya pada saya.

Saya anggukkan kepala. Mungkin kerana tidak mahu perbuatannya diketahui oleh orang-orang kampung, datuk mengambil keputusan ikut jalan pintas yang agak sukar menuju ke kebun pisang. Terpaksa melalui denai di pinggir belukar. Saya sering saja tersepakkan akar-akar pokok dan adakalanya saya terjatuh.

Datuk tidak kisah dengan apa yang terjadi pada saya. Dia jalan terus seakan-akan berlari, saya tercungap-cungap memburunya dari belakang. Sampai saja di pondok pisang sesikat datuk terus letak Khoja Lisut atas lantai pondok yang dibuat dari buluh. Khoja Lisut segera mengisut ke tengah pondok. Datuk terus menuju ke perigi membasuh muka. Saya naik ke pondok.

"Kenapa tuk bawa pak cik Khoja ke sini."

"Memenuhi syarat."

"Syarat apa?" saya bertambah hairan.

"Syaratnya, pak cik boleh menceritakan dari mana pak cik datang dan sebab-sebab pak cik jadi begini di pondok yang berlantaikan buluh, atap rumbia dan berdinding separuh."

"Begitu," saya menarik nafas dalam-dalam. Syarat-syarat yang dikehendaki itu ada di pondok pisang sesikat yang didirikan oleh datuk.

"Di rumah tak boleh ke, pak cik?" saya mula mencungkil rahsia darinya sebelum datuk naik ke pondok.

"Tak boleh, kalau buka rahsia di rumah yang elok, alamatnya pak cik bertambah susah," jelas Khoja Lisut.

Selesai saja Khoja Lisut bercakap, datuk pun sampai dari perigi lalu naik ke pondok. Beberapa minit kemudian nenek muncul membawa beberapa helai pucuk pisang yang masih hijau serta kendi berisi air. Semua barang-barang itu diserahkan pada datuk. Saya kira perkara ini bukannya kebetulan tetapi, telah dirancang lebih awal antara datuk dengan nenek. Mereka merahsiakan perkara ini dari saya.

Semasa penyerahan barang-barang itu dilakukan, datuk dan nenek tidak bertentang wajah. Masing-masing renung ke arah yang berlainan. Tidak bercakap walaupun sepatah.

Nenek meninggalkan kami, dia meneruskan tugasnya memetik putik jagung, mentimun, daun salang, cekur manis. Bila tugas itu selesai nenek turun ke sungai melihat lukah. Semuanya itu diadunkan menjadi bahan makanan tengah hari yang amat menyelerakan.

"Kamu macam mana sekarang Khoja? sudah bersedia untuk menceritakan segala-galanya seperti yang kamu janjikan, semua syarat yang kamu minta sudah aku sediakan," datuk pun mengemaskan silanya.

"Saya sudah bersedia."

"Tamar, kamu duduk di sini, barangkali ada perkara yang dapat kamu bantu aku," begitu tajam biji mata datuk menyorot wajah saya. Cepat-cepat saya mengangguk. 

122. Mengaku Keturunan Hang Jebat

Bunyi kicauan burung punai tanah cukup rancak, angin yang bertiup tenang memberikan kesegaran pada saya. Sesekali terdengar sayup-sayup bunyi kokok ayam hutan di hujung kebun.

“Kamu sebenarnya, bukan anak jati Pasir Besar, Gemas Negeri Sembilan. Kamu dah berbohong pada aku Khoja,” sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawanhnya, datuk renung batang hidung Khoja Lisut.

Saya melihat muka Khoja Lisut pucat, dia resah tidak menentu. Sekejap renung lantai buluh, sekejap renung ke arah saya dan pepohon di luar. Apa yang dilakukan semuanya tidak kena.

“Aku maafkan, tapi hari ini kamu mesti berterus terang, jangan jadikan diri kamu manusia munafik,” sambung datuk, hati Khoja Lisut lega, saya lihat mukanya merah kembali. Sikap tidak tentu arahnya terhenti. Saya kira, sekarang dia merasa bahagia dan seronok sekali. Datuk sudah memaafkan perbuatannya yang terlanjur.

“Sekarang berceritalah kamu dengan jujur tentang diri kamu dari A sampai Z,” datuk luahkan permintaan.

“Baik,” sahut Khoja Lisut.

“Bagus,” balas datuk.

”Tapi saya terpaksa duduk atas pucuk pisang, kendi berisi air mesti diletakkan di hujung lutut sebelah kanan,” Khoja Lisut mengajukan syarat. Tentu saja syarat itu dipenuhi oleh datuk. Saya pun diarahkan oleh datuk untuk membuat segala-galanya.

Sebaik saja Khoja Lisut duduk atas pucuk pisang, dia membuka bajunya. Lagi sekali saya terkejut melihat kulitnya yang bersisik macam sisik tenggiling, terutama di bahagian rusuk dan belakang. Khoja Lisut segera menarik kulitnya yang bersisik itu lalu diletakkan atas pucuk pisang.

Semua gerak-gerinya itu diperhatikan oleh datuk dengan penuh teliti. Saya lihat Khoja Lisut bergerak atas pucuk pisang macam tenggiling (merangkak). Pucuk pisng habis hancur. Kelakuan aneh itu berlangsung kira-kira lima minit.

Sambil bergerak itu, Khoja Lisut melepaskan nafasnya macam bunyi nafas binatang yang merayap. Lidahnya terjelir menjilat-jilat air atas pucuk pisang. Kelopak matanya bergerak-gerak macam kelopak mata ular.

”Inilah yang saya tanggung selama ini, benda pelik ini datang dalam waktu begini, waktu matahari bertambah tinggi,” tutur Khoja Lisut. Bila dia pulih dari keadaan ganjilnya. Dia duduk bersila atas pucuk pisang yang sudah koyak rabak itu. Saya kira waktu itu lebih kurang pukul sepuluh pagi. Khoja Lisut menyarungkan kembali baju ke tubuhnya.

NORMAL

Keadaan diri Khoja Lisut kembali normal. Tidak terdapat tanda-tanda yang sebentar tadi dirinya berada dalam keadaan tidak normal. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Dua tiga kali dia menelan air liur sambil memandang ke arah datuk. Khoja Lisut pun memperkemaskan duduk dan silanya. Dia pun berkisah tentang riwayat dirinya :

Dia adalah pendekar terkenal di Pulau Rupat yang terletak di perairan kepulauan Riau. Dari Pulau Rupat hingga ke Tanjung Pinang dia buka gelanggang silat, jumlah anak muridnya bukan kepalang.

Kehandalannya diakui, ramai pendekar silat dari Bukit Tinggi, Teluk Batung Bangka, Kerinci dan Jambi ditewaskannya dalanm gelanggang. Ilmu persilatannya cukup tinggi, ilmu akhirat juga tidak kurang dalam dadanya.

Tubuhnya tidak mampan peluru, tidak mampan senjata tajam. Tahan dibakar dan direndam. Sebulan sekali dia datang ke Johor, Negeri Sembilan dan Melaka mengembangkan ilmu silatnya. Dia datang ke negeri-negeri di pantai barat Tanah Melayu melalui pantai. Dia menggunakan bot nelayan untuk datang ke tempat tersebut.

Dia pernah diuji dengan tembakan senapang kampung berlaras dua. Bertalu-talu tembakan dilepaskan ke tubuhnya. Semua tidak mendatangkan apa-apa kesan. Peristiwa itu berlaku ketika dia berada di Serkam, Melaka.

Ujian ke dua berlaku di Air Mawang Johol, Negeri Sembilan. Dia diserang dengan sepuluh lembing dari sepuluh anak muda, kemudian diikuti dengan tikaman keris dan tetakan parang panjang bertalu-talu. Walaupun dia dapat mengesan dan kenal dengan orang-orang yang menyerang, dia tetap bersikap mengalah. Masih memaafkan musuhnya, tetap bersikap merendahkan diri.

Kerana sikapnya, bukan sikap ayam jaguh orang yang memusuhinya bertukar menjadi rakannya yang paling karib. Bersedia susah dan senang bersamanya. Dan Khoja Lisut secara perlahan-lahan mengembangkan pengaruh dalam bidang persilatan.

”Walaupun dia ditawarkan tanah, rumah dan isteri oleh para pengikut-pengikutnya, dia tetap menolak. Dia tidak bersedia menetap di bumi Tanah Melayu. Dia merasa lebih seronok dan bahagia berulang-alik dari Pulau Rupat ke Melaka atau Negeri Sembilan.

”Kamu memang hebat, datuk segera memotong cakapnya. Khoja Lisut terperanjat, mungkin dia merasa kurang seronok bila cakapnya dipintas oleh datuk dengan cara yang mengejutkan. Tetapi, Khoja Lisut tidak memperlihatkan kemarahannya. Dia menghadiahkan senyuman pada datuk dan saya.

”Semua orang kata saya gagah dan kuat, tak ada seorang pun yang dapat melawan saya. Akibatnya saya lupa diri dan menanggung sakit yang tak diketahui puncanya, tak ada ubat dan penawarnya,” sambung Khoja Lisut, dia seakan-akan menyesali dengan apa yang terjadi atas dirinya.

Datuk menggigit bibir sambil merenung ke arah pepokok pisang yang subur di kawasan sekitar pondok. Khoja Lisut terus mencabut kulit tubuhnya yang bersisik. Diaturkannya atas daun pisang.

”Pakcik kena sumpah?” saya bertanya.

Pertanyaan saya tidak dijawab.

”Barangkali kamu ada membuat sesuatu pada orang yang tidak melakukan kesalahan atas diri kamu, susul datuk.

Khoja Lisut menegakkan badannya. Dia mengeliat, gerak tubuhnya tidak ubah macam tenggiling yang bergerak atas permukaan bumi. Sesekali dia mengeluarkan lidahnya untuk membasahkan kelopak bibirnya.

”Kira-kiranya begitulah, semuanya terjadi kerana saya tidak dapat mengawal rasa marah saya,” dengan wajah yang tenang dan selamba Khoja Lisut meluahkan kata-kata.

”Kamu mencari aku kerana nak berikhtiar, nak menghilangkan penyakit yang kamu tanggung,” tanya datuk lagi.

Khoja Lisut tarik nafas dalam-dalam. Lagi sekali dia menelan air liur sambil meraba-raba hujung dagunya dengan telapak tangan kirinya.

”Memang begitulah hajat saya,”

”Dari siapa kamu tahu tentang aku Khoja.”

”Beberapa tahun dulu, awak pernah datang ke daerah Batu Pahat, awak pernah menolong menyelesaikan beberapa masalah di sana. Dari orang-orang yang terbabit itulah saya tahu diri awak,” jelas Khoja Lisut.

”Itu sebabnya awak cari aku, tapi kenapa datang waktu malam,” soal datuk lagi.

PONDOK

Kali ini, dua tiga kali Khoja Lisut meraba-raba lehernya dengan tangan kanan. Dia mengisut perlahan-lahan ke pintu pondok.

Duduk termanggu di situ buat beberapa saat. Dia merenung dedaun pisang, merenung tanah dan rerumput di kaki tangga pondok. Kemudian kembali ke tempat asal dia duduk tadi.

”Kerana keadaan saya begini, saya terpaksa berjalan malam mencari rumah awak. Kalau saya datang siang mungkin timbul macam-macam cerita,” jelas Khoja Lisut.

Macam mana dari Pasir Besar ke mari? Awak berjalan waktu malam juga, macam tak yakin saya dengan cerita awak ni,” sanggah datuk sambil merenung muka Khoja Lisut.

”Saya guru silat, anak murid saya ramai, merekalah yang menguruskan saya ke mari. Awak tahu, malam saya sampai ke rumah awak tu, saya dihantar oleh ayah kepada anak murid saya yang bekerja di Melaka.”

’Siapa nama ayah anak murid awak tu, Khoja.”

”Tak payahlah saya beritahu. Apa yang peliknya walaupun anak murid saya yang di Melaka tu berasal dari kampung ini tetapi, dia tak tahu langsung tentang kebolehan awak,” cukup bersemangat Khoja Lisut bercerita.

”Sudahlah tu, sekarang saya nak tahu apa yang telah kamu lakukan pada orang yang tidak bersalah,” datuk seperti mendesak. Dan ternyata kali ini, Khoja Lisut tidak dapat berdalih itu ini lagi.

”Kalau saya ceritakan keburukan saya, apakah kisah tu tak diceritakan pada orang lain,” cukup pintar Khoja Lisut menjerat.

”Tidak,” balas datuk.

”Bila sudah cerita keburukan saya, apakah awak bersedia menolong saya.”

”Menolong orang lain dalam kesusahan, memang kerja saya. Membahagiakan orang adalah salah satau amal jariah yang baik dan memang digalakkan umat Islam melakukannya,” begitu bersemangat datuk bersuara.

Dan Khoja Lisut pun meriwayatkan sebab-sebab dia jalan merangkak macam tenggiling. Menurut Khoja Lisut, orang-orang kampungnya menyebutnya sebagai terkena kenan tenggiling. Begini ceritanya :

Dia telah diajak oleh anak muridnya ke Asuhan di daerah Batu Bara, di Sumatera. Anak muridnya itu telah memperkenalkan dirinya pada orang-orang kampung tentang kehebatan gurunya. Beberapa orag pendekar setempat telah menguji Khoja Lisut, ternyata tiada seorang pun yang dapat menewaskannya.

Cerita Khoja Lisut tersebar ke seluruh pelosok kampung. Ramai yang datang menemuinya. Mereka mempelawa Khoja Lisut membuka gelanggang untuk anak-anak muda setempat belajar ilmu mempertahankan diri. Kerana sudah ramai yang mendesak, akhirnya Khoja Lisut berjanji pada penduduk akan datang pada minggu depan iaitu pada hari Jumaat untuk membuka gelanggang.

Pada hari yang dijanjikan itu, Khija Lisut bersama dua orang kanannya yang tidak kurang handalnya pun sampai di Asahan. Bila semua anak muda berkumpul, Khoja Lisut pun memulakan upacara membuka gelanggang dengan jamuan makan pulut kuning yang disediakan oleh pihak yang mengundangnya. Setelah itu, Khoja Lisut meriwayatkan tentang ilmu persilatan yang diwarisinya itu.

Khoja Lisut menyatakan pada penduduk setempat bahawa ilmu silat yang ada pada dirinya itu adalah silat yang diamalkan oleh Hang Jebat yang berdarah panas. Khoja Lisut menekankn juga Hang Jebat adalah anak jati Pulau Rupat dan berhijrah ke Melaka dalam usia sepuluh tahun lebih.

Hang Jebat ke Melaka kerana mengikut ayahnya yang menjadi pedagang cengkih dan lada. Di Melaka Hang Jebat berkenalan dengan Hang Tuah serta beberapa orang lagi rakannya.

Semasa menjadi hulubalang Melaka, Hang Jebat sering pulang ke Pulau Rupat dan menyebarkan ilmu silat kepada penduduk setempat. Salah seorang dari orang yang menuntut ilmu persilatan itu ialah moyang Khoja Lisut yang secara kebetulan mempunyai pertalian keluarga dengan Hang Jebat.

Cerita yang dikatakan oleh Khoja Lisut membuat orang-orang setempat kian kagum pada dirinya. Lewat tengah hari barulah Khoja Lisut mengajar langkah pada anak-anak muda di situ. Lebih kurang baru belajar mengatur gerak dan petua terdengar bunyi tabuh di masjid dipalu orang. Khoja Lisut tidak ambil kisah tentang itu dia terus mengajar silat.

Beberapa orang anak muda mula bergerak meninggalkan tempat beljar untuk menuju ke masjid.

”Pantang saya, kalau baru belajar mahu meninggalkan tempat,” sergah Khoja Lisut terhadap anak-anak muda yang mula mahu meninggalkan gelanggang. Anak-anak muda itu membatalkan niat mereka mahu pergi ke masjid. Kembali ke tempat asal.

”Kiai lalu,” terdengar suara dari beberapa orang nak muda yang duduk di bawah pohon ketapang, tidak jauh dari tempat Khoja Lisut memberi penerangan tentang ilmu persilatannya.

Biji mata anak-anak muda yang bersuara itu tertumpu ke arah seorang tua yang kurus tinggi, membawa tongkat, memakai songkok tinggi, berbaju melayu potongan Johor. Berkain samping warna putih sama dengan warna seluar dan baju yang dipakainya.

DUDUK

Orang tua yang berbadan kurus dan tinggi itu datang ke arah anak muda yang duduk di bawah pokok ketapang.

Anak-anak muda tersebut cuba melarikan diri, tetapi hasrat itu tidak terlaksana kerana orang tua yang mereka sebut Kiai itu menunjukkan wajah persahabatan.

”Apa kamu semua buat di sini?” Tanya Kiai.

”Tengok orang belajar silat.”

”Apa kamu semua tak tahu, waktu Jumaat dah masuk.”

”Tahu pak Kiai.”

”Kalau sudah tahu kenapa duduk di sini, lagi pun kamu semua tak belajar silat, sekarang pergi balik dan siap, kemudian datang masjid,” perintah orang tua yang berbadan kurus tinggi itu.

”Macam mana yang belajar tu Pak Kiai,” salah seorang dari anak muda di situ melahirkan protes. Pak Kiai segera menoleh ke arah sekumpulan anak muda yang sedang asyik melihat Khoja Lisut bercakap sambil mengatur langkah silat.

”Itu biar Pak Kiai uruskan.”

Orang tua yang kurus tinggi itu pun segera melangkah ke arah kumpulan anak muda yang sedang mengelilingi Khoja Lisut. Dua orang pengawal peribadi Khoja Lisut melihat dengan hati-hati langkah Pak Kiai.

”Kenapa berkumpul di sini, seruan untuk sembahyang Jumaat dah dihebahkan, apa kamu semua tak dengar, jangan jadikan diri kamu isi neraka,” cukup lantang suara Pak Kiai. Matanya terus menatap wajah anak-anak muda yang agak terkejut dan tersipu-sipu melihat kedatangan Pak Kiai yang tidak diduga itu.

”Kami belajar untuk menyelamatkan diri,” sahut salah seorang dari anak muda yang duduk tidak jauh dari Khoja Lisut.

”Kalau iapun, kamu semua mahu belajar ilmu mempertahankan diri, janganlah sampai mengabaikan perintah Allah,” lanjut Pak Kiai sambil menekankan tongkatnya ke dada bumi. Ternyata lelaki tua yang sudah menjangkau usia lebih dari lapan puluh tahun itu sudah kepenatan.

Dia menarik nafas sambil mengumpulkan tenaga untuk meneruskan kata-kata selanjutnya terhadap anak-anak yang masih duduk terlonggok di depannya.

”Kamu semua balik dan kemudian datang ke masjid,” Pak Kiai mengeluarkan arahan. Dua orang pengawal peribadi Khoja Lisut mula mendekati Pak Kiai. Bersedia untuk melakukan apa saja kalau orang tua itu banyak cakap dan banyak perintah.

”Sembahyanglah, Jumaat hanya datang seminggu sekali dalam diri kita, kalau kita persia-siakan Jumaat yang datang, kita rugi besar, Jumaat hari ini, tidak akan ada dalam hari Jumaat yang akan datang,” itu yang dituturkan oleh Pak Kiai pada kedua orang pengawal peribadi Khoja Lisut.

Dari jauh, Khoja Lisut memberikan isyarat agar dua orang pengawal peribadinya menjauhkan diri dari Pak Kiai. Perintah Khoja Lisut segera dipatuhi.

”Kami baru belajar Pak Kiai, pantang tengah belajar berhenti, Pak Kiai,” terdengar suara dari kumpulan anak muda yang mengelilingi Khoja Lisut. Pak Kiai yang kepenatan terus mengesat peluh di dahi dengan sapu tangan. Panas tengah hari yang terik itu membuat Pak Kiai cepat terasa penat dan letih.

”Siapa guru kamu,” tanya Pak Kiai.

”Saya.”

Dengan serta merta Khoja Lisut menerpa ke arah Pak Kiai, bagaikan helang menyambar anak ayam. Dia berdiri di depan Pak Kiai. Direnungnya muka Pak Kiai yang sudah berkedut seribu itu.

Sengaja disiku-sikunya bahagian kiri tubuh Pak Kiai. Orang tua itu tetap bersikap tenang. Tidak memperlihatkan sikap marah. Masih menghulurkan tangan untuk bersalam. Khoja Lisut sambut huluran tangan itu. Bila telapak tangan Pak Kiai berada dalam genggamannya, cepat-cepat dia memulas tangan Pak Kiai. Ternyata kesakitan itu tidak datang pada diri Pak Kiai. Dia masih tersenyum. Khoja Lisut melepaskan telapak tangan Pak Kiai.

”Suruh anak-anak murid kamu bersurai, tunaikan perintah Allah dulu, lepas itu teruskan apa yang mahu kamu ajarkan pada mereka, sesungguhnya niat kamu baik, tapi cara menyampaikannya agak terpesong, tuan guru,” begitulah kata-kata yang diluahkan Pak Kiai. Khoja Lisut tersenyum dan terus menyinggung perut Pak Kiai dengan siku kirinya. Pak Kiai membongkok menahan kesakitan.

”Ajaklah anak-anak murid kamu ke jalan yang baik, ajaklah mereka ke rumah Allah. Ajaklah mereka sembahyang Jumaat, masa masih ada lagi,” tutur Pak Kiai bila rasa sakit di perutnya hilang.

”Itu urusan aku, buka urusan kamu orang tua.”

”Tapi, apa yang aku cakapkan tadi, adalah urusan agama Islam yang menyuruh saling mengingati antara sama lain untuk kebaikan.

”Diam,” pekik Khoja Lisut.

Dia terus menolak Pak Kiai hingga jatuh terduduk di bumi.

Melihat kejadian itu, kumpulan pemuda yang pada mulanya mahu berguru dengan Khoja Lisut mula resah dan cemas. Mereka kurang senang bila melihat Khoja Lisut bercakap keterlaluan terhadap orang tua yang mereka hormati, orang tua yang telah dinobatkan sebagai ulama kampung yang berkeliber.

Kumpulan pemuda kampung mula berpecah, satu puak yang selama ini memang kurang senang dengan sikap Pak Kiai yang selalu menegur perbuatan mereka yang dikira bertentangan dengan ajaran Islam, segera menyebelahi Khoja Lisut. Manakala satu pihak lagi berada di pihak Pak Kiai.

”Awak sudah keterlaluan buat orang tua,” seorang anak muda menangkap tangan kanan Khoja Lisut yang mahu melepaskan penumbuk ke arah Pak Kiai yang baru bangun. Belum pun pemuda itu berbuat apa-apa, kedua orang pengawal peribadi Khoja Lisut segera menangkap pemuda tersebut lalu diangkat dan dicampak ke dala kubang berbau yang berdekatan.

Beberapa orang pemuda lain yang menyebelahi Pak Kiai segera menyerang dua orang pengawal peribadi Khoja Lisut. Semua pemuda yang menyerang itu tewas di tangan pengawal peribadi Khoja Lisut yang berbadan tegap. Kedua-dua pengawal peribadi itu adalah dari keturunan Batak yang berasal dari Tanah Karo, tetapi sudah lama menetap di Pulau Rupat.

”Kamu jangan masuk campur, biar aku selesaikan urusan ini dengan situa nak mampus, ulama katak bawah tempurung,” cukup nyaring suara Khoja Lisut. Pengawal peribadinya segera ke tepi, begitu juga dengan pemuda yang menyebelahinya.

Khoja Lisut melepaskan pukulan silat yang bertubi-tubi ke arah Pak Kiai. Sebagai usaha mempertahankan dirinya, Pak Kiai menggunakan tongkatnya. Masa Khoja Lisut melancarkan serangan bertalu-talu ke arahnya, Pak Kiai segera mengangkat tongkatnya separas dada. Entah macam mana hujung tongkat Pak Kiai terkena bahagian kemaluan Khoja Lisut.

JATUH

Buat beberapa saat Khoja Lisut jatuh ke bumi, berguling-guling sambil melolong menahan kesakitan. Semua orang yang berada di situ terpegun melihat pendekar silat tergolek-golek di bumi.

”Maafkan saya, saya tak niat nak buat apa-apa,” Pak kiai menerpa ke arah Khoja Lisut dan cuba mahu menolongnya. Belum pun Pak Kiai memberikan bantuan, Khoja Lisut terus melepaskan tendangan yang kencang ke arah Pak Kiai.

Khoja Lisut terus bangun dan melancarkan serangan silat yang bertubi-tubi ke arah Pak Kiai. Orang tua yang sememangnya tidak bertenaga itu hanya mengucapkan kata-kata : Allah Hu Akhbar setiap kali menerima buah silat dari Khoja Lisut. Akhirnya, Pak Kiai tergolek lembik macam batang pisang.

Tubuh Pak Kiai pun diangkat oleh para pemuda kampung yang bersimpati dengannya. Ternyata tangan dan kaki Pak Kiai patah. Mulutnya keluar darah. Pakaiannya habis koyak rabak. Ketika tubuh Pak Kiai diusung ke rumahnya suara azan Jumaat berkumandang di udara.

Itulah sejarah hitam yang sengaja diciptakan oleh Khoja Lisut dalam hidupnya. Dia berbuat demikian kerana merasakan dirinya tidak dapat dikalahkan oleh sesiapapun. Dia berbangga kerana merasakan dalam dirinya mengalir darah Hang Jebat yang memang terkenal dengan perangai panas barannya.

”Setelah kejadian itu, saya batalkan ilmu silat, sehingga ke Tanah Melayu. Pada suatu hari saya terasa pening. Kalau tak silap saya hari Jumaat, sebulan sesudah saya membelasah Pak Kiai,” Khoja Lisut menarik nafas.

”Apa dah jadi selepas pak cik pening?” Soal saya.

”Pak Cik jatuh pitam, dua hari kemudian pak cik demam. Seluruh badan terasa sakit, kulit terasa panas macam terbakar, sepanjang malam pak cik mimpi buruk. Dua bulan pak cik duduk terbaring di rumah. Puas berubat tidak juga sembuh,” Khoja Lisut berhenti bercerita. Dia termenung panjang. Saya dan datuk berpandangan.

”Kemudian kamu dapat sakit ini?” Desak datuk. Khoja Lisut gelengkan kepala.

”Habis macam mana kamu kena sakit ini?” Datang lagi pertanyaan dari datuk. Khoja Lisut angkat tangan memberi isyarat, agar datuk jangan mengemukakan sebarang pertanyaan.

Berilah kesempatan padanya untuk bercerita, jangan diganggu atau dipotong percakapannya. Datuk anggukkan kepala, seolah-olah menyetujui dengan apa yang diminta oleh Khoja Lisut.

”Setiap malam saya mimpi yang menakutkan, akhirnya saya rasa kaki saya macam patah, begitu juga tangan, pinggang saya terasa lembik, tidak boleh bergerak. Terpaksa merayap bila mahu pergi ke sesuatu tempat, beberapa orang dukun dan bomoh yang cuba merawat saya jatuh pengsan, malah ada yang mati mengejut, sudah bertahun-tahun saya menanggung sakit ini, orang kampung kata saya kena kenan buaya, kenan tenggiling dan biawak.

”Dah berubat dengan doktor.”

”Sudah, macam-macam pil saya telah, rasanya sudah hancur tubuh saya kena cucuk, saya minta awak menolong saya,” sambil merayu itu, air mata Khoja Lisut meleleh. Dia meletakkan harapan pada datuk agar sakit yang ditanggung dapat diusahakan agar cepat sembuh.

”Kamu membuat aniaya pada orang alim, inilah akibatnya,” bisik datuk ke telinga Khoja Lisut. Wajah Khoja Lisut tetap tenang mendengar khabar itu.

”Kamu mesti minta maaf padanya secara terbuka,” sambung datuk lagi. Kali ini wajah Khoja Lisut segera berubah. Dia terkejut. Cemas dan resah sendiri, renung kiri, renung kanan macam ada sesuatu yang amat ditakutinya. 

123. Tubuh Terbenam Dalam Pasir

Saya menanti penuh debar.Apakah jawapan yang akan diluahkan oleh Khoja Lisut terhadap pertanyaan yang datuk ajukan padanya.
“Kamu mesti minta maaf,” ulang datuk.
Tidak ada jawapan daripada Khoja Lisut, rasa takut dan cemas jelas terbayang di wajahnya.
Saya segera menarik nafas dalam-dalam dengan harapan akan terpancutlah jawapan dari kelopak bibir Khoja Lisut.
Bagi mengurangkan debar di dada, saya renung kawasan sekitar pondok pisang sesikat. Gegendang telinga saya terus menangkap bunyi kicau burung Murai Tanah.Angin terus menggerakkan dedaun pisang. Dan matahari kian meninggi.
“Pak Kiai tu sudah mati.”
Saya segera arahkan sepasang mata ke wajah Khoja Lisut. Datuk agak terkejut dengan mulut separuh terbuka. Di saat pandangan mata saya berlaga dengan pandangan mata Khoja Lisut, dia segera menundukkan kepala merenung lantai buluh.
“ Ini sulit sikit.”
Cepat-cepat Khoja Lisut angkat kepala lalu menatap wajah datuk. Dia menanti datuk menyambung kata-kata. Ternyata datuk berhenti di situ sahaja.
“Apa yang sulitnya? Apa penyakit saya tak boleh sembuh,” Khoja Lisut memberanikan diri bersuara.
“Kau buat aniaya orang, kalau orang tu tak memaafkan perbuatan kamu, selama-lamanya kamu tanggung dosa,” jelas datuk.
“ Itu tak penting,” potong Khoja Lisut.
“ Habis apa yang penting buat kamu?” Nada suara datuk mula meninggi. Matanya tidak berkedip menentang wajah Khoja Lisut.
“Perkara yang penting bagi saya, sama ada sakit saya ni boleh sembuh atau tidak? Saya datang ke sini nak berubat, bukan nak dengar nasihat,” Khoja Lisut mula meluahkan gelodak batinnya.
Datuk seperti terpempan , tidak menyangka sama sekali Khoja Lisut bersuara agak keras. Datuk gigit bibir. Khoja Lisut melepaskan keluhan penuh kesal.
“ Tak guna berusaha mengubati orang sombong, tidak mahu minta maaf pada orang yang dianiayai,” perlahan-lahan lalu menatap seluruh wajah Khoja Lisut, “Orang takbur tidak boleh dibuat sahabat,” sambung datuk lagi.
“ Saya dah insaf,” secara mencacak Khoja Lisut bersuara.
“Kamu insaf, bila kamu sakit. Kalau kamu tak sakit, tak terima bala begini, kamu tak insaf,” tingkah datuk. Tidak terdengar suara protes dari Khoja Lisut.
Saya resah, bimbang kalau-kalau Khoja Lisut yang kecewa dan putus asa mendengar kata-kata dari datuk itu akan bertindak mengikut perasaan.
“ Pak Kiai tu orang yang berhemah tinggi, sebelum mati dia telah memaafkan saya. Dia juga mendoakan kesejahteraan untuk saya dan keluarga. Dia yakin satu hari nanti saya jadi orang baik-baik,” tutur Khoja Lisut dalam keadaan suara yang tersekat-sekat.
“Kau berbohong dengan aku Khoja.”
“Saya bercakap benar.”
“Aku tak percaya, macam mana kamu tahu dia memaafkan kamu. Pada hal masa Pak Kiai tenat kamu tak ada dekatnya, kamu jauh darinya,” soal datuk lagi.
Saya lihat Khoja Lisut bagaikan tersentak dengan pertanyaan itu. Barangkali, dia sedar tentang keterlanjurannya mahu memperdayakan datuk.
“Saya mengaku saya bersalah,” Khoja Lisut renung ke arah saya.Hati kecil saya mula kesal kerana datuk bersedia melindungi seorang pembohong.
“Dah terlambat, bukan masanya untuk kamu menyesali perbuatan lalu,” datuk terus memprotes sikap Khoja Lisut. Datuk seperti tidak mahu memberi rasa simpati terhadap Khoja Lisut.
Entah mengapa datuk bersikap demikian? Saya sendiri tidak tahu.Barangkali datuk sudah dapat mengesan atau mencium sesuatu dari tindak-tanduk yang dipamerkan oleh Khoja Lisut.
“ Memang,” Khoja Lisut tidak meneruskan kata-kata.
“ Apa yang memang pak cik,” saya mencelah.
“ Memang pak cik dah terlambat, memang pak cik bersalah. Sekarang bukan masanya pak cik nak minta maaf. Tak ada siapa pun yang nak percayakan cakap pakcik,” begitu lantang suara Khoja Lisut. Biji matanya merenung tepat ke arah datuk. Dan tanpa di sangka-sangka Khoja Lisut menghantukkan kepalanya ke lantai berkali-kali.
Saya jadi panik melihat perbuatannya itu. Datuk segera menerpa ke arahnya. Dan berjaya menahan Khoja Lisut dari meneruskan perbuatannya menghantuk-hantuk kepala ke lantai. Khoja Lisut memeluk datuk, perlahan -lahan dia menjatuhkan kepalanya atas riba datuk. Khoja Lisut menangis tersedu-sedu.
“ Kenapa Khoja,” tanya datuk.
“ Saya kesal kerana orang tak mahu dengar cakap saya,” bentak Khoja Lisut .
Saya lihat datuk menarik nafas panjang. Ada senyum sinis bermain di sudut bibirnya. Khoja Lisut segera mengangkat kepalanya dari riba dan terus duduk tersandar di dinding.
“ Kenapa kamu bersikap macam budak-budak, kerana orang tak percaya cakap kamu, kamu menangis. Itu bukan caranya. Kalaulah kamu memang bercakap benar, buktikan kebenarannya.”
“Ha,” Khoja Lisut seperti terkejut. “Apa awak mahu mendengarnya?” Sambungnya sambil merenung ke arah datuk.
“ Ya,” angguk datuk, “ kenapa aku tak mahu mendengar cerita yang benar dari kau?”
Ternyata kata-kata itu memberikan semangat baru pada Khoja Lisut. Kepuasan dan keriangan terpancar di wajahnya.
Dengan perlahan-lahan Khoja Lisut alihkan mukanya ke arah luar pondok. Pandangannya yang sayu jatuh ke dedaun pisang yang kelihatan bergerak ke sana ke sini dirempuh angin.
“ Cakap Khoja,” desak datuk.
Khoja Lisut alihkan pandangan, dari luar ke dalam rumah. Saya menanti penuh debar, terlalu ingin mendengar cerita dari Khoja Lisut. Agar keinginan saya tidak dapat dikesan oleh datuk dan Khoja Lisut, saya pura-pura merenung ke langit.
Saya lihat awan putih bersih, berarak perlahan-lahan ke arah selatan. Kicau burung kian rancak bersama sinar matahari yang mula terik.
“ Masa,” Khoja Lisut tidak menyambung kata. Cepat-cepat saya palingkan muka ke arahnya. Saya lihat datuk tumpukan seluruh perhatian ke arah Khoja Lisut. Rupa-rupanya keinginan datuk seperti saya juga.
“ Masa Pak Kiai nak putus nyawa, dia beritahu pada orang-orang di sekelilingnya yang dia memaafkan saya. Dia suruh anak buahnya mencari anak murid saya,” Khoja Lisut menyambut kata yang terputus. Di wajahnya tergambar kepuasan yang amat sangat dan bersedia meneruskan cerita. Khoja Lisut menelan air liur sambil kedutkan dahi, seolah-olah mengumpul ingatan pada peristiwa lalu.
“ Teruskan cerita, kamu Khoja.”
Suara datuk agak meninggi, hujung kaki seluar sebelah kanan terus dilipatnya. Kemudian datuk berpusing ke kanan sambil menggosok pangkal siku kiri berkali-kali.
“Teruskan Khoja, aku mahu mendengarnya makin cepat kamu menamatkan cerita, makin mudah aku membuat keputusan , sama ada cerita kamu itu benar atau pembohong,” datuk mendesak.
“ Anak murid saya dibawa oleh anak buah Kiai menemuinya. Dia minta anak murid saya tu memberitahu saya yang dia telah memaafkan perbuatan saya padanya,” begitu Khoja Lisut meneruskan ceritanya.
“ Anak murid kamu tu, sampaikan pesan tu sendiri kepada, Khoja,” soal datuk lagi.
“Ya, saya terima pesanan tu.”
“Apa yang kamu buat, bila kamu mendapat pesanan tu,” tanya datuk lagi.
Khoja Lisut terdiam, dia merenung ke arah saya. Dan datuk tetap tidak mengubahkan pandangan ke wajah Khoja Lisut.
“ Saya tergamam, saya tak sangka Kiai tu, begitu ikhlas dan baik hati,” nada suara Khoja Lisut mula tersangkut-sangkut. Dia tundukkan muka merenung lantai kembali. Bila mukanya diangkat dia merenung ke arah saya, rasa hiba bersarang dalam dada. Saya melihat genangan air jernih di kelopak matanya.
“Itu saja yang kamu rasakan, Khoja.”
“ Ya, itu saja.”
“Kamu tak berusaha mahu berjumpa dengannya?”
“Oh ya,” Khoja Lisut seperti tersentak. Dengan nada suara yang amat lemah dia terus bersuara
“Dua hari setelah saya mendapat pesan tu, saya terus menuju ke rumah Pak Kiai, malangnya nasib saya,” Khoja Lisut berhenti bercakap.
Dia menangis deangan semahu-mahu, macam budak kecil. Datuk biarkan Khoja Lisut menangis sampai dia berhenti sendiri.

BELAKANG

Bila datuk merasakan perasaan Khoja Lisut sudah tenang dan damai, datuk segera menepuk belakangnya dua tiga kali. Khoja Lisut terus memegang pergelangan tangan datuk erat-erat.
“ Kamu sampai ke rumahnya dan kamu diberitahu oleh anak buahnya yang Kiai itu meninggal dunia, dua hari yang lalu, kamu menyesal kerana lambat bertindak, sepatutnya sebaik saja kamu menerima pesanan, kamu terus berjumpa dengannya,” ungkap datuk, tidak nampak ketegangan di wajah datuk. Saya kira dia mula simpati dengan apa yang dialami oleh Khoja Lisut.
' Kamu Tamar,” saya tersentak bila Khoja Lisut menyebut nama saya, “ jangan ikut apa yang pak cik buat, tak ada apa faedahnya.”
Saya segera anggukkan kepala.
“Cubalah jadikan pengalaman yang pak cik alami sebagai teladan,” tambahnya lagi, saya tetap anggukkan kepala. Ada senyuman bermain di bibir Khoja Lisut. Agaknya, dia gembira kerana anggukkan kepala, seolah-olah saya menerima saranannya.
“ Kamu beruntung dan bertuah Khoja.”
“Bertuah?” Sepasang biji mata Khoja Lisut terbeliak. Tepat merenung batang hidung datuk.
“ Ya,” datuk anggukkan kepala, “ kau bertuah kerana Kiai yang kau aniaya tu, berjiwa besar,” datuk berhenti bercakap. Dia melipat lengan baju hitam sebelah kiri hingga ke pangkal siku. Kemudian melunjurkan kaki kanan. Sebelum kaki kanan dilipat kembali, dia meraba buku lali kaki tujuh kali.
“ Saya tak faham,” Khoja Lisut kemukakan pertanyaan. “ Kiai tu begitu berjiwa besar, mengikut ajaran Islam yang betul. Dia tidak pendendam, hatinya memang mulia. Tidak ramai manusia yang dapat memaafkan perbuatan orang lain terhadap dirinya. Lebih-lebih lagi, perbuatan kamu yang aku anggap cukup kejam,” tutur datuk dengan tenang. Khoja Lisut tidak berkata apa-apa. Khusyuk mendengar apa yang datuk tuturkan.
“ Kamu terlepas dari dosa sesama manusia, kamu tahu Khoja, dosa sesama manusia cukup berat, selagi tidak dimaafkan oleh Kiai, kau tak terlepas. Bila mati, roh kau akan didakwa di depan Allah, kau bertuah Khoja,” nada suara begitu bersahaja.
“ Saya faham, saya faham,” suara Khoja Lisut tersekat-sekat. Lagi sekali dia tunduk dan tersedu beberapa kali. Saya masih dapat melihat kesan air mata di pipinya bila dia berpaling ke arah saya.

LEMAH

Pada saat itu juga, saya terfikir bahawa sesungguhnya manusia ini, bila didatangkan ujian dan bala ke atas dirinya barulah mereka menyesal. Dan pada saat itu barulah mereka sedar yang mereka adalah makhluk Allah yang lemah dan daif sekali. tidak mempunyai apa-apa pun di dunia ini.
“Lupakan semuanya tentang hal tu, Khoja. Bersyukurlah pada Allah kerana tindak-tanduk kamu yang keterlaluan itu sudah dimaafkan Kiai,” datuk cuba menanamkan ketenangan dalam diri Khoja Lisut. Perlahan-lahan saya lihat Khoja Lisut mengesat air mata di pipi dengan hujung bajunya.
“Bagaimana dengan diri saya ni?”
“Maksud kamu, aku tak faham Khoja?”
“Mahukah awak mengubati sakit saya ni.”
“ Berikhtiar tu memang boleh, tapi untuk jamin baik bukan kuasa aku. Semuanya terletak pada kuasa Allah,” selesai bersuara datuk terus bangun.
Datuk berjalan ke arah pintu pondok. Berdiri di situ dengan kaki kirinya memijak bendul dan tangan kanannya berpaut pada alang pondok, sementara tangan kirinya terlekap pada bahagian rusuk perut. Datuk merenung pepucuk pisang, melihat kepulan asap dari batang kayu yang dibakar oleh nenek.
“ Tamar, cari nenek kamu.”
“ Bila, sekarang ni tuk?”
“ Tentulah, sekarang.”
Saya jadi serba-salah kerana datuk berdiri di muka pintu pondok. Dari cara datuk berdiri membayangkan hatinya tidak begitu tenteram. Dia mudah marah, kalau saya terlalu banyak bertanya atau meminta.
Kalau saya tidak mematuhi perintahnya pasti dia naik darah. Dalam keadaan yang serba salah itu, saya membuat keputusan yang amat mengejutkan. Saya terjun dari pondok melalui bahagian pondok yang terdedah.
Sebaik saja saya berjaya mengimbangkan badan dari jatuh tersungkur, dalam masa yang sama terasa sepasang telapak kaki pedih dan sakit.
Saya tidak mampu untuk mengatur langkah dengan segera. Terpaksa duduk di tanah sambil melunjurkan kedua belah kaki hingga rasa pedih dan sakit di telapak kaki hilang.
“ Tamar.”
Terdengar suara datuk meninggi, saya mula resah tetapi, dalam rasa takut itu saya masih mampu memandang wajahnya. Tanpa disedari saya terus melangkah dan berdiri di depan tangga.
“ Kenapa buat kerja bodoh, kenapa tak gunakan tangga. Apa, kaki kamu dah kuat sangat ke? Keras macam besi,” datuk meluahkan rasa kesalnya.
“ Saya nak minta lalu kat datuk, takut tuk marah, saya tengok tuk berdiri lain macam je,” kata saya dengan berhati-hati.
“ Sudahlah, aku tak mahu dengar cakap orang bodoh,” pekik datuk lalu beredar dari muka pintu pondok.
Saya terus melangkah arah ke selatan kebun pisang. Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa datuk dan Khoja Lisut. Barangkali, mereka ketawakan saya. Memang susah jadi cucu pada datuk yang banyak karenah, bisik batin saya.
Dari pangkal ke hujung, dari hujung ke bucu, nenek tidak juga saya temui. Setelah berpeluh dahi dan celah ketiak saya pun kembali ke pondok.
“ Jumpa nenek kamu, Tamar?” Itu yang datuk ajukan bila terlihat batang hidung saya. Cepat-cepat saya gelengkan kepala. Lagi sekali datuk datang ke pintu pondok lalu dongakkan muka melihat matahari di langit.
“ Dah dekat pukul dua belas lebih ni, nenek kamu dah balik,” datuk beri kata putus.
“ Macam mana tahu, dah pukul dua belas lebih?” Saya terdengar suara Khoja Lisut bertanya pada datuk.
“ Tandanya Helang Siwah mula keluar mencari rezeki, cuba kamu tengok di langit.” datuk memberi penjelasan.
Mungkin kerana puas hati dengan penjelasan yang datuk kemukakan , Khoja Lisut tidak mengajukan pertanyaan lagi. Anehnya, Khoja Lisut tidak pula berusaha untuk melihat Helang Siwah di angkasa.
Saya segera dongakkan kepala ke angkasa, saya lihat sepasang Helang Siwah mengembangkan kepak, terbang rendah mengikut arus angin dengan mata tertumpu ke bumi, bersedia untuk menyambar ular, katak, tikus dan apa saja yang merayap di bumi, asalkan boleh mengenyangkan perut.
Sekarang saya mula mengerti, kenapa setiap kali mahu menentukan waktu, datuk sering merenung ke langit.
Biasanya Helang Siwah muncul di angkasa mengikut waktu tertentu . Pukul sebelas dia terbang tinggi, sukar untuk melihat warna bulunya. Antara jam dua belas hingga pukul satu dia terbang rendah.
Kira-kira pukul satu setengah hingga jam dua, terus menghilangkan diri. Muncul kembali jam tiga hingga pukul enam. Waktu petang Helang Siwah tidak berada di tempat dia mula muncul ( pukul sebelas tadi) sebaliknya dia berlegar agak jauh kira-kira satu rantai dari tempat dia muncul pada sebelah pagi.
Tepat pukul lima dia akan berada di tempat dia muncul tadi (pukul sebelas pagi) kira-kira sejam lagi matahari mahu jatuh di kaki langit, (kira-kira pukul enam) Helang Siwah akan pulang ke sarangnya.
Ah, selain dari tanda-tanda burung helang itu, ada tanda-tanda lain yang datuk gunakan. Saya harus belajar dengan mengamati gerak-geri unggas dan alam. Kalau bertanya, tentu kena herdik. Daripada kena herdik, lebih baik perhatikan saja apa yang datuk buat. Demikian saya membuat kesimpulan dalam hati.

BESAR

Saya pun melangkah ke anak tangga pondok. Bila anak tangga pertama saya pijak, datuk meluru ke arah saya. Badan saya ditolak hingga berasa di halaman pondok semula.
Saya jadi panik dan terkejut besar dengan sikap datuk itu. Saya cuba mengingati sesuatu kalau-kalau saya telah melanggar pantang-larang datuk. Ternyata tidak ada satu pun kesilapan yang saya lakukan.
“Kenapa tuk?” Dalam rasa takut saya bertanya.
“Kamu pergi ambil cangkul dan pencebak kemudian,”
"Nak buat apa tuk?" cepat-cepat saya memintas cakap datuk.
“ Jangan biadap sangat, biarlah aku habis cakap dulu, baru bertanya,” sergah datuk dan dia segera meluru ke arah saya. Dan saya bersedia menerima tempelak darinya kerana kebiadapan yang saya lakukan secara tidak sengaja.
Saya beruntung kerana kemarahan datuk tidak berlanjutan. Saya segera menyusup bawah pondok dan keluar membawa cangkul serta pencebak.
Berdiri tercegat depan datuk untuk menerima perintah selanjutnya dari datuk.
“ Sekarang kamu pergi ke tebing sungai, cari kawasan gigi air yang berpasir. Dari gigi air tu, kamu melangkah songsang tiga belas tapak,” datuk berhenti bercakap, dia mengeluarkan secebis kain merah dari dalam saku bajunya. Kain merah selebar dua jari itu diikat ke kepala.
“ Kamu tahu melangkah songsang tu, Tamar?” Tanya datuk, saya gelengkan kepala.
“Maksudnya begini, kamu melangkah ke belakang dengan mata dan badan kamu menghala ke arah sungai.
“ Saya faham tuk.”
“ Di langkah penghabis, langkah ketiga belas mesti berakhir dengan kaki kiri. Kamu tekankan tumit kaki kiri di situ, kemudian kamu koreklah lubang separas dada kamu,” demikian datuk mengeluarkan arahan.
Saya segera bergegas menuju ke sungai yang jaraknya tidak berapa jauh dari pondok. Sebaik sahaja saya sampai ke perdu durian patah dahan, terdengar suara datuk memanggil nama saya. Segera saya berhentikan langkah.
“ Lepas korek, kamu tunggu aku di situ, kalau lubangnya ada air, jangan kau buang airnya, bahagian bawah lubang kau taruh tanah liat,” pesan datuk lagi.
“Baik tuk,”
“ Kalau kamu nampak apa-apa masa kamu mengorek nanti, kamu jangan cakap apa-apa.”
“ Baik tuk.”
Perjalanan yang terhenti saya teruskan.

TEBING

Lebih dari sepuluh minit saya mundar-mandir di tebing sungai, mencari kawasan yang berpasir.
Dan saya berhasil menemui selekoh sungai yang bahagian tepinya mempunyai kawasan berpasir yang berkeadaan seperti pantai.
Kawasan tersebut berdepan dengan sebuah lubuk yang dalam tetapi, air yang mengalir amat tenang.
Setelah mengikut kata dan petua datuk, saya pun mula menggali lubang di pasir. Panas terik membuat seluruh tubuh saya berpeluh.
Saya berhenti menggali lubang, bila saya terdengar bunyi air sungai berkocak dengan kuat, saya tumpukan perhatian ke dada sungai yang lebarnya kurang satu rantai setengah.
Tidak ada apa-apa yang saya lihat, selain dari air sungai dan dedaun yang dibawa arus ke hilir. Saya kembali menggali lubang.
Baru lima enam kali tunduk bangkit mengaut pasir, saya terdengar lagi bunyi kocakan air sungai, saya segera merenung ke arah lubuk yang airnya bergerak tenang.
Saya menggigit bibir bersama rasa cemas dan takut. Dari hujung dahan jambu mawar yang terjulur di permukaan sungai (dalam jarak lebih kurang sepuluh kaki dari lubuk yang tenang) saya terlihat seekor ular sawa sedang berpaut di situ, ekornya sesekali memukul permukaan air sungai. Ular sawa itu berhempas pulas mahu naik ke dahan jambu mawar. Usaha si ular itu berhasil.
Ah, pedulikan dia, jangan kacau dia. Biarkan dia hidup di situ. Barangkali si ular sawa itu dapat menghidu bau rezekinya di atas pokok jambu mawar, fikir saya dalam hati dan terus menyambung kembali kerja yang terkandas.
“ Tamar,”
Saya toleh ke arah suara itu, memang saya tidak menduga yang datuk menjulang Khoja Lisut di atas bahunya.
Saya juga merasa pelik, kenapa datuk mengusung orang cacat itu ke sini.Apakah datuk mahu mencampakkan Khoja Lisut ke dalam lubuk? Macam-macam yang datang dalam fikiran saya.
“ Dah siap?” Soal datuk dari jauh.
“Siapkan cepat, buat macam mana aku suruh, selagi lubang tu tak siap, aku tak boleh ke situ,” lanjut datuk yang sedang terkial-kial meredah pokok serunai laut dan keduduk yang menghalang perjalanan.
Saya terus korek lubang hingga selesai, kemudian mencampakkan tanah liat yang saya ambil dari dalam sungai, ke dalam lubang. Sebaik saja semua kerja selesai, datuk terus berada di samping saya.
“ Sudah siap Tamar?”
“Sudah tuk,”
“Masuk kamu,” suara datuk keras dan dia terus mencampakkan Khoja Lisut ke dalam lubang.
“Timbus,” sambung datuk lagi. Dia merampas cangkul dari tangan saya. Khoja Lisut yang separuh badannya berada dalam lubang tidak berkata-kata.
Dalam sekelip mata saja, badan Khoja Lisut terbenam dalam pasir hingga paras leher. Datuk mengeluarkan dua keping upih pinang dari dalam bajunya. Dia membuka lipatan upih pinang lalu dibentangkannya atas pasir.
Saya pasti, upih pinang yang sudah kering memang dibawa oleh datuk dari rumah. Apa yang menakjubkan saya ialah, kepintaran datuk menyembunyikan upih pinang kering dalam bajunya hingga tidak dapat dikesan oleh sesiapapun.
Bila kedua-dua upih pinang itu agak panas kerana terkena sinar matahari, datuk ubahkan kedudukannya ke gigi sungai. Bahagian pangkal upih terkena arus air sungai. Datuk ambil sekeping upih lalu dijadikan timba gayung.
“ Tolong aku, kamu gunakan timba upih ini untuk ambil dari sungai dan siramkan ke kepala Khoja,” saya pun segera menyambut gayung upih yang datuk hulurkan. “Kamu kira sampai seratus gayung, kamu berhenti, berdiri di depannya lebih kurang lima, kemudian ulang kerja kamu semula, buat kerja ni berulangkali, hingga dapat perintah berhenti dari aku,” sambung datuk lagi. Saya angguk dan memulakan tugas yang saya kira cukup rumit dan amat membosankan di bawah sinar matahari yang amat terik. 

124. Badi Ekor Buaya

Dari bawah pohon jati, datuk mengawasi segala kerja yang saya lakukan. Dua tiga kali, Khoja Lisut merayu supaya saya memberhentikan menyiram air ke kepalanya.
Saya tidak dapat menunaikan permintaannya itu, selagi belum menerima perintah dari datuk. Saya memang simpati dengan Khoja Lisut yang selalu kelemasan dan bersin itu.
"Cukup Tamar."
Saya toleh ke arah pohon jati. Datuk sedang melangkah ke arah saya. Di tangan kanannya ada batang tepus yang berdaun lebar.
"Aku nak balik sembahyang Zuhur, kamu tunggu di sini sampai aku datang," sepasang biji mata datuk tertumpu ke batang hidung saya. Datuk berpaling ke arah Khoja Lisut.
"Kenapa saya dibuat begini?"
"Bukan ini yang kamu mahu Khoja."
"Saya minta, sakit saya diubati, bukan ditanam dalam pasir."
"Inilah caranya Khoja."
Selesai saja datuk bercakap, batang tepus terus dipalu ke muka Khoja Lisut bertalu-talu. Suara jeritan Khoja Lisut menguasai kawasan sekitar.
Datuk tidak peduli dengan rayuan dan rintihan Khoja Lisut, akhirnya manusia yang terbenam dalam pasir itu terkulai lemah lalu pengsan, batang tepus terus patah dan hancur, muka Khoja Lisut jadi hitam birat. Baju datuk basah dimandi peluh.
"Bila dia sedar, dia minta air dari kamu. Jangan beri air. Kamu suruh dia gigit upih yang aku letakkan di tepi sungai," jari telunjuk datuk menghala ke bibir sungai," suruh dia gigit bahagian pangkal yang terkena air," sambung datuk lagi.
"Jadi saya tak payah jirus air lagi tuk."
"Tunggu sampai aku suruh, lagi satu aku nak beritahu kamu, apa juga jenis binatang yang melata di bumi menuju ke arah kepala Khoja, jangan dihalau, faham,"
"Ya, saya faham tuk."
"Sekarang kamu pergi duduk bawah pokok jati." Arahan datuk saya patuhi. Dan datuk pun meninggalkan saya dan Khoja Lisut di situ.
Sebaik saja batang tubuh hilang di balik rimbunan pepokok di situ, Khoja Lisut tersedar dari pengsan. Dia terus menjerit meminta air.
Saya berlari ke gigi sungai mengambil upih. Saya hulurkan bahagian hujung upih yang basah ke mulut Khoja Lisut. Saya suruh dia gigit hujung upih.
Dalam panas terik itu, saya rasa kulit muka seperti terbakar. Kepala Khoja Lisut bergerak ke kiri ke kanan, lidahnya terjelir, dia enggan menggigit hujung upih yang saya hulurkan kepadanya.
"Gigit" kata saya.
"Aku nak air, bukan itu," sahut Khoja Lisut.
Saya terus menolak hujung upih ke mulutnya. Khoja Lisut tidak ada pilihan, dia terpaksa gigit hujung upih yang sudah diresapi air sungai.
Tiga kali gigit, Khoja Lisut tersedar dan terus muntah. Saya lihat benda putih yang lekat pada lidahnya tertanggal sendiri. Jatuh atas permukaan pasir berkeping-keping. Kulit muka Khoja Lisut seperti udang kena bakar. Khoja Lisut pengsan kembali.
Saya lari semula ke bawah pokok jati. Sebaik saja saya duduk di akar jati, terdengar bunyi air sungai berkocak kuat. Macam ada sesuatu yang mahu timbul dari dasar sungai ke permukaan air.
Saya bangun lalu merenung ke arah lubuk dan gigi sungai. Dua tiga kali saya gosok kelopak mata, saya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang saya lihat.
Seekor buaya menimbulkan dirinya di permukaan lubuk dan berenang ke tepian. Buaya itu merangkak atas pasir landai, renung kiri kanan mengawasi diri dari musuh.
Saya yakin, kemunculan buaya dari lubuk tersebut adalah untuk menjemur diri di pantai, mungkin juga untuk bertelur.
Memang, sejak saya melihat bentuk kawasan berpasir di selekoh sungai itu, hati saya sudah berkata yang kawasan itu memang menjadi kegemaran buaya berjemur atau bertelur.
Hal ini dikuatkan lagi dengan adanya sebuah lubuk di depan kawasan berpasir atau boleh juga disebut sebagai kawasan pantai sungai.
Saya menggigit jari, buaya yang merangkak itu tidak mengubah haluan. Tetap menghala ke arah Khoja Lisut yang terkulai pengsan. Buaya itu pasti mengamuk, bila mendapati kawasannya diceroboh oleh manusia.
Hati kecil saya terus berdoa; Oh, Tuhan kau selamatkan manusia yang bernama Khoja Lisut dari korban buaya. Si malang itu, berada di situ kerana berubat, Allah yang maha besar, selamatkanlah Khoja Lisut. Dia sudah insaf dan menyesali perbuatannya yang lalu.
Doa saya bagai tidak diperkenankan oleh tuhan. Buaya itu terus merangkak mengheret tubuh ke arah kepala Khoja Lisut yang tersembul di permukaan pasir. Dalam debar bersama cemas itu, saya pejamkan mata. Dan saya bayangkan dalam tempurung kepala saya begini:

GUGUR

Suara yang marah itu mengelilingi kepala Khoja Lisut beberapa kali. Buaya itu mengangkat dan menggerakkan ekornya. Dan sekali libas kepala Khoja Lisut terpisah dari badan, bergolek macam buah kelapa gugur. Darah membuak-buak keluar dari sebahagian batang leher yang masih berada dalam pasir.
Buaya itu terus menggoncang kepala Khoja Lisut ke gigi sungai. Titisan darah memanjang di pasir. Perlahan-lahan buaya itu menenggelamkan tubuhnya di permukaan air sungai lalu membawa kepala Khoja Lisut ke dasar lubuk yang airnya bergerak tenang. Beberapa saat kemudian buaya itu muncul lagi lalu menjulang tinggi kepala Khoja Lisut di permukaan lubuk.
"Tamarrrrrr.."
Saya segera membuka mata. Khoja Lisut menggerakkan kepalanya ke kiri ke kanan. Buaya yang hanya berada dalam jarak beberapa kaki saja dari kepalanya terus membukakan mulut dengan luas. Giginya yang besar jelas kelihatan.
"Tolong aku Tamar."
Jeritan Khoja Lisut kian lantang.
Saya jadi serba salah.Terfikir juga oleh saya untuk menjerit. Tetapi, mana mungkin datuk dapat mendengar jeritan saya.Lagipun, kalau buaya itu terkejut, kemungkinan besar bertindak balas lebih pantas untuk mematahkan kepala Khoja Lisut.
"Tolong aku Tamar, aku tak mahu mati dalam mulut buaya ni," pekik Khoja Lisut. Sepasang biji matanya terbeliak menyorot ke arah mulut buaya yang ternganga.Saya lihat buaya itu berhenti merangkak. Agaknya, terkejut dengan kelantangan suara Khoja Lisut.
Rasa kasihan dan belas terhadap Khoja Lisut mula berbunga dalam hati. Timbul hasrat untuk mengusir buaya tersebut. Tanpa sedar, sepotong kayu sudah berada dalam tangan saya.Di saat saya mahu melontarkan kayu ke arah buaya, wajah datuk terbayang dalam ingatan.Serentak dengan itu terngiang-ngiang suara datuk menyentuh gegendang telinga saya.
Saya segera membatalkan hasrat hati untuk menghalau buaya di dada pasir. Kayu di tangan segera saya lepaskan.Peluh terus mengalir di pipi dan di dahi. Apakah yang perlu saya lakukan sekarang? Ternyata saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya hanya pasrah kepada Allah saja.
Khoja Lisut berusaha berhempas pulas mahu mengeluarkan tubuhnya yang tertanam dalam pasir. Saya mengedutkan dahi, melihat daya usaha seorang kenalan di saat-saat menghadapi bahaya. Saya segera terfikir mana mungkin Khoja Lisut dapat mengeluarkan tubuh yang terbenam separas leher di perut pasir.
Pasir sekeliling lehernya nampak bermanik dan bercahaya akibat sinaran matahari yang kian terik. Saya yakin sesiapa yang memijak pasir ketika itu tanpa sepatu akan menjerit kepanasan.
"Tolong aku."
Suara Khoja Lisut amat lemah dan untuk kesekian kalinya dia terkulai pengsan. Saya tetap macam tadi, masih terpaku di bawah pokok jati. Panas terik membuat tekak terasa amat kering sekali.
"Maafkan saya, Pak Cik Khoja,"
Itu yang berkocak dalam diri. Sepasang anak mata, saya arahkan ke lubuk tempat buaya berendam. Air di permukaan lubuk kelihatan tenang. Kicau burung di hujung dahan rancak berbunyi. Saya alihkan pandangan ke arah Khoja Lisut. Kasihan, dia masih terkulai pengsan.
Peluh terus memercik di muka dan seluruh badan. Angin yang bertiup tidak dapat memberikan kedinginan ke seluruh tubuh. Dan buaya yang di dada pasir terus merangkak. Sebaik saja muncungnya mahu mencecah rambut Khoja Lisut, buaya itu berhenti merangkak. Saya tergamam sejenak, buaya itu membuka mulutnya dengan luas sekali.Batang giginya jelas kelihatan dan pada saat itu juga, saya terlihat lalat langau menghurungi mulut buaya di tengah panas yang terik.
Andainya, buaya itu bergerak ke depan sedikit dan merapatkan muncungnya, sudah pasti seluruh kepala Khoja Lisut berada dalam rahangnya. Saya segera mencapai sepotong kayu yang berada di sebelah kaki kiri saya. Sekiranya buaya itu mematahkan kepala Khoja Lisut, saya akan meluru ke arahnya lalu mwnikam matanya dengan kayu yang ada di tangan saya.
"Syukur."
Itulah yang terluah dari mulut saya. Buaya mengubah haluan kedudukannya. Muncungnya yang terbuka dihalakan ke arah saya. Kemudian, mulutnya yang ternganga segera dirapatkannya perlahan-lahan. Buaya itu mendekatkan badannya yang bersisik ke lubang hidung Khoja Lisut.
"Kalau dibiarkan lama-lama begitu, matilah Khoja Lisut kelemasan," fikir saya sambil mencari helah bagaimana mahu manghalau buaya tersebut. Dalam saat saya berfikir, saya lihat buaya itu bergerak lagi. Kali ini, muncungnya yang diarahkan kepada saya berubah haluan, dihalakan ke tepi sungai. Dengan tiba-tiba saja buaya itu meluru ke lubuk macam ada sesuatu yang mengejarnya.
Air sungai yang mengalir tenang terus berkocak dan bergelombang, sebaik saja badan buaya menghempapnya. Buat beberapa saat buaya tersebut terkapar di permukaan sungai.Akhirnya perlahan-lahan menenggelamkan dirinya ke dasar lubuk. Air sungai yang bergelombang mula beransur tenang.
Saya menarik nafas kelegaan, buaya yang mengancam nyawa Khoja Lisut sudah pulang ke sarangnya. Semoga, buaya itu tidak akan datang lagi. Begitulah harapan saya.
"Huhhhh....,"
Segera saya toleh ke arah Khoja Lisut, ternyata dia baru sedar dari pengsan. Dua tiga kali, Khoja Lisut menggerakkan kepalanya.
"Weeeeeeeekkkkkkkkk,"
Saya lihat Khoja Lisut muntah. Dan muntah itu meresap ke dalam pasir. Dari jauh saya dapat melihat muntahnya berwarna putih bercampur kemerah-merahan. Macam nanah bercampur darah. Muntah itu berlanjutan hampir setengah jam.

TELINGA

Setiap kali Khoja Lisut muntah, rambutnya seakan-akan menjadi tegak. Mukanya nampak kembang. Telinganya nampak merah.
"Aduh!!! rasanya semua isi perut aku nak keluar. Tolong aku Tamar, aku dahaga, janganlah aku diseksa begini," Khoja Lisut merayu. Saya segera mengambil daun keladi besar. Saya berlari ke sungai. Daun keladi yang sudah dibuat macam kelongsong segera saya isikan dengan air untuk Khoja Lisut. Saya bersedia mahu melangkah ke arahnya.
"Buuuummmm."
Terdengar sesuatu dari lubuk. Kelongsong daun keladi besar di tangan terlepas. Saya menoleh ke arah lubuk. Sang buaya menimbulkan muncungnya dengan sepasang mata yang tertonjol, merenung tajam ke arah saya.
"Tuuukkkk..."
Saya menjerit dengan sekuat hati. Tanpa disedari saya sudah berada di bawah pohon jati. Badan menggigil dan terasa seakan-akan ada sang buaya mengekori saya. Sepasang kaki menjadi lemah dan saya terus jatuh.
Antara sedar dengan tidak, saya terasa seperti ada orang berdiri di depan. Walaupun sepasang kelopak mata tidak terkatup tetapi, saya tidak dapat melihat dengan jelas dalam keadaan panas yang amat terik itu.
Penglihatan saya agak kabur dan berpinar-pinar. Pada saat itu juga saya terfikir, tidak mungkin yang terpacak di depan saya itu Khoja Lisut. Dia tidak berkeupayaan mengeluarkan dirinya dari pasir.
"Kamu pitam, agaknya perut kamu kosong."
Saya cuba mengamati suara itu. Sudah pasti itu suara datuk. Saya cuba menjawab, ternyata saya kehilangan suara. Saya cuba menggerakkan tubuh, saya gagal. Malah untuk menggerakkan kaki kanan saya tidak mampu.
"Kamu lapar."
Tubuh saya digoncang berkali-kali, kemudian ditegakkan lalu disandarkan dipangkal jati. Kalau tadi, kelopak mata saya tidak terkatup, kini macam ada kuasa tertentu yang memaksa kelopak mata saya terkatup rapat.
"Bangun Tamar, bangun."
Badan saya terus digoncang. Saya tidak terdaya melakukan sesuatu. Anehnya, kicau burung dan suara Khoja Lisut yang berada di tengah panas dapat saya dengar dengan jelas. Untuk menjawab pertanyaan datuk, saya tidak mampu.
"Kau lemah semangat, kamu lemah semangat, kamu terkejut kerana terserempak dengan sesuatu yang tidak pernah kamu tengok sebelumnya," cukup jelas suara datuk. Apa yang dituturkannya itu memang benar. Saya tidak tahu bagaimana mahu menyatakan ya padanya. Mahu bersuara, suara tidak keluar.Mahu anggukkan kepala, batang leher jadi keras macam besi.
"Ha ini habuan kamu."
Sebaik saja kata-kata itu berakhir, muka saya di rimbas dengan daun kayu dan dituruti dengan pukulan ranting kayu bertubi-tubi di belakang saya. Sakitnya terasa bukan kepalang.
"Aduhhhh.."
Saya menjerit sekuat hati. Gemanya menguasai kawasan sekitar dan saya seperti terkejut.Tidak yakin, apa yang saya dengar itu adalah suara saya sendiri. Bagi mempastikannya, saya terus menjerit lagi.
"Aduhhhhhh.."
Sudah sah, itu adalah suara saya. Di saat saya berusaha mahu bangun, datuk membuka penutup botol besar air (yang dibawa dari rumah) dan kepala saya dijirusnya dengan air. Serta-merta saya melompat. Bagaikan kilat datuk menyambar tangan saya lalu dikilaskannya ke belakang. Saya ditolak ke kanannya hingga terjatuh.
"Apa yang kamu nampak, Tamar?"
"Buaya timbul dari lubuk."
"Hum, bangun. Bawa botol air ke tempat Khoja Lisut. Jirus kepalanya dengan air ni, kalau dia dahaga beri dia minum," datuk mengeluarkan perintah.
Tanpa banyak soal jawab saya ambil botol yang dihulurkan oleh datuk.Saya mengatur langkah ke arah Khoja Lisut.

MATAHARI

Di bawah sinar matahari yang terik, saya berdiri di depan Khoja Lisut. Rasanya, tidak sopan berdiri di depan orang yang badannya hampir keseluruhan berada dalam pasir.
Bagi menghormati Khoja Lisut, saya duduk berdiri lutut sambil membuka penutup botol besar dan bersedia untuk menjiruskan air ke kepalanya.
"Tamar,"
Saya tidak jadi menjiruskan air ke kepala Khoja Lisut. Saya segera memandang ke arah datuk yang berada di bawak pondok jati.
"Bismillah dan selawatkan nabi."
Saya segera anggukkan kepala.
"Mulakan sekarang, Tamar."
Saya membaca bismillah dan terus selawat nabi.Dan air dari perut botol pun jatuh atas kepala Khoja Lisut. Lelehan air di bibir terus masuk ke mulut lalu diteguk penuh nafsu.
"Terima kasih, Tamar."
Khoja Lisut dongakkan kepalanya, sepasang anak matanya yang kuyu merauti paras saya. Bibirnya yang pucat nampak kering, begitu juga dengan kulit mukanya.
"Aku dahaga," ucapnya lagi. Ucapannya itu saya jawab dengan anggukkan kepala.
"Haus, saya haus." suara Khoja Lisut tidak berapa jelas.Muncung botol saya dekatkan ke bibirnya. Perlahan-lahan punggung botol saya tinggikan. Dengan berbuat demikian memudahkan Khoja Lisut meneguk air.
"Cukup Tamar, mari ke mari."
Saya toleh ke arah datuk. Dia menggamit saya supaya segera mendekatinya. Cepat-cepat muncung botol saya tutup. Khoja Lisut mengeluh, dia bagaikan tidak merestui saya meninggalkannya. Saya segera menghampiri datuk dan berdiri di depannya.
"Banyak kamu beri dia minum,"
"Sikit saja, tuk."
"Hum..." biji mata datuk menjeling ke arah botol kosong yang saya pegang. Botol kosong itu saya serahkan padanya. Datuk letakkan botol kosong di atas akar pohon jati.
"Kamu pergi balik, makan nasi dan sembahyang Zuhur," datuk keluarkan perintah. Matanya tidak berkedip merenung batang tubuh saya, dari atas ke bawah dari bawah ke atas. Tidak selesa rasanya saya dipandang begitu. Saya jadi serba salah.
"Apa kata kamu Tamar," biji mata terbeliak, macam mahu keluar dan saya serentak. Saya sudah terlanjut. Ungkapan saya keluar secara spontan dari mulut itu, benar-benar menyinggung perasaan datuk.
"Saya balik dulu, tuk."
Itulah helah saya, melarikan diri menghadapi kemarahan datuk. Saya mempercepatkan langkah. Kalau boleh saya mahu menghilangkan diri dengan sekelip mata di hadapan datuk.
"Tamar nanti dulu, aku tak suruh kamu pergi, kenapa kamu pergi? Kamu ni makin biadap. Mari ke sini."
Saya sudah melangkah beberapa ela darinya terpaksa sorot kembali dan terus berdiri di depannya. Suara Khoja Lisut minta air, tidak dipedulikan oleh datuk. Wajahnya masih masam. Saya bersedia menerima apa saja kutukan dan sumpah seranah darinya.
Saya menarik nafas kelegaan. Datuk menggigit dan terus mencari akar kayu untuk duduk. Dia senyum ke arah saya perlahan-lahan dia gelengkan kepala, agaknya dia terasa lucu dengan pertanyaan yang tidak wajar saya kemukakan kepadanya.
"Kamu tolong nenek kamu, apa yang patut."
"Ya, tuk."
"Kamu datang ke sini, bila kamu dah selesai sembahyang asar."
"Ah.." terkeluar keluhan kecil dari mulut.
Kenapa mesti lepas sembahyang Asar. Kenapa tidak selepas sembahyang Zuhur, kenapa mesti menolong nenek. Apa yang datuk katakan itu memang praktikal. Sepatutnya, lepas sembahyang Zuhur, saya mesti ke sini, melihat detik peristiwa yang dialami oleh Khoja Lisut. Apa yang bergolak dalam dada tidak berani saya luahkan . Terpaksa dipendamkan dalam kalbu.
"Masa kamu nak datang ke mari, bawakan aku putik manggis tujuh biji, putik rambutan tujuh biji serta air masak dari putik pinang," datuk memberikan pesan.
"Jadi saya kena rebus putik pinang, tuk?
"Tak payah, semua barang-barang tu dah disediakan oleh nenek kamu. Kamu cuma bawa saja ke sini,"
"Jalan terus ke rumah, jangan merayau-rayau ke mana-mana," itu pesanan terakhir dari datuk untuk saya, sebelum melangkah pulang.
Lebih kurang setengah rantai jarak antara saya dengan datuk, dan saya yakin datuk tidak dapat melihat pergerakan saya kerana dilindungi oleh pepokok kecil, saya terus berlari. Pada saat itu juga saya menganggap diri saya terlepas dari cengkaman datuk. Saya berlari dengan semahu-mahunya.

PINTU

Nenek yang secara kebetulan berdiri di depan pintu dapur tercengang melihat saya berlari tercunggap-cunggap ke arahnya. Tanpa menegurnya saya terus memanjat anak tangga dan duduk di muka pintu.
"Apa yang mengejar kamu, Tamar?"
"Tak ada apa-apa?"
"Habis kenapa kamu lari."
"Seronok lepas dari kawalan datuk, saya lapar nek."
"Hum....," nenek gelengkan kepala, "dah sembahyang?" Susulnya lagi. Saya cuma mampu tersengih.
"Sekarang pergi bersihkan badan kamu, lepas tu sembahyang Zuhur, sementara kamu sembahyang biar aku siapkan makanan," turut nenek sambil menggaru pipi sebelah kanannya.
"Macam mana kalau saya makan dulu, nek."
"Tak baik begitu, bersihkan badan dan sembahyang dulu, barulah seronok makan.Tuhan suka orang yang bersih, makan dalam keadaan penat dan badan kotor, kata orang makan bersama syaitan. Kamu mahu makan sama syaitan, Tamar?"
"Heee.. tak mahu, saya tak mahu kawan dengan syaitan."
" Kalau tak mahu, kamu pergi mandi. Buat apa yang aku cakap," sambung nenek. Dan saya segera menuju ke perigi.
Cakap nenek memang tepat, selesai menunaikan solat Zuhur, saya dapat menikmati hidangan makanan tengah hari dengan selesa dan bernafsu sekali. Selesai makan saya tersandar di dinding merehatkan tubuh badan tetapi, kenikmatan itu hanya dapat saya rasai dalam waktu yang pendek. Lepas makan duduk bersandar, memang pantang besar bagi nenek.
"Kalau nak duduk tu, biarlah nasi jatuh ke perut dulu. Pergi jalan-jalan atau buat kerja ringan.Kamu tahu Tamar, orang yang makan kenyang kemudian duduk tersandar, minta celaka diri."
"Apa ertinya cakap nek ni, saya tak tahu," tanya saya.
"Minta papa kedana, pemalas. Kalau diamalkan selalu, perut boroi, sakit urat-urat perut mudah datang. Boleh jadi barah tahu, nanti perut kamu boleh meletup.
"Saya tak mahu perut saya meletup," saya terus menjerit dan melompat. Sekaligus melakukan senaman. 

125. Berbalut Kain Kuning

Nenek ketawa terkekeh melihat telatah saya yang melucukan itu. Saya turun ke halaman mengutip dedaun kering yang bertaburan. Pergerakan yang dilakukan membuat badan terasa ringan, saya tidak mengalami sesak nafas atau rasa penat akibat kekenyangan. Perut yang membuncit kembali dalam keadaan normal.

"Apa rasanya, Tamar?"

"Rasanya nek, ya begini rasanya..."

"Kamu tak rasa mengantuk dan malas, badan terasa ringan, bukan begitu Tamar," belum sempat saya menyambung kata-kata, nenek segera memotong. Tentu saja saya akur dengan apa yang dituturkannya itu.

"Betul cakap nek tu."

"Petua orang tua-tua ada khasiat, datuk nenek kita tidak keluarkan petua ikut suka hati. Dicuba dulu, baru dipesan pada anak cucu," nada suara nenek agak meninggi. Di wajahnya terpamer rasa bangga kerana berjaya mempengaruhi diri saya supaya yakin dengan petua.

Akhirnya saya naik ke rumah. Cari bantal lalu baring di ruang tengah dengan naskah akhbar UTUSAN MELAYU terbentang di depan mata. Akhbar itu saya letakkan di sisi kiri badan. Dari ruang tengah saya lihat nenek duduk di bendul pintu dapur. Dia menjahit kain pelikat. Saya segera duduk, apa yang saya buat semuanya serba tidka kena.

Sekejap-sekejap saya terfikir tentang Khoja Lisut dan datuk. Apakah yang dilakukan waktu ini. Dalam saat yang lain saya terkenangkan sahabat datuk di Balik Pulau. Fikiran nakal saya terus menerawang, saya cuba menggambarkan suasana kampung di tanah Palembang. Mana mungkin saya dapat menggambarkannya kerana saya sendiri tidak pernah sampai kesana. Menanti waktu Asar tiba adalaah sebuah penyeksaan bagi saya.

Saya terus memeluk sepasang kepala lutut. Saya memang tidak betah duduk di rumah. Biasanya waktu begini, saya pergi ke pekan kecil atau dewan bacaan, membaca majalah dan buku novel percintaan terutama buku-buku novel dari negara tetangga Indonesia terutama karya HAMKA.

Memang sukar membaca karya dari penullis tanah seberang, kerana ejaannya tidak seragam. Masih mengikut cara ejaan lama umpamanya ejaan YANG dieja JANG tetapi, kesulitan itu dapat saya atasi.

Kalau saya tidak merayap ke tempat tersebut, saya akan merayau ke hutan kecil melihat jerat pelanduk atau kijang.

"Hummmmm..."

Saya melepaskan sebuah keluhan. Arahan datuk yang telah menetapkan waktunya membuat saya seperti dibelenggu. Takut mahu bergerak ke mana-mana.

"Tidurlah Tamar, Asar nanti nenek gerakkan."

"Mata tak mahu pejam."

"Nenek tahu, kamu tak suka duduk di rumah. Pergilah ke mana-mana, dekat Asar balik."

"Saya tak berani nek."

"Kenapa pula?" nenek seakan-akan terkejut.

"Takut asyik merayau-rayau nanti lupa pula nak pergi ke tempat datuk."

"Terpulanglah pada kamu," nenek meneruskan kerjanya dan saya berpindah ke anjung. Duduk berehat dii situ.


KAIN


Selesai saja menunaikan solat Asar. Saya tukar pakaian dan bersedia untuk memulakan tugas seperti yang diamanahkan oleh datuk pada saya.

Waktu saya menuju ke pintu tengah, saya lihat ada beberapa bungkusan tersedia dekat bendul. BUngkusan pertama dibalut dengan kain hitam, bungkusan kedua kain hitam. Bungkusan ketiga dibalut dengan kain kuning. Bentuk bungkusan yang ketiga agak berbeza dengan bentuk dua bungkusan yang lain.

Bungkusan ketiga (berbalut kain kuning) bentuknya memanjang dan tingginya kira-kira enam inci. Saya yakin yang dibalut dengan kain kuning adalah botol. Saya lihat semua bungkusan itu dengan hati-hati.

Barangkali semua bungkusan yang ada ini, barang-barang dipesan oleh datuk pada saya tadi, fikir saya dalam hati.

"Apa yang dimenungkan, bawa saja."

Saya menoleh ke kanan, nenek tercegat di situ dengan raga buluh di tangan. Nenek maju dua tiga tapak lantas duduk bersila di depan bungkusan.

"Dengan ini memudahkan kamu membawanya, Tamar."

Nenek pun memasukkan bungkusan-bungkusan tersebut ke dalam raga. Disusun dengan begitu cantik sekali.

Nenek bangun dan terus ke dapur. Dia datang semula ke muka pintu bersama dengan kulit-kulit durian kering dan seludang kelapa kering.

"Buat apa kulit durian kering dan seludang kelapa kering tu nek?" tanya saya setelah melihat nenek memasukkan barang-barang tersebut ke dalam raga.

"Nak halau nyamuk, datuk kamu nak tidur di situ sepanjang malam ni."

"Hai, datuk tak cakap pun pada saya nek," kata saya terkejut.

"Takkan semua perkara nak beritahu kepada kamu. Ini kerja orang tua-tua, kamu tak boleh tahu. Kamu tolong-tolong sudahlah, buat apa nak tahu."

"Barang dalam bungkusan ini pun saya tak boleh tahu nek?"

"Boleh tapi, nenek tak boleh bagi tahu. Orang yang boleh bagi tahu pada kamu cuma datuk kamu sendiri. Kalau dia tak bagi tahu kamu boleh tengok masa dia buka bungkusan itu."

"Agaknya, perkara begini jadi pantang-larang."

"Entahlah nenek sendiri tak tahu. Apa yang datuk kamu bagi tahu itulah yang aku bagi tahu pada kamu," nenek segera menolak bakul rotan ke depan saya.

Dari tindakannya itu, saya dapat menduga yang nenek menyuruh saya berangkat segera. Dia tidak mahu saya mengemukakan berbagai-bagai soalan berhubung dengan barang-barang yang ada di dalam raga.

"Tak apalah nek, biar saya pergi dulu."

Saya pun memegang rangka raga. Bangun dan mula memijak anak tangga. Baru tiga mata anak tangga saya pijak, nenek bersuara:

"Bawa terus jangan singgah di mana-mana, jangan menyusup di bawah ranting mati dan laluan binatang."

"Kenapa nek?"

"Jangan banyak tanya, itu pesan datuk kamu pada aku untuk disampaikan pada kamu."

Saya menarik nafas dalam-dalam. Masih keberatan mengangkat kaki untuk memijak anak tangga seterusnya. Hati masih ingin tahu, kenapa mesti ada pantang larang begitu.

"Datuk tak beritahu sebab-sebab perkara itu tak boleh dibuat," saya cuba memancing nenek.

"Dah aku katakan tadi, jangna banyak soal. Apa kamu tak faham lagi, Tamar?" nenek jegilkan biji mata.

Langkah yang terhenti segera saya sambung kembali.

Saya sarungkan sepatu getah ke kaki. Sebelum memulakan perjalanan, lagi sekali saya tatap wajah nenek di ambang pintu. Dia memberikan senyuman selamat jalan.


REDUP


Perjalanan di bawah sinar matahari yang kian redup amat menyenangkan. Peluh tidak begitu cepat membasahi tubuh.

Beberapa rantai lagi mahu sampai ke pohon jati, saya berhenti sebentar. Tangan kanan saya terasa lenguh kerana terlalu lama membimbit raga. Saya tukar ke tangan kiri pula. Saya panjangkan leher merenung ke arah pohon jati.

Saya cemas. Datuk tidak kelihatan di situ. Tetapi, perjalanan saya teruskan. Saya letakkan raga atas akar pokok jati dan waktu mata saya arahkan ke kawasan lapang (berpasir) saya lihat ada dangau (pondok) pisang sesikat yang jaraknya tidak sampai lima belas kaki dari tempat Khoja Lisut tertanam.

Atapnya dari daun bertam muda. Dindingnya cuma di bahagian belakang, kiri dan kanan. Tingginya kira-kira sekaki. Dibuat dari daun salak tua yang sudah dianyam rapi. Manakala bahagian depan terus terdedah.

Dibawah sinaran matahari petang yang kian runduk itu, saya lihat Khoja Lisut terkapar tidur atas pasir. Kepalanya terlentuk atas permukaan pasir dengan kedua belah tangannya tergedang. Datuk duduk bersila disebelah kanannya, dalam jarak dua kaki. Melihat saya berada di bawah pohon jati, datuk segera bangun. Dia melangkah ke arah saya.

"Ada kamu bawa barang-barang yang aku pesan," itu yang datuk utarakan, sebaik saja dia berdiri di depan saya.

"Ada dalam raga tu tuk," saya segera meluruskan jari telunjuk ke arah raga.

"Hum...," datuk anggukkan kepala. Sepasang matanya tertumpu ke arah raga. Ada kepuasan terbayang di wajahnya.

"Kamu ikut pantang larang yang nenek kamu cakap Tamar."

Datuk terus mengambil raga yang berisi barang-barang itu, dibawa ke pondok pisang sesikat. Disangkutnya pada bahagian atas pondok. Datuk datang semula kepada saya.

"Kamu dah semmbahyang Asar?"

"Dah tuk."

"Aku belum lagi, aku tak mahu meninggalkan Khoja seorang diri di pasir. Kamu dah datang, hati aku senang. Sekarang giliran kamu menunggunya."

"Tuk nak kemana?" tanya saya cemas.

"Aku nak ke tebing sungai, aku nak ambil air wuduk."

"Ke sungai?" mulut saya terlopong.

"Kenapa Tamar?" datuk menyoal. Tiada jawapan dari saya. Datuk hayun kaki ke sungai dan debaran di dada saya kian kencang.

Saya masih lagi berdiri di bawah pokok jati. Saya renung ke arah Khoja Lisut. Kepalanya terkulai atas pasir dengan mukanya menghala ke arah pondok pisang sesikat.

Perlahan-lahan saya atur langkah mendekatinya. Saya berdiri didepannya. Tidak ada sebarang reaksi dari Khoja Lisut. Saya lihat kedua belah matanya terpejam.

Saya dekatkan telapak tangan kanan saya kehidungnya, ternyata dia masih bernafas dan pada saat itu juga dia mendengkur. Sudah pasti, Khoja Lisut tidur nyenyak, fikir saya.

Orang tidur jangan diganggu. Kasihan, Khoja Lisut menempuh satu penyeksaan yang panjang kerana mahu mengubati penyakit yang dideritainya. Saya menarik nafas panjang-panjang sambil menatap wajahnya.

Kerana Khoja Lisut tidur nyenyak, saya segera terfikir, tidak ada gunanya menjaga orang tidur. Saya membuat keputusan untuk meninjau datuk yang berada di tebing sungai mengambil air sembahyang.

Khoja Lisut saya tinggalkan. Dengan tenang saya melangkah ke arah tebing. Datuk membongkok di gigi sungai mengambil wuduk. Saya terus melangkah dan berhenti dekat pokok bunga tanjung. Jarak saya dengan datuk lebih kurang lima kaki saja. Saya segera berlindung di balik pokok bunga tanjung.

Cukup di sini saja. Kalau diteruskan pasti menimbulkan kesulitan diri sendiri. Paling kurang kena maki hamun dari datuk. Begitulah saya memujuk diri sendiri dan terus melihat gerak geri datuk dari balik pokok bunga tanjung. Sesungguhnya, niat saya baik demi keselamatan diri datuk.

Saya sedar, datuk berdiri di gigi sungai menghadapi lubuk yang ada buaya. Nyawa datuk dalam bahaya, saya perlu membantunya bila buaya itu melakukan serangan mengejut padanya.

Kerana itulah saya mengekorinya dan mengawasi datuk dari balik pokok bunga tanjung. Kini, seluruh perhatian saya tertumpu pada lubuk buaya dan datuk.

"Haaa..."

Mulut saya ternganga. Jantung saya berdebar. Buaya timbul di permukaan lubuk, macam batang buruk yang terapung di permukaan air.

"Tamar, aku tahu kamu ada di balik pokok bunga tanjung, kamu duduk diam-diam disitu, jangan menjerit dan jangan datang ke sini," datuk menujukan kata-kata untuk saya.

Dengan perlahan-lahan saya menarik dan melepaskan nafas. Saya terpaksa patuh dengan arahan datuk itu. Terpaksa bertahan di bawah pokok bunga tanjung.


MUNCUL


Datuk bagaikan tidak ambil kisah dengan kemunculan buaya dipermukaan lubuk. Dia terus ambil wuduk hingga selesai, kemudian sarung selipar jepun ke kaki. Berdiri di tebing dengan membelakangi buaya yang kelihatan bergerak ke arah tebing sungai.

Tiba-tiba buaya itu membedalkan ekornya ke arah datuk, waktu ekor buaya itu menghempap tebing sungai, datuk sudah pun berada di perdu pisang hutan. Cukup pantas datuk bergerak hinggakan saya tidak dapat melihat gerakan itu berlaku meskipun mata saya tidak berkedip merenung kearahnya.

Datuk memusingkan badannya, berdiri tegak menghadapkan wajahnya ke sungai. Buaya masih menimbulkan badannya dipermukaan lubuk, terapung macam batang buruk, bergerak lemah mengikut gelombang air.

"Hai buaya, aku bukan habuan kamu kali ini," pekik datuk seraya mematah ranting dari pokok kecil di kirinya. Ranting itu dilemparkan ke sungai.

Sebaik saja ranting yang dilemparkan mengenai permukaan air sungai, buaya terus menyelam ke dasar lubuk. Beberapa saat kemudian muncul kembali bersama riak gelombang air yang besar dan kuat menguasai permukaan lubuk. Serentak dengan itu buaya terus menghempaskan ekornya berkali-kali ke permukaan air.

"Kamu marah," suara datuk keras.

Dan buaya terus memukulkan ekornya ke air seolah-olah memberikan jawapan terhadap kata-kata datuk.

"Jangan ganggu aku, aku kemari bukan niat nak kacau kawasan kamu, aku ke mari nak menolong orang yang sakit," datuk terus bercakap, biji matanya tertumpu ke arah buaya di air yang kelihatan tidak tenang. Sekejap menyelam, sekejap timbul. Ekornya terus memukul air.

"Selamat tinggal kawan," datuk lambaikan tangan ke arah buaya. Dan saya lihat buaya itu mengangakan mulutnya lalu dihalakan ke arah datuk. Dua tiga detik kemudian buaya terus menyelam dan tidak timbul-timbul lagi.

Datuk meneruskan pejalanan ke pondok pisang sesikat tanpa menghiraukan saya yang berada di bawah pokok bunga tanjung. Saya jadi serba salah, apakah saya masih terikat dengan pesan datuk? mungkin datuk menghukum saya kerana mengekorinya dari belakang, jadi dia sengaja membiarkan saya disini sendirian. Kalaulah itu rencana dalam dada datuk, dia memang seorang yang kejam. Timbul bermacam-macam pertanyaan dalam diri saya.

Saya renung ke arah pondok pisang sesikat. Datuk sedang menunaikan solat Asar. Saya sudah tidak mampu bertahan di bawah pokok bunga tanjung. Saya jadi cemas dan tidak tentu arah. Sesekali saya terasa seram. Bulu tengkuk saya terasa tegak. Dan Saya mengambil keputusan yang amat nekad, saya langgar pesanan datuk. Pokok bunga tanjung saya tinggalkan, berlari ke arah ppondok pisang sesikat.

Saya berdiri di luar pondok pisang sesikat, menunggu datuk menyelesaikan solat dan berdoa. Saya tetap berharap tindakan yang saya lakukan tidak mendatangkan apa-apa kemarahan terhadap datuk.

"Masuk Tamar,"

Nada suara datuk cukup mesra. Ada senyum diwajahnya.

Saya masuk ke perut pondok. Duduk bersila didepan datuk.

"Nenek kamu dah jual pisang dan keledek?"

Saya mengigit bibir, sukar untuk saya memberikan jawapan. Nenek tidak beritahu apa-apa dan saya tidak ppula bertanya apa-apa pada nenek. Secara spontan saya teringatkan kesan tayar lori dihalaman rumah.

Saya yakin itu adalah kesan tayar lori peraih yang mengambil pisang dan keledek.

"Semuanya nenek dah jual tuk," tutur saya penuh yakin. Datuk anggukkan kepala.

Mungkin terasa lenguh duduk bersila, datuk pun meluruskan sepasang kakinya sambil menyandarkan badannya ke tiang pondok. Datuk mengerakkan jejari kakinya dan pada saat itu terdengar suara jeritan Khoja Lisut. Cepat-cepat datuk gerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan.

"Kamu pergi jiruskan air kekepalanya, kemudian kamu korek pasir kelilingnya, keluarkan kedua belah tangannya," saya kerutkan dahi, kerana tugas yang diserahkan oleh datuk pada saya bukannya tugas yang mudah.

"Saya buat seorang aje tuk?"

"Yalah, takan kerja semudah itu aku nak tolong. Pergi buat sekarang."

Saya segera bangun dengan rasa yang amat malas. Sebaik saja berada di luar pondok pisang sesikat, lagi sekali saya tatap wajah datuk. Dia tidak memperlihatkan sebarang reaksi dan saya terus melangkah menuju ke arah Khoja Lisut ditanam.

"Korek gunakan pelepah kelapa."

Saya berhenti melangkah dan menoleh ke arah datuk. Belum pun sempat saya bertanya, datuk pun melemparkan pelepah kelapa ke arah saya. Dengan tangkas saya menyambutnya.

Saya terus membelek-belek pangkal pelepah yang ditarah rata dan nipis. Bentuknya macam sudip yang sering digunakan untuk mengacau nasi dalam kawah besar.

Panjang pelepah kelapa itu lebih kurang empat kaki lebih. Bahagian hujungnya diikat dengan kain tiga warna, merah kuning dan hitam. Pelepah kelapa itu segera saya lurutkan dengan telapak tangan kanan.

"Jangan buat macam tu, Tamar."

Saya segera berhenti melurut pelepah kelapa. Biji mata saya arahkan kepada datuk. Dia berdiri di pintu pondok pisang sesikat. Tangan kirinya digerakkan ke kiri dan ke kanan.


"Maafkan saya, saya tak tahu tuk."

"Hum, kenapa tercegat lagi disitu? Pergi sekarang buat apa yang aku suruh," suara datuk cukup keras, mengganggu penumpuan saya terhadap pelepah kelapa di tangan. Melihat saya masih terpaku di situ, datuk terus bersuara:

"Pergilah cepat jangan terpacak disitu."

"Ya tuk, saya pergi sekarang," jawab saya tersekat-sekat.

Tanpa toleh kiri kanan saya aturkan langkah mendekati Khoja Lisut.


MATA


Saya berdiri di depan Khoja Lisut. Kemudian terus duduk bersila. Sepasang mata Khoja Lisut yang tidak bermaya itu menatap wajah saya.

"Dahaga, aku dahaga Tamar."

Saya segera menyumbatkan muncung botol kemulutnya. Tergesa-gesa Khoja Lisut menyedutnya hingga menyebabkan dia tersedak. Air yang berada dalam mulutnya berhamburan keluar. Hampir-hampir mengenai tubuh saya. Saya lihat Khoja Lisut tercungap-cungap.

Muncung botol segera saya pisahkan dari bibirnya. Lidah Khoja Lisut menjilat kesan air dibibir dan dagu. Perbuatannya itu amat mengharukan perasaan saya.

"Pak cik minum pelan-pelan sikit," kata saya penuh hormat.

"Ya, ya aku tahu Tamar," sahutnya penuh ghairah. Matanya tetap merenung muncung botol yang berada dalam tangan saya.

"Minum pakcik."

Muncung botol saya sumbatkan kemulutnya. Khoja Lisut menyedut air dengan hati-hati, cakap saya dipatuhi dengan baik sekali. Dia berhenti meneguk air dalam botol.

"Hilang dahaga, pakcik?"

Dia terus anggukkan kepala. Cepat-cepat saya menjiruskan air dari dalam botol ke atas kepalanya. Khoja Lisut terus bersin, mungkin lubang hidungnya dimasuki air yang saya tuangkan dikepalanya.

"Kalau dah bersin jangan buat lagi."

Saya lihat kearah datuk. Dia angkat tangan kanannya tinggi-tinggi dan dijatuhkannya perlahan-lahan.

"Sekarang koreklah pasir tu."

"Baiklah tuk."

"Mulakan dari sebelah kanan, baca Bismillah dan selawat Nabi tiga kali berturut-turut," lanjut datuk lagi. Suaranya cukup nyaring. Arahan datuk segera saya patuhi.

Mengorek pasir dengan menggunakan pelepah kelapa memang memenatkan, sekejap saja seluruh badan saya berpeluh, sedangkan pasir yang dikorek seperti tidak menampakkan sebarang kesan.

"Kau nak keluarkan aku dari pasir ni Tamar?"

Tidak saya jawab pertanyaan dari Khoja Lisut.

"Datuk kamu suruh keluarkan aku."

Seperti tadi, saya tetap membisu. Terus mengorek pasir.

"Agaknya, datuk kamu melarang aku bercakap dengan kamu Tamar, agaknya ini jadi pantang larang."

Saya berhenti mengorek pasir dengan pelepah kelapa. Saya menarik dan melepaskan nafas dengan tenang.

"Eh, jangan berhenti," pekik datuk dari pondok.

Saya kembali meneruskan kerja yang terhenti. Saya tidak peduli dengan apa yang dikatakan oleh Khoja Lisut. Mungkin kerana kecewa dengan sikap saya, Khoja Lisut terus membisu.

"Tamar, tangan kiri aku dah keluar."

Saya terkejut, memang tidak saya duga tangan kiri yang keluar. Saya korek sebelah kanan, sepatutnya tangan kanan yang keluar.

Saya termenung sejenak memikirkan keanehan yang terjadi didepan mata. Khoja Lisut merewang-rewangkan tangan kirinya sesuka hati. Setiap kali tangan kirinya dipusingkan, pasir yang berada disekeliling tengkuknya turut sama bergerak hingga kedua belah sayap bahunya tertonjol dipermukaan pasir.

"Tuk, tolonnnnngggggg!"

Pelepah kelapa saya tikamkan ke dada pasir. Sepasang kaki saya bagaikan ditarik sesuatu.Terbenam dalam perut pasir separas lutut. Pasir sekitar tempat saya berdiri menjunam ke bawah, seolah-olah jatuh ke dalam lubang gaung yang dalam. Saya jadi panik dan terus berpaut pada pelapah kelapa. 

126. Tubuh Di Awang-Awangan

“Tak mengapa.” Datuk tercegat di depan saya dengan wajah yang damai. Kemudian telapak tangan kirinya bercantum dengan telapak tangan kanan saya.

“Pegang kuat-kuat,” katanya.

Saya patuhi arahan yang diluahkan oleh datuk. Waktu saya kerahkan seluruh kekuatan untuk berpaut pada tangan kanannya, saya terasa sekujur tubuh seperti terangkat, memisahkan sepasang kaki dengan pasir dalam jarak setinggi kira-kira empat kaki. Seluruh tubuh terawang-awangan di udara.

“Aduuuuhhh…..!” itu yang keluar dari kelopak bibir saya. Daging punggung terasa sakit dan pedih bila datuk mendudukkan saya dengan keras dan kasar. Seluruh isi perut terasa bergegar.

Dari pangkal belikat hingga ke pangkat paha terasa keras seketika. Seluruh sendi terasa lemah. Lebih dari lima minit saya duduk termanggu di dada pasir.

Bila saya rasa kekuatan tenaga sudah pulih kembali, cepat-cepat saya bangun. Berdiri merenung ke arah Khoja Lisut yang sudah berjaya mengeluarkan tangan kanannya.

“Tamar, ikut aku.”

“Ke mana tuk?” Soal saya lemah.

“Keluarkan Khoja dari pasir.”

Saya segera mengekori langkah datuk. Saya berdiri di sebelah kiri Khoja Lisut. Dan datuk berdiri di sebelah kanan Khoja Lisut. Khoja Lisut segera menetap wajah saya dan datuk silih berganti. Rasa cemas terpamer di wajahnya.

“Serentak kita tarik tangannya, Tamar.”

Arahan datuk itu saya balas dengan menganggukkan kepala. Setelah datuk genyitkan mata saya terus menyambar tangan kanan Khoja Lisut. Datuk juga berbuat seperti apa yang saya lakukan.

“Heret ke sungai,” arahan datuk saya terima.

Khoja Lsiut kami tarik atas pasir, suara jeritannya menguasai seluruh kawasan. Datuk tidak ambil kisah dengan jeritan itu. Khoja Lisut diheret hingga ke gigi sungai.

“Kita humbankan ke dalam lubuk.”

Saya jegilkan biji mata ke arah datuk dengan seribu persoalan. Sukar untuk saya mematuhi cakapnya. Kalau dicampakkan ke lubuk, bererti Khoja Lisut akan jadi makanan buaya.

Apa datuk sudah gila? Kulit dahi segera saya kerutkan.

“Ke lubuk tuk?”

“Iya.”

“Buaya tuk.”

“Itu urusan aku,” sahut datuk dengan wajah yang masam.

Dia segera menyuruh saya berubah tempat. Saya disuruh memegang sepasang kaki Khoja Lisut dan datuk memegang sepasang tangan lelaki yang masih mengerang kesakitan.

“Kita hayun tiga kali, masuk hayun keempat kita lepaskan ke lubuk, kamu faham cakap aku Tamar!”

“Bagus, jangan banyak tanya lagi tau.”

“Iya tuk.”

“Hayun satu, hayun dua, hayun tiga, hayun empat lepaskan Tamar.”

“Bedebummmmmm.”

Sekujur tubuh jatuh di permukaan lubuk. Gelombang dan alun air sungai berlarian ke tepian. Khoja Lisut menjerit meminta tolong, terkapai-kapai mengimbangi tubuh supaya tidak tenggelam.

Di saat Khoja Lisut terkapai-kapai itu penghuni lubuk (buaya) menimbulkan diri di sisinya. Jeritan Khoja Lisut bertambah kuat.

Dengan sedaya upaya saya lihat Khoja Lisut berusaha menjauhkan dirinya dari buaya tersebut. Dia cuba berenang ke tepian.

“Kamu lihat dia sudah boleh menggerakkan ke dua kaki dan tangannya,” bisik datuk pada saya. Tidak dapat saya nafikan kebenaran dari kata-kata datuk itu.

“Saya takut dia jadi habuan buaya tuk!”

“Tidak, nanti aku ikhtiar untuk menyelamatkannya,” balas datuk sambil matanya merenung ke arah buaya yang muka mempamerkan keganasannya untuk mengorbankan Khoja Lisut.

Si buaya mula membuka mulut, ekornya terus memukul permukaan sungai. Khoja Lisut kelihatan tenggelam timbul dalam riak dan alun air tersebut. Dia kelihatan tercungap-cungap seperti berada dalam keadaan kelemasan. Buaya yang berada di permukaan air terus menyelam ke dasar lubuk.

“Buaya tu menyelam untuk menjulang Khoja,” datuk renung ke arah saya. Dia nampak gusar sekali. Khoja Lisut tetap terkapai-kapai, saya melagakan gigi atas dengan bawah beberapa kali, saya harap datuk dapat melakukan sesuatu supaya Khoja Lisut tidak jadi korban buaya.

“Hum…..,” datuk mendengus.

“Tuk mahu menolongnya?”

Datuk membisu, tidak mahu menjawab pertanyaan saya.

Dia terus duduk bersila atas pasir dengan kedua belah lengannya berada atas tempurung lutut. Datuk menahan nafas, kedua belah kelopak bibirnya bergerak-gerak. Ternyata datuk sedang membaca sesuatu untuk menyelamatkan Khoja Lisut. Saya gembira dengan tindakan itu.

“Huuuupppp.”

Kedua belah telapak tangan datuk memukul pasir. Dia terus bangun, bergerak bagaikan robot menuju ke sungai. Berdiri di tengah arus sungai dengan kedua belah tangannya mencekak pinggang. Datuk bongkokkan badan (kedua belah tangan masih di pinggang) hingga seluruh mukanya terkena air sungai yang mengalir.

GIGI

Dari gigi sungai saya perhatikan gerak geri datuk itu. Tiga kali dia membongkok dan tiga kali juga air sungai membasahi wajahnya. Selesai saja perkara itu dilakukan, datuk tetap berdiri di situ sambil mendepangkan kedua belah tangannya.

“Terkunci mulutmu dari membinasakan anak Adam, patuhilah engkau dengan hukuman aku,” selesai saja datuk bersuara dia segera menjentik permukaan air dengan jari telunjuk tiga kali berturut-turut.

Perlahan-lahan datuk memusingkan badannya ke arah saya. Dia menggamit saya agar mendekatinya. Permintaannya saya penuhi.

“Kamu pergi dekat Khoja, tarik dia ke tepi.”

“Tapi tuk?”

“Tak ada tapinya, buat sekarang.”

Dengan rasa gementar saya segera mengharungi sungai mendekati Khoja Lisut yang terkapai-kapai, saya hulurkan tangan ke arahnya. Tanpa diduga, buaya menimbulkan badannya di sebelah kanan saya. Sepasang kaki saya jadi lemah, tidak mampu berdiri dan mengharungi air sungai, saya batalkan niat untuk menolong Khoja Lisut. Saya berpatah balik ke tepi sungai.

“Tuk tolong saya, buaya tuk.”

“Kalau kamu patah balik, aku cekik kamu sampai mampus, pergi tolong Khoja, pergi.”

Saya tidak ada pilihan, kalau rapat ke tepi bencana menanti. Kalau tolong Khoja , saya pasti jadi umpan buaya. Dari mati kena cekik, lebih baik mati di mulut buaya. Sebelum saya jadi habuannya, saya pasti menentangnya. Kalau nasib saya baik, saya mampu menewaskannya. Saya mara ke tengah sungai semula.

“Kemari kamu, kamu sudah aku takluki. Mulut kamu terkatup rapat, kekuatan kamu jadi lemah. Kamu hanya mendengar cakap aku saja, sekarang kamu ke mari duduk dan jemurkan badan kamu di pasir,” pada mulanya saya rasa cemas dan takut mendengar kata-kata datuk itu, tetapi setelah mengetahui yang kata-kata itu ditujukan kepada buaya. Rasa takut dan cemas segera hilang dari bersarang di sanubari saya.

Buaya yang terapung di sebelah kanan saya segera menuju ke tepian. Merangkak atas pasir lalu berhenti depan datuk.

“Kamu duduk dia di sini,” tutur datuk.

Buaya itu menggerakkan hujung ekornya perlahan-lahan, seolah-olah mengerti dengan apa yang datuk ucapkan. Datuk pun meletkkan kaki kirinya ke kepala buaya sebentar. Kemudian datuk terjun ke sungai lalu menolong saya mengheret Khoja Lisut ke tepian.

Khoja Lisut terus dibaring atas pasir. Datuk melurutkan kakinya dengan daun keladi sebanyak tiga kali. Bila kerja itu selesai, Khoja Lisut dicampakkan ke lubuk buaya sebanyak tiga kali berturut.

Bila Khoja Lisut tidak bermaya, barulah datuk memikulnya ke pondok pisang sesikat. Dibaringkan atas pucuk pisang. Khoja Lisut terkapar pengsan di situ.

“Sekarang kau ikut aku, bawa gayung upih,” datuk bersuara tenang. Saya segera mencapai gayung upih dan terus mengekori langkah datuk menuju ke tempat buaya tersadai. Sebaik saja sampai ke tempat itu, tanpa sepatah kata pun datuk segera mengambil kayu di tangan saya.

“Nak buat apa tuk?”

“Aku nampak air liur buaya,” segera saya beliakkan biji mata.

Datuk segera membuka mulut buaya luas-luas, kemudian dikatupnya kembali, rapat, air liurnya meleleh di kiri kanan, datuk terus mengambilnya dengan menggunakan gayung dari upih.

“Tunggu, sekejap lagi kamu aku bebaskan,” datuk tatap mata buaya yang kelopaknya bergerak lemah. Datuk ambil sejemput pasir yang berada di bawah perut buaya lalu digaulkan dengan air liur buaya.

“Mari balik ke dangau.”

“Jum.” Balas saya pendek. Kami pun melangkah menuju ke pondok pisang sesikat. Tanpa membuang masa datuk terus menggosok seluruh badan (termasuk bibir dan telinga) Khoja Lisut dengan air liur buaya.

“Ehhhhh….”

Suara Khoja Lisut mendatar. Dia membuka mata merenung muka saya dan datuk.

“Berapa lama lagi saya begini?”

Datuk enggan menjawab pertanyaan itu. Dengan berbisik datuk mengarahkan saya supaya mengambil bungkusan berbalut kain hitam. Cakapnya segera saya patuhi. Bungkusan itu saya serahkan pada datuk lalu dibukanya. Tujuh biji putik manggis tergolek di depan mata saya.

“Kamu tumbuk sampai hancur.”

Sebiji putik manggis datuk serahkan pada saya. Tanpa membuang masa lagi, putik manggis itu saya tumbuk dengan batu sungai hingga hancur.

“Nah tuk.”

Sebelum menerimanya, datuk melihat terlebih dahulu putik manggis hancur yang saya taruhkan dalam piring kecil. Datuk senyum, dia puas hati dengan kerja saya itu.

“Sumbatkan ke dalam mulutnya.”

Datuk keluarkan arahan. Saya segera mematuhinya. Rasa kelat dan pahit dari putik manggis itu membuat Khoja Lisut mengerutkan dahi. Dia hampir mahu muntah.

“Telah Khoja, jangan luahkan, kalau kamu muntah, kamu terpaksa duduk lama di sini,” nada suara datuk lembut.

“Berapa lama lagi saya di sini?” tanya Khoja Lisut.

“Kalau semuanya berjalan dengan baik, tiga hari saja. Apa yang kami buat pada kamu petang ini akan dikulangi pada petang besok dan lusa.”

“Huh, azabnya saya,” keluh Khoja Lisut.

Datuk tersenyum dan menyuruh saya hancurkan sebiji putik rambutan yang kemudiannya dicampurkan dengan air pinang. Semua bahan tersebut disapukan ke seluruh badan Khoja Lisut, cuma sedikit saja yang disuapkan ke mulutnya.

SELESAI

Bila tugas itu sudah selesai, saya diarahkan oleh datuk mengorek lubang (di tempat mula-mula Khoja Lisut ditanam) di dada pasir untuk menanam badan Khoja Lisut. Kerja itu dapat saya selesaikan dalam masa yang singkat sekali.

“Sudah siap Tamar?” tanya datuk.

“Sudah tuk.”

“Kalau begitu, datanglah ke sini tolong usung Khoja untuk dibawa ke lubang.”

“Iya, saya datang tuk.”

Saya bergegas menuju ke pondok pisang sesikat. Khoja Lisut segera kami usung dan campakkannya ke dalam lubang yang sudah digali. Tugas menimbusnya terletak atas bahu saya. Khoja Lisut merelakan apa yang saya dan datuk lakukan terhadapnya.

“Tinggalkan dia di situ, ikut aku ke sungai,” ekor matanya menjeling ke arah saya.

“Jangan tinggalkan saya di sini,” Khoja Lisut merayu.

“Kau tunggu aje di sini,” sergah datuk dan Khoja Lisut terus terdiam.

“Mari, Tamar.”

Datuk segera menarik tangan saya mengajak ke sungai. Saya hanya mengikut saja. Tidak mampu saya mengemukakan apa-apa pertanyaan terhadap datuk.

Kami sampai ke tepi sungai. Datuk segera berdiri di hujung muncung buaya. Tiga kali datuk urut muncung buaya dan tiga kali datuk tepuk pasir dengan telapak tangan kirinya.

Kedua belah tangan datuk memeluk tubuh lalu menarik nafas dalam-dalam. Matanya diarahkan ke lubuk tanpa berkedip dan mulutnya bergerak membaca sesuatu.

“Sekarang kau sudah aku bebaskan, kita tidak bersahabat lagi buat masa ini. Dalam tempoh kita tidak bersahabat tu, kau boleh memusnahkan kaum keluarga dan kawan-kawanku,” sebaik saja datuk selesai bercakap, dia terus melompat ke kanan.

Jarak kami (saya dan datuk) dengan buaya kira-kira sepuluh kaki saja. Buaya itu mengangakan mulutnya luas-luas. Bergerak ganas atas pasir dengan ekornya memukul ke kiri dan ke kanan. Pasir-pasir yang kering berterbangan.

Buaya benar-benar menunjukkan kemarahannya yang amat sangat. Mungkin kerana menyedari yang dirinya tidak dapat melakukan apa-apa terhadap saya dan datuk, buaya itu terus merangkak ke sungai dan terus menyelam ke sarangnya (lubuk).

“Untuk petang ini dan selesai,” datuk terus menepuk bahu saya berkali-kali,” kita kena buat perkara yang sama dua petang lagi,” sambung datuk sambil menggosok-gosok pangkal dagunya.

“Kena buat lagi tuk?”

“Iya, tiga petang berturut-turut,” datuk mula mengatur langkah menuju ke pondok pisang sesikat. Saya mengekorinya.

Sambil berjalan itu, saya melihat ke dada langit. Awan petang berarak lembut, beburung mula terbang ke sarang dan di kaki langit mula timbul cahaya kemerah-merahan.

Sebentar lagi suasana petang akan berakhir. Senjakala akan datang menjelma saya kira ketika itu suasana sekitar tentu akan berubah. Boleh bertukar menjadi seram dan menakutkan.

“Malam ni, ada kerja yang lebih hebat dari apa yang kita buat pada petang ini,” tutur datuk sambil duduk di depan pondok. Matanya merenung ke arah Khoja Lisut yang Cuma nampak kepala saja. Seekor ular tedung bergerak ke arah Khoja Lisut.

“Kamu jangan bergerak Khoja, kalau ular tu mendekati kamu, matikan diri kamu dan tahan nafas,” datuk memberikan arahan dan Khoja Lsiut tidak memberikan apa-apa reaksi, matanya tertumpu ke arah ular yang menghala ke batang hidungnya. Dua tiga kali ular itu berpusing di situ, adakalanya memanggungkan kepalanya.

Saya menarik nafas kelegaan, bila ular tedung itu beredar dari sisi kepala Khoja Lisut.

“Itu ujian untuknya,” datuk meluruskan kaki kirinya.

“Hebat ujiannya tuk,”

“Begitulah, mengikut petuanya Khoja Lisut mesti ditanam dalam pasir tiga hari tiga malam berturut, dibuang ke lubuk buaya tiga petang berturut, tiga malam berturut mesti didekatkan dengan unggun api kemudian dimandikan di lubuk waktu tengah malam,” penerangan yang tidak saya tagih dari datuk itu sudah cukup menegakkan bulu roma saya.

“Kalau begitu biar saya balik dulu tuk.”

“Kamu mesti bersama aku malam ni, malam esok atau lusa kalau nak tidur di rumah tak mengapa. Tetapi malam ni kamu mesti ada di sini,” nada suara datuk bersahaja.

DUDUK

Menjelang Mahgrib, saya dan datuk sudah pun menyiapkan tiga longgokan kayu mengelilingi kepala Khoja Lisut yang tubuhnya terbenam dalam pasir.

Sebelum itu, seluruh muka Khoja Lisut telah dilumurkan oleh datuk dengan sejenis minyak yang datuk buat dari ramuan buah jambu batu, daun kunyit, santan kelapa, buah gelugur dan ubi keledek.

Semua bahan-bahan itu diproses hingga menjadi seperti margerin dan itulah yang disapukan ke muka Khoja Lisut bagi mengelak kulit muka dan lehernya dari terbakar. Minyak itu juga menghalau nyamuk dan serangga lain dari mendekati Khoja Lisut.

Sebaik saja masuk waktu Mahgrib, datuk menyuapkan tiga biji bertih ke mulut Khoja Lisut. Setelah itu berulah saya dan datuk melakukan solat Mahgrib. Sementara menanti masuk waktu Isyak saya dan datuk terus berzikir dan melakukan sembahyang sunat Awabin.

“Sekarang kamu bakar kayu yang kita longgokkan tadi,” kata datuk sebaik saja selesai sembahyang Isyak.

“Saya seorang saja tuk?”

“Habis, berapa orang pula, pergi buat. Aku nak berwirid dan nak tidur. Kamu tunggu di situ, bawa botol air, kalau Khoja nak minum kau berikan air padanya,” pesan datuk.

Dengan perasaan yang agak cemas, saya terus pergi kelonggokkan kayu pertama lalu membakarnya. Kemusian beralih ke longgokkan kedua dan ketiga. Kawasan sekitar jadi terang-benderang.

Saya berdiri tidak jauh dari Khoja Lisut, lebih kurang sejam api itu menyala, saya terdengar suara jeritan Khoja Lisut. Bahang api dari kiri kanannya membuat Khoja Lsiut kepanasan. Kulit muka dan lehernya serta merta menjadi merah.

Saya sudah tidak mampu lagi berdiri di situ. Kepanasan membuat kulit muka saya terasa pedih. Badan berpeluh. Baju segera saya buka. Kerana tidak tahan, saya lari ke pondok pisang sesikat. Jeritan Khoja Lisut yang nyaring bertukar menjadi serak dan akhirnya terus hilang.

“Kamu jangan datang ke sini, tunggu dekat Khoja, sekejap lagi aku datang ke tempat kamu,” tutur datuk sambil menutup Quran kecil yang dibacanya.

“Sekejap lagi tu, bila tuk?”

“ Pukul empat pagi atau selepas aku sembahyang sunat Tahajud.”

“Saya takut tuk.”

“Kamu pergi sekarang,” pekik datuk sekuat hati.

Suaranya yang kuat dan nyaring membuat saya segera menuju ke tempat Khoja Lisut.

Saya duduk atas sebatang kayu. Kepala Khoja Lisut terlentuk atas pasir. Suara datuk membaca Quran sayup-sayup kedengaran. Saya lihat ke langit, bintang bertaburan di mana-mana.

Angn yang bertiup mengerakkan dedaun dan dedahan dari pokok yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Suara angin yang menyentuh dedaun amat menyeramkan bunyi dedahan kering yang jatuh ke bumi macam bunyi telapak kaki manusia memijak dedaun kering.

Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk kerana mengantuk. Saya kira ketika itu sudah lebih dari pukul satu pagi. Suara datuk membaca Quran tidak kedengaran lagi. Saya berdiri lalu merenung ke pondok, saya lihat datuk sudah baring.

Mungkin dia sudah tidur. Antara sedar dengan tidak saya terasa ada sesuatu yang bergerak di belakang saya. Kerana semua kayu sudah menjadi bara, saya kehilangan cahaya untuk memastikan apa yang ada di belakang.

Perlahan-lahan saya memusingkan badan untuk melihat dengan tepat apa yang berada di belakang saya. Sebagai senjata, saya ambil sepotong dahan yang bahagian hujungnya sudah menjadi bara.

“Ya Allah, selamatkan aku dari bahaya ni,” bisik batin saya bila terlihat seekor harimau duduk mencangkung ke arah saya. Dengan lagak separuh berani dan takut saya halakan puntung kayu yang berbara ke arah harimau itu.

Si harimau terus mengaum dn beredar dari belakang saya. Bila saya membetulkan kdudukan saya pada keadaan asal, saya lihat seekor ular besar yang hitam panggungkan kepala ke arah saya. Dan saya gunakan puntung kayu yang berbara untuk menghalau ular hitam itu. Saya berjaya, ular itu segera beredar.

Dalam keadaan yang serba tidak kena dan penuh keresahan dan ketakutan itu, saya renung ke pondok. Datuk baru saja selesai menyempurnakan sembahyang Tahajud.

Sekarang dia sedang menadah tangan ke langit, berdoa mohon restu dari Allah agar segala kerjanya dapat dilaksanakan dengan baik.

HODOH

Tiba-tiba gegendang telinga saya menangkap bunyi sesuatu dari sebelah kanan lalu dituruti dengan bunyi suara orang batuk.

Saya alihkan muka ke kanan, seorang lelaki dengan wajah yang amat hodoh terpacak di situ. Tingginya hampir sama dengan tinggi saya.

“Siapa kamu?”

Lelaki yang separuh wajahnya mengeruru macam kulit katak puru itu tersengih, mempamerkan giginya yang besar dn bentuknya macam gigi buaya.

Kedua belah keningnya menutup mata, sukar untuk melihat anak matanya. Hujung dagunya terkandas pada dada. Daging pipinya mengelebeh hingga ke bahu sekali pandang macam telinga gajah.

“Siapa kamu?”

Untuk kedua kali saya bertanya.

Lelaki berwajah hodoh itu tidak menjawab dan dengan sekelip mata, tubuhnya menjadi tinggi melepasi pepohon besar yang ada di situ. Pandangan saya dilindungi oleh tubuhnya yang berwarna putih macam awan. 

127. Di Rejam Buluh Kunung

Saya menjadi cemas dan cuba mengubah pandangan ke arah lain. Batang leher terasa keras dan tegang, tidak boleh digerakkan ke mana-mana. Cuma boleh memandang ke depan saja.
Saya membaca beberapa potong ayat Quran penghalau syaitan dan iblis. Ternyata pembacaan saya tidak teratur dan sering mengalami kesilapan.
Dalam keadaan yang gamat itu, saya terus menjerit dengan sekuat hati.
" Tuuuukkkkkkk, tolongggg.......,"
Sebaik saya berhenti menjerit, nafas jadi sesak dan badan terus menggeletar tanpa sebab.
"Tukkkkk, tooolonggggg....,"
Jeritan saya kali ini lebih kuat dan keras. Saya kira boleh didengar hingga ke hujung kampung. Malah orang pekak pun boleh mendengarnya, apatah lagi datuk. Malangnya datuk yang saya harapkan pertolongannya tidak kunjung datang. Saya menjerit lagi untuk kali ketiga.
" Tuuuuuukkk, tolonnnnnnggg saayaaaa."
Sebaik saja saya selesai menjerit, bahu saya dipaut dari arah sebelah kanan. Saya segera menoleh ke situ.
"Kenapa Tamar?"
Datuk kehairanan, dia renung ke depan belakang dan kiri kanan. Datuk kerut dahi sambil mengarahkan sepasang biji matanya ke bumi. Saya yang kepenatan terus menarik dan melepaskan nafas perlahan-lahan.
"Tadi ada makhluk ganjil kacau saya tuk."
" Aku ada dekat kamu, sebaik saja kamu berhenti menjerit kali kedua, tapi aku tak nampak apa-apa."
Dalam kedinginan dinihari itu, saya lihat datuk tersenyum. Makhluk tinggi di depan saya sudah ghaib entah ke mana. Suara lolongan anjing liar dan burung hantu masih kedengaran sayup-sayup, begitu juga dengan suara burung tukang.
" Sekarang kamu keluarkan Khoja dari dalam lubang, selesaikan semua kerja ini sebelum fajar." sambil meraba kening kirinya, datuk mengeluarkan perintah untuk saya.
"Berat kerjanya tuk,"
"Buat sekarang, jangan banyak cakap," herdik datuk keras. Saya terdiam.
Saya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan Khoja Lisut dari lubang. Saya bersihkan pasir yang melekat di tubuhnya.
Keadaan Khoja Lisut memang tidak bermaya, mengikut apa saja yang kami lakukan terhadap dirinya. Dari bahagian leher hingga ke bawah tubuhnya nampak putih pucat, dari leher ke muka nampak merah menyala.
Khoja Lisut dibaringkan atas pasir, datuk membuka cawat yang membalut bahagian kemaluan (masa ditanam dalam tanah tubuhnya tidak memakai pakaian, kecuali di bahagian kemaluannya) yang dibuat dari dari seludang kelapa. Datuk ganti cawat seludang kelapa dengan cawat pucuk pisang. Masa datuk menguruskan semuanya itu, saya renung ke arah lain, malu rasanya melihat bahagian sulit Khoja Lisut.
Cawat itu datuk ikatkan dengan tali yang dibuat dari batang pisang.
"Sekarang tolong usung Khoja ke lubuk buaya."
"Eh tuk, betul ke ni"
"Habis kamu fikir aku nak bergurau, mari tolong aku."
Saya segera berdiri di bahagian kaki Khoja Lisut lalu mengangkat kakinya dan datuk mengangkat bahagian kepala. Khoja Lisut kami usung ke usungan.
Waktu meranduk air sungai terasa sejuk ke seluruh tubuh. Saya terus menggigil, hampir saja kaki Khoja Lisut terlepas dari pegangan saya.
"Pegang kuat-kuat," herdik datuk.
"Maafkan saya tuk."
"Hum, bila air sudah paras ketiak kamu, serahkan Khoja pada aku seorang. Kamu baliklah ke tepi, masa kamu ke tepi mesti jalan mengundur, jangan paling muka kamu ke mana-mana."
"Baik tuk,"
Air sungai terus diharungi menuju ke lubuk. Bila air sungai sudah mencapai paras ketiak, saya segera ke tepi dan datuk memikul sekujur tubuh Khoja Lisut seorang diri.
Datuk mara ke lubuk setapak demi setapak. Akhirnya datuk tenggelam tetapi, tubuh Khoja Lisut masih dapat saya lihat dari tepian. Kemudian tubuh Khoja Lisut terus ghaib. Dan secara mendadak buaya keluar dari sarang lalu melompat atas pasir, terkapar di situ.
Datuk dan Khoja Lisut yang tenggelam di lubuk buaya masih belum timbul. Di bawah cahaya bulan yang samar-samar itu saya lihat air di permukaan lubuk berpusing dan berputar ligat. Buaya yang berada di atas pasir, tidak bergerak langsung seolah-olah tidak bernyawa.
"Allah hu akbar."
Pasti itu suara datuk, saya tumpukan perhatian kepada air di permukaan lubuk buaya. Tidak nampak batang tubuh datuk di situ tetapi, saya dapat mengesan sesuatu yang aneh di permukaan lubuk, dalam samar-samar saya seperti terpandangkan kepala manusia tenggelam timbul di situ.
"Allah hu akbar," terdengar lagi suara datuk. Serentak dengan itu saya lihat datuk melonjak dari dalam air setinggi sepuluh kaki. Datuk melayang-layang di udara sejenak dan akhirnya jatuh di sisi buaya yang tersadai di pasir.
"Tuk,"
"Hummmmm....," datuk menggeliat dan terus bangun.
"Kau tak apa-apa Tamar?"
"Tak ada apa-apa tuk."
Terdengar bunyi gelombang air yang amat kuat. Saya segera merenung ke arah lubuk. Air di situ bergulung-gulung seperti ombak di laut macam ada sesuatu tenaga ghaib yang membuatkan air di kawasan lubuk jadi demikian.
Air permukaan lubuk terus memancut tinggi melepasi pohon-pohon yang terdapat di bibir sungai, pancutan air itu sebesar batang kelapa. Dalam pancutan air itu saya ternampak lembaga manusia.
"Syukur."
Mata datuk menyorot pergerakkan lembaga itu.
"Siapa dia tu tuk,"
"Itulah Khoja Lisut," jawab datuk dan pancutan air dari lubuk segera berhenti. Tubuh Khoja Lisut yang melayang di udara akhirnya jatuh betul-betul di hujung ekor buaya.

DEKAT

Datuk segera mendekati Khoja Lisut, tiga kali dahi Khoja Lisut ditepuknya dan Khoja Lisut terus terbatuk. Dia sedar dari pengsan.
"Di mana saya?" Tanya Khoja Lisut.
"Kalau kamu nak tahu di mana kamu berada, kamu tengok apa yang ada depan kamu," tutur datuk .Khoja Lisut melakukan apa yang datuk suruh.
"Buaya," pekik Khoja Lisut.
"Ya buaya, kamu ada dekat sarang buaya," datuk segera memegang ekor buaya lalu diletakkan ke dada Khoja Lisut. Perbuatan itu dilakukannya tiga kali berturut-turut.
Kemudian Khoja Lisut diseret ke dalam sungai kembali lalu dimandikan . Bila sudah dimandikan Khoja Lisut tidak diizinkan memijak tanah. Datuk terpaksa memikulnya.
"Saya tak tahan sejuk macam ni," rayu Khoja Lisut yang berada di atas bahu datuk. Datuk terus membisu dan melangkah mendekati sang buaya yang kaku.
"Sudah sampai masanya kamu balik ke sarang, malam esok kamu aku pinjam lagi," tutur datuk kepada sang buaya sambil menghentakkan tumitnya tiga kali berrturut-turut atas pasir. Sebaik saja datuk berhenti menghentakkan tumit kakinya, sang buaya terus bergerak dan membuka mulutnya.
"Terima kasih, esok sama lusa aku pinjam sarang kamu lagi," datuk meluahkan hasrat hatinya kepada sang buaya. Perlahan-lahan sang buaya katupkan mulutnya, memusingkan badannya dengan menghalakan muncung ke sungai. Sang buaya pun merangkak ke sungai dan terus menuju ke sarangnya (lubuk).
Saya dan datuk segera beredar dari tebing sungai. Kami menuju ke pondok pisang sesikat. Cuma saya saja yang masuk ke pondok pisang sesikat, datuk berada di luar memasukkan sekujur tubuh Khoja Lisut ke dalam pasir. Dan akhirnya ditimbus separas leher.
Datuk masuk ke pondok sementara menanti waktu Subuh tiba datuk membuat ramuan perubatan tradisional dari dedaun kayu, semuanya dimanfaatkan untuk menyembuhkan panyakit yang dideritai oleh Khoja Lisut.
Waktu Subuh yang dinanti-nantikan tiba. Saya dan datuk bergegas turun ke sungai mengambil air sembahyang. Kami sembahyang bersama-sama. Sementara menanti matahari muncul di kaki langit, datuk terus membaca Quran dan saya disuruh membaca surah yasin.
Sebaik saja matahari muncul di kaki langit, datuk menyuruh saya menutup kepala Khoja Lisut dengan dedaun kering yang jatuh dalam keadaan terlentang .Memang sukar sukar memungut atau mencari dedaun kering yang terlentang. Walaupun sukar, tugas itu dapat saya laksanakan dengan sempurna. Bila matahari tinggi separas kelapa dara, dedaun kering atas kepala Khoja Lisut saya pungut dan dibuang ke sungai.
Dalam tempoh sehari semalam menemani datuk mengubati Khoja Lisut, sungguh perit dan menyeksakan. Tidak dinafikan yang saya memperoleh pengalaman yang amat berharga .Sesungguhnya, pengalaman begitu tidak akan dapat dilalui oleh generasi yang terkemudian dari saya.
Pada malam kedua saya mengambil keputusan tidak mahu menyertai datuk lagi. Tidak saya duga permintaan saya itu diperkenankan oleh datuk dengan satu syarat. Pada mulanya saya keberatan menerima syarat itu.
Setelah saya fikir semasak-masaknya, syarat itu saya terima. Saya diminta menemui datuk waktu Zuhur, Asar dan Maghrib. Dalam waktu yang disebutkan itu, saya mesti berjemaah dengannya di samping membawa makanan dari rumah ke pondok pisang sesikat.
Dalam menyusun jadual yang menguntungkan dirinya, ternyata datuk bertindak bijak yang secara tidak langsung mengikat diri saya supaya patuh dengan perintahnya.
Perkara itu dapat saya kesan bila datuk menyuruh saya membawa makanan tengah hari, lima belas minit sebelum waktu Zuhur. Begitu juga dengan minuman petang, saya mesti berada di pondok pisang sesikat lima belas minit sebelum waktu Maghrib, makanan mesti berada di sisinya.
Biasanya, selepas menunaikan sembahyang Zuhur dan Asar kami makan bersama. Tetapi, selepas menunaikan fardhu Maghrib perkara itu tidak dilakukan. Datuk makan malam agak lewat, paling cepat pukul sepuluh, (setelah semua makanannya dipanaskan). Dan saya, selepas menunaikan fardhu Maghrib bersama, saya angkat kaki meninggalkan pondok pisang sesikat.
Sesungguhnya, saya dengan rela hati melakukan semuanya itu, asalkan saya jangan disuruh menemani datuk sepanjang malam. Pengalaman hari pertama dan malam pertama memberikan pengalaman yang amat mengerikan. Saya tidak ingin mengulangi apa yang telah saya lalui.

KETUJUH

Petang itu, petang ketujuh saya mengunjungi datuk. Setelah menunaikan sembahyang Asar, kami menikmati minuman petang di luar pondok pisang sesikat.
Ada ketikanya saya merenung ke arah Khoja Lisut yang terbenam dalam pasir separas leher. Khoja Lisut tersenyum ke arah saya, keadaannya sudah banyak berubah, dia kelihatan segar dan kepalanya tidak lagi terkulai atas pasir.
"Tamar, bawakan kopi ke sini," pertama kali saya dengar Khoja Lisut mengajukan permintaan. Muka datuk segera saya lihat.
"Boleh beri dia minum tuk?"
"Boleh."
Saya segera tuangkan air kopi ke cawan. Saya pun atur langkah menuju ke arah Khoja Lisut. Air kopi saya arahkan ke mulutnya, baru dua teguk menelan air kopi Khoja Lisut tersedak dan terus muntah darah.
"Cukup Tamar, cukup."
Jerit datuk sambil berlari ke arah saya. Di tangan kirinya terselit sehelai daun buluh kering. Saya tergamam dengan tindakan datuk itu. Sebaik sahaja mendekati Khoja Lisut, datuk segera melekapkan daun buluh kering ke pangkal leher Khoja Lisut dan Khoja Lisut pun berhenti muntah darah. Datuk urut bahagian belakang leher Khoja Lisut beberapa kali.
"Bagaimana rasanya," datuk tujukan pertanyaan untuk Khoja Lisut. Saya menggigit bibir dalam rasa cemas yang berlarutan di hati.
"Bagaimana Khoja," ulang datuk lagi.
"Tadi masa muntah, dada rasa panas macam ada api di dalamnya, sekarang..."
"Sekarang apa rasanya?" Desak datuk.
"Terasa lega, nafas pun senang."
"Hum..." datuk garu pangkal dagu beberapa kali, "Buat sementara waktu ni, kau jangan minum kopi dulu," sambung datuk.
"Baiklah, tapi bila saya boleh keluar dari sini."
"Sabarlah Khoja, masanya akan sampai."
Saya lihat kelopak mata Khoja Lisut terkebil-kebil mendengar kata-kata yang datuk luahkan.
Datuk mengajak saya kembali ke pondok pisang sesikat. Saya menduga sebaik saja sampai ke kawasan pondok, dia akan menyuruh saya pulang. Apa yang saya fikirkan tidak menjadi kenyataan. Datuk suruh saya duduk di sisiinya. Saya tidak keberatan melakukan semuanya itu, asalkan saya tidak dipaksa menemaninya sepanjang malam dan hari.
Pengalaman hari dan malam pertama menemani datuk memberikan pengalaman yang amat mengerikan. Sesungguhnya, saya tidak ingin mengulangi semuanya itu.
"Kamu jangan kemana-mana, Tamar."
"Balik, saya nak balik tuk,"
"Tak boleh, kamu mesti bersama aku, Tamar."
Saya menarik nafas panjang. Ungkapan dari datuk itu menimbulkan bermacam-macam tafsiran dalam tempurung kepala saya. Ternyata saya sudah masuk ke dalam perangkap datuk.
Dalam perkiraan saya, waktu tujuh hari yang ditetapkan oleh datuk untuk merawat Khoja Lisut sudah cukup tempohnya. Tidak ada apa-apa pertolongan yang diperlukannya lagi dari saya. Jadi, kenapa datuk harus menghalang saya? Barangkali dia mahu memberikan tugas baru pada saya, timbul pertanyaan dalam hati, keresahan mula menghantui diri.
"Tuk dah janji dengan saya?"
"Janji apa?" Datuk jegilkan biji mata.
"Dulu tuk kata, tugas saya cuma menghantar makanan ke sini, kemudian berjemaah bersama. Tugas saya petang ini sudah sempurna, saya dah bawakan makanan dan sudah berjemaah, biarlah saya balik," kata saya dengan penuh yakin.
"Ada tugas lain yang mesti kamu tolong aku, Tamar."
"Apa dia tugasnya tuk?"
"Kau tunggu saja, jangan banyak cakap, dan jangan banyak tanya," suara datuk agak keras. Dan saya mengambil keputusan untuk membisu.
"Begini saja tuk, biar saya ambil pakaian di rumah dulu," saya renung wajah datuk dengan harapan permintaan saya akan diperkenankannya. Kalau diperkenankan hilang rasa jemu, boleh baring-baring dulu di rumah. Bila dekat waktu Maghrib baru datang. Itu rancangan yang saya susun dalam kepala.
"Tak payah kau balik, biar aku yang ambil."
Saya tersentak, tidak diduga datuk bersuara demikian. Saya kerutkan dahi.
"Kamu tunggu Khoja, biar aku yang balik ambil kain dan selimut kamu."
"Ya tuk," saya anggukkan kepala.
"Tuk balik lama atau sekejap saja," desak saya lagi.
Bergantung pada bahan-bahan dan ramuan yang aku cari, cepat aku dapat, cepatlah aku datan," jawab datuk dengan wajah yang selamba. Dia mula bergerak dalam pondok pisang sesikat dari sudut ke sudut. Bagaikan orang resah tidak menentu.

SENDI

Akhirnya, datuk mengeliat dua tiga kali untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh di sendi. Sebelum meninggalkan saya, datuk mengunjungi Khoja Lisut, dua tiga kali bahu kanan Khoja Lisut ditepuknya.
Dia membongkok lalu membisikkan sesuatu ke cuping telinga Khoja Lisut. Apakah yang dibisikkan oleh datuk kepada Khoja Lisut, tetap menjadi tanda tanya pada diri saya.
Datuk berpatah balik ke arah saya. Berdiri menghadapi saya dengan tangan kiri berada di pinggang, manakala tangan kanan diangkat separas bahu serta diluruskan ke depan. Cara datuk berdiri tidak ubah seperti berdirinya seorang pendekar yang mahu membuka langkah silat.
"Kamu jaga dia baik-baik, kalau ada buaya timbul kau halau dengan ini..." Datuk menunjukkan buku limanya ke arah saya. Mana mungkin melawan buaya dengan penumbuk. Barangkali datuk mahu bergurau senda. Dalam keadaan yang tertanya-tanya itu, saya lihat datuk membongkok mengambil sesuatu di permukaan bumi.
Bila datuk berdiri, saya lihat ditangan kanannya ada buluh kuning yang panjangnya kira-kira lima kaki lebih. Buluh kuning itu datuk tatang dan lambung-lambungkan kemudian disambutnya. Lagi sekali saya bertanya dalam hati dari mana datuk memperoleh buluh kuning itu.
"Jangan kau fikirkan bagaimana aku mendapatkan buluh ini," kata datuk dan ternyata dia dapat membaca apa yang saya fikirkan. Saya tidak berkata apa-apa dan terus keluar dari pondok. Saya berdiri menentang datuk.
Jarak antara saya dengan datuk antara 15-20 kaki. Dan saya bersedia melangkah ke arahnya untuk mengambil buluh kuning.
"Kau tunggu di situ, jangan dekati aku."
Saya berhenti melangkah.
"Kau bersedia Tamar," datuk segera menimang buluh kuning.
"Bersedia untuk apa tuk?"
"Kau ambil buluh ni," jeritnya.
Belum sempat saya bersedia dan berbuat apa-apa, datuk segera melemparkan buluh kuning tepat ke arah badan saya. Dengan pantas saya mengelak dan terus melompat. Dalam masa melompat itulah saya menyambar buluh kuning. Kejayaan saya disambut oleh datuk dengan ketawa.
Dalam keadaan tercunggap-cunggap saya pacakkan buluh ke tanah. Andainya saya tidak melompat dan mengelak, pasti saya tersungkur di bumi.
"Kamu tak lupa dengan langkah yang aku ajar Tamar."
"Tapi tuk....,"
"Tapi apa Tamar?"
"Saya cemas dan tak sangka datuk nak buat macam tu."
"Sesekali kamu mesti diuji," turut datuk lalu melangkah mendekati saya. Datuk ambil buluh kuning yang terpacak di bumi.
"Ikut aku Tamar."
Saya ikut datuk ke belakang pondok pisang sesikat. Saya lihat datuk menajamkan bahagian hujung buluh kuning dengan golok perak.
"Bambu runcing tuk."
"Ya, dulu orang-orang Jambi menentang tentera Belanda dengan buluh yang ditajamkan seperti ini," datuk memperlihatkan pada saya buluh yang sudah ditajamkan itu. Kemudian buluh dicacakkan kembali ke tanah. Betul-betul di depan pondok pisang sesikat.
"Kamu cabut, bila kamu fikirkan mustahak untuk melindungi diri kamu," datuk tatap biji mata saya dengan tajam sekali. Saya pun anggukkan kepala.

MERAH

Di langit awan petang yang berwarna merah mula timbul. Matahari kian rapat di kaki langit. Sebentar lagi senja akan melabuhkan tirainya. Beburung berkicau riang, berterbangan mencari pepohon yang serasi untuk berteduh.
"Sekarang saya boleh balik tuk?" Saya ajukan pertanyaan. Datuk gosok hujung hidungnya dengan jari telunjuk beberapa kali. Hati saya tetap berdebar menanti jawapan.
"Tak boleh, aku yang balik. Kamu tunggu Khoja Lisut. Gunakan buluh tadi kalau kamu diganggu binatang buas atau makhluk lain," nada suara datuk lembut tetapi bila dia menyebut perkataan 'kamu tunggu' dan 'makhluk lain' nada suara sengaja ditinggikannya.
"Tuk balik ke?"
"Itu urusan aku."
Selesai saja datuk memberikan sebuah jelingan tajam untuk saya, dia terus melangkah tanpa mahu menoleh ke arah saya walaupun untuk beberapa detik. Datuk hilang dari pandangan saya, ditelan oleh liku denai dan pepohon yang besar.
Saya renung ke arah Khoja Lisut, dia masih terkulai di permukaan pasir. Beberapa permukaan ekor lebah entah dari mana datangnya, terbang di atas kepala Khoja Lisut sambil berbunyi dengan nyaring.
Dan sepasang gagak turun atas pasir lalu mengais-ngais pasir di depan Khoja Lisut. Pasir yang dikais terus mengenai muka Khoja Lisut.
Beberapa ekor yang lain terus bertenggek atas kepala Khoja Lisut. Saya jadi cemas bila melihat beburung gagak itu mematuk kulit kepala Khoja Lisut, rambut di kepala Khoja Lisut tercabut dan jatuh bertaburan atas pasir. Anehnya, Khoja Lisut tidak bersuara, tidak menjerit minta pertolongan.
Tiba-tiba saya jadi berani. Dengan tenang saya melangkah ke arah Khoja Lisut. Saya tepuk kedua belah tangn dengan sekuat hati dengan harapan bunyi tepukan itu akan menakutkan beburung gagak, lalu terbang meninggalkan Khoja Lisut. Saya tidak berhasil mengusir beburung gagak. Semakin rancak saya bertepuk semakin rancak pula suara gagak menguasai kawasan sekitar.
Langkah saya perlahankan, sebagai ikhtiar, saya ambil dahan kayu yang terdapat di situ dan bersedia untuk mambalingkan ke arah sepasang gagak yang sedang mengais pasir di depan Khoja Lisut.
Sebaik saja saya angkat tangan kanan dan bersedia mahu melemparkan kayu ke arah burung gagak tersebut, saya terdengar suara datuk berdehem dengan nyaring. Hasrat hati segera saya batalkan.
"Nanti dulu Tamar."
Datuk segera menyambar kayu di tangan saya. Kayu itu dilemparkannya ke dalam belukar. Dan saya dipimpin kembali kembali ke pondok pisang sesikat.
"Gagak tuk."
"Tak mengapa, aku tahu semuanya, sekejap lagi burung-burung gagak tu mesti pergi dari situ ,burung-burung tu tak ganggu Khoja," turut datuk, bagi mempastikan adakah kata-kata datuk itu benar, saya segera menoleh ke arah Khoja Lisut.
Ternyata burung-burung gagak sudah tiada lagi di situ. Saya renung muka datuk dan dia segera memberikan sebuah senyuman yang penuh bermakna.
"Aku sebenarnya tak balik ke rumah, Tamar."
Mata saya tebeliak mendengar kata-kata itu. Datuk sudak mempermainkan saya.
"Habis datuk pergi ke mana?"
"Aku cari ini..."
Datuk mengeluarkan seberkas pokok dan daun seribu kapit anak dari bungkusan kain batik yang pada awalnya saya duga bungkusan kain selimut dan baju. Pokok dan daun seribu kapit anak diserahkan atas lantai pondok.
"Sekarang pergi jerangkan air panas," perintah datuk. Saya segera mematuhinya. 

128. Rahsia Daun Seribu Kapit

Bila air yang dijerang sudah masak, datuk suruh saya buat secawan kopi tanpa gula. Dua tiga helai daun seribu kapit anak dipetik dan dimasukkan ke dalam cawan kopi bersama beberapa buku garam.

Sabahagian daripada air panas itu dituangkan ke dalam baldi kecil yang dibuat dari tanah liat, (bentuknya macam periuk tanah, tingginya sekitar satu kaki dan tebalnya tidak sampai setengah inci) kemudian batang dan daun seribu kapit anak dimasukkan ke dalam baldi tanah.

"Sekarang..."

Datuk tidak menghabiskan kata-kata itu. Dia melihat awan di langit, dia melihat beburung yang terbang dan gerak dedaun yang disentuh angin petang. Datuk kedutkan dahi lalu menelan air liur. Bibirnya kelihatan bergerak perlahan-lahan.

"Kamu bawa air kopi ni pada Khoja, paksa dia minum."

"Nanti dia muntah darah tuk?"

"Kali ini, dia tak muntah darah, lepas tu kau keluarkan dia dari dalam pasir."

"Baik tuk."

Dengan hati-hati saya membawa secawan kopi kepada Khoja Lisut. Bila saya dekatkan air kopi ke bibirnya, Khoja Lisut segera menolak. Bila saya paksa, dia bertindak balas dengan meludah muka saya. Darah saya tersirap. Bila saya ingatkan yang dia masih sakit dan masih berubat dengan datuk, kemarahan saya segera menurun.

Kali ini, saya bertindak agak kasar. Saya segera mengepit kepala Khoja lisut ke celah paha. Sebelah tangan menekan rahangnya hingga mulutnya terbuka dan sebelah lagi saya gunakan untuk menuangkan air kopi ke mulutnya.

Khoja Lisut tidak dapat mengelak lagi. Dia teguk air kopi hingga habis, malah sebahagian dari air itu masuk ke lubang hidungnya. Khoja Lisut bersin air kopi yang bersembur dari lubang hidung mengenai muka saya. Khoja Lisut meraung macam gajah patah kaki.

Datuk segera berlari ke arah saya dengan wajah yang amat cemas. Dia melihat kepala Khoja Lisut terlentuk atas pasir.

"Apa yang kamu buat padanya, Tamar?"

"Tak ada apa, saya suruh dia minum air kopi."

"Kamu suruh atau kamu paksa dia?" datuk jegilkan biji mata ke arah saya. Tiada jawapan yang saya berikan terhadap pertanyaan itu.

"Sudahlah, kamu gali pasir dan keluarkan dia dari sini, kamu mesti selesaikan semua kerja-kerja ni sebelum waktu Maghrib tiba, bila matahari ada di pucuk pokok tu, kerja mesti selesai," sambung datuk sambil menudingkan jari telunjuk ke arah pucuk pokok di pinggir belukar.

"Ini pencebak dan cangkul, gunakan dengan hati-hati, jangan sampai kepala Khoja terputus dengan badan," datuk melemparkan pencebak dan cangkul ke hujung kaki saya. Wajah datuk cukup serius.

"Semuanya nak aku selesaikan malam ni juga. Dengan izin Allah usaha yang aku buat akan diperkenankan-Nya," suara datuk bergementar. Dia mula memeluk tubuh dan merapatkan sepasang kakinya. Saya ambil cangkul dan mula menggali pasir disekeliling Khoja Lisut.

Dengan berpeluk tubuh, datuk terus melangkah menuju ke pondok pisang sesikat, tanpa menghiraukan apa yang saya lakukan.

"Semuanya aku selesaikan malam ni juga...," terngiang-ngiang suara datuk di cuping telinga, membuat saya berhenti mencangkul pasir.

"Jangan berhenti, teruskan," pekik datuk dari pondok. Saya kembali menggali pasir. Sikap datuk cukup berbeza, suaranya sentiasa keras dan suka marah-marah bila saya berhenti menggali pasir.

Tugas saya menggali pasir sudah selesai. Khoja Lisut saya tarik dengan kasar sekali.

"Menyusahkan saya."

"Tak baik merungut dan marah-marah Tamar, hari ini hari pak cik, hari kamu belum tahu lagi. Entah lebih buruk dari ini," suara khoja Lisut terketar-ketar.

"Sudahlah, cakap banyak pula dia," saya menengking.

"Barangkali semuanya kerana perbuatan pak cik yang lalu," Khoja Lisut seperti mengeluh.

Saya terus menjuihkan bibir kearahnya. Hati saya cukup panas, kerana dia saya terpaksa melakukan kerja-kerja berat begini. Kalau diturutkan kata hati, mahu saja saya menyepak Khoja Lisut yang terjelepuk atas pasir.

Dalam pergelutan perasaan marah dan benci itu, saya angkat kepala lalu renung ke pondok sesikat. Saya lihat datuk tegak di situ merenung tajam ke arah saya. Hati saya terus berdebar menanti perintah dan arahan darinya.


SEPARUH


Cuaca mula samar-samar, matahari cuma kelilhatan separuh di kaki langit, di kelilingi awan berwarna jingga. Beburung sudah pun berhenti terbang.

Angin tidak lagi bertiup, pepokok kelihatan kaku, seolah-olah menghormati kepulangan matahari keperaduannya, setelah menaburkan bakti kepada makhluk Allah dipermukaan bumi ini.

Dalam cuaca yang samar-samar itu datuk berlari-lari anak kearah saya. Sebaik saja sampai dekat saya, datuk tanpa berkata apa-apa terus mencampakkan baldi yang berisikan pokok dan daun seribu kapit anak kepada saya.

Nasib baik saya tangkas menyambut. Kalau tidak, sudah pasti baldi tanah jatuh terhempas ke pasir dan besar kemungkinan akan pecah.

Saya amat terkejut dengan tindakan datuk itu. Dalam keadaan tergamam itu, saya kira datuk akan mengeluarkan arahan tertentu kepada saya. Ternyata apa yang saya harapkan tidak menjadi kenyataan. Datuk terus berlalu dari sisi saya menuju ke sungai.

Kerana tidak mendapat apa-apa arahan baldi tanah itu terus saya peluk dengan erat. Saya terdengar bunyi gemercik air sungai. Rupanya, datuk mandi dan saya bertambah resah, terlalu banyak perkara ganjil yang datuk lakukan. Semuanya membuat saya jadi pening dan menimbulkan seribu persoalan dalam kepala.

"Sekarang kamu terjun ke dalam sungai," datuk tiba-tiba berdiri dekat saya sambil mengeluarkan arahan. Saya tidak sedar waktu bila dia mendekati saya.

"Dengan pakaian begini tuk?"

"Tidak, gunakan kain basahan ini."

Datuk pun memberikan pada saya kain basahan berwarna hitam yang setiap bucunya ditampal dengan secebis kain warna merah. Jarang-jarang datuk menggunakan kain basahan itu.

Belum pernah dia membenarkan kain basahan milik peribadinya itu digunakan oleh orang lain. Lagi sekali saya menjadi terkejut dan takjub dengan sikapnya itu. Kenapa datuk membenarkan saya memakai kain basahannya?

"Pergi cepat," herdik datuk.

Saya yang masih terpaku disisinya segera mengorak langkah bersama rasa cemas dan takut. Maklumlah, terpaksa mandi seorang diri disungai yang ada buaya dalam suasana senja yang kian memberat.

Sampai saja ditebing sungai, kain basahan segera saya ikat ke pinggang. Kemudian saya terjun dalam sungai. Dua kali selam, saya terus berhenti mandi.

Kerana memikirkan tidak lama lagi waktu Maghrib akan tiba, saya segera mengambil air sembahyang. Bila saya datang semula ke tempat datuk dan Khoja Lisut, saya dapati mereka sudah tiada disitu.

Dalam suasana samar senja itu, saya masih dapat melihat kesan orang merangkak di pasir. Saya yakin, datuk sudah mengheret Khoja Lisut dan saya bayangkan bagaimana Khoja Lisut merintih ketika diheret.

Setelah menoleh dua tiga kali kawasan sekitar, saya teruskan perjalanan ke pondok. Sampai dipondok saya lihat pelita minyak tanah sudah terpasang. Khoja Lisut terbaring di sudut pondok memeluk baldi tanah dengan erat sekali. Datuk duduk bersila ditengah pondok menghadapi sejadah.

"Masuk, tunggu apa lagi."

Saya melangkah dua tapak dan berhenti kerana saya terdengar sesuatu dari sebelah kanan saya.

"Masuklah, Maghrib dah tiba."

"Qamat, Tamar."

Perintah datuk segera saya patuhi, dan sembahyang saya tidak begitu khusyuk, sering terganggu oleh keluhan dan tangisan Khoja Lisut.

Selesai saja sembahyang dan wirid, datuk menyuruh saya menghidupkan api dihalaman pondok. Saya tidak pula bertanya, kenapa datuk menyuruh saya berbuat demikian. Saya menduga, api itu dihidupkan untuk menghalau nyamuk.

"Tentukan api itu sentiasa menyala, biar senang kita berjalan," tutur datuk sambil bangun mendekati Khoja Lisut disudut pondok. Dengan berbekalkan semangat, saya terpaksa mencari kayu.

Nasib saya agak beruntung, saya tidak perlu bergerak jauh dari pondok. Datuk sudah menyediakan setimbun kayu api dibelakang pondok. Kewajipan saya ialah membawa kayu sebesar paha yang sudah kering kehalaman pondok. Kerja ini tidaklah sukar sangat.

"Sudah, pergi ke sungai mandi dan ambil air sembahyang, waktu Isyak dah sampai," entah mengapa saya jadi gementar mendengar perintah datuk.

"Pergi sekarang," sambungnya lagi.

Saya tidak ada pilihan selain dari mematuhi perintahnya itu.

"Kita sudah sembahyang Isyak, kamu boleh menolong aku," itu yang datuk ucapkan kepada saya, sebaik saja dia menamatkan wirid Isyak yang panjang. Saya hanya tersenyum tanda bersedia menerima perintah.

"Kamu dah baca ayat Kursi empat puluh kali, macam yang aku suruh, Tamar?"

"Sudah tuk."

"Sekarang..." datuk berhenti bercakap, dia bangun lalu mendekati Khoja Lisut, kulit Khoja Lisut terus dijamahnya dengan tenang.

"Sekarang kamu pergi rebus batang dan daun seribu kapit anak, rebus sampai airnya mendidih," datuk menyambung kata-kata yang terputus.

"Baik tuk."

Saya segera ke halaman rumah, mencari kayu yang keras untuk saya jadikan tungku. Sementara menanti air rebusan mendidih, saya segera masuk ke pondok lalu duduk disisi datuk yang sedang mengurut tubuh Khoja Lisut.


KATAK


Dingin malam mula terasa cara kebetulan pula angin mula bertiup agak lemah. Kayu dihalaman pondok terus dimamah api, suara katak dan cengkerik terus berbunyi disamping suara unggas malam yang sering bertingkah antara satu sama lain. Saya perhatikan jari jemari datuk berlari lembut dipermukaan kulit Khoja Lisut.

Bila jari jemari itu berhenti disendi-senddi tubuh untuk menyentuh urat, saya lihat Khoja Lisut menggeliat menahan kesakitan sambil merintih. Datuk tidak ambil kisah dengan semuanya itu. Makin kuat Khoja Lisut mengerang sakit, makin kerap jari jemari datuk mencari urat-urat tersimpul dalam tubuhnya. Pertama kali, saya lihat sekujur tubuh Khoja Lisut bermandikan peluh.

"Bangun."

Datuk renung biji mata Khoja Lisut dan bagaikan orang kena pukau, Khoja Lisut menurut kata datuk. Dia bangun dalam kepayahan yang amat sangat. Tiga kali Khoja Lisut mencuba dan tiga kali pula dia berdepan dengan kegagalan.

"Tamar, kamu pergi angkat air tadi atas api," mata datuk cukup tajam menikam wajah saya. Tanpa berlengah-lengah saya terus keluar dari pondok. Baldi tanah saya angkat, lalu diletakkan atas pasir. Tidak sampai lima minit kemudian datuk keluar dari pondok dengan Khoja Lisut atas bahunya.

Dengan perlahan-lahan datuk meletakkan Khoja Lisut atas pasir. Datuk terus ke belakang pondok mengambil kayu dan dicampakkan ke dalam api yang sedang marak.

Bebunga api terus naik udara. Datuk mahu seluruh halaman pondok terang dan cerah dengan cahaya api dari longgokan kayu yang terbakar itu. Bila datuk sudah puas hati dengan cahaya api yang didapati disitu, dia pun berhenti membawa kayu dari belakang pondok ketempat api yang sedang menjulang tinggi itu.

Datuk pun mengenakan baju hitam dan seluar hitam, kain bengkung dari kain berwarna kuning. Seperti biasa, kepalanya diikat dengan secebis kain merah. Perlahan-lahan dia mendirikan Khoja Lisut sambil menyuruh saya menjirus air rebusan daun seribu kapit anak kearah kedua belah tempurung lutut Khoja Lisut.

Saya melakukannya lebih kurang hampir sepuluh minit, saya menggunakan tempurung dan jumlah air yang dijirus untuk kedua tempurung lutut itu ialah berjumlah sepuluh tempurung semuanya.

Selesai saja saya melakukannya, saya merasa takjub. Khoja Lisut boleh berdiri tegak. Kecacatan lain dibahagian tubuh badannya, saya lihat beransur hilang.

"Kamu melangkah perlahan, setiap kali melangkah kamu baca Bismillah dan selawatkan Nabi," kata datuk kepada Khoja Lisut, cepat-cepat Khoja Lisut angkat kaki kanan untuk melangkah, tiba-tiba datuk menjerit.

"Nanti dulu, aku belum suruh buat."

"Maafkan saya," suara Khoja Lisut lemah.

Datuk keliling Khoja Lisut tiga kali, iaitu dari kanan ke kiri. Kemudian datuk duduk bersila atas pasir disebelah kanan Khoja Lisut.

Badan saya mula terasa seram sejuk. Angin malam kian keras bertiup. Suara cengkerik cukup hebat berbunyi. Lolongan anjing liar jelas kedengaran dibawa angin malam. Semuanya itu membuat saya resah gelisah.

"Tamar."

Saya tumpukan sepasang mata kearah datuk. Bersedia mendengar apa juga perkara yang akan diutarakan kepada saya.

"Bila saja Khoja melangkah, kau pukul kakinya dengan batang seribu kapit anak, kau pukul sekuat hati kamu," datuk keluarkan arahan. Kemudian datuk memandang kearah Khoja Lisut.

"Mula kamu berjalan, kemudian lari dan elakkan kaki kamu dari kena pukul oleh si Tamar, kamu faham tak?" cukup keras suara datuk.

"Faham," jawab Khoja Lisut.

"Kamu pula macam mana Tamar?"

"Saya juga faham tuk."

"Bagus."

Dia atas pasir terus memeluk tubuh. Sepasang matanya dirapatkan, nafasnya ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan.

Deru angin terasa amat menggerunkan. Begitu juga dengan suara burung hantu, lolongan anjing dan cengkerik.

"Bersedia."

Datuk tepuk tangan dan terus melompat. Akhirnya dia berdiri tegak macam patung sambil memeluk tubuhnya.

"Mulakan Khoja."

Khoja Lisut pun mula melangkah.

"Tugas kamu, Tamar."

Saya pun terus memukul sepasang kaki Khoja Lisut dengan batang seribu kapit anak. Saya pukul dengan sekuat hati, mungkin kerana pukulan yang tepat itu membuat Khoja Lisut mengalami rasa sakit. Dia berusaha mengelakkan dirinya dari jadi sasaran pukulan saya.

Dan saya pula berusaha untuk memukul dengan tepat seperti apa yang datuk arahkan. Antara kami sudah menjadi seperti musuh pada saat itu, saya mengejar untuk menyakitkan Khoja Lisut dan Khoja Lisut pula lari kerana tidak mahu jadi sasaran pukulan dari saya. Dalam usaha mengelakkan dirinya dari jadi korban, Khoja Lisut lupa tentang dirinya yang lumpuh. Dia seperti mengalami kekuatan luar biasa, berlari dengan kencang.

Bila saya cuba berhenti, datuk segera menjerit sambil membawa kayu panjang untuk memukul saya. Begitu juga dengan Khoja Lisut, kalau berhenti datuk akan melemparkan puntung yang terbakar kearahnya. Jadi kami terpaksa berlari.

Saya mengalami kepenatan yang amat sangat, tidak terdaya mahu melangkah. Seluruh sendi saya terasa lemah dan saya jatuh atas pasir. Sayup-sayup terdengar suara datuk memaki hamun saya, setelah itu saya tidak tahu apa yang terjadi.


CERAH


Bila saya membuka mata, saya lihat hari sudah cerah. Datuk duduk bersimpuh didepan, Khoja Lisut berjalan dengan senang hati dihalaman pondok.

"Kamu pengsan."

Itu yang duduk tuturkan kepada saya.

"Khoja macam mana?"

"Sakit lumpuhnya sudah baik, dia sudah boleh berjalan seperti sediakala, begitu juga dengan sakit-sakitnya yang lain," terang datuk dengan nada suara yang lembut.

Bagi memulihkan kekuatan yang hilang, datuk suruh saya minum dari dedaun yang dibuatnya. Rasanya cukup pahit dan bagaikan tidak tertelan dan mahu muntah dibuatnya. Kerana terpaksa dan dipaksa, saya terpaksa juga minum. Setengah jam, sesudah minum air dari dedaun itu, badan saya terasa segar dan berpeluh.

"Kamu tak usah bimbang, Tamar, kamu tetap sihat," datuk memberi jaminan, dan saya amat senang sekali mendengar kata-kata itu.

"Khoja ke mari," laung datuk.

Tergesa-gesa Khoja Lisut berjalan kearah datuk.

"Jangan berjalan, kamu mesti berlari," jerit datuk.

Khoja terpaksa berlari. Bila sampai di pondok, saya lihat Khoja Lisut tercungap-cungap. Kepenatan terbayang di wajah. Tetapi, kecacatan yang terdapat di tubuh badannya dulu, semuanya sudah hilang.

Kini, saya dapat melihat wajah Khoja Lisut yang sebenar. Ternyata dia seorang lelaki yang tampan dan gagah. Melihat dari bentuk tubuh dan wajahnya, memanglah layak dia memegang gelaran sebagai seorang guru silat. Ciri-ciri seorang pendekar memang ada pada dirinya. Tetapi, kerana kurang sabar ilmunya tercabar, fikir saya sendirian.

"Khoja, janji aku dengan kamu sudah selesai," tutur datuk sambil menatap wajah Khoja Lisut yang terpaku didepannya. Saya lihat Khoja Lisut tunduk penuh terharu.

"Saya tahu..." Khoja Lisut tidak meneruskan kata-katanya, saya lihat dia menangis tersedu.

"Jangan menangis," datuk pun menjatuhkan telapak tangan kanannya atas bahu kiri Khoja Lisut, "cakaplah apa yang mahu cakapkan Khoja," sambung datuk lagi, tetapi Khoja Lisut tidak dapat menahan kesedihan. Bagi menenangkan keadaan, datuk mengajak saya beredar keluar pondok.

Melihat dari tingginya matahari masa itu, saya dapat menduga waktu itu lebih kurang pukul lapan pagi. Andaian saya itu dikuatkan lagi dengan kehadiran burung murai dan merbah batu yang kerap menyanyi bila jam lapan pagi.

"Biarkan dia menangis," bisik datuk kepada saya.

"Kesian dia tuk."

"Aku harap apa yang berlaku akan menginsafkan dirinya," tingkah datuk lagi. Saya anggukkan kepala.

Lebih dari setengah jam saya dan datuk berada diluar pondok, barulah Khoja Lisut datang. Kali ini saya lihat wajahnya cukup riang, tidak ternampak kesan kesedihan, kehampaan dan kekecewaan diwajahnya.

Dia berdiri didepan datuk, tanpa diduga dia terus memeluk tubuh datuk dengan erat sakali.

"Dengan apa mahu saya balas budi tuan."

Saya terpampan mendengar perkataan 'tuan' yang ditujukan oleh Khoja Lisut kepada datuk, dan saya kira datuk kurang senang bila dirinya dipanggil begitu.

"Mengapa bertuan dengan saya, bukankah elok panggil saya abang saja, sesuai dengan umur aku yang lebih tua dari kamu," dengan senyum datuk bersuara.

"Dengan apa mahu saya balas budi baik abang."

"Tak payah balas, apa yang aku lakukan selama ini adalah usaha atau ikhtiar aku. Dan ikhtiar itu diperkenankan oleh Allah, pada Allah kau harus bersyukur dan berterima kasih, bukannya pada aku."

"Haa..." mulut Khoja ternganga mendengar kata-kata datuk itu.

"Tak usah banyak cerita lagi, ikut aku ke rumah. Disana kita boleh cerita panjang," datuk menarik tangan Khoja Lisut mengajak pulang. Bila saya memulakan langkah mahu mengikut mereka, saya segera dihalang.

"Kerja kamu belum selesai Tamar."

"Apa dia kerja saya tuk?"

"Timbus lubang dan padamkan api dengan air."

"Saya buat seorang saja tuk?"

"Ya."

Dengan tarikan nafas panjang, saya melihat datuk dan Khoja Lisut melangkah dengan tenang meninggalkan saya. Rasanya, mahu saja saya menjerit memprotes sikap datuk itu. Ah! Siapa yang mahu menolong dan siapa pula yang dapat mendengar jeritan saya, timbul persoalan dalam diri sendiri.

Saya segera ambil cangkul dan memulakan tugas menimbus lubang. Berpeluh saya seorang diri. Saya mengambil masa hampir satu jam untuk menimbus lubang, kemudian saya beralih untuk memadamkan bara api yang masih merah. Termenung saya memikirkan bagaimana untuk membawa air sungai ke tempat bara.

"Tamar."

Khoja Lissut tercegat didepan saya.

"Datuk izinkan aku membantu kamu Tamar."

"Ini dah cukup baik, nampaknya kita kena bawa air dari sungai," kata saya.

"Tak payah, kita padamkan dengan pasir," Khoja Lisut pun mula mencangkul pasir dan ditimbus ke bara api. Saya segera membantunya dan kerja itu selesai tidak sampai dua jam.

"Aku terpaksa tinggalkan rumah datuk selepas waktu Asar," Khoja Lisut buka rahsia ketika kami sama-sama berjalan pulang ke rumah datuk.

"Sebelum aku pergi, aku terpaksa sembahyang Asar disurau, datuk kamu nak adakan kenduri kesyukuran kerana sakit aku sembuh," tambah lagi.

"Ikut saja apa katanya," sanggah saya dan kami terus melangkah. 

129. Api Keluar Dari Kubur

Nenek sambut kepulangan saya dengan senyuman. Dia gelengkan kepala, bila melihat baju saya basah kuyup akibat peluh. Saya sambut geleng kepala nenek dengan senyum megah.

"Kenapa begini Tamar?"

"Saya disuruh membuat kerja berat."

"Pergi mandi, cepat."

"Mandi di perigi?"

Nenek tidak menjawab pertanyaan saya. Dahinya nampak berkerut. Jejari kanannya terus melurut rambut sebelah kanan beberapa kali. Ternyata rambut hitam sudah hampir separuh dikuasai oleh rambut putih.

"Jangan mandi di perigi, kamu mandi di sungai saja Tamar."

"Sungai jauh nek, mandi diperigi saja," saya protes cadangan nenek. Dengan tenang nenek menghela nafas, sepasang mata tuanya tertumbuk ke wajah saya. Nenek seperti berada dalam keadaan serba salah.

"Jangan mandi di perigi, datuk kamu ada hal disitu."

"Apahalnya nek?" nada suara saya meninggi.

"Aku tak tahu apa halnya. Pesannya pada aku, jangan benarkan sesiapa datang ke perigi waktu begini," terang nenek dengan tenang.

"Kalau kamu tak percaya dengan cakap aku, pergi tengok sendiri," sambungnya lagi.

"Hiss..." keluh saya dengan rasa serba salah.

Secara mendadak saya teringatkan Khoja Lisut. Saya berpisah dengannya dihadapan halaman rumah. Dia menuju kearah datuk yang menantinya dibawah pokok manggis. Saya menuju kearah pintu dapur kerana saya ternampak nenek tercegat disitu.

"Tak kuasa saya nak tengok sendiri nek."

"Kenapa pula Tamar."

"Takut dimarah datuk."

"Itu keeputusan yang bijak, dia memandikan tetamunya."

"Saya tahu, tetamunya tu Khoja Lisut."

"Ya," nenek anggukkan kepala.

Tanpa banyak biara, saya ambil kain basahan diampaian lalu dibelitkan ke leher. Tanpa mengucapkan sesuatu nenek, saya terus menuju ke sungai. Setelah membuka pakaian, kain basahan pun saya ikat ke pinggang. Dari tebing sungai saya melakukan terjun menjunam, macam gaya seorang tarzan.

Macam biasa, bila berada dalam perut sungai, saya bagaikan seekor memerang. Berenang dan menyelam dengan bebas. Bila kulit telapak tangan dan jari menjadi kecut, badan mengeletar kesejukkan. Barulah perut sungai saya tinggalkan. Berlari-lari anak menuju ke rumah.

Saya masuk ke rumah ikut tangga bahagian tengah. Dari situ menyelinap masuk ke kamar sendiri, tanpa disedari oleh nenek yang sibuk diruang dapur. Saya memilih kain pelikat kotak, tiga warna iaitu biru, merah dan putih. Baju Melayu potongan teluk belanga jadi pilihan untuk saya pakai pada hari itu. Rambut pun saya sikat dengan rapi.


CERMIN


Didepan cermin saya berdiri, mencipta jambul dikepala. Dua tiga kali saya melihat jambul dari pelbagai sudut. Saya yakin, jambul saya mirip jambul P. Ramlee. Boleh menarik perhatian orang lain andainya saya berjalan ke kedai atau ke mana-mana. Tiga empat kali saya tersengih didepan cermin, merasa diri cukup segak sekali.

"Tamarrr..."

Suara nenek keras.

Saya bergegas menuju keruang dapur. Saya lihat ada hidangan tersembunyi dibawah tudung saji. Bau dari hidangan membuka selera. Perut terasa lapar.

"Nek suruh saya makan?"

Saya terus duduk bersila didepan hidangan. Secara mendadak nenek terus ketawa terkekek melihat telatah saya.

"Belum lagi," tegah nenek, saya tidak jadi membuka tudung saji. Memang terasa kecewa mendengar kata-kata nenek itu.

"Habis bila lagi nak makan?" tutur saya separuh kesal.

"Sembahyang Zuhur dulu, pergi ambil air sembahyang. Datuk kamu menunggu kamu diruang tengah."

"Huh..." terpancut keluhan dari kelopak bibir saya.

Saya segera mengambil air sembahyang. Kemudian melangkah ke ruang tengah. Datuk dan Khoja Lisut sudah berdiri disitu. Mereka menanti kedatangan saya untuk memulakan solat Zuhur secara berjemaah.

"Kenapa lambat Tamar?" datuk renung muka saya.

"Haaa..." mulut saya terlopong.

"Bila masa nak sembahyang sengaja kamu buat lambat-lambat. Bila masa nak makan kamu nak cepat-cepat," cukup tajam sindiran dari datuk untuk saya.

Apa yang terdaya saya lakukan ialah tersengih memandang kearahnya. Dan dalam masa yang sama saya renung juga muka Khoja Lisut. Sakit rasa hati bila Khoja Lisut melemparkan senyum sinis kepada saya. Kerana datuk sudah bersedia untuk menjadi imam, saya segera berdiri sebaris dengan Khoja Lisut.

Selesai sembahyang dan berdoa kami terus ke ruang dapur. Duduk bersila, menghadapi hidangan yang terbuka. Seperti biasa, sebelum menjamah makanan datuk membaca doa pendek. Bila doa berakhir kami pun menjamu selera dari hasil kerja seni dapur nenek. Masakannya enak sekali, selesai makan saya pun bersandar ke dinding.

Pengat labu kuning yang disuakan oleh nenek kepada saya buat pencuci mulut terpaksa saya tolak. Perut saya sudah tidak mampu untuk menampung makanan, walaupun sedikit. Saya kepenatan dan nafas terasa amat sesak sekali.

"Mari kita duduk di anjung, Khoja. Dapat sikit angin," datuk kemukakan cadangan untuk Khoja Lisut. Tidak ada bantahan, Khoja Lisut angguk kepala. Tanda setuju. Dia segera bangun bila melihat datuk sudah berdiri. Saya cuba bangun tetapi, tidak berjaya.

"Kamu Tamar, nak duduk disini?"

Datuk jegilkan matanya dan saya segera tegakkan badan. Rasa penat dan mengantuk akibat kekenyangan serta merta hilang. Saya renung muka datuk. Ada imbasan senyuman terpamer diwajahnya. Barangkali dia terasa amat lucu dengan telatah saya.

"Kamu tolong nenek didapur, lepas tu kalau kamu nak tidur, bolehlah tidur," sambung datuk, matanya tidak berkedip menatap wajah saya. "Ingat, masuk waktu Asar kamu mesti ada disurau, kita berjemaah bersama orang-orang kampung," lanjut datuk lagi. Dia mengakhiri kata-katanya dengan batuk kecil beberapa kali.

Datuk pun melangkah menuju ke anjung rumah dengan diikuti oleh Khoja Lisut. Saya gembira kerana datuk sudah meninggalkan saya. Semoga datuk tidak akan berpatah balik untuk memberi apa-apa arahan, bisik batin saya sendirian. Saya terasa aman dan berhasrat mahu baring dan terus tidur disitu.

Nenek terus mengumpulkan pinggan dan piring dalam talam. Saya perhatikan gerak-geri nenek dengan mata separuh terbuka. Walaupun usianya sudah agak lanjut tetapi, gerak kerjanya cukup pantas macam orang muda.

"Saya tak dapat nak tolong nek."

"Tak apalah Tamar, kau pergi rehat dulu. Cuma nenek nak minta tolong satu saja...," nenek berhenti bercakap. Saya segera meluruskan badan. Nenek membawa pinggan dan piring yang ada dalam talam ke dapur.


RESAH


Saya jadi resah, dada saya terus digayuti dengan persoalan. Kenapa nenek tidak mahu meneruskan kata-katanya? Kerana masih ada dua cawan kosong yang tertinggal, memaksa nenek datang semula ke ruang makan. Kedatangannya kali ini tidak harus dipersia-siakan begitu. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin. Demikian saya memutuskan dalam hati.

"Tadi nenek kata, minta saya tolong. Tolong apa nek?" tanya saya dengan nada suara yang lembut dan hati-hati. Tiada jawapan yang terkeluar dari mulut nenek. Saya kian resah.

"Tolong apa nek?" untuk kali kedua saya bertanya.

"Kamu tolong bawakan pulut kuning dan pisang emas ke surau. Datuk kamu nak buat jamuan kesyukuran kerana tetamunya dah sembuh dari sakit," nenek memberikan penjelasan.

Sesungguhnya, penjelasan nenek memberikan tanggungjawab baru kepada saya. Sukar untuk saya melarikan diri dari tanggungjawab yang diamanatkan oleh datuk, meskipun tanggungjawab itu tidak disampaikan secara terus kepada saya.

"Banyak pulut kuning yang nenek kukus? Apa lauknya?"

"Tak banyak, segantang sahaja, lauknya ayam."

"Sedap tu nek."

"Jangan sebut sedap sebelum makan, sekarang kamu pergi berehat, sampai masanya nenek panggil kamu."

"Baiklah, biar saya masuk bilik dulu nek."

"Pergilah."

Nenek meninggalkan saya. Dia menuju ke ruang dapur kembali. Meneruskan tugasnya yang masih belum selesai.

Sebelum bangun, saya menggeliat dua tiga kali. Menguap dengan semahu-mahunya. Pangkal pinggang, pangkal betis dan sendi saya urut dua tiga kali hingga badan terasa selesa. Bila terasa diri sudah cukup bersedia, saya pun segera bangun. Melangkah menuju ke kamar lalu merebahkan badan atas ranjang. Bahang panas luar terasa menyengat seluruh badan.

Entah macam mana terlintas difikiran saya untuk membaca. Mungkin dengan membaca boleh mempercepatkan saya tertidur. Tidak ada bahan bacaan yang benar-benar menarik minat saya. Majalah hiburan, Gelanggang Filem dan Majalah Filem yang ada dihujung ranjang sudah saya baca.

Bagaimana kalau saya mengambil buku-buku lama bertulisan jawi dikamar datuk? Timbul pertanyaan dalam diri. Dan datuk pernah berpesan pada saya, kalau ada masa eloklah membaca buku-buku lama yang tersimpan dalam biliknya dari membaca majalah hiburan yang tidak begitu mendatangkan manfaat pada diri saya.

Saya terus ke kamar datuk mengambil senaskah buku lama tulisan jawi. Sebaik saja saya berada diatas ranjang kembali. Sehelai demi sehelai halaman buku saya buka. Mencari tajuk yang sya fikirkan menarik. Akhirnya saya sampai ke bahagian hikayat Orang Yang Melalaikan Solat.

Saya betulkan kedudukan badan, biar selesa ketika membaca. Di samping itu, saya berharap sebaik saja tamat membaca kisah tersebut, saya akan tertidur dengan nyenyaknya. Begini kisahnya:



PEREMPUAN


Dizaman dahulu, seorang lelaki menangis kehibaan kerana kematian saudara perempuannya yang dikasihi. Kemudian lelaki itu bersama orang-orang kampung terus menguburkan saudara perempuannya dikawasan perkuburan.

Semasa lelaki itu menimbus mayat saudaranya itu, tanpa disedari pundi-pundi yang berisikan wang dan barang-barang lain terjatuh dalam longgokan tanah.

Tidak ada seorang pun teman-teman lelaki itu melihat yang pundi-pundi berisi wang itu jatuh dan bersatu dengan tanah. Apa yang dirasakan oleh lelaki itu ialah rasa kesedihan dan kehampaan yang memanjang. Maklumlah, dia kehilangan seorang saudara perempuan yang amat disayanginya.

Setelah selesai menguburkan saudara perempuannya, lelaki itu bersama kawan-kawannya terus pulang. Sampai separuh jalan, baru disedarinya pundi-pundi berisi wang miliknya sudah hilang.

"Kamu balik dulu, aku nak ke kubur semula," kata lelaki itu pada kawan-kawannya. Sudah tentu kata-kata itu mengejutkan kawan-kawannya.

"Kenapa?" tanya salah seorang kawannya.

"Pundi-pundi wang aku tercicir di kubur."

"Kalau begitu kata kamu, pergilah. Kami tak dapat bersama-sama kamu," jawab kawannya itu.

"Tak apalah, biar aku uruskan sendiri," balas lelaki itu, lalu meninggalkan kawan-kawannya.

Sampai di kubur lelaki itu terus mengais-ngais tanah disitu. Pundi-pundi beisi wang tidak juga ditemuinya. Lelaki itu mula menggali sebahagian dari tanah kubur. Sedang dia asyik menggali tanah (kubur), tiba-tiba keluarlah api yang menyala-nyala dari dalam kubur. Lelaki itu terkejut dan takut. Tanah kubur itu segera ditimbusnya.

Tubuh lelaki itu mengeletar ketakutan. Dia ingin segera pulang dan mahu menceritakan apa yang dialaminya kepada ibu dan saudara-saudaranya yang lain. Dengan rasa gementar, cemas dan tidak tentu arah, lelaki itu berlari pulang ke rumah.

Sampai saja dirumah, dia terus menceritakan kepada orang tuanya dan saudaranya mengenai kejadian tersebut. Saudara-saudaranya agak terkejut tetapi, ibunya tetap tenang. Lelaki itu pun terus bertanya kepada ibunya:

"Ibu! Cuba terangkan, apakah perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh saudara perempuanku itu semasa hidupnya?"

"Wahai anakku! Amal perbuatan saudara perempuanmu semasa hidupnya, suka melalaikan solat dan kadang-kadang mengakhirkannya sampai habis waktu."

Setelah mendengar penjelasan ibunya, lelaki itu bermuafakat dengan saudara-saudaranya (termasuk ibunya) berdoa kepada Allah supaya dosa saudara perempuannya itu diampuni oleh Allah.

"Dahsyatnya," keluh saya lalu menutup buku lama itu. Saya merenung sejenak dan saya segera berfikir, begitulah kecelakaan atau keburukan yang menimpa terhadap orang-orang yang melalaikan solat. Bagi orang yang meninggalkan solat tentu lebih ganjaran yang diterimanya.

"Sesungguhnya, Allah berkuasa atas segala-galanya, tidak pernah mungkir janji terhadap hambanya," terpancut kata-kata dari mulut dan secara mendadak saya teringatkan sepotong ayat dari Al-Quran yang bermaksud: "TidakKu jadikan manusia dan jin, melainkan semata-mata untuk beribadat kepadaKu." Dan saya merasakan diri saya semakin kecil, bagaikan segumpal buih disamudera nan luas.

Saya tidak berhasrat untuk membaca hikayat-hikayat yang termuat dalam buku itu lagi, walaupun semuanya boleh dijadikan cermin dan teladan dalam kehidupan. Buku lama bertulis jawi saya campakkan ke sudut kamar. Membacanya, beerti memaksa saya berfikir. Bila sudah berfikir pasti mata tidak mahu mengantuk. Begitu rumusan yang saya buat sendiri.


PANAS


Dua tiga kali saya menguap, bahang panas diluar membuat badan saya terasa bergetah. Bagi menghilangkannya saya terpaksa menggunakan cebisan kotak untuk dijadikan pengipas angin. Barulah terasa dingin tetapi, saya kehabisan tenaga untuk mengipas, seiring dengan itu mata saya mula terasa mengantuk.

Bunyi kicau burung terdengar sayup-sayup, begitu juga dengan bunyi pinggan dan piring yang dibasuh oleh nenek, berlaga sama sendiri.

Lama-kelamaan semua bunyi-bunyi itu terus mengilang. Apa yang saya alami seterusnya, saya dapati diri saya berada di sebuah padang pasir yang maha besar dan maha luas. Saya melihat ribut pasir yang amat menakutkan hingga memaksa saya berlindung disebalik pokok kurma yang hanya tumbuh sepohon saja disitu.

Saya tidak sanggup melihat ribut pasir beserta dengan bunyi yang amat menggerunkan itu. Saya tutup mata dengan kedua belah tangan saya. Pada saat itu, saya terasa bahu saya dipegang orang dari arah belakang. Saya tidak ada pilihan selain dari membuka mata untuk melihat, siapakah orang yang berani memegang bahu saya.

Sebaik saja mata terbuka, saya lihat seorang lelaki Arab tersenyum kearah saya. Bermisai tebal, wajahnya berjambang dengan pedang terselit dipinggang. Kuda putih milik lelaki Arab itu kelihatan jinak sekali dan tidak takut dengan bunyi ribut pasir.

"Assalam-mualaikum..."

"Walaikumussalam," sahut saya.

"Nama kamu Tamar Jalis?" tanyanya lagi.

"Ya."

Secara mendadak lelaki Arab itu memeluk tubuh saya, pipi kami berlaga, bau peluhnya tidak begitu menyenangkan saya tetapi, kerana orang sudah menunjukkan rasa persahabatan saya wajib menerimanya dengan ikhlas.

"Aku Sheikh Abu Bakar Al-Petani," lelaki itu memberitahu namanya pada saya. Cepat-cepat saya anggukkan kepala. Kemudian kami terus duduk dipasir berhampiran perdu kurma.

"Apa yang boleh saya tolong tuan Sheikh?" kata saya dengan tenang. Sheikh Abu Bakar Al-Petani tersenyum sambil mengurut-urut janggutnya.

"Tunggu sekejap, bila ribut pasir berhenti kita bercerita panjang," tutur Sheikh Abu Bakar Al-Petani dalam Bahasa Malaysia yang cukup terang. Dengan kehendak Allah yang Maha Besar, beberapa saat kemudian ribut pasir pun berhenti.

"Ya, kita sambung cerita kita Tamar," Sheikh Abu Bakar Al-Petani menghidupkan kembali cerita yang terputus.


"Apa yang boleh saya tolong tuan Sheikh?" pertanyaan yang sudah saya kemukakan, saya ulangi lagi. Tuan Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang sukar ditentukan kerakyatannya samada orang Arab tulin atau orang Melayu yang sudah lama tinggal didunia Arab dan bersikap atau berperangai lebih dari Arab.

"Kamu baru saja membaca cerita yang menarik?" soalnya dengan tenang.

"Ya, kenapa tuan Sheikh?"

"Apakah hikmah yang dapat kamu ambil untuk cermin dalam kehidupan kamu. Agar kamu jadi manusia Muslim yang baik," tanyanya lagi dengan penuh semangat. Saya terpaksa mengerutkan dahi.

Saya sebenarnya tidak suka memikirkan apa-apa tentang cerita lama yang saya baca. Aneh! Mengapa Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang tidak ku undang, harus bertanyakan perkara tersebut.

"Saya tak dapat buat kesimpulan Pak Sheikh," jawab saya tegas.

"Begini kesimpulannya, pertama Allah memperlihatkan keburukan orang yang melalaikan solat," tuturnya.

Saya segera anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diluahkan oleh Sheikh Abu Bakar Al-Petani.

"Lagi apa yang dapat kita jadikan panduan, Pak Sheikh?"

"Kejadian itu menunjukkan kekuasaan Allah untuk memperlihatkan adanya seksa kubur, supaya diketahui oleh orang ramai," sepasang biji mata Sheikh Abu Bakar Al-Petani merauti seluruh wajah saya. Ada rasa gementar dan cemas bergolak dalam jantung hati saya. Dan saya tidak mahu mengajukan sebarang persoalan kepadanya.

"Kejadian itu bukan hanya menimpa mayat perempuan itu saja malah akan berlaku juga kepada mayat-mayat lain yang melalaikan solat. Cuma tidak diperhatikan oleh Allah kerana alam kubur itu adalah alam ghaib, sesungguhnya alam kubur itu bukanlah sekadar kubur melainkan alam sesudah mati iaitu alam sebelum hati akhirat.

Walaupun seseorang mati dibaham harimau, ghaib dalam laut, pasti berada dialam kubur walaupun tubuh mereka tidak ditanam kedalam bumi," begitu hebat sekali Sheikh Abu Bakar Al-Petani begitu senang dengan sikap saya itu. Dia terus menepuk bahu saya berkali-kali bersama dengan ketawa parau.

"Tamar." jeritnya keras.

Saya toleh kearahnya dengan rasa terkejut.

"Kenapa Pak Sheikh?"

"Aku nak balik, sebelum balik dengar sini..." Sheikh Abu Bakar Al-Petani menggeliat dan membetulkan hujung jubahnya yang terkena pasir.

"Kamu tahu, hikayat yang kamu baca itu memperkuatkan firman Allah dalam surah Al-Maun dalam Al-Quran, tentang seksaan bagi orang yang melalaikan solat, kamu baca dan kaji surah tu," nada suara Sheikh Abu Bakar Al-Petani cukup tinggi dan saya rasakan kata-kata yang diluahkan itu adalah sebuah arahan.

Kerana tidak mahu diri diarah atau diperintah oleh orang yang tidak saya kenali secara terperinci, saya segera memperlihatkan reaksi tindak balas.

"Bukan urusan saya mahu membacanya, Pak Sheikh."

"Apa kata kamu Tamar, kamu tidak mahu mengikut arahan aku yang baik ini?"

"Ya," saya segera bangun dan bersedia melepaskan penumbuk kalau Sheikh Abu Bakar Al-Petani bertindak kasar.

Ternyata Sheikh Abu Bakar Al-Petani merasai dirinya tercabar. Dia juga bangun. Undur lima tapak kebelakang. Dia mencabut pedangnya, mata pedangnya yang tajam kelihatan berkilau-kilau bila kena sinar matahari.

"Kerana kamu tidak mahu mendengar nasihat orang untuk kebaikan kamu harus dibunuh dan ditanam dalam pasir. Biar kamu kena seksa kubur," dengan pedang ditangan, Sheikh Abu Bakar Al-Petani segera menerkam kearah saya.

Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit dengan sekuat hati, dengan harapan jeritan itu akan dapat didengar oleh orang lain. Kemudian akan datang untuk menyelamatkan saya.

"Kamu menjerit ya," ugut Sheikh Abu Bakar Al-Petani sambil melepaskan penumbuk kearah saya. Tubuh saya rebah dipasir dan mata pedang Sheikh Abu Bakar Al-Petani kian mendekati batang leher saya. Kematian didepan mata, dengan penuh khusyuk saya mengucap dua kalimah syahdat.

"Huh, nasib baik kamu mengucap," jerit Sheikh Abu Bakar Al-Petani. Tubuhnya kelihatan menggeletar menahan kehampaan. Tanpa banyak cakap, dia terus melompat kebelakang kuda putihnya.

"Semoga kamu bahagia," tuturnya lagi sambil memasukkan mata pedang kesarungnya. Dengan sekali tampar dibahagian punggung kudanya terus bergerak meninggalkan debu-debu pasir untuk saya lihat. Dalam sekelip mata Sheikh Abu Bakar Al-Petani dan kudanya hilang dari penglihatan saya.
~Kredit kepada ahli komunitisbdj FAQIR & FEROZ untuk siri ini.*****

Dengan penuh tenaga saya cuba bangun tetapi, tidak berhasil. Dua tiga kali saya terjatuh hinggalah ada sepasang tangan menggoncang tubuh, barulah saya terasa badan kembali bertenaga dan kelopak mata saya boleh digerakkan dan dibuka. Nenek terpaku didepan saya.

"Bangun, dah dekat waktu Asar, pergi mandi," nenek keluarkan perintah. Saya terus pejam celikkan kelopak mata, dahi terus saya kedutkan. Betulkah nenek yang tertonggok didepan saya atau Sheikh Abu Bakar Al-Petani menjelma menyerupai nenek.

"Ini nenek?"

"Habis kalau bukan nenek kamu, aku ni hantu. Makan terlalu kenyang tidur siang sampai mengigau terpekik terlolong, bangun pergi mandi."

"Astagh..." kata saya dan terus bangun menuju ke perigi. 

130. Si Tua Misteri Dari Solok

Dari ambang pintu, saya perhatikan langkah nenek yang teratur .Sinar matahari tidak dapat menyentuh rambut dan tempurung kepalanya yang dibalut dengan selendang kuning. Wajahnya yang kemerahan dan berpeluh masih mampu mengukir senyum untuk saya.
“Nek dari mana?” Tanya saya kehairanan, sebaik saja nenek melintas di depan saya untuk masuk ke rumah.
“Dari surau, aku hantar kuah ayam seperiuk.”
“Kenapa tak nanti saya nek?”
“Kamu mandi lama sangat di perigi, jadi aku hantar dulu mana yang senang,” tutur nenek lalu duduk bersimpuh di lantai. Dengan hujung selendang dia mengesat peluh di wajah.
Saya segera menggigit bibir bawah. Sepasang anak mata menyorot wajah nenek dan hati saya segera berkata :Memang, kau nenek yang baik. Tidak mahu membebankan cucumu dengan kerja-kerja yang sukar .Terima kasih nenek. Suara hati saya terus beralun dan berombak dalam rongga dada.
“Kenapa Tamar? Kamu suka tengok kulit muka nenek yang dah berkedut ni,” kata nenek bersahaja. Senyumannya masih terukir di bibir. Saya menarik nafas dalam-dalam.
“Bukan fasal tu nek.”
“Habis fasal apa Tamar,”
“Nenek terlalu baik.”
“Sudah , jangan merepak, pergi bawa barang-barang ke surau. Tak lama lagi waktu Asar tiba,” wajah nenek nampak serius. Dan saya segera mematuhi arahannya.
Dalam perjalanan ke surau, sambil menatang talam besar yang berisikan pulut. Fikiran saya masih tertumpu kepada mimpi yang saya alami tadi. Kerana itu, saya tidak ambil peduli tentang nenek yang mengekori saya sambil memikul setandan pisang emas masak.
Memang saya berhasrat, mahu menceritakan apa yang saya alami dalam mimpi itu pada datuk.Biar dia membuat tafsiran yang boleh menyenangkan hati saya. Mungkin bukan sekarang. Tidak mengapa, kalau tak boleh hari ini, esok lusa pasti saya ajukan kepadanya. Saya mahu mendengar pendapat atau komen datuk sendiri.
Sampai di surau, pulut kuning satu talam saya serahkan pada Mat Upeh, (siak surau yang berasal dari Pengkalan Baru, dekat Pantai Remis). Nenek meletakkan setandan pisang emas atas pelantar .Urusan selanjutnya terletak atas bahu Mat Upeh.
“Air kopinya macam mana?” Tanya Mat Upeh.
“Datuk si Tamar tak cakap apa-apa dengan awak?” Sahut nenek. Mat Upeh gelengkan kepala. Saya dan nenek berpandangan.
“Aku minta pertolongan kamu menyediakannya. Gula dan kopi aku sediakan,” saya dan nenek segera merenung ke arah datuk yang secara mendadak muncul dari sebelah kiri pelantar surau.
Kerana memikirkan tugasnya sudah selesai, nenek tidak mahu membabitkan dirinya dalam dialog antara datuk dengan Mat Upeh. Nenek angkat kaki dan terus pulang.
“Macam mana Encik Mat, boleh ke tolong saya,” datuk minta kepastian.
“Bagi saya tak ada apa-apa masalah.” jawapan dari Mat Upeh amat menyenangkan datuk.
Saya lihat datuk menyeluk saku baju. Dia mengeluarkan sesuatu dan saya kurang pasti, apakah barang yang dikeluarkan oleh datuk itu. Datuk hulurkan barang itu kepada Mat Upeh seraya berkata:
“Nah duit ni, belilah kopi dan gula. Kamu agak sendiri berapa banyak yang mesti dibeli, jemaah dianggarkan kira-kira dua puluh orang .Wang lebihnya ambil untuk kamu.”
Dengan senang Mat Upeh menerima tugas tersebut, kalau tidak salah penglihatan saya wang yang dihulurkan oleh datuk kepada Mat Upeh berjumlah sepuluh ringit.
“Saya terima amanah awak,” tutur Mat Upeh sambil menepuk bahu kanan datuk dengan mesra.

ARAHAN
Waktu Asar sudah masuk, datuk menyuruh saya memukul beduk. Saya juga diarahkan supaya melaungkan azan. Semua arahan datuk saya patuhi.
Sebaik saja saya menamatkan laungan azan, para jemaah datang berduyun ke surau kecil yang terletak berhampiran dengan kolam. Di hujung kolam, sebelah barat terbentang sawah padi yang sedang tumbuh menghijau.
Kerana saya berdiri di muka pintu surau, semua jemaah yang masuk menghulurkan tangan untuk bersalam dengan saya. Dengan penuh hormat dan bangga saya menyambutnya.
Datuk yang berdiri di tangah surau merenung ke arah saya dengan senyum. Mungkin datuk berasa puas dan bangga kerana saya pandai melayan para jemaah, pandai melaungkan azan dan sebentar lagi saya akan melakukan qamat.
Tiba-tiba hati dan perasaan saya tersentak, apabila telapak tangan seorang lelaki tua yang tidak saya kenali. Secara mendadak saya terbayangkan wajah Shiekh Abu Bakar Al-Patani yang datang dalam mimpi saya.
Setelah saya amati wajahnya ternyata lelaki tua yang sedang saya genggam telapak tangannya itu bukan Sheikh Abu Bakar Al-Patani.
Di saat fikiran dan perasaan saya berperang memikirkan siapakah lelaki tua misteri? Datuk segera mendekati saya.
“Ini cucu saya tuan haji,” beritahu datuk pada lelaki tua itu. Dia menarik telapak tangannya yang saya genggam dan terus memeluk tubuh saya.
“Kamu yang azan tadi?” Soalnya sambil melepaskan tubuh saya yang dipeluknya.
“Iya,” sahut saya sambil cuba menjauhkan diri dari lelaki tua itu.
“Tuk, siapa dia ni tuk, sebelum ni tak pernah saya tengok wajahnya,” terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya.
Tidak saya duga sama sekali bahawa datuk kurang senang dengan cara saya mengemukakan pertanyaan terhadapnya. Aikbatnya, datuk jegilkan biji mata serta membayangkan kemarahan di wajahnya. Tetapi, api kemarahannya segera berakhir apabila sepasang biji mata orang tua itu tertumbuk ke wajahnya.
“Jangan bengis dengan cucu sendiri,” saya terdengar orang tua itu melafazkan kata-kata. Datuk tersengih dan cuba tersenyum.
“Tamar.”
Saya yang bersedia mahu melangkah ke tengah surau untuk melakukan qamat, terpaksa membatalkan niat tersebut. Sebaliknya saya terus melangkah setapak ke arah datuk. Saya renung wajah datuk.
“Kenapa tuk?”
“Kau nak tahu Tamar, inilah Tuan Haji Yatimi. Dia ni baru datang dari Solok,” beritahu datuk kepada saya.
“Solok tu di mana tuk?”
“Di Sumatera Barat, letaknya kira-kira 24 km dari Kota Padang. Dia ni ulama besar, datuk banyak belajar darinya,” sambung datuk lagi, cukup bersemangat datuk menjelaskan tentang biodata orang tua itu di depan saya.
“Usah dikisahkan tentang aku padanya, suruh sesiapa qamat segera,” orang tua itu memotong cakap datuk.
“Cucu saya qamat,” sahut datuk.
“Bagus, pergi segera,” orang tua itu terus tepuk bahu kanan saya. Dan saya pun melangkah ke tengah surau.
Beberapa saat kemudian kalimat-kalimat qamat pun bergema dalam surau. Para jemaah pun segera mengambil tempat masing-masing. Saya kira datuk yang akan menjadi imam, rupa-rupanya tetamu baru yang mengambil alih tugas datuk.

PUJI

Semua orang memuji Haji Yatimi, kata mereka pembacaan doa yang dilakukannya cukup baik. Kalimat-kalimat yang disebut cukup jelas dan terang, pembacaannya cukup fasih.
Dia melayan para jemaah dengan ramah, tidak kira muda atau tua. Malah, dia melahirkan rasa bangga kerana datuk menyuruh dia menjadi imam dan membaca doa kesyukuran kerana penyakit yang dideritai oleh Khoja Lisut sudah sembuh.
“Enaknya,” kata Haji Yatimi sebaik saja dia menikmati hidangan yang disediakan oleh Mat Upeh untuk para jemaah. Datuk senyum panjang.
“Lepas makan ni, orang yang saya ikhtiarkan itu mahu berikrar di depan para jemaah. Dia mahu bertaubat dan tidak mahu melakukan sebarang kejahatan,” bisik datuk kepada kepada Haji Yatimi.
“Apa dia sudah bertaubat betul-betul atau main-main,” semacam ada keraguan dalam diri Haji Yatimi.
Datuk tersentak mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Haji Yatimi. Dua tiga kali saya lihat datuk kerutkan kening , ekor matanya mengerling tajam ke arah Khoja Lisut yang duduk di sudut surau. Seolah-olah mahu mengasingkan diri dengan para jemaah yang sudah kenyang makan pulut kuning berlaukkan ayam.
Mat Upeh terus mengumpulkan pinggan, piring dan cawan kosong. Kulit pisang emas ditaruh dalam baldi plastik warna merah.
“Kalau dia benar-benar mahu bertaubat memang bagus. Kalau sekadar mahu main-main, nanti akibatnya memakan diri,” tutur Haji Yatimi tenang.
“Orang-orang yang berubat dengan saya itu memang benar-benar mahu bertaubat,” penuh yakin datuk bersuara. Tetapi tidak semudah itu Haji Yatimi mahu menerima kata-kata dari datuk.
“Sudahkah orang itu buat sembahyang taubat?” Sepasang biji mata Haji Yatimi terpaku ke wajah datuk.
“Sudah tuan haji.”
“Bagus, mana orangnya? Doa kesyukuran sudah dibaca tetapi orangnya tak mahu diperkenalkan pada aku. Sebelum dia baca ikrar, aku nak berkenalan dengannya,” Haji Yatimi mengajukan permintaan kepada datuk.
Saya kira tanpa disedari, datuk sudah melakukan kesilapan besar kerana tidak memperkenalkan Khoja Lisut kepada tetamunya.
“Oh, maafkan saya tuan haji, saya terlupa.”
“Tak mengapa, kita ni manusia tidak lepas dari kesilapan dan lupa. Bukankah manusia itu memang tidak sempurna, manusia itu hamba Allah yang dhaif,” sambil berkata-kata, Haji Yatimi merenung setiap muka para jemaah. Semua yang hadir anggukkan kepala. Setuju dengan perkara yang dikatakan oleh Haji Yatimi.
“Khoja, ke mari kamu,” suara datuk meninggi.
Khoja Lisut segera bangun, berjalan dengan tunduk dari sudut surau menuju ke arah datuk dan Haji Yatimi. Semua biji mata para jemaah tertumpu ke arah Khoja Lisut. Ada di antara para jemaah itu berbisik sama sendiri. Khoja Lisut duduk bersila di depan Haji Yatimi dan datuk.
“Aku perkenalkan Haji Yatimi dari Solok,” suara datuk lantang. Semua yang berada dalam perut surau mendengarnya. Haji Yatimi lebih awal menghulurkan tangan kepada Khoja Lisut. Mereka bersalam erat, mata Haji Yatimi menyorot tajam ke bola mata Khoja Lisut.
Dengan sedaya upayanya Khoja Lisut cuba mengelakkan biji matanya dari bertembung dengan biji mata Haji Yatimi. Dia berasakan sinar mata orang tua itu amat tajam menusuk ke jantung kalbunya. Dadanya berdebar tanpa sebab.
“Kenapa tangan kamu menggeletar?” Tegur datuk setelah melihat lengan kanan Khoja Lisut menggeletar. Semua biji mata dalam surau tertumpu ke arah Khoja Lisut. Cepat-cepat Haji Yatimi melepaskan telapak tangan Khoja Lisut yang dirangkumnya. Wajah Khoja Lisut kelihatan pucat sekali.
“Kamu sakit Khoja?”
Pertanyaan datuk dijawab oleh Khoja Lisut dengan menggelengkan kepala.

TANGAN

Dalam masa yang sama Khoja Lisut memberi isyarat tangan kepada datuk menyatakan yang dia mahu kembali duduk di tempat asalnya, di sudut surau. Apa yang dilakukan oleh Khoja Lisut dapat dikesan oleh Haji Yatimi.
“Duduklah dulu, di depan saya.”
“Kurang manis rasanya duduk di sini, terkeluar dari barisan jemaah yang lain,” tingkah Khoja Lisut sambil merenung ke arah datuk untuk meminta sokongan agar permintaannya direstui oleh datuk.
“Duduklah di situ Khoja, agaknya ada hal mustahak yang nak dicakapkan Haji Yatimi kepada kamu,” kata-kata yang diucapkan oleh datuk itu amat mengecewakan diri Khoja Lisut. Dia tidak ada pilihan lain dan terpaksa duduk di depan Haji Yatimi.
“Boleh aku tanya kamu?” Haji Yatimi tatap wajah Khoja Lisut.
“Silakan,” sahut Khoja Lisut.
“Bagus, aku nak tahu, kamu benar-benar nak bertaubat atau sengaja suka-suka nak bertaubat. Cakap jujur dengan aku, perkara agama tak boleh dibuat main-main begitu juga dengan perkara taubat ni, jangan diolok-olok nanti taubat makan diri,” nada suara Haji Yatimi sekejap meninggi dan sekejap merendah. Semua yang ada dalam surau terus pasang telinga.
Kata-kata itu membuat Khoja Lisut bertambah cemas. Para jemaah penuh debar menanti jawapan dari Khoja Lisut. Beberapa jemaah yang tidak mahu mengikuti perkembangan selanjutnya segera beredar. Bagi mereka itu tidak penting, apa yang penting ialah sembahyang berjemaah, menikmati pulut kuning bersama lauk ayam, pisang sudah memadai. Cuma itu yang disebutkan oleh datuk kepada mereka. Dan permintaan datuk datuk itu sudah mereka laksanakan.
“Saya sudah insaf, saya tak mahu ulang perkara yang sudah saya buat,” begitu tegas suara Khoja Lisut tetapi ,dia masih belum mahu menatap wajah Haji Yatimi. Tiba-tiba para jemaah bertepuk memberi sokongan atas keazaman yang diluahkan oleh Khoja Lisut.
“Khoja....” mulut datuk terlopong, tidak dapat meneruskan kata-kata. Datuk terkejut melihat tindakan Khoja Lisut yang terus membuka bunga silat dan berdiri betul-betul di tengah surau. Beberapa orang jemaah bangun lalu menuju ke pintu.
“Dengan nama Allah yang maha besar, saya berjanji mahu menjadi manusia yang baik, taat pada hukum Allah, tidak akan menganiaya sesama manusia. Jika saya melanggar sumpah ini, saudara atau sesiapa saja boleh menhukum saya..”
“Nanti,” jerit Haji Yatimi.
Khoja Lisut tergamam dan terus duduk. Datuk menggigit bibir dan saya lihat jemaah yang masih ada dalam surau, lebih kurang lima orang saja.
“Kenapa tuan haji?” Tanya Khoja Lisut.
“Jangan minta orang lain menghukum diri kamu. Bila kamu berbuat macam itu, ertinya kamu tidak jujur pada diri sendiri, kamu tak payah minta orang lain menghukum kamu, sesungguhnya perbuatan kamu ini sudah menampakkan riak,” Haji Yatimi berhenti bercakap, dia menarik nafas dalam-dalam.
Datuk tidak berkata apa-apa. Lima orang jemaah yang berada di situ nampak resah. Khoja Lisut tunduk merenung lantai surau.
“Dengar sini, bila kamu sudah bertaubat, ubahlah sikap. Tak payah nak beritahu pada orang lain , kamu bertaubat dengan Allah bukannya dengan manusia, apa perlunya bila bertaubat beritahu orang lain,” Haji Yatimi seperti memberi ceramah.
Semasa Haji Yatimi mengungkapkan kata-kata itu, saya lihat datuk sentiasa berada dalam resah gelisah.Macam ada sesuatu yang tidak kena.
“Dari mana kamu belajar semuanya ni?” Haji Yatimi terus menyoal datuk. Dengan serta-merta Khoja Lisut merenung ke arah datuk. Renungan itu dapat ditafsirkan oleh Haji Yatimi lalu dia tersenyum.
“Kalau itu yang kamu beritahu dia, kamu sudah membuat kesilapan besar,” Haji Yatimi tujukan kata-kata itu untuk datuk.
“Inilah kesilapan saya,” datuk mengakui kesilapannya kerana memberi penerangan yang kurang tepat untuk Khoja Lisut.
“Lain kali jangan buat lagi, aku tahu ada benda yang belum selesai dalam diri orang ini, dia tidak ikhlas dengan dirinya sendiri,” terbeliak biji mata datuk mendengar ungkapan dari Haji Yatimi dan datuk menggigit bibir.
Rasa geram dan marah terhadap Khoja Lisut terpamer di wajah datuk. Datuk genggam penumbuk, dia merasakan dirinya telah diperdayakan oleh Khoja Lisut dengan cara terhormat.

MUNCUL

Lima orang jemaah yang masih berada dalam surau mula naik bosan dengan gelagat Khoja Lisut.
Mereka pun segera angkat punggung, meninggalkan ruang surau. Sebaik saja lima jemaah itu pergi, muncul pula Mat Upeh lalu duduk tidak jauh dari saya.
“Aku cuma nak tengok saja,” bisiknya ke telinga saya. Sya pun anggukkan kepala.
“Kamu benar-benar mahu bertaubat?” Datang lagi pertanyaan dari Haji Yatimi untuk Khoja Lisut.
“Berapa kali saya mahu terangkan,” Khoja Lisut mula naik darah.
“Sudah kamu buang apa amalan yang tak baik dalam diri kamu?”
Kali ini Khoja Lisut renung kiri kanan, bagi memastikan apakah kata-kata itu memang ditujukan untuknya. Sepasang kelopak bibirnya seperti menggeletar.
“Tuan haji ni tanya kamu,” jari telunjuk datuk menunding ke arah muka Khoja Lisut.
“Saya,” suara Khoja Lisut agak cemas.
“Iya,” angguk Haji Yatimi.
Di saat Khoja Lisut berada dalam keadaan serba salah, tanpa memberitahu datuk dan Mat Upeh, Haji Yatimi terus memegang pergelangan tangan kiri Khoja Lisut lalu menarik ke muka pintu surau.
“Mahu dibawa ke mana,” tanya Khoja Lisut kepada Haji Yatimi.
“Turun ke tanah kita berbincang di halaman surau, ada sesuatu yang mesti kita selesaikan di situ.”
“Maksud tuan haji?” Tingkah datuk sambil bangun.
“Banyak perkara disembunyi dari kamu, ada ilmu jahat yang tidak dikeluarkannya,” balas Haji Yatimi. Tidak ada bantahan atau bangkangan dari dari Khoja Lisut. Ikut saja kata Haji Yatimi.
Sebaik saja berada di halaman surau, Haji Yatimi segera mengarahkan datuk berdiri di sebelah kanan Khoja Lisut, sementara Mat Upeh pula diarah berdiri di kiri. Saya disuruh duduk di kaki tangga surau.
Haji Yatimi berdiri betul-betul di depan Khoja Lisut, bayangnya memanjang di tanah. Kerana matahari sudah beransur redup, datuk, Mat Upeh dan Khoja Lisut tidak merasai kepanasan. Angin petang yang bertiup lembut memberikan kesegaran kepada mereka.
“Kamu yang berdiri di sebelah kanan dan kiri mesti bertindak cepat. Lakukan apa saja, jika orang yang berada di tengah mahu melarikan diri, jatuhkan dia,” Haji Yatimi mengeluarkan perintah kepada Mat Upeh dan datuk. Saya lihat Khoja Lisut tetap berada dalam keadaan tenang.
“Kamu mahu bertaubat?” Haji Yatimi renung Khoja Lisut.
“Iya,”
“Kamu harus membuang segala ilmu pelindung, pendinding diri yang sudah sebati dengan darah daging kamu. Jika ilmu ini tidak ditawarkan, kamu yang susah nanti, di saat ajal kamu sudah sampai, nyawa kamu susah berpisah dengan badan. Walaupun tubuh kamu hampir binasa tetapi, kamu masih bernyawa.” muka Haji Yatimi kelihatan merah padam. Khoja Lisut yang tadi tenang, tiba-tiba berubah sikap, mukanya jadi bengis, matanya liar. Dia terus mendengus tidak tentu arah. Badannya nampak menggigil.
“Sebenarnya yang bernyawa tu bukannya kamu. Kamu sudah mati, roh kamu sudah tiada, apa yang dilihat oleh orang lain itu adalah ilmu syaitan yang cuba menipu orang-orang yang hidup, mahu meyakinkan orang-orang yang hidup bahawa ilmu syaitan itu lebih tinggi,” sambung Haji Yatimi.
Saya lihat Khoja Lisut bertambah resah. Dua tiga kali dia menghentakkan pangkal sikunya ke bahagian perut datuk dan Mat Upeh.
Datuk tidak menghadapi apa-apa masalah dengan tindak-tanduk Khoja Lisut itu tetapi, Mat Upeh mengalami rasa sakit dan senak di perut setiap kali Khoja Lisut menghentakkan siku ke perutnya.
“Sekarang kamu bersedia menggugurkan ilmu yang ada itu?” Haji Yatimi minta kepastian.
“Saya setuju, ilmu itu tidak saya tuntut tetapi datang sendiri waktu saya menuntut ilmu kebatinan, guru saya meresapkan kepada saya,” terang Khoja Lisut.
“Aku faham, guru kamu mahu membuang ilmu itu dan dia menggunakan kamu sebagai warisnya. Dan kamu mahu membuang ilmu itu dan sekarang berusaha untuk melepaskan pada orang lain. Betul atau tidak?”
“Iya, saya mengaku,”
Terbeliak biji mata datuk mendengar pengakuan Khoja Lisut. Mat Upeh gelengkan kepala dan saya tidak menduga sama sekali yang Khoja Lisut masih mahu menyembunyikan sesuatu dari datuk.
Setelah menerima pengakuan dari Khoja Lisut, Haji Yatimi termenung sejenak. Tumit kaki kirinya ditekan ke bumi sambil mengangkat tangan kanannya ke arah datuk dan Mat Upeh agar jangan berada terlalu dekat dengan Khoja Lisut. Angin petang yang bertiup terus menggerakkan dedaun pokok.
“Di sinilah kamu tidak ikhlas, kamu mahu menurunkan ilmu itu kepada budak ini,” Haji Yatimi segera meluruskan telunjuknya ke arah saya.
“Kamu mahu memasukkan ilmu itu ke dalam dirinya secara pertukaran nafas waktu tidur, tapi kamu masih belum berpeluang.” sambung Haji Yatimi.
“Hei!!!,” pekik Khoja Lisut sekuat hati, dia terus melompat setinggi pohon kelapa dara. Kedua belah kakinya lurus ke arah dada Haji Yatimi dan tangan kanannya bersedia untuk melepaskan pukulan ke arah leher Haji Yatimi.
Melihat keadaan yang agak gawat itu, datuk segera bertindak. Dia berlari ke arah Haji Yatimi dan berdiri di depan lelaki tua itu. Datuk pun membuka silat untuk melindungi Haji Yatimi, tetamu terhormat yang tidak diundangnya. Datuk pun membuka silat.
Datuk luruskan kedua belah lengannya. Dan sepasang telapak tangannya dikembangkan ke arah sepasang telapak kaki Khoja Lisut yang laju menuju ke dada datuk, saya lihat tubuh Khoja Lisut berputar-putar di udara lalu berpatah balik ke arah tempat dia berdiri.
Khoja Lisut jatuh tersembam di sisi Mat Upeh. Datuk segera melangkah mahu menerkam ke arah Khoja Lisut. Tetapi, Haji Yatimi bertindak dengan pantas memegang lengan kanan datuk lalu dipulaskan ke belakang.
“Kenapa tuan haji,”
“Jangan dilayan, dia tak sedar apa yang dibuatnya. Dia dikuasai oleh ilmu sesatnya,” kata Haji Yatimi lalu melangkah ke arah Khoja Lisut yang tersungkur di bumi.
“Hatinya mahu bertaubat tetapi, pendindingnya menjadi batu penghalang,” bisik Haji Yatimi ke telinga datuk. Haji Yatimi terus bertinggung di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh berdiri tidak jauh dari datuk.
Saya terdengar suara Khoja Lisut mengaum macam harimau, tubuhnya mula membongkok dan kedua belah tangannya mencakar-cakar tanah, perbuatannya itu tidak ubah macam kelakuan harimau liar. Dia terus mengaum dan cuba beberapa kali mahu mencakar muka datuk tetapi, datuk dapat mengelak dengan cepatnya. Saya mula melihat kuku di jarinya bertukar menjadi macam kuku harimau. 

131. Mengeletek Macam Cicak

Saya mengucap panjang, bila melihat kaki kiri Khoja Lisut menggeletak macam ekor cicak yang terpisah dari badannya, sementara kaki kanannya bergerak macam badan ular.
“Terlalu banyak ilmu batin salah yang dituntutnya. Tetapi, bila dia sakit ternyata ilmunya tidak dapat menyembuhkan penyakitnya kerana itulah dia datang jumpa kamu. Dalam kehebatannya, masih ada kekurangannya, memang begitu adatnya yang menimpa manusia. Tidak ada orang yang gagah, tidak ada orang yang amat pintar, setiap yang lebih pasti ada kekurangannya,” Haji Yatimi terus memberikan ceramah kecil untuk saya, Mat Upeh dan datuk.
“Apa yang mesti dibuat sekarang?” Mat Upeh bertanya.
“Inilah kesempatan yang baik, pendindingnya sudah lemah, kita mesti mengeluarkan pendinding yang sudah sebati dengan darahnya.” jelas Haji Yatimi lalu mengarah saya berdiri di hujung kepala Khoja Lisut, Mat Upeh di sebelah kanan, datuk di sebelah kiri. Manakala Haji Yatimi di bahagian kaki.
“Dia mahu bertaubat, mahu jadi baik. Sayangnya, syaitan yang jadi pendinding menguasai dirinya sepenuh, inilah masanya kita menghalaunya.” tambah Haji Yatimi sambil memberitahu saya dan Mat Upeh supaya melihat apa saja yang dilakukannya.
Haji Yatimi memberi arahan kepada datuk supaya mengepal tanah dan melemparkan ke arah mana-mana tubuh Khoja Lisut, bila dia menjerit. Menurut Haji Yatimi manusia berasal dari tanah dan kekuatan manusia tetap bersama tanah dan kekuatan iblis tetap bergantung pada cahaya dan akan binasa dengan api.
Setelah mengeluarkan arahan itu, Haji Yatimi pun menjamah kaki kiri Khoja Lisut yang menggeletek macam cicak. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak, bibir datuk juga bergerak. Saya kira mereka sedang membaca sesuatu.
“Ya Allah, apa sudah jadi,” bisik batin saya bila melihat kaki kanan Khoja Lisut berubah menjadi macam ular lalu membelit tubuh Haji Yatimi, Mat Upeh kelihatan cemas sekali.
Dengan tenang Haji Yatimi menepisnya dan serentak dengan itu terdengar jeritan Khoja Lisut. Datuk segera melemparkan tanah ke muka Khoja Lisut, kaki kanannya yang berbentuk macam ular kembali pulih macam biasa, begitu juga dengan kaki kiri yang menggeletek macam ekor cicak. Tidak bergerak lagi.
Khoja Lisuttidak lagi mengaum macam harimau. Dengan tenang Haji Yatimi memegang pergelangan kaki kiri Khoja Lisut. Dengan hati-hati Haji Yatimi menekan ibu jari kirinya ke bahagian tengah telapak kaki Khoja Lisut.
Seluruh perhatian saya dan Mat Upeh tertumpu kepada gerak-geri dan tindak-tanduk Haji Yatimi. Sesekali saya lihat, Khoja Lisut menggeliat dan tubuhnya seakan-akan bergulung macam tubuh tenggiling membelit sebatang kayu.

JARI

Semua yang terjadi itu tidak dihiraukan oleh Haji Yatimi, dia asyik dengan tugasnya menekan ibu jari ke telapak kaki Khoja Lisut.
“Ha! Tengok tu,” Mat Upeh mencuit bahu saya.
Saya segera jegilkan biji mata ke arah sekujur tubuh Khoja Lisut yang terlentang ke bumi. Wajahnya menadah langit. Haji Yatimi masih dengan tugasnya dan datuk tetap mengepal tanah.
“Apa dia Pak Mat?” Tanya saya pada Mat Upeh.
“Kau tak nampak apa-apa Tamar,”
“Memang tak nampak apa-apa pun.”
“Cuba kau renung betul-betul ke arah bahagian dada orang itu,” Mat Upeh menasihati saya.
Kerana percaya dengan apa yang dicakapnya, saya arahkan sepasang biji mata ke arah dada Khoja Lisut tanpa berkelip-kelip. Ya, sekarang baru saya tahu Mat Upeh tidak berbohong dengan saya. Dia bercakap benar. Tiba-tiba saja bulu roma saya tegak, badan menggeletar. Saya melihat ada asap nipis keluar dari bahagian dada Khoja Lisut.
Asap nipis itu naik memanjang lalu membentuk lembaga seperti bentuk kanak-kanak dalam kandungan. Lembaga itu nampak macam berada di dalam bentuk kaca yang mengeluarkan cahaya kemilau kekuningan.
Sekuruh tubuh lembaga itu berbulu dan bila berpusing ke arah saya, saya lihat wajah lembaga itu amat mengerikan dengan dua batang gigi besar di kiri dan kanan mulutnya. Lembaga itu bergerak ke kiri dan ke kanan, tidak pula melepasi kawasan jantung dan hati Khoja Lisut.
Sinar matahari petang kian runduk tetapi, muka Haji Yatimi terus dibasahi dengan peluh. Walaupun demikian dia tetap tenang cuma saya lihat datuk saja berada dalam keadaan cemas. Khoja Lisut yang terlentang di bumi tetap tidak bergerak, bagaikan tidak bernyawa lagi.
Asap nipis yang keluar dari bahagian dada tetap berterusan menyelimuti lembaga yang berada di awang-awangan. Lembaga itu semakin membesar dan kelihatan merening dan bentuk kanak-kanak yang ada dalam lingkungan asap nipis juga kian membesar. Wajahnya bertambah menggerunkan ada mirip orang Utan. Seluruh tubuh berbulu, manakala sepasang tangan seperti kaki cicak dan sepasang kaki bersisik macam sisik ular sawa.
“Dummmmmmmmm..”
Satu ledakan menguasai kawasan surau. Saya lihat lembaga yang terapung di udara hancur berkecai. Asap nipis yang melindunginya hilang entah ke mana. Cebisan dari lembaga itu bertaburan di halaman surau dalam bentuk gabus berwarna putih.
Beberapa saat kemudian gabus itu terbakar dan sukar dikesan. Tidak meninggalkan sebarang tanda di tempat gabus itu jatuh.
Haji Yatimi segera bangun. Dia memberi isyarat ke arah datuk supaya berhenti mengepal tanah. Datuk patuh dengan arahan itu.
Kemudian, saya dan Mat Upeh diarah supaya kembali ke surau. Lebih kurang lima minit kami berada di surau, kami diarah supaya berada di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh (mungkin juga datuk) terkejut besar melihat darah keluar dari ibu jari kaki kiri Khoja Lisut. Darah itu melimpah di tanah dan jika dikumpulkan jumlah melebihi dua botol.
Saya lihat Khoja Lisut pucat lesi, dia membuka membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Melihat batang hidung Haji Yatimi, mendengar suaranya membaca ayat Qursi. Kemudian Khoja Lisut merapatkan matanya kembali. Dia kelihatan amat lemah sekali.
“Dia memang tidak kenal dengan aku tetapi, aku mengenalinya. Kedatangan aku ke sini memang untuk mencarinya, bukan untuk mambalas dendam, aku nak membimbing dia ke jalan benar,” lagi sekali Haji Yatimi membuat kejutan.
“Kenapa Tuan Haji tak berterus terang dengan saya?” Sanggah datuk. Haji Yatimi tersenyum.

RAGU

Bagi menghilangkan keraguan itu, Haji Yatimi pun menjelaskan, semasa Khoja Lisut membelasah seorang Kiai di Asahan, secara kebetulan dia baru tiba di tempat tersebut dari Solok. Dia datang ke Asahan untuk berjumpa dengan Pak Kiai yang menjadi guru agamanya.
“Dari Pak Kiai saya belajar hukum-hakam agama Islam. Dia ulama besar. Bila saya mendapat tahu Pak Kiai dibelasah guru silat yang angkuh, saya jadi marah dan mahu bertindak. Tetapi, Pak Kiai menahan saya. Katanya, orang Islam yang baik tidak mudah naik darah dan tidak mahu bergaduh sesama Islam,” Haji Yatimi memulakan ceritanya.
Dia juga menceritakan kepada kami, bagaimana Pak Kiai menghembuskan nafas terakhir di depan matanya. Sebelum itu, Pak Kiai berpesan kepadanya supaya mencari guru silat yang membelasahnya, bukan untuk membalas dendam tetapi, mengajak guru silat yan banyak mengamalkan ilmu batin yang bertentangan dengan ajaran Islam kembali ke jalan yang benar.
Jika tidak dibetulkan mungkin guru silat itu akan mengajar ilmu songsang kepada anak muridnya. Malah akan menyebarkan ajaran sesat yang akan merugikan orang-orang Melayu, menimbulkan perpecahan sesama sebangsa.
“Kerana itu aku cari dia, aku gembira aku gembira bila mendapat tahu kamu berikhtiar mengubati penyakitnya. Allah memperkenankan permintaan kamu, tetapi dia tidak ikhlas,” sambung Haji Yatimi lagi.
“Sekarang macam mana?” Tanya Mat Upeh.
“Dengan izin Allah, nampaknya aku berjaya mengeluarkan amalannya. Darah yang kamu tengok tu, adalah darah kotor bersendikan syaitan yang mengalir dalam tubuhnya,” Haji Yatimi segera menggosok kedua belah telapak tangannya.
Dia mengambil sebatang ranting yang berada dekatnya, ranting itu dilemparkan ke arah darah yang keluar dari ibu kaki Khoja Lisut. Sebaik saja ranting jatuh di situ, maka keluarlah api lalu membakar darah tersebut hingga hilang tanpa kesan.
Memang di luar dugaan kami, tiba-tiba saja Khoja Lisut bangun. Kalau tadi, wajahnya nampak gerun dan menyeramkan dengan sinar mata yang tajam, kulit tubuhnya kelihatan tegang. Kini, semuanya itu bagaikan tiada pada dirinya. Khoja Lisut kelihatan lesu, wajahnya nampak tua dan kulitnya berkedut.
“Kamu sekarang berada dalam keadaan yang sebenar. Kamu tak boleh selama-lamanya menipu sesama manusia,” turut Haji Yatimi lalu bangun. Berdiri bertentang wajah dengan Khoja Lisut.
“Kamu.”
Haji Yatimi segera meletakkan telapak tangan kiri ke bahu kanan Khoja Lisut. Lima jari Haji Yatimi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut dengan keras sekali.
Berkerut muka Khoja Lisut menahan rasa sakit dan dia hampir mahu rebah ke bumi tetapi, Khoja Lisut tetap berusaha agar dirinya berdiri terus.
Rebah ke bumi bererti kalah dan Khoja Lisut tidak mahu kalah lagi. Tidak rela masa lampaunya yang hitam diperkatakan oleh Haji Yatimi dengan sewenang-wenangnya di depan Mat Upeh, di depan saya dan datuk. Makin kuat Khoja Lisut mempertahankan diri dari rebah ke bumi, sekuat itu juga Haji Yatimi memaut tulang selangka Khoja Lisut.
Sebenarnya, antara Haji Yatimi dengan Khoja Lisut sedang berlangsung sebuah pertarungan yang tidak rasmi. Saya tidak tahu kenapa Khoja Lisut harus memperlihatkan kemampuannya yang tidak seberapa itu kepada Haji Yatimi, sedangkan dia sudah bertaubat untuk jadi orang baik-baik.
Barangkali dia terpaksa bertindak demikian setelah mengetahui yang Haji Yatimi adalah kenalan Kiai yang dibelasahnya di Asahan dulu. Mungkin dia memikirkan kedatangan Haji Yatimi untuk membalas dendam. Khoja Lisut merasakan Haji Yatimi mahu memperdayakan dirinya? Semua persoalan itu berlegar dalam tempurung kepala saya.
Khoja Lisut tidak dapat bertahan, sedikit demi sedikit dia merendahkan tubuhnya. Demi menjaga maruah diri, Khoja Lisut terpaksa membenkokkan kakinya dan menggunakan kekuatan sepasang lutut bagi menahan diri dari rebah ke bumi. Cengkaman Haji Yatimi teetap berterusan. Berpeluh Khoja Lisut menahan rasa sakit.
Mungkin kerana terlalu sakit, Khoja Lisut tidak ada pilihan lain. Dia terus meraung dengan sekuat hatinya, bagaikan raungan gajah yang naik minyak.
“Ya Allah, apa sudah jadi Tamar?” Keluh Mat Upeh
Semua biji mata tertumpu ke arah Khoja Lisut. Datuk urut dada dan saya menarik nafas dalam-dalam bersama rasa cemas dan takut.
“Apakah aku bermimpi Tamar?” Mat Upeh bersuara sambil menggosok-gosok kelopak matanya beberapa kali.
“Kamu tak bermimpi Mat,” kata-kata yang dituturkan oleh datuk memaksa Mat Upeh mengerutkan dahinya.
Raungan Khoja Lisut terus bergema. Haji Yatimi tidak ambil kisah, dia tetap tenang. Sambil jejarinya mencengkam tulang selangka Khoja Lisut, mulutnya terus berkumat-kamit. Entah apa yang dibacanya saya sendiri tidak tahu. Dari lubang hidung Khoja Lisut keluar darah yang sudah agak membeku. Dari kedua belah cuping telinganya berguguran butir-butir pasir menyerupai intan, berkilau-kilau disuluh matahari petang yang kian redup.
Dari celah belah sikunya kelihatan seperti serpihan emas berjatuhan atas bumi lalu hilang entah ke mana. Saya jadi panik melihat keadaan yang berlaku di depan mata saya. Raungan Khoja Lisut berhenti dan jari-jari Haji Yatimi tidak lagi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut.
“Sekarang sudah selesai,” kata Haji Yatimi sambil menatap wajah datuk dengan serius.
“Apa benda yang keluar dari cuping telinga dan dagunya tu.”
“Tuan Haji?” Tanya datuk.
“Yang keluar dari lutut tu ialah susuk untuk tenaga, yan kamu nampak jatuh macam keping emas tu, sebenarnya tahi besi yang diserapkan ke dalam setiap sendi tubuhnya,” balas Haji Yatimi.

ARAH

Saya lihat Mat Upeh gelengkan kepala. Kemudian saya alihkan pandangan ke arah Khoja Lisut yang berusaha untuk berdiri, ternyata usahanya itu berhasil.
Khoja Lisut melangkah perlahan-lahan mendekati Haji Yatimi. Gerak-gerinya macam orang yang sudah berusia hampir sembilan puluhan. Khoja Lisut nampak cukup tua.
“Yang keluar dari cuping telinganya tu apa dia?” Mat Upeh ajukan pertanyaan. Datuk terus menggigit ibu jari kiri, ekor matanya terus menjeling ke arah Khoja Lisut. Haji Yatimi seperti tidak mahu menjawab pertanyaan yang diajukan Mat Upeh. Barangkali, dia sedang memikirkan sesuatu yang lebih serius tentang Khoja Lisut.
“Itu susuk emas yang saya pakai, tujuannya biar muka saya nampak muda, tak makan tua. Saya tersilap,” sebuah pengakuan yang amat mengejutkan dari Khoja Lisut untuk kami. Saya dan Mat Upeh saling berpandangan.
Haji Yatimi senyum panjang. Terbayang kepuasan di wajahnya. Tanpa membuang masa dia terus menerkam ke arah Khoja Lisut lalu dipeluk dan diciumnya beberpa kali . Apa yang mengharukan perasaan saya, mungkin juga perasaan datuk dan Mat Upeh, bila melihat Khoja Lisut merangkum tubuh Haji Yatimi dengan erat sekali. Saya lihat Haji Yatimi menangis tersedu-sedu.
“Aku bahagia bila kamu mengakui kesilapan kamu,” dalam esak tangis itu, Haji Yatimi terus bersuara tersangkut-sangkut.
“Allah membuka pintu hati saya tuan Haji,” balas Khoja Lisut lalu melepaskan sepasang tangannya yang merangkum tubuh Haji Yatimi. Mereka berpegangan tangan dan serentak menghalakan wajah ke arah saya, ke arah Mat Upeh dan datuk.
“Seorang Islam sejati akan merasa bahagia dan bersyukur pada Allah bila dapat menyelamatkan saudaranya dari tercebur ke kancah maksiat yang diketahui oleh syaitan. Orang Islam yang yang baik selalu memikirkan tentang nasib agama Islam dan saudara-saudaranya,” Haji Yatimi bagaikan memberi ceramah kepada kami.
“Saya tahu awak....” Khoja Lisut terus meluruskan jari telunjuknya ke arah datuk dan “Tuan Haji ini benar-benar ikhlas mahu menolong aku, cuma aku saja ragu-ragu atas kejujuran kamu berdua sekarang sudah terbukti aku yang salah hitung,” sambung Khoja Lisut dengan wajah yang besar.
“Sudahlah, sekarang kamu tidak ada menyimpan ilmu hitam lagi? Kalau ada cakap segera, biar aku selesaikan,” turut Haji Yatimi, Khoja Lisut gelengkan kepala seraya berkata:
“Ilmu hitam yang Tuan Haji keluarkan tadi, itulah ilmu terakhir yang ada pada saya. Memang saya berhajat nak menyimpannya kerana saya percaya dengan kata guru saya; tidak ada orang yang boleh gugurkan 'susuk' yang sudah sebati dengan darah daging saya, tidak ada orang yang tahu yang saya ada ilmu itu.”
“Dan guru kamu memberitahu kamu, jika mahu mengeluarkan susuk dari tubuh, kamu disuruh masuk hutan mencari pokok yang separuh mati dan letaknya terasing dengan pokok-pokok lain. Pokok tu mesti tumbuh di kemuncak bukit,” Haji Yatimi tatap biji mata Khoja Lisut.
“Ya Tuan Haji,”
“Kamu disuruh betapa di pangkal pokok selama tiga hari tiga malam. Kemudian kamu disuruh gantung diri kepala ke bawah kaki diikat dengan tali jerami pada dahan pokok. Betul atau tidak?”
Khoja Lisut termenung sejenak. Dia seperti keberatan mahu menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Haji Yatimi. Masih mahu berahsia.
“Betul atau tidak? Jawab pertanyaan aku,” Haji Yatimi terus melenting. Dia genggam penumbuk. Datuk dan Mat Upeh undur dua tapak ke belakang, menjauhkan diri dari sisi Haji Yatimi. Bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Iya,” angguk Khoja Lisut.
“Dia juga beritahu kamu, genap empat hari empat malam kamu gantung diri kepala ke bawah kaki ke atas, susuk yang ada dalam diri mesti keluar. Sebenarnya, dia membohongi kamu. Dia menipu kamu.”
“Bohong?” Khoja Lisut terkejut.
“Iya, bila kamu tergantung begitu empat hari empat malam, kamu boleh mati, setidak-tidaknya jadi habuan binatang ganas. Di mana logiknya cakap guru kamu?”
Mendengar kata-kata Haji Yatimi itu, Khoja Lisut bagaikan tergamam.Dia termenung panjang sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dahinya, segera dikerutkannya. Beberapa kali Khoja Lisut gelengkan kepalanya. Dia seperti menyesali apa yang terjadi atas dirinya.
“Saya terkena dalam baik,” terpancut sebuah keluhan dari mulut Khoja Lisut. Mat Upeh terus telan air liur dan saya terus menggigit lidah. Rasa simpati terhadap Khoja Lisut terus berbunga dalam hati.
“Sepatutnya, kamu hati-hati bila mahu menuntut ilmu, lebih-lebih lagi ilmu silat, banyak cabang, banyak simpang yang tidak sihat,” sanggah datuk.
“Salahnya kamu sendiri tak gunakan fikiran untuk buat keputusan, kamu tunduk dengan kemahuan nafsu. Inilah akibatnya yang kamu terima,” Haji Yatimi memberikan komentar tanpa memandang wajah Khoja Lisut.

GOSOK

Buat beberapa saat, semua yang ada di situ tidak bersuara. Datuk menggosok-gosok batang hidung beberapa kali. Mat Upeh menekan sepasang tumit kakinya ke bumi. Haji Yatimi terus berpeluk tubuh dan sepasang matanya merenung ke arah pepohon yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Dia masih juga membelakangi Khoja Lisut.
“Sekarang kamu dah sedar tentang kesilapan kamu?”
Saya lihat Khoja Lisut terkejut mendengar ungkapan dari Haji Yatimi itu. Dia pasti kata-kata ditujukan kepadanya.
“Ya, sekarang sudah nyata cakapnya tak betul,” Khoja Lisut bersuara. Dengan serta- merta Haji Yatimi memusingkan badannya lalu menatap menentang biji mata Khoja Lisut.
Datuk dan Mat Upeh segera bergerak ke arah surau. Pada anggapan mereka, tugas membantu Haji Yatimi sudah selesai. Tetapi, hati kecil saya keberatan untuk meninggalkan Haji Yatimi sendirian di situ.
“Apalagi ilmu yang kamu simpan? Kalau ada, sila cakapkan pada aku dengan ikhlas dan jujur. Demi kebaikan kamu,” terpamir rasa simpati di wajah Haji Yatimi.
Sinar matanya seolah-olah membayangkan kesungguhan untuk membebaskan diri Khoja Lisut dari belenggu ilmu syaitan.
“Tak ada apa-apa lagi yang saya simpan,” Khoja Lisut telan air liur, bulu keningnya nampak bergerak, “tak tahulah pula, kalau ada ilmu yang diserapkan diluar pengetahuan diri,” sambung Khoja Lisut.
“Kamu sudah diiktiraf sebagai Khalifah?”
“Belum lagi.”
“Buktinya yang kamu belum iktiraf sebagai Khalifah,” Haji Yatimi terus merisik rahsia.
Khoja Lisut dongakkan wajah ke langit. Dia melihat awan dan langit petang. Dengan tenang dia menarik nafas untuk menghirup udara yang berlegar-legar di sekitar kawasan halaman surau. Khoja Lisut ubah pandangan lalu menatap ke arah Mat Upeh dan datuk yang sedang berdiri dekat tangga surau. Kemudian pandangannya itu dialihkan ke wajah Haji Yatimi.
“Buktinya? Mahu buktinya?” Ulang Khoja Lisut.
“Iya,” angguk Haji Yatimi.
“Saya tidak diberi songkok tinggi baldu merah berlilit kain putih. Kalau sudah diberi songkok macam itu, bolehlah mengeluarkan petua baru tentang sembahyang, puasa, zakat dan ambil haji.”
“Biasanya, hukum-hukum itu berlainan dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan orang Islam, malah memang bertentangan, pengikut Khalifah yang dianggap macam Imam paling agung, mesti disanjung, makan pakai, rumah harus disediakan oleh pengikut. Apa yang Khalifah mahu mesti ditunaikan. Kalau engkar nanti kena kutuk, mati berdarah, ada yang kena petir, mati lemas atau terbakar. Bukan begitu.”
“Tepat sekali,” Khoja Lisut seperti terpaku. Dia kagum kerana Haji Yatimi dapat menyatakan apa yang menjadi rahsia dirinya secara terperinci.
“Tolong, jangan buat apa-apa dengan saya.”
Khoja Lisut terkam ke arah Haji Yatimi dan terus melutut sambil mengangkat sepuluh jari paras hidung, macam orang suruhan dalam zaman Kerajaan Melayu Melaka menyembah sultan. Perbuatan itu tidak disenangi oleh Haji Yatimi dan dia terus memarahi Khoja Lisut.
“Jangan sembah aku,” bentak Haji Yatimi, “berdiri lurus, cakap apa yang kamu nak cakap,” kali ini nada suara Haji Yatimi lembut, penuh kemesraan bersama senyum persahabatan. Khoja Lisut segera patuh dengan permintaan Haji Yatimi itu.
“Jangan, buat apa pada saya. Memang saya diarah cara halus supaya menetang sesiapa saja yang menentang cita-cita. Maafkan saya. Ampunkan saya jangan mengapa-apakan saya,”
“Aku ke mari bukan nak balas dendam kerana kamu menyeksa guru aku, tapi...” Haji Yatimi berhenti bersuara. Khoja Lisut bertambah resah. Dia berada dalam ketakutan yang amat sangat.
“Tapi, apa tuan haji” Tanyanya lembut.
“Menyempurnakan amanat guruku, dia memaafkan kamu. Tetapi, dia juga menyuruh anak muridnya mencari kamu. Berikhtiar mengajak kamu kembali ke jalan benar.”
“Kamu tidak menipu.”
“Orang Islam tidak pernah menipu, apa yang ada di hati, itu yang dicakapkan. Seseorang Islam berhak dan dituntut supaya mengembalikan saudaranya yang sesat ke jalan yang benar.”
“Buktinya?” Khoja Lisut minta kepastian.
“Buktinya, aku tidak buat tak senonoh pada kamu, sekarang aku bersyukur pada Allah kerana hamba yang sesat kembali ke jalan yang benar.” 


1 comment: